Thursday, September 20, 2007

Insiden Batu Buruk - Harapan besar PAS terhadap wibawa Raja-Raja

Salmiyah Harun
Thu | Sep 20, 07 | 12:45:55 pm MYT

VERSI TERKINI! KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - PAS memberi pengharapan besar kepada Majlis Raja-raja yang merupakan institusi yang paling tinggi dalam negara ini, untuk membentuk Suruhanjaya di Raja bagi mengkaji dan membuktikan siapa dalang yang mencetuskan kekecohan di Batu Buruk tempoh hari.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam pertemuan dengan media selepas menghantar Memorandum kepada Majlis Raja-raja, meminta institusi tertinggi itu memberi respons atas permohonannya untuk mendesak mereka yang terlibat dalam insiden itu tampil ke hadapan.

"Bagaimanapun kita serahkan memorandum ini kepada Majlis Raja-raja untuk menentukan tindakan seterusnya sama ada mereka membincangkan atau tidak kita serah kepada raja-raja," katanya.

Antara intipati penting dalam memoradum itu, PAS turut menjelaskan insiden yang berlaku pada 8 September lalu termasuklah penggunaan peluru hidup oleh pihak keselamatan serta kenyataan yang berbeza-beza daripada Ketua Polis Negeri.

Di samping itu, Nasarudin turut memberitahu mereka mempunyai bukti rakaman video seorang anggota polis berpakaian preman berjalan ke arah orang ramai, sambil memegang pistol, semasa insiden rusuhan di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Rakaman itu, katanya menunjukkan seorang lelaki sedang keluar dari kedai makan sambil memegang pistol ke arah orang ramai.

"Rakaman itu diambil ketika rusuhan pada malam itu, dan kami dapat rakaman itu pada malam itu juga, kita akan dedahkan kemudian. Kita ada sebab mengapa tidak didedahkan sekarang," katanya.

Nasharuddin menyerahkan memorandum tersebut kepada Penyimpan Besar Majlis Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah yang juga Setiausaha Majlis Raja-Raja, di pejabatnya di ibu negara kira-kira jam 4 petang semalam

Hadir sama ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar; Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Syed Azman Ahmad Nawawi.

Sementara itu Kamarudin berkata, sepatutnya pihak polis boleh menangkap dan mendakwa anggotanya sendiri yang terbukti menembak orang awam.

"Anggota yang terbabit tidak memakai uniform polis, pegawai polis FRU atau PGA tidak ada hak untuk berkhidmat tanpa pakai uniform kecuali dia SB atau detektif, anggota itu terbukti telah menembak orang sepatutnya pihak polis sendiri terus menahan dan mengenakan pendakwaan kepada beliau," katanya.

Bagaimanapun, Salahudin menyatakan kekesalanya kerana sehingga hari ini mereka yang membakar bendera tidak boleh dikesan oleh polis sedangkan polis yang begitu cekap tetapi tidak dapat menangkap siapa yang membakar bendera itu.

"Kalau dilihat pada foto itu orang berkenaan membakar bendera di depan FRU, kenapa FRU tak tangkap mereka, kita percaya bahawa memang apa yang berlaku adalah satu konspirasi yang dirancang untuk menimbulkan rusuhan pada malam itu,"tegas beliau.

Beliau juga bertegas, PAS bertanggungjawab terhadap insiden itu dan adalah tidak benar sebagaimana yang didakwa oleh kerajaan termasuklah Abdullah Badawi sendiri.

"Kami tidak lari dari isu ini, kami tampil dengan 'gentleman' dalam hal ini dan menyerahkan memo kepada Suhakam, dan bawa usul ke parlimen, serta kepada raja-raja, kita 'gentlemen',".

"Yang lari daripada kenyataan adalah inspektor polis, tidak memberikan satu kenyataan kenapa peluru hidup digunakan untuk menyuraikan yang kononya perhimpunan itu adalah haram," jelas beliau.

Syed Azman mempertikaikan kenyataan Ketua Polis Terengganu, Dato' Ayub Yaakub yang berubah-ubah berhubung indentiti penembak daripada seorang bernama Azmi kepada Wan aziz Aziz daripada FRU kepada PGA.

"Percanggahan kenyataan Ketua Polis Terengganu yang kita anggap ianya penting menjadi tidak profesional apabila kenyataan berubah-ubah, bagi kita ini menggambarkan beliau hendak menyorok sesuatu yang berlaku di Batu Buruk tempoh hari," katanya.

Antara intipati Memorandum

Penyerahan memorandum ke Majlis Raja-Raja Melayu, Malaysia.

Parti Islam Se Malaysia, PAS hari ini menyerahkan Memorandum ke Majlis Raja-raja Melayu Malaysia melalui Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu berkenaan Tragedi di Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu yang berlaku pada hari Sabtu 8 September yang lalu.

Pada Kejadian tersebut pihak polis telah tidak memberikan permit polis kepada Gabungan Pilihan raya Bersih & Adil atau BERSIH (yang mana PAS merupakan salah suatu anggotanya) untuk mengadakan majlis penerangan, walaupun ianya dijadual diadakan di premis persendirian milik seorang ahli PAS.

Pihak polis telah bertindak ganas apabila melepaskan pancutan air dan gas pemedih mata ke arah orang-ramai yang berkumpul secara aman untuk menuju ke tapak ceramah dalam keadaan tidak tahu yang majlis tersebut telah dibatalkan atas kehendak pihak polis.

Dan apa yang sangat PAS kesali adalah apabila seorang anggota polis telah melepaskan tembakan peluru hidup dari senjata apinya ke arah orang awam sehingga mencederakan dua orang iaitu Suwandi Abdul Ghani 37 yang terkena peluru sehingga menembusi paru-parunya dan Muhamad Azman Aziz 21 yang terkena di bahu dan leher.

Tindakan melepaskan tembakan peluru hidup seumpama ini ke arah orang awam yang berhimpun secara aman tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, dan ini merupakan insiden yang pertama.

Lalu kerana yakin dan terdorong oleh titah DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibuddin Shah bahawa peranan Raja-raja Melayu adalah umpama pendukung keadilan, pengawal keamanan dan penyelesai pertikaian maka PAS mengambil kesempatan mengadap sembah memohon campurtangan Tuanku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dan Tuanku-tuanku Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu agar:

1) Segera membentuk sebuah Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat tragedi ini secara bebas dan telus dan menghukum dengan hukuman setimpal siapa sahaja yang didapati bersalah.

2) Menitahkan agar pihak kerajaan segera duduk berbincang dan berunding dengan pihak PAS demi agama, bangsa dan negara bagi menyelesaikan kekeruhan yang berpunca dari insiden malang ini.

PAS mendoakan agar Raja-raja Melayu yang sentiasa prihatin dan mengambil-berat soal dan kebajikan rakyat akan memberikan respon yang positif terhadap memorandum ini.

PAS tidak akan berdiam diri dan terus membuat desakkan sehingga kes ini disiasat oleh sebuah Suruhanjaya Di Raja. Sebelum ini PAS telah pun menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia atau SUHAKAM mengenai perkara yang sama.

19 September 2007

Ustaz Nasharudin bin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS

Klip video bebal RTM dan mengapa orang ramai merusuh...

Azamin Amin
Thu | Sep 20, 07 | 12:19:36 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - Perkataan 'rusuhan' selalunya disambut dengan jawapan dan tanggapan yang negatif, namun secara tidak langsung ramai yang tidak cuba untuk menyelidiki, mendapat gambaran asas atau cuba menyoroti tindakan timbal balik sebab musabab orang ramai merusuh pada satu-satu kejadian.

Rusuhan selalunya tercetus disebabkan timbulnya tindakan melampaui batas, provokasi, cabar-mencabar, mengasak atau membelasah oleh pihak -pihak yang tertentu yang akhirnya menyebab orang awam melakukan tindakan yang sama bagi membalas diatas perbuatan tidak perikemanusiaan itu.

Malah penjenayah ataupun penjahat lazimnya tidak merusuh, tetapi seringkali kedengaran dilakukan oleh orang awam, masyarakat setempat, golongan tertentu, peladang, penternak, petani, penduduk setinggan yang tidak puas hati dengan sesuatu keadaan yang dianggap telah melampaui batasan.

Rusuhan tidak terjadi dengan sendirinya dan bukan dilakukan secara suka-suka, hobi seperti vandalisme yang secara tidak langsung sebagai satu manifestasi sesetengah pihak menzahirkan ekspresi diri (luahan hati) ataupun orang biasa yang suka merosakan harta benda awam tetapi satu manifestasi tidak puas hati di atas apa yang berlaku

Dalam laman web kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan rusuh bermaksud tidak aman; huru-hara; kacau; gempar,ribut, kecoh, kelang-kelibut, tegang dan kelam kabut dan menyelitkan contoh dari sudut bahasanya iaitu 'Mereka merusuh kerana tidak puas hati dengan keputusan pengadil.

Rusuhan di negara luar seperti di Palestin, Pakistan,Indonesia dan Mexico adalah disebabkan rakyatnya yang sudah tidak tahan lagi dengan sikap pihak berkuasa ataupun parti pemerintah yang dilihat semakin menindas, menzalimi dan menekan nasib hidup rakyat.

Begitu juga dengan siri-siri kejadian rusuhan di Malaysia sekitar tahun 1999 akibat ramai pihak tidak puas hati dengan pemecatan Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada jawatannya, dan ada rusuhan diantaranya dimulakan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan Anwar Ibrahim sendiri supaya imej dan nama baiknya tercemar.

Rusuhan juga bukan sesuatu yang baru di negara ini,dan sejarah pernah merakamkan tragedi Rusuhan Natrah atau Maria Hertogh berlaku di Singapura pada 1950 kerana sehingga seramai 18 orang terbunuh atau mati syahid dan 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British.

Ketika itu bangunan dan kereta berhampiran padang dekat mahkamah telah dibakar.

Tumpuan utama ialah Masjid Sultan di Singapura dan Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam. ISA telah digunakan dengan sebaik-baknya bagi membendung keganasan merebak.

Tatkala berlakunya rusuhan, maka perkara-perkara tidak diingini pun boleh berlaku seperti membakar bendera, membaling batu, pukul memukul, merosakkan harta benda awam.

Sikap bebal RTM mengapi-apikan provokasi

Sebaiknya tindakan yang wajar dilakukan oleh pihak -pihak yang terbabit ialah berbincang, menggunakan keadah rundingan dan budi bicara baagi mengelakkan dari terjadinya rusuhan dengan mengambil langah-langkah pencegahan bukannya menimbulkan provokasi sehingga mencetuskan suasana tegang.

Lebih buruk lagi pihak pemerintah sering kali menuduh pihak pembangkang memulakan rusuhan dan seringkali mencetuskan suasana tegang dan ini dipanjangkan lagi kejadian di Batu Burok 8 September lalu.

Malah cuba memburukkan imej pembangkang dengan tayang klip RTM baru-baru ini dengan memaparkan tulisan 'ini bukan budaya kita' menjurus kepada isu dakwaan kononnya rusuhan didalangi pembangkang di Batu Buruk pada 8 September lalu dalam satu ceramah anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sedangkan imej awal kejadian baling batu dan himpunan umat Islam di jalan-jalan raya adalah imej dari rakaman perjuangan rakyat Palestin menentang rejim Israel, kata Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar baru-baru ini.

Selain itu terdapat juga imej dalam klip video tersebut mengenai perjuangan rakyat Indonesia merusuh menentang pentadbiran Presiden Suharto satu masa lalu untuk mengembalikan demokrasi di Indonesia, katanya.

Klip video yang berniat jahat dan bebal ini, sekaligus menghina perjuangan rakyat kedua-dua negara tersebut yang umum mengetahui bahawa rakyat negara tersebut terpaksa berbuat demikian kerana tekanan yang dihadapi, katanya

Dengan menggunakan klip video ini secara menggabungkan tiga kejadian berasingan dan merujuk kepada niat politik bagi memburuk-burukkkan pembangkang, RTM dilihat bertindak melampau, katanya.

Berhubung klip imej lelaki membakar bendera jalur gemilang dalam kes rusuhan di Batu Buruk, Kamarudin berkata gambaran secara keseluruhannya ialah bermotifkan politik.

RTM dan Kementerian Penerangan sedikit pun tidak menayangkan tindakan ganas polis terhadap orang awam dan klip video tembakan menggunakan peluru hidup yang dilepaskan anggota polis ke atas orang awam, katanya. - mr