Monday, October 22, 2007

PM mahu parti komponen jangan tekan BN

Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) semalam sekali lagi diingatkan supaya tidak mengenakan tekanan ketika membuat sebarang tuntutan bagi menjamin keutuhan serta keharmonian gabungan itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata anggota komponen perlu sepakat dan sentiasa berbincang bagi menyelesaikan sesuatu isu tuntutan serta mengelak sebarang bentuk tekanan yang boleh menjurus kepada pertelagahan.

Beliau berkata, isu seperti pengagihan kerusi pada pilihan raya umum akan datang yang kini hangat diperkatakan sesetengah parti komponen BN, perlu dibincang secara baik bagi mengelak ia menimbulkan persepsi negatif.


"Kita bersaudara, sudah tentu boleh berpakat dan duduk berbincang. Orang tidak suka tengok saudara bertengkar sesama sendiri... tidak elok, nanti ada yang kata famili itu tidak stabil.

"Orang yang menentang dan membangkang kita tentu hendak lihat kita berpecah belah tetapi kita tidak mahu perkara itu berlaku dan jangan sampai orang lihat kita seperti tidak bersefahaman atau bersatu pendapat," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam. Hadir sama ialah Presiden PPP, Datuk M Kayveas.

PPP sebelum ini meminta supaya parti itu diperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri pada pilihan raya umum akan datang. PPP yang mempunyai 530,222 anggota, pernah memenangi empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum menyertai BN pada 1972.

Sebanyak 15 cadangan usul dibentangkan pada perhimpunan semalam, termasuk menyerap wakil PPP dalam sistem pentadbiran negeri dan negara, rancangan rumah milik sendiri untuk pekerja ladang, kawalan pekerja asing dan menghapuskan kadar faedah skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam ucapannya, Abdullah berkali-kali mengulangi perkataan muafakat dan kerjasama yang disifatkannya sebagai amat penting untuk menjamin keutuhan parti bagi membentuk sebuah kerajaan yang mengutamakan kemajuan rakyat serta negara.

Beliau berkata, adalah penting semua kepemimpinan BN untuk berusaha ke arah mencapai satu matlamat menerusi permuafakatan dan kerjasama serta mengelak daripada memberi tekanan kepada parti.

"Sebarang perancangan pembangunan yang dirangka kerajaan BN bukan sekadar gimik politik, sebaliknya ia hasil perbincangan rapi di semua peringkat termasuk Parlimen.

"Jika timbul sebarang masalah pelaksanaan, kita akan pastikan ia ditangani. Kita mahu pentadbiran berjalan sebaik-baiknya dan tiada birokrasi manakala sebarang halangan yang boleh melambatkan kerja atau pelaksanaan harus diketepikan," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang merangkumi wakil dari sektor awam dan swasta untuk berbincang dan mengemukakan cadangan bagi memperbaiki sistem penyampaian di semua peringkat.

Katanya, usaha memperbaiki sistem penyampaian yang dibuat secara menyeluruh tanpa mengira sama ada ia membabitkan kerajaan tempatan, jabatan, agensi kerajaan atau separa kerajaan perlu diteruskan.

"Kita mahu pastikan tiada yang boleh buat pilihan untuk tidur dan tidak mahu lagi bekerja, kerana semua mesti segar, sihat serta bersedia kerja selain berjuang untuk masa depan kita bersama," katanya.

Mengenai isu permintaan tambahan kerusi untuk wakil PPP dalam pilihan raya umum akan datang, Abdullah berkata, BN bersedia untuk menimbangkan perkara itu jika ia dibuat menerusi saluran yang betul.

"Tadi Kayveas ada cakap pasal pertambahan kerusi. Dia kata surat dah dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan BN dan kalau dah dihantar, kita akan timbangkan perkara itu kerana itulah cara kita," katanya.

BN jaga kepentingan semua kaum, agama

Oleh Norfatimah Ahmad


SEMANGAT BN: Abdullah bersama Kayveas (dua dari kiri) serta Ahli Majlis Tertinggi PPP mengangkat tangan selepas merasmikan perhimpunan agung parti itu

Pak Lah mahu semangat muafakat dipertahan untuk rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam menegaskan Barisan Nasional (BN) bukan parti untuk golongan tertentu saja, sebaliknya ia didokong anak watan yang mewakili semua kaum, golongan serta agama.

Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri berkata, parti itu berjaya membentuk kerajaan selama ini kerana ia ditunjangi wakil pelbagai kaum dan agama, bukannya orang tertentu atau yang mewakili kepentingan satu pihak saja.


"Saya tidak setuju sama sekali jika ada yang berpendapat BN untuk segolongan orang saja... itu salah. Jika itu yang menjadi pegangan kita, tentu BN sudah lama lingkup dan tiada lagi, malah tidak dapat bertahan walau untuk sekali pilihan raya pun.

"BN juga bukan parti untuk orang kaya dan kita tidak pernah kenakan syarat hanya orang kaya boleh jadi anggota BN atau parti komponennya. Kita tidak akan maju jika mengamalkan pendekatan begitu.

"Kita perlu sedar sebenarnya kerajaan BN hari ini dimajukan dan dijayakan oleh anak watan dari semua golongan," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam. Hadir sama Presiden PPP, Datuk M Kayveas.


Perdana Menteri berkata, jika BN berjuang untuk kepentingan satu kaum saja, tentu ia sudah lama lingkup kerana ditolak oleh rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Malah, katanya, selama ini BN berjaya membuktikan bahawa asas perkauman dan kedudukan kaum tertentu dalam masyarakat tidak seharusnya menjadi punca pergaduhan dalam sesebuah parti.

Abdullah berkata, langkah BN menempatkan wakilnya di semua peringkat sama ada di bandar atau luar bandar serta di kawasan yang didiami masyarakat berbilang kaum dan agama juga memberi manfaat untuk semua.

"Kita bukan hanya mewakili golongan tertentu tetapi rakyat Malaysia pelbagai kaum tanpa mengira miskin atau kaya dan itulah kekuatan BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, muafakat dalam BN adalah penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ia masih teguh dan kukuh untuk melaksanakan tugas penting kepada rakyat dan negara.

"Muafakat, satu hati dan bertindak berlandaskan matlamat yang sama inilah cara yang dapat memberi kekuatan kepada kita," katanya.

Tanpa merujuk parti politik khusus, Abdullah berkata, ada yang cuba 'meniru' cara BN tetapi gagal, manakala BN pula berjaya membuktikan tugas yang dijalankan dan kejayaan yang dicapai itu adalah untuk bangsa dan negara.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini, semua pihak perlu bersama meningkatkan lagi usaha untuk menangani sebarang kekurangan bagi memastikan budaya untuk mencapai kejayaan itu dikekalkan.

Mengenai cadangan menghapuskan kadar faedah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdullah berkata, beliau bersedia meneliti perkara itu jika ia membebankan keluarga dan pelajar terbabit.

"Jangan putar belitkan fakta mengenai caj perkhidmatan yang dikatakan sebagai kadar faedah... jika ia menyusahkan keluarga kita akan teliti perkara itu," katanya.

Ketika ini, kos pentadbiran empat peratus setahun dikenakan bagi tarikh bayaran balik pinjaman sehingga 31 Disember 2003. Mulai 1 Januari 2004, kos pentadbiran diturunkan tiga peratus setahun atas baki berkurangan.

Jangan buat tekanan – Abdullah

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD dan YULPISMAN ASLI

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak memberi tekanan dalam membuat tuntutan pertambahan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya tuntutan mengenainya perlu melalui saluran yang betul iaitu dengan menghantar permohonan rasmi kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan BN.

Katanya, sejak BN wujud, parti itu mengamalkan muafakat dalam semua perkara termasuk mengenai pengagihan kerusi kepada semua parti komponen.

“Tadi Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas ada cakap pasal pertambahan kerusi. Dia kata surat telah dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan BN dan saya kata kalau telah dihantar, kita akan timbangkan perkara itu.

“Itulah cara kita. Kita tidak perlu timbulkan sebarang tekanan untuk apa-apa pun tuntutan kerana kita semua bersaudara,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap permintaan Kayveas supaya semua negeri memperuntukkan satu kerusi kepada PPP pada pilihan raya umum akan datang.

PPP yang mempunyai keahlian seramai 530,000 orang sebelum ini telah diberikan satu kerusi Parlimen iaitu di Taiping (diwakili Kayveas) dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Berdamar, Teluk Intan pada pilihan raya umum 2004.

Abdullah yang juga Pengerusi BN mengakui sememangnya pihak luar khususnya parti pembangkang mahu melihat BN dalam keadaan berpecah-belah.

Justeru beliau mahu semua parti komponen mengelak daripada berkelahi sesama sendiri kerana ia memberi kesan yang tidak baik kepada kestabilan BN.

“Kita mesti bermuafakat dan bekerjasama. Rakyat sendiri tidak suka melihat kita berkelahi kecuali pihak-pihak yang sering menentang kita. Golongan ini mahu melihat kita berpecah belah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah menegaskan bahawa BN bukan parti untuk golongan tertentu sebaliknya ia merupakan parti bagi semua golongan tidak kira latar belakang, agama atau status.

“Siapa kata BN untuk orang kaya sahaja atau untuk golongan atau agama tertentu sahaja. BN adalah milik semua orang. Tertubuhnya BN adalah untuk membela nasib dan masa depan semua lapisan masyarakat tidak kira miskin atau kaya.

“Sekiranya inilah pegangan BN (parti untuk golongan tertentu) sudah pasti BN akan `lingkup’ dan akhirnya kita akan kalah dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Beliau berkata, sejak era Perikatan lagi, asas kekuatan BN ialah mendapat sokongan rakyat daripada pelbagai lapisan dan ia telah terbukti dalam setiap pilihan raya.

“Rakyat yakin dengan kekuatan yang ada pada BN dan oleh itu mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada BN kerana mereka tahu BN mampu memberi kemajuan kepada rakyat dan negara ini,” katanya.

Terus perjuangkan agenda perpaduan

SHAH ALAM 21 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perpaduan masih lagi menjadi satu agenda yang perlu terus diperjuangkan oleh setiap kaum agar semua rakyat dapat menikmati suasana yang sebenar-benarnya.

Menurut Perdana Menteri, usaha meningkatkan hubungan erat sesama kaum perlu diteruskan dan bukan setakat ditunjukkan ketika meraikan perayaan sesuatu kaum sahaja.

‘‘Ini (perpaduan berterusan) perlu agar tidak wujud lagi perkara-perkara yang boleh menimbulkan rasa sangsi, gelisah, kurang percaya serta banyak kesan negatif apabila hal berkaitan agama ditimbulkan.

‘‘Saya percaya perpaduan yang ada sekarang ini dapat ditingkatkan dan dibina untuk menjadikan ia lebih hebat dan kuat lagi pada masa akan datang,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Negeri Selangor anjuran Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Dalam pada itu, Abdullah menekankan perlunya kemesraan yang ditunjukkan semasa perayaan dilakukan dengan ikhlas.

‘‘Jadi pastikan apa yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri iaitu kesediaan untuk bermesra dan bermaaf-maafan bukan hanya pada Hari Raya saja.

‘‘Ia merupakan satu kerelaan yang ikhlas yang bukan seperti kata (Allahyarham Tan Sri) P. Ramlee, lain di bibir lain di hati. Kita mahu apa yang diucapkan dan dilakukan adalah sama juga di hati,” tambahnya.

Perdana Menteri memberitahu, setiap rakyat di negara ini dapat menyambut perayaan setiap kaum yang dijadikan satu acara nasional kerana wujudnya kemakmuran di negara ini.

‘‘Suasana seperti ini sangat istimewa dan saya harap ia akan kekal selama-lamanya.

‘‘Kita juga menghormati perayaan lain iaitu perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan merupakan satu masa atau ketika untuk kita bergaul dan melahirkan suasana baik dan mesra,” katanya.

Kira-kira 20,000 orang membanjiri stadium pada majlis sambutan itu yang turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Khadijah Ibrahim, Ramli Sarip, Alleycats, Awie dan Mawi.

Usah ambil pendekatan popular – Khairy

REMBAU 21 Okt. – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi ingatan kepada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengambil pendekatan popular sebaliknya berpolitik secara matang dan bertanggungjawab.

Katanya, jika mereka mempunyai pendapat tertentu seperti mahukan lebih banyak kerusi pada pilihan raya, ia perlu dibuat melalui saluran dalaman parti.

Menurut beliau, pendapat sedemikian tidak wajar diutarakan secara terbuka melalui pentas perhimpunan agung parti kerana ia merupakan tindakan mencari populariti dan amat mudah dilakukan.

“Saya langsung tidak bersetuju dengan parti komponen yang buat tuntutan seperti Parti Progresif Penduduk (PPP). Saya nasihatkan, kalau ada pendapat daripada Pemuda PPP yang ingin lebih banyak kerusi, ia boleh dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN atau mesyuarat Exco Pemuda BN.

“Bukan diutarakan dalam suasana perhimpunan agung yang kita semua tahu suasananya mencari populariti, dia mahu lontar idea-idea yang dapat sambutan dari bawah... memang senang dan kita pun (Pemuda UMNO) boleh buat, ramai orang suka dan akan sambut, tetapi kita sebagai pemimpin perlu matang dan jangan main sentimen tanpa tanggungjawab,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pemuda UMNO Bahagian Rembau dan UMNO Cawangan Kampung Gadong di sini hari ini.

Kayveas nafi mengada-ada

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, beliau sedar ada pihak yang melabelnya sebagai mengada-ada dan suka mencari publisiti murahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau juga sedar ada pihak yang menuduhnya dan PPP sebagai ‘pengacau’ di dalam Barisan Nasional (BN).

‘‘Sedangkan suara saya itu mewakili semua peringkat ahli PPP yang seramai 530,222 orang,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung PPP Ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada perhimpunan itu, PPP memberi gelaran ‘Bapa Pembangunan Angkasa Lepas Malaysia’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas komitmen beliau menempatkan negara dalam teknologi penerokaan angkasa lepas.

Hukum mati perogol kanak-kanak

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Parti Progresif Penduduk (PPP) mahu kerajaan meminda akta sedia ada bagi memasukkan peruntukan hukuman mati terhadap perogol kanak-kanak.

Cadangan itu terkandung dalam usul yang dikemukakan pergerakan Puteri PPP dan diluluskan pada perhimpunan agung parti itu di sini hari ini.

Anggota Puteri PPP bahagian Klang, M. Punitha semasa membentangkan usul itu berkata, saranan hukuman gantung itu dibuat berikutan peningkatan kes rogol termasuk kes mangsa penderaan seksual dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, yang menggemparkan negara baru-baru ini.

Beliau berkata hukuman rogol sedia ada mengikut Kanun Keseksaaan iaitu penjara maksimum 20 tahun dan hukuman sebat adalah tidak mencukupi dan masih tidak menakutkan penjenayah.

Beliau turut mengusulkan supaya sebatan 20 kali dikenakan di khalayak ramai kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah rogol.

UMNO tumpu perjuangan 50 tahun akan datang

Oleh: WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan lebih bertumpu kepada hala tuju perjuangan parti 50 tahun akan datang setelah mengecapi kejayaan besar pada setengah abad pertama kemerdekaan negara.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata, perhimpunan tahun ini dianggap bersejarah kerana akan menjadi rujukan kejayaan masa lampau dengan usaha parti untuk mengekalkannya.

“Kali ini semua hasil kebanggaan negara akan dinilai selain meningkatkan semangat keharmonian pelbagai kaum yang kita amalkan selama ini.

“Segala kekurangan perlu ditampung malah kita akan tutup semua kelemahan yang mungkin ada dengan pelbagai rancangan untuk kemajuan negara,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan diadakan pada 5 hingga 9 November ini.

Tambah beliau, beberapa usul mengenai kejayaan negara akan dibentangkan sebagai bukti kedudukan Malaysia yang berada lebih ke depan berbanding negara jiran lain.

“Setiap usul perwakilan nanti perlu menonjolkan apa juga kelebihan sekaligus dapat menutup mulut negara lain yang selama ini memperkecilkan kemampuan kita.

Ketika ditanya tentang keistimewaan perhimpunan agung kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, Muhammad memberitahu, ia lebih bertumpu ke arah kehidupan di negara maju.

“Kita menuju ke arah satu fasa baru negara. Perhimpunan Agung UMNO nanti akan lebih menjurus ke arah kehidupan dan persediaan menjadi sebuah negara maju,” jelasnya.

Konsep Islam Hadhari ke Rusia

KUALA TERENGGANU 21 Okt. – Konsep Islam Hadhari yang menekankan pendekatan ajaran Islam bagi mengeluarkan ummah daripada kemunduran akan diperkenalkan di Rusia pada tahun depan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, pihaknya dalam proses menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Yayasan Sains dan Kebudayaan Islam Rusia bagi melaksanakan tujuan itu.

