Monday, October 01, 2007

Panel siasat video: Jangan sampai jadi bahan ketawa

Abdul Halim Mohd Rashid
Mon | Oct 01, 07 | 8:27:56 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mempersoalkan sejauh manakah panel yang ditubuhkan untuk menyiasat 'video Lingam' boleh mendapatkan kerjasama saksi penting jika panel itu sendiri tidak boleh menjamin perlindungan kepada saksi berkenaan.

"Bagaimana saksi penting iaitu orang yang merakamkan video tersebut hendak tampil membuat pengakuan tentang kesahihan video itu jika tidak ada jaminan perlindungan untuknya?" beliau mempersoalkan.

Mahfuz juga mempersoalkan, ketika ketiga-tiga anggota panel tersebut tidak mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan rakaman video, apakah jaminan bahawa mereka tidak menggunakan kepakaran orang-orang yang tidak jujur yang akhirnya akan memberikan maklumat yang salah kepada mereka?

Panel tersebut dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Video tersebut pula dilaporkan mengandungi rakaman perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim untuk mengatur perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim yang sehaluan.

"Siapa di antara mereka yang boleh mengesahkan segala maklumat mengenai rakaman video itu dalam keadaan mereka hanya bergantung kepada penemuan-penemuan polis dan agensi-agensi kerajaan lain?" soal beliau.

Menurut sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris 26 September lalu, panel tersebut menjalankan tugas mereka hanya berdasarkan penemuan-penemuan polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Mereka juga boleh menyiasat penemuan-penemuan tersebut tetapi tidak boleh terlibat secara langsung untuk menemubual atau mendapat maklumat lanjut dari mereka yang terlibat.

Mahfuz menyifatkan bidang kuasa panel tersebut amat tidak kondusif untuk membolehkan mereka menjalankan siasatan yang diyakini oleh rakyat dan dunia.

"Saya bimbang hasil siasatan panel tersebut hanya akan menjadi bahan gelak ketawa. Jangan sampai seluruh dunia mentertawakan panel penyiasat tersebut dan panel tersebut akhirnya menjadi ikon yang dipersendakan seluruh dunia sehingga akhirnya ada istilah "panel penyiasat Malaysia" yang digunakan bagi merujuk mana-mana badan siasatan yang tidak diterima kewibawaannya," kata beliau.

Sepatutnya, kata Mahfuz lagi, anggota-anggota panel tersebut menolak perlantikan mereka dan bersama-sama rakyat menuntut supaya diwujudkan suruhanjaya diraja menyiasat video tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub menyifatkan dua isu utama mengenai panel tersebut akan tetap dipersoalkan sehingga bila-bila

Isu pertama ialah mengenai kuasa panel tersebut manakala isu kedua ialah kredibiliti anggota-anggotanya.

"Paling buruk sekali ialah panel itu mesti menyerahkan hasil siasatannya kepada kabinet yang kemudiannya akan mengumumkan kepada rakyat. Tidak ada orang berakal yang mahu mempercayai bahawa panel itu bebas," tegas beliau.


Beri kerjasama kepada panel siasatan

JOHOR BAHRU 30 Sept. – Panel bebas khas bagi menyiasat rakaman video perbualan telefon membabitkan seorang peguam terkenal dengan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim perlu diberikan bantuan sepenuhnya oleh semua pihak ketika menjalankan siasatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, selain itu mereka juga perlu diberikan kuasa sepenuhnya oleh kerajaan dalam melaksanakan tugas tersebut.

“Ini untuk memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan bebas dan telus,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kebajikan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya UMNO Bahagian Johor Bahru di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikan panel bebas bagi menyiasat rakaman video itu yang terdiri daripada bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor; Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Makamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar baru-baru ini.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, siasatan panel itu akan lebih menjurus pada perkara pokok iaitu kesahihan dan suntingan rakaman video yang dibuat menerusi telefon bimbit itu.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak yang merakamkan video perbualan itu perlu juga dipanggil untuk memberikan keterangannya kepada panel tersebut.

“Ini kerana video itu telah dirakam lima tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan setelah kesahihan video itu disahkan oleh panel berkenaan.

Pelbagai pihak mahu SB dibubarkan!

Azamin Amin
Mon | Oct 01, 07 | 1:32:43 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Peranan Polis Cawangan Khas (SB) semakin dicurigai malah dilihat hanya dijadikan 'alat' oleh parti pemerintah khususnya Umno untuk merisik dan mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat terutamanya yang menyokong pihak pembangkang.

"Sepanjang pemerintahan Umno, SB tidak ubah seperti polis politik yang digerakkan oleh ahli politik kerajaan," kata bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Saari Sungib.

"Mereka mengancam rakyat tetapi mereka juga menghasut rakyat. Dari sesi soal siasat saya semasa saya di Kem Tahanan Kamunting, saya difahamkan mereka menerima arahan daripada sayap Umno tertentu," katanya yang ditahan pada April 2001 selepas dituduh oleh Kerajaan Umno menggunakan cara militan untuk menjatuhkan kerajaan.

Ramai pihak menggesa supaya peranan SB dikaji semula dan ada antaranya mahu dibubarkan.

"Saya menyeru supaya Cawangan Khas dibubarkan. Keganasan mereka semakin tidak terkawal," kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, S. Manickavasagam yang dipetik daripada Suara KeADILan.

"Kerajaan kata peranan SB ialah risikan keselamatan, kenapa pula kacau di ceramah? Mereka menjadi duri dalam daging di setiap perhimpunan aman, persoalannya ialah apa sebenarnya tugas mereka?" soalnya lagi merujuk insiden yang berlaku di Batu Buruk Kuala Terengganu.

Peranan SB sering dipersoalkan selepas tamatnya konfrantasi komunis di negara ini pada 12 Julai 1960, lalu semenjak itu, campur tangan sayap perisikan polis itu dalam perkembangan politik negara sering menjadi sasaran kritikan dan kecaman aktivitis politik tanahair.

Meletusnya Reformasi 1998, kecaman terhadap SB semakin lantang berikutan kempen provokasi, serangan saraf dan manipulasi unit risikan terhadap gerakan reformasi tersebut.

"SB mempunyai tidak kurang daripada 26,000 anggota dan suatu angka yang terlalu ramai. Sekarang ini Musa Hassan (Ketua POlis Negara) tidak mempunyai anggota membasmi kadar jenayah di seluruh negara yang meningkat," kata Manickavasagam.

Menyentuh hal sama,Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan yang juga seorang peguam, Latheefa Koya turut bersetuju peranan SB dikaji semula memandangkan SB tidak serius melakukan tugas risikan.

"SB jadi alat politik kerajaan. Terlalu banyak tuduhan dan rekod mendedahkan SB menjadi perisik dan pemberi maklumat kepada BN." katanya.

Dalam pada itu badan pemantau hak asasi manusia Amnesty International (AI) dalam satu kenyataan media menjelaskan sebarang siasatan ke atas rusuhan 8 September lalu di Batu BUruk, mestilah juga membongkar peranan yang dimainkan SB dalam tragedi ini.

"Persoalannya ialah, adakah SB sebahagian dari skuad kawalan Batu Buruk? Jika benar mengapa mereka beruniform serta diberi kelengkapan sewajarnya menangani situasi berbangkit? Mengapa mereka membawa senjata berbahaya?"soal K. Shan penyelaras kempen badan tersebut. - mks.

(Berita selanjutnya boleh diperolehi daripada Suara KeADILan terbitan 25 September - 9 Oktober 2007)