Tuesday, October 09, 2007

Rafidah anggap remeh -- Isu Azalina tanding Ketua Wanita UMNO

Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Datuk Seri Rafidah Aziz menegaskan, sokongan terbuka UMNO Bahagian Cheras kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menentangnya dalam pemilihan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti akan datang adalah ‘perkara remeh’.

Rafidah yang memimpin Wanita UMNO sepanjang 19 tahun sejak 1984, dengan hanya terlepas kepimpinan pergerakan itu selama empat tahun kepada Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman antara 1996 dan 2000, enggan memberikan komen panjang lebar mengenai sokongan terhadap Azalina.

Katanya, beliau tidak berpeluang membaca laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini mengenai isu sokongan terhadap Azalina kerana sibuk bermesyuarat.

‘‘Saya tidak mahu komen. Isu itu terlalu remeh untuk diperkatakan. Saya tiada komen.

‘‘Saya pun tidak baca surat khabar lagi sebab bermesyuarat sehari suntuk di Putrajaya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini petang ini.

Rafidah berkata demikian ketika ditanya mengenai sokongan UMNO Bahagian Cheras yang disuarakan oleh Ketua UMNO bahagian itu, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee supaya Azalina dicalonkan bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Menurut Syed Ali, Azalina, 44, merupakan calon yang layak untuk menerajui dan membawa pembaharuan kepada sayap UMNO itu kerana menteri Kabinet yang mempunyai latar belakang bidang undang-undang itu adalah ‘seorang yang berpendirian serta berani dalam berpolitik’.

Azalina ketika mengulas sokongan tersebut semalam menyatakan keutamaannya pada masa ini adalah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Pemimpin yang masih bujang itu berkata, adalah terlalu awal untuk beliau memberi sebarang kenyataan mengenai soal pemilihan parti.

Rafidah, yang anak sulungnya kini telah pun berusia 41 tahun, menjadi Ketua Wanita UMNO pada tahun 1984 pada umur 41 tahun selepas mengalahkan Datin Paduka Zaleha Ismail (kini Tan Sri) dengan kelebihan 71 undi.

Pada pemilihan 1996, beliau yang pernah menjadi pensyarah ekonomi di Universiti Malaya tewas kepada Siti Zaharah ketika mempertahankan jawatannya, tetapi bangkit semula dalam politik UMNO dengan menumpaskan Siti Zaharah dalam pemilihan merebut jawatan itu pada 2000.

Rafidah menjadi Ahli Parlimen sejak tahun 1978, sepenggal sebagai wakil rakyat kawasan Selayang sebelum memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar selama enam penggal berturut-turut.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, beliau tidak pernah berubah dengan pendirian politiknya iaitu menyokong Rafidah sebagai ketua sayap UMNO itu.

‘‘Prinsip saya dalam perjuangan politik ialah saya tidak lawan ketua. Saya tetap menyokong Rafidah sebagai Ketua Wanita UMNO,’’ ujar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Apa yang paling penting, tegas Shahrizat, ialah Pergerakan Wanita UMNO yang mempunyai keahlian lebih satu juta itu perlu dipastikan berada dalam keadaan stabil dan berupaya menjalankan tugasnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

‘‘Pergerakan Wanita UMNO begitu stabil sekarang dan menumpukan 100 peratus perhatian kepada kerja-kerja pilihan raya.

‘‘Soal pemilihan parti tidak menjadi perhatian kami,’’ tambah Shahrizat.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang, Dr. Rozaidah Talib juga berada di belakang Rafidah.

“Adalah tidak manis bagi sesiapa menyatakan hasrat bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO sedangkan pemimpin sedia ada tidak memberi sebarang petanda mahu mengundurkan diri,” katanya.

Rozaidah yang merupakan Ahli Parlimen Ampang menyifatkan langkah UMNO Bahagian Cheras menyatakan sokongan terhadap Azalina seakan-akan mahu menyingkirkan Rafidah.

‘‘Cakap-cakap macam itu seolah-olah hendak singkirkan Ketua Wanita UMNO sedangkan beliau tidak memberi petanda mahu mengundurkan diri.

‘‘Kami tetap menyokong Rafidah. Kami masih menghormatinya dan mahukan pemimpin seperti beliau terus memimpin Wanita UMNO,’’ katanya.

Rozaidah menambah, dalam hal ini, beliau tidak menentang Azalina tetapi memikirkan mengenai pentingnya hierarki parti yang sedia ada dihormati.

Azalina ialah bekas Ketua Puteri UMNO yang bertanggungjawab menubuhkan Puteri UMNO pada tahun 2000 sebagai satu inovasi pendekatan bagi memberi peluang kepada wanita muda Melayu menyertai parti itu.

Beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Pengerang dalam pilihan raya umum 2004. Selepas pilihan raya itu, pada usia hanya 40 tahun, bintang politiknya menyinar apabila beliau terus dilantik menganggotai Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sungguhpun latar belakang Azalina itu memberikan tarikan kepada politik, Rozaidah berkata: ‘‘Mereka (pemimpin Wanita UMNO sekarang) masih ada di situ. Oleh yang demikian, perkara ini (menyuarakan perebutan jawatan) adalah sesuatu yang tidak manis.’’

Utusan difahamkan, Exco Wanita UMNO mengadakan pertemuan dengan Abdullah di Putrajaya hari ini.

'Beri tumpuan strategi pilihan raya'



MAKLUMAT TERKINI: Muhyiddin melancar web Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 anjuran Biro Pertanian Umno, di Wisma Tani, Putrajaya, semalam.

Ahli Umno diminta ketepi soal jawatan dalam parti

PUTRAJAYA: Kepemimpinan Umno bahagian dan negeri diingatkan supaya memberi tumpuan kepada persiapan dan strategi menghadapi pilihan raya umum, bukan pencalonan untuk pemilihan parti akan datang.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia selaras arahan Majlis Tertinggi dan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya semua ahli memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya umum.

"Soal jawatan dalam parti harus diketepikan...yang lebih utama iaitu pilihan raya adalah lebih penting kepada Umno," katanya pada selepas melancarkan laman web Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 anjuran Biro Pertanian Umno, di Wisma Tani, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas laporan akhbar semalam mengenai tindakan Umno bahagian Cheras menyatakan sokongan terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk dicalonkan sebagai Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al-Hasshee, berkata Azalina adalah calon paling layak menerajui dan membawa pembaharuan kepada sayap Umno itu.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beliau tetap menghormati pandangan Senator Datuk Syed Ali, selaku ketua Umno Cheras yang mencadangkan pencalonan Azalina .

Sehubungan itu, Muhyiddin, meminta ahli dan barisan kepemimpinan Umno menjadikan persiapan menghadapi pilihan raya umum sebagai hala tuju dan agenda utama perjuangan kerana pemilihan parti hanya diadakan selepas pilihan raya umum dan tidak memerlukan tumpuan utama pada masa ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Biro Pertanian Umno berharap penganjuran konvensyen dua hari mulai 27 Oktober akan membuka minda ahli parti mengenai sektor pertanian sebagai sumber ekonomi dan pembasmi kemiskinan di kalangan orang Melayu pada masa depan.

Katanya, konvensyen yang dijangka dihadiri 1,200 peserta anggota parti, ahli korporat serta akademik itu akan disempurnakan Perdana Menteri di Hotel Allson Klana, Negeri Sembilan pada 27 Oktober, manakala penutupnya oleh Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak sehari kemudian.

'Hentikan isu satu parti'

Oleh Amirullah Andi Nur

Pemimpin parti komponen BN sokong kenyataan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyokong kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa cadangan satu parti tidak praktikal serta boleh melemahkan pakatan yang menerajui negara sejak merdeka.

Mereka juga berpendapat kenyataan Abdullah yang juga Pengerusi BN bermakna isu itu tidak perlu dibangkitkan manakala semua pihak perlu menumpukan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan parti supaya relevan sepanjang masa.

Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang mencadangkan perkara itu pada persidangan tahunan pergerakan Sabtu lalu, berkata pihaknya menghormati pandangan Perdana Menteri.

Beliau berkata, pergerakan itu memahami bahawa cadangan berkenaan jika hendak dilaksanakan, akan membabitkan persetujuan semua pihak serta mengambil masa.

"Pemuda Gerakan mengucapkan terima kasih kepada semua pandangan dan kita akan membincangkan perkara ini secara mendalam pada mesyuarat ahli jawatankuasa.

"Pada masa sama, kami akan meneruskan usaha memastikan kemenangan BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pilihan raya akan datang," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada satu majlis di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin, Perdana Menteri berkata, cadangan satu parti tidak praktikal kerana boleh melemahkan BN yang menerajui tampuk pemerintahan sejak sekian lama.

Abdullah berkata, tiada sebarang keperluan mewujudkan gabungan seumpama itu pada masa ini memandangkan permuafakatan parti komponen dalam BN sekarang adalah baik dan ia perlu diteruskan.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata cadangan berkenaan tidak wajar dibangkitkan lagi berikutan kejayaan Malaysia selepas 50 tahun adalah hasil kesatuan erat antara parti komponen BN yang mewakili semua kaum.

�Kekuatan dan kerjasama mantap di kalangan parti komponen BN ini perlu dikekalkan sepanjang masa. Jika kita hendak mencuba sesuatu yang baru kita perlu melihat ke depan, bukannya ke belakang,� katanya.

Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat, berkata sekarang bukan masanya untuk parti komponen BN bergabung kerana pasti akan menimbulkan banyak kesulitan.

�Bayangkan jika ia membabitkan 14 parti komponen yang mempunyai struktur organisasi berbeza. Pada saya, apa yang penting kita mempertingkatkan permuafakatan di kalangan parti komponen.

�Hubungan mantap ini bukan saja pada peringkat atasan, tetapi semua peringkat terutama akar umbi,� katanya.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana boleh menyisihkan parti kecil serta kumpulan minoriti berikutan nisbah penduduk mengikut kaum memerlukan suara tersendiri bagi mengetengahkan sesuatu masalah.

�Jika bergabung parti tertentu hanya umpama sebutir kacang dalam sebelanga kari dan sukar memastikan kaum yang diwakili mendapat pembelaan sewajarnya. Sistem sedia ada tidak bermasalah dan saya rasa tidak ada sebab mengubahnya,� katanya.

Selain Umno, MCA, MIC dan Gerakan, 10 komponen BN lain adalah PPP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

ADUN Tanjung Lumpur dalam keadaan stabil

KUANTAN 8 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Dr. Nasharuddin Datuk Zainuddin yang sebelum ini dilaporkan kritikal berikutan kaki kirinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis, kini berada dalam keadaan stabil.

Dr. Nasharuddin, 43, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk pemantauan lanjut.

Beliau yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini telah dipindahkan ke SJMC pada Sabtu lepas apabila keadaannya menjadi semakin teruk.

‘‘Beliau tidak perlu lagi bergantung pada alat bantuan pernafasan sebelum ini,” kata sumber SJMC ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr. Nasharuddin yang baru penggal pertama memegang jawatan ADUN merupakan seorang doktor swasta dan memiliki sebuah klinik sendiri di Cenderawasih di sini.

Beliau berkahwin dengan Hazianah Nordin dan memiliki seorang cahaya mata, Muhammad Aiman Hakim, 7.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuantan, Datuk Fu Ah Kiow ketika dihubungi mengesahkan mengenai keadaan kesihatan Dr. Nasharuddin tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

“Saya rasa anda (wartawan) sepatutnya menghubungi keluarga beliau atau Menteri Besar, saya rasa kurang sesuai untuk memberikan sebarang komen pada masa ini,” katanya.

Tegur PM demi kebaikan

MUAR 8 Okt. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima teguran berhubung kerajaan di bawah pemerintahannya adalah satu sikap yang murni ditunjukkan pemimpin itu.

Menurut beliau, tindakan itu membuktikan Perdana Menteri seorang yang amat prihatin dalam tugasnya mentadbir negara ini apatah lagi masyarakatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang, budaya, kaum dan agama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, tindakan Abdullah itu sekali gus dapat mengelak sebarang tohmahan atau fitnah yang sering disuarakan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengannya dalam laman blog.

‘‘Kenyataan Perdana Menteri itu menunjukkan satu sikap beliau yang murni, dan beliau jelas terbuka dalam menerima segala bentuk komentar mengenai dirinya dan juga kerajaan di bawah pimpinannya.

‘‘Tindakannya itu juga bukanlah menunjukkan kita mempunyai banyak masalah, sebaliknya ia adalah cara yang betul untuk negara menuju ke arah Wawasan 2020 iaitu tidak boleh menerima kritikan atau pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan Hari Raya, Tadarus dan Khatam al-Quran dan berbuka puasa anjuran UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, dekat sini malam tadi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengulas kenyataan Perdana Menteri yang meminta semua pemimpin politik dan ahli Kabinet supaya memberitahu perkara sebenar kepadanya walaupun ia mungkin sesuatu yang sukar untuk diterima oleh beliau. Sehubungan itu, kata Muhyiddin, pandangan Perdana Menteri itu seharusnya dilihat dari sudut yang positif untuk mana-mana pihak meluahkan pandangan mereka terhadap kerajaan.

Katanya, mereka yang ingin berbuat demikian iaitu menyuarakan kebenaran perlulah menghormati ketelusan Perdana Menteri itu dengan meluahkannya dengan cara tertib, hormat, ikhlas serta mematuhi etika yang ditetapkan.

‘Tumpu pilihan raya’

PUTRAJAYA 8 Okt. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua ahli parti supaya menjadikan agenda menghadapi pilihan raya umum sebagai keutamaan berbanding kempen meraih sokongan untuk pemilihan parti.

Tegas beliau, Majlis Tertinggi (MT) parti juga sudah mengeluarkan arahan supaya tumpuan diberikan kepada pilihan raya dan bukannya berkaitan perebutan jawatan dalam parti.

“Sekarang ini kita tengah hangat berbincang tentang persiapan pilihan raya umum dan MT juga sudah keluarkan arahan, apa juga perkara atau topik sekarang ini berkisar pada pilihan raya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan terbuka UMNO Bahagian Cheras kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said untuk dicalonkan sebagai Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dipetik sebagai berkata, Azalina merupakan calon yang layak untuk menerajui dan membawa pembaharuan kepada sayap UMNO itu.

Menurutnya, Azalina seorang yang berpendirian dan berani dalam berpolitik dan perlu diberi peluang untuk memegang jawatan tersebut.

Muhyiddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagaimanapun berkata, pemimpin dan ahli-ahli parti berhak memberikan pandangan serta pendapat masing-masing dan ia tidak boleh disekat.

Dengan itu, katanya, pandangan Syed Ali itu tidak boleh dijadikan sebagai satu pertelingkahan kepada soal yang lebih utama iaitu persiapan dan strategi menghadapi pilihan raya.

“Saya fikir pada peringkat ini (persiapan pilihan raya) seharusnya menjadi keutamaan terutamanya kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengatakan ramai Melayu tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Itu lebih penting daripada nak tanding jawatan, saya tak katakan idea itu tak baik dan sebagainya, tapi yang penting ialah hala dan perhatian utama pada soal hadapi pilihan raya,” jelasnya.

Beliau menambah, pemilihan parti hanya akan berlangsung selepas pilihan raya umum dan oleh sebab itu, MT memutuskan pemilihan dilakukan pada tahun depan.

Menurut Muhyiddin, selepas melaksanakan tanggungjawab memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kelak, semua pihak tidak akan dihalang daripada membicarakan soal pemilihan dalam parti.

“Sekarang ini kena selesaikan pilihan raya dulu, pastikan memang dengan cemerlang lepas itu nak suarakan siapa nak bertanding, rebut jawatan itu ke, tidak ada halangan, tetapi pandangan Syed Ali itu kita hormati,” katanya.