Monday, May 22, 2006

Populariti Calon BN Dalam Media Bukan Tiket Kemenangan - Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Populariti seseorang calon dalam media cetak mahupun elektronik kini bukan lagi menjadi tiket untuk memastikan kemenangan mereka dalam pilihan raya, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari Ahad.

Beliau berkata media kini bukan lagi tiket untuk calon Barisan Nasional (BN) memastikan kemenangan menjadi milik mereka kerana banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira seperti mutu perkhidmatan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa media masih merupakan saluran terbaik untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan informasi.

Zahid mengulas kemampuan pembangkang meraih sembilan kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak semalam. Ia merupakan pencapaian terbaik pembangkang dalam tempoh 19 tahun di negeri itu.

Pada pilihan raya negeri 2001 pembangkang hanya memperolehi dua kerusi.

"Tetapi itu bukan bermakna kekalahan BN di sembilan kerusi di kawasan bandar menunjukkan media tidak lagi berkesan," katanya kepada pemberita selepas menutup MEXS (Mazz Xtreme Sports) Adventure Camp 01 di Kem Isi Rimba di sini.

Beliau berkata pengundi hari ini lebih bijak dalam memilih calon yang mereka yakin dapat menjalankan perkhidmatan seperti yang dijanjikan.

Selain itu katanya, pengundi juga kini lebih tertarik untuk mengundi calon yang mempunyai personaliti yang meyakinkan dan yang banyak mengetengahkan isu perkauman.

Katanya, dengan adanya kecanggihan teknologi dan kemudahan komunikasi, pengundi-pengundi kini menjadi lebih bermaklumat.

"Kekalahan ini seharusnya dijadikan panduan supaya BN lebih berhati-hati kerana pengundi sekarang bukan seperti dahulu, mereka lebih bijak dan bermaklumat," katanya.

Seramai 50 orang peserta mengambil bahagian dalam perkhemahan motivasi yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 19 Mei lepas dan dikendalikan oleh Personaliti/Pengacara TV dan juga Duta Belia 2003, Maznah Zolkifli.

BERNAMA

Keputusan Pilihanraya DUN Sarawak satu isyarat buat BN

ROSLAN SMS

Jika semasa berkempen dahulu kita biasa mendengar pimpinan BN termasuklah TPM Najib Tun Razak mengatakan Sarawak tidak memerlukan parti-parti dari Semenanjung mewakili mereka (merujuk kepada DAP, PKR dan PAS). Najib juga pernah berkata bahawa pembangkang ketandusan isu, yang sering diulang-ulang adalah isu kenaikkan harga minyak, seolah-olah bagi beliau ianya NON ISSUE.


Tiba-tiba semalam apabila suara rakyat dihitung jelas terdapat lonjakkan sokongan terhadap pembangkang dihampir keseluruhan kawasan-kawasan yang ditandingi sekaligus menidakkan anggapan BN itu. Dan di sembilan dari kerusi tersebut lonjakkan tersebut terlalu kuat sehingga berjaya menelentang dan merebahkan calon-calon BN.

Rata-rata akhbar hari ini termasuklah UTUSAN sendiri mengakui bahawa kekalahan BN di 9 kerusi tersebut merupakan satu kejutan. Tajuk UTUSAN:

BN kembali berkuasa: Pembangkang buat kejutan besar menang 9 kerusi

The Star pula:

Sarawak shocker: BN retains state but Opposition makes impressive gains winning 9 seats

Manakala NST:

Sarawak Elections shock for Taib

Dan benarnya kejutan itu sehingga NST menyiarkan di muka depannya gambar Taib yang membutikan kesemua laporan-laporan akhbar hari ini!

Masing-masing pimpinan BN hari ini menyarankan agar dikaji sebab-sebab kekalahan mengejut BN di 9 kerusi itu. Malah PM Dollah Badawi yang berada di Mesir juga mengarahkan agar satu kajian menyeluruh dibuat.

Bagi saya BN perlu sedar sesungguhnya sokongan terhadap mereka itu menurun lantaran isu-isu besar yang benar-benar telah menyengat dan membebankan rakyat. Walaupun mereka telah berkempen dengan bantuan penuh saluran media perdana, jentera kerajaan dan sebagainya namun terlepas juga 9 kerusi!

Isu kenaikkan harga minyak yang Najib pandang enteng itu sebenarnya telah benar-benar mengecewakan rakyat tambahan apabila rakyat tahu bahawa Malaysia adalah NET EXPORTER minyak (dan Sarawak pula salah sebuah negeri pengeluar minyak di Malaysia). Kenaikkan harga minyak memiliki domino effect sehingga turut menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dan terbaru kita dengar tariff elektrik juga berkemungkinan besar akan naik (walaupun ditangguhkan minggu lepas oleh Dollah kerana bimbang kesannya terhadap kepeutusan pilihanraya Sarawak ini)

Hari ini di bawah BN kadar inflasi telah melonjak sehingga 4.8 peratus, kadar faedah naik, dan kos hidup semakin meningkat. Ringkasnya rakyat mula keciwa dengan performance BN. Ini belum lagi mengambil kira kekeciwaan lain termasuklah isu rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, kronisma, nepotisma dan lain-lain.

Sekurang-kurangnya rakyat telah bersuara di Sarawak dan terpulanglah kepada BN untuk menginsafinya dan mengambil iktibar atau sekadar memandang kecil perkara ini.

Itu Sarawak, bagaimana pula dengan rakyat Malaysia keseluruhannya?

Saya percaya demikianlah juga sentimen rakyat Malaysia di luar Sarawak, yang barangkali arusnya lebih deras lagi! Sama-samalah kita tunggu Pilihnaraya Umum nanti.
SILA KE BLOG ROSLAN SMS
http://n32.blogspot.com
TONTONI WEB TV ALTERNATIF WTV8
http://wtv8.tv

TRANUNGKITE

Kaji punca kekalahan BN di bandar

PULAU PINANG 21 Mei - Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji secara mendalam punca kekalahan calonnya kepada pembangkang terutama di kawasan bandar pada pilihan raya negeri Sarawak semalam.

Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon bagaimanapun berkata, keputusan pilihan raya itu membuktikan bahawa secara keseluruhannya rakyat masih menyokong BN.

``Kita mesti terima keputusan rakyat yang pada amnya menyokong BN dengan majoriti yang besar.

``Bagaimanapun, kita hendaklah mengkaji dan teliti sebab-sebab para pengundi dalam bandar kurang menyokong BN, sehingga BN kalah agak banyak kerusi,'' katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu di sini hari ini.

Pada pilihan raya itu, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, pembangkang membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun dengan meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri 2001.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dipimpin Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan mengalami kekalahan teruk, tewas lapan daripada 19 kerusi ditandinginya yang kebanyakan di kawasan bandar manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula tewas satu daripada sembilan kerusi.

Kawasan yang dimenangi pembang-kang ialah Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili manakala Ngemah dimenangi calon bebas, Gabriel Adit Demong.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye berkata, pembangkang mengeksploitasi isu kenaikan harga minyak sebagai modal politik mereka sehingga mampu memenangi lapan kerusi di Sarawak.

``Mereka (pembangkang) membangkitkan isu dengan mengaitkan kenaikan harga minyak sedangkan hakikatnya Sarawak adalah pengeluar minyak terbesar di negara ini,'' katanya yang juga Timbalan Menteri Penerangan ketika ditemui pada majlis bertemu rakyat di sini hari ini.

Selain itu, katanya, soal pemilihan calon walaupun isu tempatan, tetapi mungkin menjadi punca kekalahan BN.

Oleh itu, katanya, BN mesti berusaha dari sekarang untuk mendampingi rakyat di sembilan kawasan yang tewas termasuk kepada calon bebas bagi memastikan setiap masalah rakyat, dapat diatasi dengan segera sebelum terlambat.

UTUSAN MALAYSIA

Kaji semula `kekalahan kecil' dalam pilihan raya negeri

MELAKA 21 Mei - Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin meminta Barisan Nasional (BN) meneliti semula kekalahan kecil yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak kesembilan yang berlangsung semalam.

Katanya, walaupun ia `kekalahan kecil', tetapi ia membawa mesej yang amat besar kepada kerajaan dan wajar dijadikan peringatan penting.

Beliau memberitahu, kekalahan itu mungkin dianggap sebagai satu kejutan dan di luar jangkaan oleh semua pihak kerana ramai yang menganggap BN mampu menang besar dalam pilihan raya di Sarawak pada kali ini.

``Sebelum ini, kita tidak biasa dengan kekalahan dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan di Sarawak.

``Kekalahan kecil ini cukup baik untuk memberi pengajaran kepada BN selain dapat menyemai satu semangat yang lebih positif.

``'Kejutan berkenaan memberi semangat baru dan kita tidak perlu melihat dalam satu perasaan yang pesimistik,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Komuniti Bestari di sini hari ini.

Semalam, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah Sarawak pada pilihan raya negeri kesembilan.

Pembangkang bagaimanapun membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun dengan meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri pada 2001 yang lalu.

Pada 1987, pembangkang memenangi 20 kerusi berbanding 28 BN.

Pembangkang menang di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili manakala seorang calon bebas di Ngemah.

Dalam pada itu, Zainuddin menambah, BN perlu sensitif dengan kehendak semasa dan mengkaji semula keperluan kewujudan pemerhati atau `watchdog' di kalangan pembangkang dalam kerajaan.

Katanya, kerjaan tidak memerlukan badan pemerhati daripada parti pembangkang kerana ia akan mengurangkan lagi kuasa dan peranan BN.

``Kajian perlu difokus di bandar-bandar besar di seluruh negara. Rakyat di bandar didapati mampu hidup berdikari dan boleh bergantung kepada pemerhati-pemerhati ini. Namun, ia satu perkembangan yang tidak baik kepada kerajaan.

``Keadaan ini berbeza di luar bandar kerana rakyat di luar bandar masih memerlukan kerajaan,'' ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA

Trend pengundi Cina sokong pembangkang ke Sarawak - Pensyarah

KUALA LUMPUR 21 Mei - Beberapa pemerhati politik hari ini berpendapat, trend pengundi Cina di Semenanjung yang kuat menyokong pembangkang kini sudah mula menular ke Sarawak.

Akibatnya, kata mereka, BN kalah di banyak kerusi yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina pada pilihan itu.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman berkata, trend itu dilihat telah menular di kalangan pengundi Cina di kawasan bandar di negeri berkenaan.

Menurutnya, di Semenanjung, sebahagian besar penyokong DAP adalah pengundi Cina yang tinggal di bandar seperti di Ipoh, Melaka dan Pulau Pinang.

``Kita lihat sebelum ini terutama pada tahun 2001, DAP hanya menang satu kerusi tetapi jumlah itu kini bertambah kepada sembilan kerusi,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam keputusan pilihan raya negeri semalam, BN menang 62 daripada 71 manakala pembangkang meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua kerusi pada pilihan raya negeri 2001.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Nidzammuddin berkata, BN seharusnya memberi perhatian yang lebih terhadap pengundi Cina di kawasan bandar dan tidak terlalu menekankan aspek pembangunan yang ingin dilaksanakan di tempat mereka.

Ini kerana, kata beliau, golongan itu yang tinggal di bandar tidak memerlukan pembangunan untuk menarik undi kerana mereka lebih tidak berpuas hati berhubung isu kenaikan minyak dan premium tanah.

``Rasa tidak puas hati mereka ini lebih bertambah apabila DAP yang turut mendapat kerjasama parti Keadilan dan Pas memainkan isu ini dalam kempen mereka,'' katanya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Ahmad Atori Hussein berkata, parti komponen BN khususnya MCA perlu memainkan peranannya untuk membantu BN menarik semula minat pengundi Cina menyokong parti itu.

UTUSAN MALAYSIA

Kemenangan empat calon baru wanita BN bukti sokongan rakyat

KUCHING 21 Mei - Kepercayaan yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) dengan meletakkan enam calon wanita pada pilihan raya kali ini membuahkan hasil apabila empat daripada mereka menang di setiap kerusi yang ditandingi.

Mereka terdiri daripada tiga muka baru calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Simoi Peri, Rosey Yunus dan penyandang kerusi Dalat, Fatimah Abdullah yang sebelum ini menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, calon wanita BN, Lily Yong Lee Lee dan Wong Zee Yeng yang mewakili Parti rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak bernasib baik apabila kedua-dua tewas kepada calon dari DAP.

Di kerusi Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyifatkan kemenangannya sebagi bukti penerimaan rakyat kepada kepimpinan BN dan juga pemimpin wanita di negeri ini.

Beliau yang menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Zainal Abidin Wan Senusi memperoleh 5,365 undi dengan majoriti 2,488.

Sharifah Hasidah, 37 yang juga seorang peguam mengambil alih kerusi itu daripada penyandangnya, Datuk Paduka Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi berkata beliau gembira dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

``Tanggungjawab mewakili BN adalah besar sekali, terima kasih atas kepercayaan yang diberikan,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, di Bekenu, Rosey yang menewaskan calon PKR, Modak Ismail berkata, kemenangan pada pencalonan kali pertama yang diperolehinya itu adalah pengiktirafan yang tidak ternilai.

``Walaupun kemenangan ini dicapai dengan majoriti yang besar, saya tidak akan sesekali memandang remeh tanggungjawab yang diberikan,'' katanya.

Di Lingga pula, Simoi Peri, 42, menewaskan seorang lagi calon PKR, Abang Othman Abang Haji Gom apabila memperoleh 3,245 undi.

PBB yang merupakan parti komponen BN di Sarawak menang di kesemua 35 kerusi yang ditandingi dalam pengumuman pilihan raya yang diumumkan lewat malam tadi.

Kemenangan itu juga membolehkan BN memperoleh semula mandat untuk memerintah Sarawak.

UTUSAN MALAYSIA

Detik membanggakan DAP

KUCHING 21 Mei - DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kejayaan mereka memenangi tujuh daripada sembilan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Kesembilan semalam sebagai kemenangan rakyat.

Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang memenangi kerusi Kota Sentosa berkata, kemenangan DAP di enam kawasan menunjukkan kuasa rakyat menentukan kerajaan.

Katanya, kejayaan itu merupakan detik membanggakan bagi rakyat Sarawak.

``Dalam tempoh lima tahun akan datang, DAP akan cuba untuk memenangi lebih banyak kerusi,'' katanya.

Chieng Jen menewaskan calon BN, Yap Chin Loi di kawasan Kota Sentosa dengan 531 majoriti undi.

Kota Sentosa merupakan satu daripada enam kerusi yang berjaya ditawan DAP dalam pilihan raya negeri kali ini.

Lima lagi kawasan yang menjadi milik DAP ialah Pending, Batu Lintang, Meradong, Bukit Assek dan kerusi tunggal mereka sebelum ini, Kidurong.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang PKR Sarawak, Dominique Ng berkata, beliau berpuas hati kerana akhirnya parti itu berjaya menang di kawasan yang majoritinya pengundi Cina yang dimenanginya di Padungan.

``Saya juga mengucapkan tahniah kepada DAP di atas kemenangan besar mereka kali ini dan melihat kemungkinan bekerjasama sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sarawak,'' katanya.

Ng muncul calon tunggal PKR yang menang daripada lima kerusi yang ditandingi apabila menewaskan calon BN, Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Lily Yong Lee Lee dengan 1,417 majoriti undi.

Dua lagi kerusi yang terlepas ke tangan pembangkang ialah Ngemah, oleh calon Bebas, Ganriel Adit Demong dan Engkilili oleh Johnical Rayong Ngipa dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

UTUSAN MALAYSIA

Kekalahan sembilan kerusi satu amaran

POH 21 Mei - MCA menganggap kekalahan lapan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di kawasan majoriti penduduk Cina merupakan satu amaran kepada Barisan Nasional (BN) agar lebih teliti menangani isu yang dimainkan oleh pembangkang.

Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Fu Ah Kiow berkata, parti itu kecewa dengan kekalahan yang berlaku di kawasan majoriti Cina dan akan melakukan bedah siasat selepas menerima laporan daripada BN Sarawak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, bedah siasat itu amat penting untuk mengetahui persepsi dan perubahan sokongan daripada pengundi Cina di kawasan bandar.

``Kami akan kaji sebab mereka tidak mengundi parti gabungan BN sedangkan sedangkan kerajaan telah merancang dan melaksanakan banyak pembangunan di Sarawak,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kendalikan Maklumat dan Eratkan Hubungan Media Massa di sini hari ini.

Pada pilihan raya Sarawak semalam, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 kerusi daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah.

Pembangkang bagaimanapun membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun apabila berjaya meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri 2001.

Sembilan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang ialah Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili dan Ngemah.

Ah Kiow berkata, kekalahan sembilan kerusi itu mungkin akibat laporan kurang tepat daripada sesetengah media dalam memainkan isu pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini yang memberikan imej negatif kepada BN.

``Kerajaan mengamalkan keterbukaan dalam bersuara tetapi saya dapati ada media buat laporan kurang tepat dan bila ada penjelasan, ia tidak diberi liputan sama besar sehingga menimbulkan persepsi negatif,'' katanya.

Menurut Ah Kiow, BN perlu mengambil inisiatif untuk menggiatkan usaha-usaha menerangkan dasar dan projek kerajaan bukan sahaja di pusat-pusat bandar malah di peringkat negeri dan daerah.

UTUSAN MALAYSIA

Radzi kecewa 9 kerusi dimenangi pembangkang

Oleh: NOR SEDEK ISMAIL

BATU PAHAT 21 Mei - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kecewa dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan sembilan kerusi terlepas ke tangan pembangkang walaupun BN dapat membentuk kerajaan negeri semalam.

Sehubungan itu katanya, satu `bedah siasat' akan dilakukan untuk mengesan puncanya mengapa ia berlaku kerana ia merupakan kemenangan besar bagi pembangkang dalam tempoh 19 tahun berbanding hanya dua kerusi dimiliki pada pilihan raya 2001.

Bagaimanapun beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO tidak menolak kemungkinan isu kenaikan harga minyak menyebabkan pengundi-pengundi negeri itu memilih pembangkang untuk mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri.

Ini kerana katanya, isu tersebut begitu dekat dengan penduduk Sarawak selaku pengeluar minyak dan gas di negara ini.

``Saya rasa kecewa walaupun kita (BN) menang tetapi kita kalah di sembilan kerusi, perkara ini akan dikaji dengan teliti,'' ujar kepada pemberita di sini hari ini.

Radzi menyatakan demikian ketika diminta mengulas kekalahan BN dalam sembilan kerusi pada pilihan negeri Sarawak iaitu Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkili dan Ngemah.

Sebanyak enam daripada kerusi itu dimenangi oleh Parti Tindakan Rakyat (DAP) masing-masing satu kerusi dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNA) dan calon bebas.

Bagaimanapun BN Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya membentuk kerajaan setelah memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

UTUSAN MALAYSIA