RAI MAJLIS: Abdullah, Jeanne, Najib dan Rafidah memotong kek pada majlis rumah terbuka Aidilfitri pergerakan Wanita sambil diperhatikan pemimpin tertinggi Umno lain di PWTC, semalam. |
Semua Ketua Wanita Umno negeri diberi peluang berbahas, kemuka usul
KUALA LUMPUR: Perbahasan dalam perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini akan menumpukan kepada melihat kembali peristiwa sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan serta hala tuju Malaysia untuk 50 tahun akan datang.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata semua pembahas akan mengupas perkara itu secara komprehensif dengan dimulakan pembentang usul ucapan terima kasih terhadap ucapan Ketua Wanita.
Pembentang usul itu ialah Pengerusi Biro Bantuan Guaman Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim, yang akan menyentuh aspek pendidikan, ekonomi, agama dan politik.
"Ia adalah usul membahaskan ucapan ketua tetapi ia merangkumi pelbagai aspek. Ia adalah satu usul yang komprehensif," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat sebelum Perhimpunan Agung Wanita Umno yang akan diadakan hari ini.
Buat pertama kali, Rafidah berkata, perbahasan usul kali ini akan membabitkan semua Ketua Wanita Umno negeri bagi mewakili negeri masing-masing.
"Ia suatu yang luar biasa kerana tahun ini kita menyambut 50 tahun kemerdekaan negara dan akan menghadapi pilihan raya umum, jadi kami beri peluang mereka berbahas dan menyatakan pendapat mereka," katanya.
Katanya lagi, pergerakan itu akan menganugerahkan pingat emas pelajar cemerlang kepada tiga pelajar bukan Bumiputera selain 18 pelajar Bumiputera.
"Ini adalah pertama kali kita menganugerahkan pingat emas kepada tiga pelajar bukan Bumiputera dari Universiti Teknologi Petronas, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaya yang dibuat kerana semua rakyat Malaysia bersama berjuang memajukan negara sepanjang 50 tahun kita merdeka," katanya.
Semua 21 pelajar itu akan menerima pingat emas, sijil dan wang tunai RM1,000.
Mengenai persiapan pilihan raya, Rafidah mengarahkan supaya ketua wanita Umno negeri supaya mengemaskini dan memantau ahli serta pengundi di peringkat akar umbi.
"Saya mahu laporan itu secepat mungkin supaya kita dapat merangka strategi lebih berkesan untuk pilihan raya depan," katanya.
No comments:
Post a Comment