Thu | Nov 15, 07 | 4:52:09 pm MYT
Perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 Nov lalu bukan sahaja meninggalkan kenangan manis yang tidak mudah dilupakan, bahkan ia bakal tercatat sebagai salah satu tarikh besar dalam perkembangan politik negara. Biarpun diugut dan diancam oleh Perdana Menteri sendiri, rakyat dari segenap pelosok negara tetap membanjiri Kuala Lumpur. Ramai tersekat dalam kesesakan lalu lintas yang sengaja dirancang pihak polis, manakala ada juga "dihalau" balik.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan bersejarah itu, mempunyai pandangan tersendiri, seperti yang dijelaskan kepada wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan ROY RASUL, pada pagi 12 Nov lalu.
HARAKAH: Apa yang saudara boleh rumuskan tentang perhimpunan aman rakyat bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil yang dianjur oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 10 November lalu?
MOHAMAD SABU: Saya melihat rakyat sudah mulai yakin tentang tuntutan kita selama ini iaitu perlu dipulihkan demokrasi dan keadilan dalam pilihan raya mesti diperolehi semula.
Pada peringkat awal menggerakan perhimpunan ini, kita mengadakan penerangan lebih kurang satu tahun setengah yang lalu, rakyat masih melihat bahawa kita kalah dalam pilihan raya 2004 kerana kita bekerja tidak cukup kuat dan dengan itu perlu dibuat post-mortem, ada yang menyebut sebagai islah. Ya, itu betul dan kita tidak nafikan, tetapi rakyat melihat sekarang dari sudut ketempangan daftar pemilih, penipuan undi pos dan yang paling utama lagi yang perlu terus diperjuangkan ialah akses kita kepada media. Kalau badan antarabangsa meletakkan kebebasan media di Malaysia di tempat ke-124, saya tidak yakin langsung buat masa sekarang untuk kita merubah pemerintah melalui pilihan raya.
Rakyat umumnya begitu ketandusan maklumat. Walaupun begitu, ada dua kategori yang berbeza rakyat Malaysia. Masyarakat Tionghua, maklumatnya agak lebih kerana mereka mempunyai 13 akhbar di peringkat nasional. Orang Melayu hanya ada dua iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian di peringkat nasional.Kedua-duanya dikuasai sepenuhnya Umno-BN. Harakah amat terhad pengedaran dan kekerapan. Suara Keadilan langsung tiada permit. Laman web, blog pula banyak diakses kebanyakannya masyarakat bandar.
Ketua Polis Negara memaklumkan bahawa pihaknya menganggarkan hanya 4,000 orang hadir dalam perhimpunan itu. Justeru, ada laporan akhbar merumuskan bahawa target penganjur untuk mengumpulkan 100,000 peserta gagal.
Empat ribu itu hanya membabitkan anggota polis yang hadir. Jadi sebenarnya boleh dianggarkan bukan sahaja daripada suasana di depan Istana Negara, tetapi juga di kawasan sekitar yang dikepung polis. Malah, di depan istana sendiri, selama lebih kurang satu jam kita berhimpu, ekor daripada perarakan itu masih belum sampai kita sudahpun mulai bersurai.
Ada wartawan antarabangsa yang mengangarkan kehadiran lebih 100,000. Apatah lagi jika turut diambil kira orang ramai yang tersekat dalam perjalanan akibat sekatan jalan raya oleh pihak polis terutama warga Lembah Klang seperti orang dari Subang Jaya, Seremban, Cheras, Selayang, Sg Buloh dan sebagainya.
Mereka datang selepas solat Zohor di rumah kerana menganggap boleh tiba dengan selesa menurut jadual perjalanan biasa. Jika tiada halangan dalam perjalanan, tentunya jumlah kehadiran di luar dugaan dan jauh lebih besar. Ramai lagi yang terpaksa balik di tengah jalan kerana sekatan polis.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang Menteri Keselamatan Dalam Negeri sewaktu menutup persidangan Umno, sehari sebelum perhimpunan 10 Nov memberi amaran keras kepada peserta demonstrasi aman itu, yang didahului oleh kenyataan biadab menantunya, Khairy Jamaluddin. Bagaimanapun rakyat tetap turun walaupun diugut akan ditangkap dan dipenjarakan.
Sebenarnya Abdullah berada dalam keadaan panik dan dia bercakap menggelabah. Dia lupa sejarah, misalnya apabila dia sebut demokrasi jalanan tidak sesuai di Malaysia. Dia lupa bahawa Umno penggerak demokrasi jalanan untuk menentang Malayan Union dahulu, Orang Melayu dikerahkan untuk berarak di seluruh negara, iaitu hampir di semua bandar utama pada waktu itu, untuk menentang Malayan Union. Akhirnya Malayan Union dibatalkan disebabkan rakyat di seluruh Tanah Melayu turun protes di jalan-jalan raya. Nampaknya Abdullah lupa hakikat sejarah, sekali gus menunjukkan dia gelabah menghadapi perhimpunan rakyat dari pelbagai lapisan. Masyarakat juga semakin sedar Malaysia kini seolah-olah ditadbir oleh sebuah syarikat perniagaan Sdn Bhd iaitu Syarikat Keluarga Abdullah Badawi. Semakin ramai bangun membantah.
Berdepan perarakan ini, menteri-menteri lain nampaknya lebih bertenang kerana ini adalah satu himpunan menuntut keadilan dalam demokrasi. Ertinya rakyat berhimpun menuntut demokrasi yang sebenarnya. Kalau kita tidak mahu demokrasi, sudah tentu kita mengarahkan pemuda membuat latihan urban gerila atau jungle gerila. Tetapi kita menolak perjuangan seperti itu kerana kita memilih demokrasi
Bagaimana dengan pengendalian pihak polis menangani perhimpunan ini?
Malangnya sikap polis masih tidak berubah walaupun telah ada suruhanjaya memperbaiki prestasi polis tetapi sikap mereka masih tidak berubah. Mereka tidak menjadi pegawai keselamatan dan mendaulat undang-undang. Mereka masih menjadi alat parti politik permerintah, dalam kes ini, mengadakan sekatan jalan raya, merampas baju kuning dan mengarahkan orang patah balik.
Ini semua bukan kerja pasukan keselamatan. Malah polis memberi amaran dan mengancam tidak akan memberi permit walaupun permit belum dipohon ketika itu.
Saya hairan, pegawai-pegawai polis kita kebanyakannya dihantar berkursus di England dan mereka mewarisi sistem kepolisan British tetapi tindakan mereka semasa menjalankan tugas adalah ala-Burma.
Kita lihat di England, boleh dipuji pengendalian pihak polis menjaga keselamatan, juga mengendalikan demonstrasi anti-perang yang membabitkan sehingga satu juta orang. Mereka menangani pelbagai demonstrasi dengan begitu baik tanpa menimbulkan provokasi.
Saya tidak pasti apa yang pegawai polis kita belajar di England. Apabila mereka balik dan menghadapi situasi demonstrasi aman, mereka akan ala-Burma. Ini yang berlaku di hadapan Masjid Jamek, sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Raja Laut, dan juga beberapa lokasi berdekatan Dataran Merdeka 10 Nov lalu. Ia makin memburukkan imej pasukan polis.
Dan rakyat pun hairan bagaimana mereka boleh kerah, dengan begitu cepat, sejumlah anggota polis yang cukup ramai, bagi menghalang program himpunan rakyat, yang mulanya dijangka di Dataran Merdeka. Mengapa tidak boleh membuat kerahan seperti itu untuk menghadapi peningkatan jenayah yang berlaku? Mengapa sukar sangat menangkap pembunuh Nurin, dan jenayah terus berleluasa di depan mata.
Walaupun sudah diugut oleh Perdana Menteri, rakyat turun juga dengan jumlah yang begitu ramai. Apakah ini menunjukkan Abdullah tidak dihormati lagi?
Sebenarnya kewibawaan Abdullah sudah tidak ada, bermula dengan perisytiharannya untuk membasmi rasuah, tak kira membabitkan ikan bilis atau jerung. Bagaimanapun 'X-files' lapan belas tokoh kenamaan yang dikaitkan rasuah, yang pernah disebut menterinya, Dato' Seri Rais Yatim, hilang begitu sahaja. Begitu juga dengan isu pita video Lingam dan banyak perkara-perkara lain yang saya nampak menghilangkan wibawa Abdullah. Kehadiran begitu ramai rakyat pada 10 Nov itu memberi amaran keras kepada pemerintahan Abdullah Badawi. Kalau berlaku penyelewengan besar pada masa akan datang, rakyat boleh keluar, mungkin dalam jumlah dua, tiga ratus ribu. Kali ini bukan lagi duduk tiga jam seperti 10 Nov lalu tetapi mereka boleh berkampung dua tiga hari, misalnya di sekitar kawasan Parlimen untuk membantah. Dan saya rasa rakyat Malaysia sudah bersedia ke arah itu.
Perdana Menteri juga mengaitkan perhimpunan ini sebagai usaha pembangkang untuk mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam kancah politik.
Kita sudah menghantar memorandum beberapa kali kepada SPR, di samping mengadakan dialog, namun kita nampak tidak ada perubahan bahkan PAS juga menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk berbincang tetapi tidak ada jawapan sehingga melangkaui dua tahun lebih.
Menghadapi Yang di-Pertuan Agong menyembah hasrat rakyat mahu melihat pengendalian pilihan raya yang adil dan telis adalah langkah paling akhir selepas semua saluran lain tertutup. Kita menghadap Agong sebab Perlembagaan memperuntukan kuasa-kuasa baginda berkaitan pilihan raya, khususnya perlantikan anggota SPR.
Ertinya kita masih berada dalam ruang lingkup Perlembagaan dan memanglah semua pihak berkehendakkan Raja-Raja Melayu menjalankan tugas mengikut Perlembagaan. Misalnya baginda boleh menolak cadangan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen apabila baginda berasa perlu berbuat begitu, atas pertimbangan tertentu.
Mengapa perlu dihantar terus kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan Perdana Menteri atau cukup setakat SPR sahaja, terutama berkaitana akses kepada media?
Di peringkat awal, kita berbincang kepada siapa hendak dihantar memorandum. Adakah kepada SPR yang bidang kuasanya begitu terhad. Ataupun Perdana Menteri di Putrajaya kerana kawalan media misalnya di bahawa kementerian Abdullah sendiri. Apabila dimaklumkan sudah banyak memo dihantar kepada PM tentang media, tetapi keadaan masih tidak berubah.
Memang media ini di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri tetapi memandangkan setelah sekian banyak memo diserahkan, tekanan terus ditingkatkan maka maka jawatankuasa Bersih memikirkan supaya dihantar terus kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mesej dan suara hati rakyat langsung sampai kepada peringkat tertinggi.
Indeks kebebasan media negara kita berada pada tempat ke-124, dan ini terlalu memalukan walaupun Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin berbangga kerana rankingnya sama dengan Singapura tetapi dia tidak bandingkan dengan indeks yang lain, misalnya indeks rasuah di Singapura yang tidak ada tolak banding dengan Malaysia.
Lebih memalukan apabila masyarakat antarabangsa menonton pertikaian Zam dengan wartawan Al-Jazeera melalaui laporan agensi berita itu yang menyiarkan berita betul tentang demonstrasi. Masakan tidak, wartawannya sendiri disembur gas pemedih mata dan ini dapat disaksikan secara terbuka.
Saya juga yakin bahawa peserta demonstrasi yang ditangkap di sekitar Masjid Jamek dan Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak akan didakwa di mahkamah. Jika kes itu dibawa ke mahkamah, walaupun mahkamah kita 'dikuasai Lingam", saya yakin pihak polis tidak boleh membuktikan kes berkenaan sebab amaran awal langsung tidak diberikan.
Tembakan air pertama pun tidak diberi amaran, terus ditembak gas pemedih mata dan pancutan air kimia. Ini semua disaksikan Al-Jazeera dan beberapa wartawan lain.
Itu sebabnya kita akan tekankan hal akses kepada media dan kebebasan akhbar secara lebih terancang. Kalau dalam masa lima tahun akan datang, indeks media naik daripada 124 kepada tahap ke-60 misalnya, itu pun boleh dianggap satu kejayaan.
Tetapi kita nampak kalau menteri seperti Zainuddin Maidin masih menerajui Kementerian Penerangan, indeks kebebasan akhbar mungkin akan jatuh sehingga nombor ke-150. Dengan adanya siaran TV satelit seperti Al-Jazeera, CNN, BBC dan lain-lain, rakyat Malaysia akan semakin mudah untuk akses kepada berita-berita yangh lebih tepat, termasuk mengenai perkembangan dalam Malaysia sendiri, dan akhirnya kerajaan akan hadapi tekanan lebih kuat untuk bebaskan media kita.
Sejauh mana kemampuan mempertahankan momentum yang rakyat tunjukkan dalam himpunan 10 Nov itu, mungkinkah ia mudah luntur berbanding zaman reformasi dahulu?
Saya rasa semua rakan dan lawan tahu bahawa tulang belakang perhimpunan ini Parti Islam PAS dan saya sendiri dapat ratusan SMS tahniah daripada pelbagai golongan.
Perhimpunan ini unik, berbeda dengan himpunan-himpunana lain yang didasarkan atas satu-satu kes tertentu misalnya harga minyak naik atau serangan Amerika terhadap Afghanistan ataupun penerbitan karikatur Nabi s.a.w. yang cukup menghinakan itu. Himpunan ini boleh berlanjutan kerana ia berbentuk satu ideologi atau mempunyai inti perjuangan dalam jangka masa panjang, yang kejayaannya jug akan mengambil masa.
Pengalaman saya semasa menjelajah seluruh negara menunjukkan isu-isu sebegini (menunut pilihan raya adil dan bersih) dalam masyarakat Melayu, agak lambat penerimaan mereka tetapi bila kita penjelasan secukupnya, berulangkali, mereka nampaknya yakin dengan hujah-hujah kita.
Dari sudut dalaman sesama parti pembangkang misalnya, apa manfaat yang diperolehi, apakah semangat perpaduan dan permuafakatan semakin meningkat, juga bagaimana dengan keyakinan diri aktivis pembangkang sendiri?
Saya begitu gembira bila himpunan ini dihadiri oleh semua lapisan pemimpin parti dan saya ucap terima kasih tidak terhingga terutamanya kepada Presiden PAS, Dato' Seri Haji Hadi Awang yang memberi sokongan dari awal sehingga sekarang, begitu juga dengan pimpinan KeADILan. Di pihak DAP, juga rakaman terima kasih, pada peringkat awalnya kita mendapat maklumat yang akan turun hanya peringkat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan rakan-rakannya.
Tetapi tiga empat hari sebelum perhimpunan, kita mendengar maklumat Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang sendiri turut akan hadir dan beliau sememangnya hadir dengan berjalan kaki daripada Masjid Negara ke Istana Negara. Ini satu suasana baru, menunjukkan bagaimana semua kaum berganding bahu untuk mencapai objektif bersama.
Petugas-petugas kita, misalnya dari Unit Amal, termasuk menjaga pemimpin DAP dan pemimpin lainnya yang bukan Melayu. Nampak jelas bahawa semua kaum bersatu untuk menuntut perkara yang sama. Ini satu perhimpunan muhibah dan berjalan secara harmoni membabitkan pelbagai kaum yang saya pernah lihat.
Malah ada orang kurang upaya (OKU) yang begitu bersemangat hadir, mampu berjalan dalam jarak yang agak jauh meskipun anggota badan cacat. Suasana seperti ini jarang-jarang kita lihat dan saya sungguh gembira.
Ada juga peserta demonstrasi dan mereka yang melihat perarakan aman itu yang menyifatkan himpunan 10 Nov mempunyai ciri-ciri perhimpunan Mahatma Gandhi. Mereka amat gembira kerana tidak ada satu pasu bunga pun yang pecah, tidak ada satu pokok bunga pun yang tumbang, tidak ada sekeping cermin kereta pun yang pecah.
Dan ramalan pihak polis bahawa rusuhan mungkin tercetus meleset sama sekali. Manakala pihak luar yang berhasrat untuk sabotaj pun barangkali tidak dapat menjalankan arahan tertentu kerana jumlah kehadiran yang ramai dan peserta demonstrasi ini amat berdisiplin. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya. Ia kenangan yang cukup manis.