‘‘Usaha ini dicapai selepas kerajaan Rusia mahu Islam disebarkan di kalangan penduduknya mengikut cara diamalkan di Malaysia.

‘‘Kerajaan Rusia tertarik dengan pendekatan Islam Hadhari yang membawa umatnya keluar daripada kemunduran,” katanya selepas majlis perasmian Multaqa Al-Wiaz (Persidangan Agamawan) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Mohd. Nakhaie, kerajaan Rusia tertarik dengan Islam yang diamalkan secara toleransi di negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

Beliau menambah, sebagai permulaan usaha itu, kedua-dua negara akan mengadakan pertukaran ulama dan ahli akademik.

UMNO Terengganu buat laporan polis terhadap Mustafa Ali

KUALA TERENGGANU 21 Okt. – UMNO Terengganu hari ini membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali kerana didakwa melemparkan fitnah terhadap parti itu berhubung insiden rusuhan di Jalan Sultan Mahmud di sini, 8 September lalu.

Laporan dibuat oleh Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Rosol Wahid di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, pukul 2.30 petang ini.

Mereka diiringi kira-kira 50 orang penyokong UMNO yang memenuhi pekarangan balai polis itu dalam suasana aman.

Pada sidang akhbar selepas itu, Tengku Putera berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas pemimpin Pas itu yang terus melemparkan pelbagai fitnah terhadap UMNO berhubung insiden berkenaan.

“Pas banyak berbohong termasuk di masjid mengenai insiden rusuhan itu dengan berniat jahat mengelirukan rakyat termasuk menuduh UMNO kononnya merancang rusuhan itu.

“Kami telah berbincang dengan peguam parti mengenai tindakan yang bakal diambil kerana kita mahu Pas segera menghentikan pembohongan mereka mengenai insiden rusuhan itu,” katanya.

Dalam kejadian 8 September lalu, kira-kira 750 orang dipercayai penyokong pembangkang bertindak liar apabila diarah bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud di sini.

Ekoran kejadian itu, polis telah mengeluarkan gambar 46 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mustafa pada sidang media di ibu negara mendakwa kononnya rusuhan tersebut dirancang UMNO dan kenyataan itu telah disebarkan melalui risalah dan penerbitan Pas.

Mengulas lanjut, Tengku Putera yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pihaknya kesal apabila Pas bukan saja sanggup berbohong melalui risalah yang disebarkan tetapi juga menggunakan masjid bagi melakukan pembohongan.

“Walaupun kita mengadakan penerangan, UMNO tidak terlalu agresif sepanjang Ramadan lalu kerana kita menghormati bulan yang mulia tetapi sekarang, kita akan menggerakkan jentera penerangan parti.

“Kita bukan saja akan memberi penerangan tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas pemimpin Pas yang gemar melemparkan fitnah,” ujarnya.

Khairy tegur PPP cuba cetus sentimen

REMBAU: Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin mengingatkan pemimpin Parti Progresif Penduduk (PPP) supaya berdisiplin dan tidak menggunakan forum terbuka untuk mencari populariti dengan memainkan isu yang dilihat memperlekehkan parti komponen lain serta BN.

"Saya rasa dalam suasana kita nak hadapi pilihan raya, amat penting setiap parti komponen mengamalkan disiplin dalam BN... disiplin bermakna kita jangan tuntut sesuatu yang keterlaluan," katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno itu juga tidak bersetuju dengan parti komponen yang membuat tuntutan secara terbuka seperti PPP kerana ia sebenarnya boleh dibawa ke mesyuarat Exco Pemuda atau Dewan Tertinggi BN.


"PPP nampaknya seolah-olah ingin bergaduh dengan parti komponen lain. Kita ada saluran... jangan perang mulut dalam surat khabar atau perhimpunan agung kerana ia tak akan bawa kebaikan kepada BN," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pemuda Umno Bahagian Rembau dan Umno Cawangan Kampung Gadong, di Balai Raya Kampung Gadong, dekat sini semalam.

Kelmarin, Ketua Pemuda PPP, T Murugiah, ketika berucap pada Konvensyen Pemuda parti itu di Kuala Lumpur mendakwa BN tidak menjadi sahabat yang baik dan setia kepada PPP yang membuat pengorbanan besar demi perpaduan dan kepentingan negara ketika menyertai BN pada 1972.

Murugiah mendakwa, PPP kini dianaktirikan dan semakin dilupai dan menyifatkan BN tidak jujur kerana enggan menunaikan janji dan memenuhi permintaan parti itu yang membabitkan pembahagian beberapa kerusi pilihan raya yang kini diambil oleh parti komponen lain.


Khairy berkata, beliau menghormati PPP sebagai komponen BN, tetapi parti itu perlu melihat realiti kekuatannya pada masa kini serta cara mengetengahkan parti berkenaan.

"Bukan kita lupa sejarah, tapi kita kena ikut perkembangan baru dan terkini... kena tengok pengaruh parti itu sendiri yang akan beri kesan secara langsung dalam proses pengagihan kerusi," katanya.

Beliau berkata pengagihan kerusi pilihan raya adalah keputusan permuafakatan pada peringkat pemimpin atasan, di antara Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri dan pemimpin parti komponen, bukan untuk komponen membuat tuntutan.

"Saya rasa PPP harus bersyukur dan berterima kasih kepada Pengerusi BN kerana pada pilihan raya lalu, pemimpin mereka diberikan kerusi Parlimen. Itu adalah pengiktirafan bahawa pengaruh PPP sedang berkembang sebagai parti politik... jangan cuba berlari atau jalan sebelum merangkak.

"PPP kini masih dalam proses bina semula... jangan ingat kita boleh kembali ke era kegemilangan PPP zaman 1960-an atau 1970-an ketika mereka sedang kuasai begitu banyak kerusi Parlimen dan DUN di beberapa negeri," katany

'Guna saluran sesuai buat tuntutan'

KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) meminta Parti Progresif Penduduk (PPP) tidak buat kenyataan terbuka dalam membuat tuntutan untuk kepentingan parti itu, sebaliknya menggunakan saluran sesuai bagi mengelak salah tanggapan dan ketegangan.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap tuduhan PPP mengenai kesetiaan dalam BN dan tuntutan calon pilihan raya secara terbuka sebagai tidak bijak kerana seolah-olah menunjukkan hubungan parti komponen BN sedang bergolak.

"Perbalahan kecil dan remeh seperti ini adalah perkara terakhir dikehendaki ketika BN menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa saja dari sekarang. Kita tidak mahu, rakyat menganggap BN sudah berpecah-belah.


"Kayveas (Presiden PPP) seharusnya tahu perkara ini dan berusaha mengelakkannya. Dia seharusnya menerima apa yang diberikan dan jika tidak berpuas hati, boleh berbincang dengan Pengerusi BN," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohd Razak di sini semalam.

Beliau berkata, PPP usah bermain api dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia akan mengundang reaksi kurang senang daripada ahli komponen BN dan akhirnya PPP sendiri akan rugi jika perkara itu berlarutan.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menasihatkan PPP menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada pucuk pimpinan BN dan bukan membincangkan secara terbuka.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata Umno memberi jaminan setiakawan dalam BN adalah agenda penting yang menjadi keutamaan dan tiada pihak yang patut mempersoalkannya.

Exco Pemuda Umno yang juga Pengerusi Biro Latihannya, Mohd Jais Sarday, berkata Pemuda PPP tidak sewajarnya membuat ucapan mirip ugutan kepada pemimpin BN.

Dr. Mahathir dibenar keluar IJN

Oleh: FAIZAH IZZANI ZAKARIA


DR. Mahathir Mohamad melambaikan tangan kepada orang ramai ketika berjalan meninggalkan Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, semalam. – Bernama.

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, tujuh minggu menjalani pembedahan pintasan jantung.

Bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke IJN pada 2 September lalu, berjalan meninggalkan wadnya pada pukul 10.25 pagi dengan ditemani isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, anak-anak dan ahli keluarga yang lain serta beberapa doktor.

Dr. Mahathir yang memakai kemeja berwarna merah dan berseluar hitam, berjalan menuju ke kenderaan sambil melambai-lambai tangan kepada orang ramai yang berada di situ.

Beliau pulang ke kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini.

Sementara itu, IJN dalam kenyataannya berkata, para doktor yang merawat Dr. Mahathir berpuas hati dengan perkembangan kesihatan negarawan itu selepas menjalani pembedahan dan membenarkan beliau pulang hari ini.

Menurut kenyataan itu, Dr. Mahathir dijadual meneruskan latihan fisioterapi di rumahnya dan akan menjalani pemeriksaan berkala di IJN sepanjang proses pemulihannya.

Sementara itu, anak sulung beliau, Datin Paduka Marina berkata, Dr. Mahathir amat bersemangat untuk pulang ke rumah dan mahu melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas benar-benar sihat.

‘‘Beliau (Dr. Mahathir) sungguh gembira kerana dibenarkan pulang dan hanya mahu berehat sepenuhnya.

‘‘Hari ini genap 50 hari beliau dirawat di IJN. Beliau dan seluruh keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan IJN yang merawatnya selama berada di IJN,” katanya ketika ditemui di lobi institut itu.

Menurut Marina, apa yang paling penting sekarang ialah memberikan Dr. Mahathir rehat yang secukupnya untuk membolehkannya sembuh 100 peratus.

‘‘Kalau mahu menerima lawatan mungkin kita kena kawal sikit dalam masa beberapa bulan ini,’’ katanya.

Marina yang hampir menitiskan air mata kegembiraan, turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatan bapanya itu sepanjang menerima rawatan di IJN.

‘‘Kami sekeluarga amat terharu kerana ramai yang tidak putus-putus mengirimkan kad, e-mel dan surat menyatakan doa mereka kepada beliau... terima kasih,’’ katanya.

Marina berkata, keluarganya akan mengadakan kenduri doa selamat namun masih belum menetapkan tarikhnya.

Dua orang jururawat dari IJN juga kini ditugaskan untuk memantau keadaan kesihatan Dr. Mahathir di kediamannya untuk beberapa hari akan datang.

Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN pada 2 September lalu bagi menjalani pembedahan pintasan jantung.

Sementara itu, dalam blog www.rantingsbymm.blogspot.com, Marina berkata, Dr. Mahathir dan isteri disambut meriah oleh ahli keluarga sebaik tiba di kediamannya yang ceria dihiasi dengan kain rentang mengucapkan selamat pulang serta belon-belon.

“Makanan seperti pulut kuning, ketupat, nasi himpit, rendang dan serunding telah tersedia dihidangkan dan kami sekeluarga terasa seperti menyambut Hari Raya semula,” katanya.

Marina berkata, bapanya kemudian naik ke atas rumah dan menonton televisyen untuk seketika selepas itu.

Dr Mahathir keluar IJN

Oleh Mohamed Farid Noh


KEMBALI CERIA: Dr Mahathir melambai kepada orang ramai sambil ditemani Mokhzani dan pegawai perubatan selepas keluar dari IJN semalam.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pagi semalam, genap tujuh minggu atau 49 hari selepas dimasukkan ke institut itu pada 2 September lalu untuk pembedahan kali kedua pintasan jantung yang berlangsung dua hari kemudian.

Dr Mahathir yang berkemeja merah berjalan sendiri meninggalkan wadnya jam 10.20 pagi, diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, enam anaknya dan beberapa doktor ke kereta, kelihatan ceria dan melambai kepada orang ramai yang berada di IJN.

Antara anaknya yang hadir ialah Datuk Mukhriz, Datuk Mokhzani dan Datin Paduka Marina.


Marina ketika ditemui berkata, keluarganya bersyukur kerana Dr Mahathir dibenarkan pulang ke rumah selepas kesihatannya semakin baik.

"Ada masanya kami pernah terfikir yang kami tidak akan berpeluang melihat beliau dibawa pulang. Melihat ayah berjalan sendiri untuk pulang adalah saat yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Perkara pertama yang akan dilakukan bersama ayah ialah kembali menjalani hidup seperti biasa dan meminta beliau berehat sepuas-puasnya di rumah," katanya.

Ketua Pembedahan Kardiotorasik IJN, Tan Sri Dr Yahya Awang, berkata dua jururawat IJN akan dihantar ke rumah Dr Mahathir selama beberapa hari untuk memantau kesihatannya 24 jam.

"Walaupun Tun dibenarkan pulang, beliau akan kembali untuk rawatan susulan seminggu sekali di IJN selama beberapa minggu. Kami jangkakan kesihatan Tun kembali seperti biasa selepas ini dan beliau boleh melakukan perkara yang biasa dilakukannya sebelum ini," katanya.