Tuesday, November 06, 2007

Teguran Umno bukan perlekeh sektor awam



TAKLIMAT PRESIDEN: Abdullah berucap pada majlis taklimat tertutup Presiden Umno di PWTC, menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007, semalam.

Kelemahan khidmat kakitangan kerajaan perlu dibaiki: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua kakitangan awam memberi tumpuan isu pembangunan negara dan perkhidmatan awam yang dibangkitkan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Perdana Menteri juga mahu mereka menganggap sebarang isu pembangunan dan perkhidmatan awam yang mungkin dibangkitkan sebagai luahan perwakilan dan bukan untuk mencaci atau mengeji.

"Tentulah dalam mesyuarat (Perhimpunan Agung Umno 2007) ini macam-macam yang terdengar berhubung hal pembangunan negara, mungkin hal kelemahan dalam perkhidmatan awam dan sebagainya.


"Dengarlah apa diluahkan kerana mereka bukan mengeji atau mencaci, sekadar melahirkan perasaan berhubung beberapa perkara. Mungkin juga tiada apa-apa dilahirkan langsung," katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Perhimpunan Agung Umno 2007 yang bermula semalam, dilihat penting bagi memperkukuhkan perpaduan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, selain meneruskan agenda membela bangsa Melayu untuk tempoh 50 tahun datang.

Malah, perbahasan pada perhimpunan dihadiri 2,522 perwakilan dari 190 bahagian itu dijangka menjurus kepada agenda memperkukuhkan parti bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum kedua di bawah kepemimpinan Abdullah.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan perlu mendengar dengan teliti sebarang perkara dibangkitkan anggota perwakilan Perhimpunan Agung Umno kerana ia datang dari parti kerajaan.

Sementara itu, Abdullah berkata, beliau mahu penjawat awam kekal dalam sistem kerajaan kerana individu yang dianggap terbaik menjadi aset berharga.

"Mereka ini menjadi aset penting kepada perkhidmatan awam dan kita mahu ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

"Kita menghargai yang terbaik yang kita ada, tanpa mengira kaum atau agama kerana semua yang ada dalam perkhidmatan awam adalah bersaudara, semuanya rakan sejawat, yang bekerja bersama membantu untuk menjayakan apa yang menjadi matlamat yang sama," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu terus mengekalkan kakitangan awam terbaik bagi meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Abdullah yakin tahap kecekapan kakitangan awam semakin meningkat, terutama menerusi beberapa inisiatif yang diambil termasuk penubuhan pusat sehenti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau turut bersyukur tiada kakitangan JPM terbabit dalam nahas jalan raya ketika pulang bercuti di kampung halaman sempena Aidilfitri, bulan lalu.

No comments: