Tuesday, November 06, 2007

Peguam, polis bertempur -- * 350 peguam ditahan * Indeks saham Pakistan jatuh


Polis antirusuhan bertempur dengan sekumpulan peguam yang membantah perisytiharan darurat oleh Presiden Pervez sewaktu tunjuk perasaan di luar Mahkamah Tinggi Lahore, semalam. – AFP.

ISLAMABAD 5 Nov. – Polis Pakistan yang bertempur dengan sekumpulan peguam di luar Mahkamah Tinggi di Karachi hari ini terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan belantan untuk menyuraikan mereka.

Lebih 350 peguam ditahan sementara pihak berkuasa meneruskan operasi menahan musuh politik Presiden Pervez Musharraf hari ini, walaupun tindakan itu dikecam oleh sekutu rapat Pakistan, Amerika Syarikat (AS).

“Kami tidak takut ditangkap dan kami akan meneruskan perjuangan walau apa pun yang berlaku,” kata seorang peguam, Abdul Hafeez sebelum ditolak masuk ke dalam sebuah kereta polis.

Persatuan Peguam Karachi berkata, Presidennya, Iftikhar Javed Qazi adalah antara mereka yang ditahan.

Penangkapan itu dilakukan selepas parti pembangkang utama berhaluan Islam, Jamaat-e-Islami melaporkan, pihak berkuasa menahan 600-700 penyokongnya di wilayah di selatan dan tengah negara ini malam tadi.

Pihak berkuasa telah pun menangkap 400-500 musuh politik dan peguam pembangkang sebagai langkah “pencegahan.”

Indeks saham Pakistan pula dilaporkan jatuh 4.3 peratus berikutan khabar angin kononnya Pervez diletakkan dalam tahanan di rumah oleh timbalan ketua tentera, Ashfaq Kityani.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice melahirkan rasa kecewa dengan Pervez dalam kenyataan yang jarang didengari daripada pegawai kanan AS sepertinya.

Washington sebelum ini sering memuji pemimpin Pakistan itu kerana sokongannya memerangi rangkaian Al-Qaeda yang didakwa sebagai dalang keganasan dunia.

“AS tidak pernah meletakkan seluruh harapannya pada Pervez,” kata Rice sambil menggesa Pakistan kembali kepada pemerintahan demokrasi dan memberi amaran bantuan AS kepada sekutunya itu perlu dikaji semula.

– Reuters

No comments: