Fri | Oct 19, 07 | 11:42:51 am MYT
Hari ini (19 Oktober 2007) genaplah setahun mendiang Altantuya Shaariibuu bersemadi meskipun disemadikan dengan hanya cebisan-cebisan anggotanya yang berkecai akibat ledakan C4.
Kejam sungguh pembunuhan mirip 'gangster' ini yang menjadi fokus lensa kamera pelbagai media dari dalam dan luar negara kerana ianya membabitkan orang kenamaan.
Namun perbicaraan kesnya belum lagi selesai, malah terpaksa beberapa kali ditangguhkan akibat pertukaran Timbalan Pendakwaraya dan peguam-peguam yang mengendalikan kes itu.
Kes ini sememangnya menjadi tumpuan seluruh mata tidak kira dalam dan luar negara memandangkan ianya pembunuhan kejam terhadap seorang wanita warga Mongolia.
Anwar Najib dan Altantuya
Apatah lagi pembunuhan Altantuya dikaitkan dengan nama-nama besar dalam negara ini termasuk Penganalisis Politik, Abdul Razak Baginda dan ada dakwaan menyatakan bossnya, Dato' Seri Najib Tun Razak terpalit dengan kes ini setelah skandal pembelian Kapal Selam didedahkan Mantan TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Razak, 46, dituduh bersubahat dengan Cif Insp Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006 di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Shah Alam.
Penganalisis politik itu dituduh melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi 18 Okt dan 9.45 malam 19 Okt, 2006 di pejabatnya di Bangunan Lembaga Getah Asli di Ampang.
Pertukaran beberapa kali posisi pendakwaraya dan peguam menyebabkan kes ini menjadi leboh rumit.Perbicaraan kes ini hanya dapat dimulakan sepenuhnya selepas Tun Majid Tun Hamzah dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya.
Minggu pertama perbicaraan kes Altantuya, seluruh lensa kamera tertumpu kepada kelibat peguam, dan kaum keluarga Altantuya serta Razak yang hadir bagi memberi sokongan kepada pihak masing-masing.
Kelibat isteri dan anak Razak, Mazlinda Mahkzan dan Roweena Abdul Razak juga menjadi tumpuan pada hari pertama dimana mereka masing-masing mengenakan baju yang tertera perkataan yang bermaksud hubungan mereka dengan Razak Baginda selain kata-kata sokongan kepada Razak.
Bagaikan pesta Razak diraikan seperti wira negara sementara dua lagi tertuduh iaitu, Azilah Hadri dan Sirul Azhar pula dikawal rapi dan tidak dibenarkan muka mereka dihadapkan di hadapan lensa kamera.
Perbicaraan turut dihadiri pemerhati politik, peguam-peguam terkemuka seperi Karpal Singh dan Konsulat Mongolia, Dato' Syed Abdul Rahman Alhabshee.
Keterangan saksi bercanggah
Begitupun terlalu banyak kontroversi berlaku ketika perbicaraan dijalankan dengan keterangan saksi mula dipertikaikan dan tidak konsisten.
Saksi pertama dalam kes ini, penyiasat persendirian, Bala Subramaniam sendiri dalama keterangannya beberapa kali tersilap dan bercanggah dengan keterangan asal dalam avidavit.
Beberapa minggu selepas itu, perbicaraan semakin hangat dengan saksi-saksi utama dipanggil memberi keterangan antaranya bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev; rakan dan saudara maranya, Uuriintuya Gal-Ochir dan Namiraa Gerelma serta saksi dikalangan polis dan teman wanita Azilah Hadri, Lans Koperal Rohaniza.
Paling menggemparkan bilamana saksi, Namiraa menyebut dalam keterangannya terdapbeliau pernah melihat gambar didakwa sebagai gambar Altantuya bersama Razak Baginda dan seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia yang disebut sebagai Najib Razak sedang makan bersama di sebuah restoran di Perancis.
Super impose Tian Chua gelabahkan Najib
Namun gambar itu gagal dikemukakan oleh Namiraa dan ianya menjadi hangat lagi selepas Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua melalui teknik super impose mengeposkan gambar dalam weblognya sejurus selepas Namiraa membuat keterangan berhubung gambar tersebut.
Kucar-kacir jadinya pentadbiran negara ketika itu.Paling menggelabah ketika itu ialah TPM, Najib Tun Razak yang terkesima dengan pendedahan itu.
Maka seluruh kekuatan polis digunakan untuk menjejaki Tian Chua, menggeledah rumah dan pejabat Tian Chua semata-mata untuk mencari bahan kes mengheret Ketua Penerangan KeADILan itu ke mahkamah.
Malangnya selepas satu siasatan menggemparkan ke atas Tian Chua dibuat, isu itu akhirnya senyap begitu sahaja memandangkan jika dihebahkan ianya pasti mengundang kemelut baru kepada TPM yang tidak tentu hala dibuatnya setelah dikaitkan dengan kes itu.
Mana tidaknya sebelum perbicaraan kes itu, sewaktu Pilihan Raya Kecil Dun Ijok, isu Altantuya menjadi bahan utama Anwar menghunus senjata politik kepada Najib untuk merimaskan punggung Najib itu.
Begitupun peranan media arus perdana cukup kental menangkis dakwaan Anwar ke atas Najib itu dengan serangan semula ke atas Anwar melalui klip video Anwar menari dan isu-isu membabitkan Anwar semasa menjadi TPM sebelum dipecat dari kerajaan.
Maka berkumandangkan lagu Ijok dan Altantuya serta Anwar dan Najib yang masing-masing dilagukan dengan nada-nada serangan antara satu sama lain.
Ijok, Najib dan Altantuya
Selepas pilihan raya Ijok, maruah Najib agak sedikit pulih kerana kemenangan calon BN, KR Parthiban mengalahkan orang kanan Anwar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Begitu pun suara-suara dakwaan ke atas Najib masih berkumandang dan tiba waktu perbicaraan kes Altantuya, sekali lagi nama Najib turut terheret dengan kes pembunuhan kejam itu.
Hingga saat ini, perbicaraan masih belum selesai dan keadilan ke atas mangsa pembunuhan serta keluarga masih belum dapat ditegakkan.
Entah bila agaknya kes ini akan selesai dan keputusan siapa pembunuh sebenar dan perancang pembunuhan akan dipastikan hanya tuhan sahaja yang tahu.
Sama-sama kita nantikan samada Razak, Azilah atau Sirul atau orang lain yang akan diputuskan bersalah dalam kes ini.Atau semua tertuduh akan bebas kerana kecelaruan dalam keterangan saksi.
Kepada keluarga mendiang Altantuya, bersabarlah hendaknya dan diharapkan kebenaran akan tertegak juga akhirnya.Kepada Najib dan Razak penulis ingin sekali bertanya khabar selepas semua yang berlaku dalam kes Altantuya terpalit ke atas mereka berdua.