Tuesday, November 06, 2007

Khidmat 360 ahli majlis PBT mungkin dilanjut

IPOH 5 Nov. – Kerajaan negeri bercadang melanjutkan tempoh perkhidmatan 360 ahli majlis di 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Chang Ko Youn berkata, usaha itu perlu kerana tempoh setahun sebagai ahli PBT boleh membantutkan rancangan mereka untuk melaksanakan program PBT terlibat.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Negeri (MMK) untuk dipertimbangkan.

‘‘Khidmat ahli PBT itu diperlukan kerana tempoh kesemua mereka akan berakhir 31 Disember tahun ini.

Berkhidmat

‘‘Saya mendapati mereka masih baru dan perkhidmatan mereka amat diperlukan untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Geran Keseimbangan PBT, di sini hari ini.

Ko Youn berkata, Kerajaan Pusat memperuntukkan sejumlah RM27 juta bantuan tersebut bagi membantu meringankan beban pembangunan dan pembayaran gaji kepada 15 PBT di negeri ini.

Katanya, bantuan tersebut meningkat berbanding RM17 juta tahun lalu kerana semua PBT terpaksa membayar kenaikan gaji dan kolar kepada kakitangan PBT.

‘‘Dalam tempoh Julai hingga Disember tahun ini sebanyak RM13 juta pembayaran gaji dan kolar kepada kakitangan PBT di negeri ini.

‘‘Peningkatan itu menyebabkan ada PBT tidak mampu dan memerlukan bantuan tersebut,” tambahnya.

Ko Youn menjelaskan, PBT merupakan kerajaan tempatan yang dekat dengan rakyat dan mereka perlu dibantu bagi membolehkan pembangunan diberikan kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap PBT mempercepatkan perkhidmatan termasuk kelulusan pengeluaran lesen dan pelan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Selain itu, mereka juga perlu mengurangkan kos penggunaan elektrik, air dan kertas.

Beliau berharap PBT meneruskan projek pembangunan bagi membolehkan ia dinikmati oleh rakyat.

No comments: