Saturday, May 30, 2009
POLITIK : AHAD 31 MEI 2009
KUALA LUMPUR 29 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat hariini menetapkan 13 hingga 16 Oktober depan sebagai tarikh berlangsungnyaPerhimpunan Agung UMNO 2009.
Mustapa pengarah pilihan raya Manek Urai
KUALALUMPUR 29 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO melantik Pengerusi BadanPerhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed sebagai PengarahPilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.
UMNO Pulau Pinang sifatkan PKR hanya pandai bercakap
PULAUPINANG 29 Mei - UMNO Pulau Pinang menyifatkan Parti Keadilan Rakyat(PKR) dan rakan sekutunya hanya pandai bercakap 'berapi-api' tetapitidak tahu membawa pembangunan kepada rakyat.
Gantung jawatan jika didakwa
KUALALUMPUR: Berkuat kuasa serta-merta, pemimpin Umno di semua peringkatyang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik akandigantung semua jawatannya dalam parti.
Tidak digantung jawatan UMNO
KUALA LUMPUR 30 Mei - Pemimpin atau ahli UMNO yang dihadapkan keLembaga Disiplin atas dakwaan melanggar kod etika parti tidak akandigantung jawatan sementara menunggu kes tersebut diputuskan.
Kayveas kekal Presiden PPP
KUALALUMPUR 30 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M.Kayveas mengekalkan jawatan yang disandang sejak 1993 untuk penggalkeempat berturut-turut apabila menang tanpa bertanding pada pencalonanrasmi parti hari ini.
Murugiah pengerusikan mesyuarat MT PPP
KUALALUMPUR 30 Mei - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, SenatorDatuk T. Murugiah hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi(MT) Parti Progresif Penduduk (PPP) yang pertama setelah dilantikmenjadi 'Presiden' parti dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 24Mei lalu.
Sothinathan tanding Timbalan Presiden
PORTDICKSON 30 Mei - Bekas Ahli Parlimen Teluk Kemang dan Naib PresidenMIC, Datuk S. Sothinathan ( gambar ), 49, hari ini menawarkan diriuntuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti berkenaan Septemberdepan.
Tindakan Cheng Guan salah
PASIRMAS 30 Mei - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyifatkantindakan Naib Presidennya, Huan Cheng Guan yang mengambil keputusankeluar daripada parti itu semalam atas alasan tidak sependapat dalamparti adalah 'salah' dan terlalu drastik.
Kenyataan tidak adil - Hock Nan
PULAUPINANG 30 Mei - Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nanmenghormati keputusan Naib Presiden parti, Huan Cheng Guan yang mahukeluar parti namun menyifatkan beberapa kenyataan beliau sebagai tidakadil.
Pinda perlembagaan UMNO
Oleh HATA WAHARI,
HERMAN HAMID,
SAIFUL HAIZAN HASAM
dan ARSHAD KHAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat hari ini menetapkan 13 hingga 16 Oktober depan sebagai tarikh berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2009.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk perhimpunan tahun ini, ia akan dimulakan dengan Mesyuarat Agung Khas yang bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.
Menurutnya, draf cadangan untuk pindaan berkenaan sudah hampir siap dan ia akan diedarkan kepada badan perhubungan negeri tidak lama lagi bagi mendapatkan maklum balas dan ulasan mereka.
‘‘Selepas itu, MT akan membuat ketetapan tentang peruntukan yang akan dipinda dan seterusnya membentangkannya dalam Mesyuarat Agung Khas. Selepas selesai, maka mesyuarat akan kembali kepada perhimpunan agung seperti biasa.
‘‘Diputuskan juga hanya satu usul sahaja akan dibincang iaitu usul penghargaan kepada ucapan Presiden dan di bawah usul ini semua orang boleh bawa apa juga perkara yang hendak dibawa nanti,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat MT di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Najib berkata, MT juga bersetuju supaya jawatan seseorang pemimpin yang didakwa di mahkamah digantung sehingga proses perbicaraan selesai dan jika didapati tidak bersalah maka jawatannya akan dikembalikan.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat MT hari ini setelah menerima syor daripada Jawatankuasa Pengurusan.
‘‘Kita dari segi prinsipnya bersetuju atas syor itu bahawa seseorang yang dikenakan tuduhan di mahkamah, jawatan dia akan digantung.
‘‘Sekiranya dia berjaya dalam proses mahkamah maka dia akan dapat semula jawatannya, itu secara prinsipnya,’’ jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut mengumumkan yang MT bersetuju atas cadangan supaya ahli Lembaga Disiplin UMNO yang merangkumi panel penyiasatan, tribunal dan rayuan ditambah.
Sehubungan itu katanya, lima pelantikan baru dibuat yang terdiri daripada bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ismail Saidin, peguam Datuk Zuraidah Atan; bekas Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wahab Wahid dan dua bekas pegawai polis iaitu Nordin Saidin dan Mohamad Zin Ismail.
Najib pada sidang akhbar berkenaan turut mengumumkan yang Mesyuarat MT hari ini turut mengesahkan dan menerima secara rasmi kemasukan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad; isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan anaknya, Datuk Mokhzani ke dalam parti itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahukan ahli UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti tidak keluar mengundi, Najib berkata;
‘‘Kita menjauhkan diri dengan pilihan raya kecil berkenaan. Keputusan UMNO, kita tidak terlibat dengannya.
‘‘Apa sahaja tindakan yang diambil ia adalah di peringkat individu. Parti tidak mengambil apa-apa pendirian. Kita tidak terlibat sama sekali,’’ .
Katanya, sebarang saranan ataupun gesaan yang dibuat oleh ahli-ahli UMNO mengenai Pilihan Raya DUN Penanti, ia adalah pandangan peribadi.
Perhimpunan khas UMNO bincang pindaan
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Khas Umno akan diadakan pada 13 hingga 16 Oktober depan bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti untuk memastikan sistem pemilihan lebih telus, terbuka dan memberi peluang kepada ahli memilih pemimpin.
Majlis Tertinggi (MT) menetapkan tarikh itu semalam bagi membolehkan pindaan perlembagaan dapat dilakukan serta memberi mandat kepada lebih ramai ahli memilih kepimpinan tertinggi yang dibuat secara serentak di 191 bahagian berbanding dipilih perwakilan perhimpunan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, draf cadangan berhubung pindaan berkenaan sudah hampir siap dan akan diedarkan kepada perhubungan Umno negeri bagi mendapat pandangan mereka.
"MT akan membuat ketetapan mengenai peruntukan yang akan dipinda dan seterusnya akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas.
"Selepas perhimpunan khas itu selesai, ia akan dibawa kembali kepada Perhimpunan Agung Umno seperti biasa," kata Najib yang juga Presiden Umno pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Sebelum ini, kepemimpinan dipilih kira-kira 2,000 perwakilan sedangkan Umno dianggotai lebih tiga juta ahli.
Mesyuarat MT pada 24 April lalu bersetuju untuk meminda perlembagaan parti terhadap kaedah dan proses pemilihan parti supaya lebih telus, terbuka dan demokratik.
MT juga menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengendalikan cadangan berhubung pindaan dan perubahan ke atas perlembagaan itu, serta membawa cadangan itu kepada pertimbangan semula sebelum dikemukakan dalam perhimpunan agung khas.
Najib berkata mesyuarat MT juga bersetuju hanya satu usul saja yang akan dibincangkan pada perhimpunan agung depan iaitu ucapan usul penghargaan kepada ucapan Presiden.
"Di bawah usul ini nanti, perwakilan boleh membawa apa juga perkara yang ingin dibawa," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, MT juga mengesahkan menerima kemasukan semula bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta anak lelakinya, Datuk Mokhzani.
SPRM ambil masa kaji laporan audit PKFZ
Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
LEE menyerahkan laporan audit mengenai PKFZ kepada Haryazi di Ibu Pejabat SPRM, semalam. |
Masih terlalu awal menentukan bentuk tindakan: Shukri
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan masa untuk mengkaji laporan audit mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang diserahkan semalam sebelum menentukan tindakan lanjut.
Pengarah Siasatannya, Datuk Shukri Abdull, berkata masih terlalu awal untuk menentukan bentuk tindakan kerana laporan berkenaan baru diserahkan semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid, berkata pihaknya dijangka memulakan siasatan bulan depan.
Katanya, beliau menerima salinan laporan audit tengah hari semalam dan mengarahkan jawatankuasa berkenaan menulis kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk mendapatkan laporan rasmi untuk tindakan lanjut.
"Kita akan adakan mesyuarat Jun ini dan memanggil semua pihak terbabit termasuk yang disebut dalam laporan berkenaan untuk membantu siasatan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk menentukan tindakan kerana laporan baru dikeluarkan dan memerlukan kajian terperinci.
Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng semalam menyerahkan salinan laporan audit mengenai PKFZ kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Salinan laporan audit Pricewaterhouse Coopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) itu diserahkan kepada Pegawai Cawangan Pengurusan Maklumat, Bahagian Pendaftaran Rahsia SPRM, Haryazi Baharom di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini.
LPK melantik PwC untuk menyediakan laporan audit itu bagi mengkaji kedudukan PKFZ, termasuk aspek kos perbelanjaannya.
"Pada masa ini kita tidak boleh membuat sebarang andaian sama ada wujud penyalahgunaan kuasa, sebaliknya perlu menunggu hasil siasatan SPRM dan PAC," katanya.
Lee yang tiba di ibu pejabat SPRM jam 8 pagi turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed sebelum meninggalkan pejabat itu jam 9.10 pagi.
Dalam pertemuan dengan Abu Kassim itu, beliau memberi jaminan LPK dan firma audit, PwC akan bekerjasama dengan SPRM sepanjang siasatan dijalankan.
"Saya juga sudah mengarahkan semua kakitangan LPK memberi kerjasama penuh kepada SPRM," katanya.
Kelmarin, Lee berkata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, mengarahkan beliau mengemukakan laporan audit itu kepada SPRM dan PAC. Laporan itu kini disiarkan di laman web www.pka-report.com selama dua minggu mulai semalam.
Laporan audit PKFZ diserah pada SPRM
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD RAHIM
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 29 Mei - Pengerusi Pihak berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Datuk Lee Hwa Beng hari ini menyerahkan laporan audit projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan.
Menurutnya, laporan audit itu juga akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) seperti yang diarahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam.
''PKA tidak ada kuasa untuk menjalankan siasatan, jadi kami serahkan kepada SPRM dan PAC.
''PKA akan bekerjasama rapat dengan SPRM sepanjang siasatan dijalankan. Selepas ini saya akan serahkan pula laporan kepada Pengerusi PAC, Tan Sri Azmi Khalid tetapi masanya belum ditentukan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan laporan itu yang diterima oleh Pegawai Pengurusan Maklumat, Bahagian Pendaftaran Rahsia, SPRM, Haryazi Baharom di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Beliau sebelum itu bertemu TimbalanKetua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed kira-kira 10 minit bagi memberikan beberapa penjelasan.
Hub perkapalan PKFZ seluas 405 hektar yang meliputi gudang, bangunan pejabat dan hotel bertaraf empat bintang menimbulkan kontroversi berhubung kos pembangunan tersebut meningkat daripada kos asal yang diluluskan kerajaan.
Hwa Beng berkata, beliau telah menyatakan kesediaan PKA untuk bekerjasama dengan SPRM dengan mendedahkan segala dokumen termasuk perkhidmatan PriceWaterhouseCoopers (PwC) dalam menjalankan audit supaya mereka turut memberikan kerjasama.
Mengenai arahan Tee Keat supaya merujuk kepada penasihat profesional bagi menstruktur semula tanggungjawab kewangan PKA terhadap PKFZ, beliau memberitahu, PKA akan mengumpulkan kumpulan profesional untuk melihat semua dokumen perjanjian.
''Kumpulan profesional ini terdiri daripada peguam dan akauntan yang akan dilantik daripada pihak luar," katanya.
Mengulas lanjut, Hwa Beng bagaimanapun berkata, PKA tidak bercadang mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang disenaraikan dalam laporan itu sebelum siasatan SPRM selesai.
''Kita perlu menunggu keputusan dan tindakan daripada SPRM terlebih dahulu jika terdapat staf kami terlibat dalam salah laku tersebut," katanya.
Muhyiddin penyelia pilihan raya kecil DUN Manek Urai
Oleh Norfatimah Ahmad, Anwar Hussin dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my
Mustapa bertanggungjawab terhadap operasi jentera BN
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai penyelia yang akan menyelaraskan persiapan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan, 14 Julai ini.
Pada masa sama, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed akan melaksanakan tugas sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN berkenaan.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata Muhyiddin akan menyelia secara keseluruhan pilihan raya kecil Manek Urai, manakala Mustapa bertanggungjawab terhadap operasi serta keputusan harian sepanjang pilihan raya berkenaan.
"Mesyuarat MT juga membincangkan persiapan yang perlu diambil untuk menghadapi pilihan raya kecil berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di sini, semalam.
Kerusi DUN Manek Urai kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga wakil Pas, Ismail Yaacob, 60 akibat serangan jantung pada 22 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 14 Julai depan.
Mengenai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding bagi kerusi berkenaan, Perdana Menteri berkata, beliau masih menunggu cadangan Badan Perhubungan Umno Kelantan berhubung perkara itu.
"Bila sampai masanya, kita akan umum. Ada masa lagi," katanya.
Ditanya mengenai kriteria calon dikehendaki, Najib berkata: "Kita tidak tetapkan apa-apa kriteria, kita cuma nak calon yang terbaik."
Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang meminta pengundi di pilihan raya DUN Penanti tidak menunaikan tanggungjawab mereka Ahad ini, Najib berkata:
"Pendirian kita ialah kita tidak terbabit sama sekali dalam pilihan raya kecil itu dan ini bermakna apa juga tindakan yang dilakukan adalah pada peringkat individu."
Mustapa pengarah pilihan raya Manek Urai
KUALA LUMPUR 29 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai penyelia pilihan raya kecil tersebut bagi pihak MT.
''Mustapa akan bertanggungjawab berkaitan dengan operasi harian dan membuat keputusan-keputusan sewajarnya sebagai pengarah pilihan raya kecil,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Muhyiddin; Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Ahmad Maslan; Bendahari Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Ketua Pergerakan Wanita, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuat kuasa 23 Mei lalu setelah penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon DUN Manek Urai pada 6 Julai ini, manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai
Mengenai calon DUN Manek Urai, Najib berkata, MT menunggu syor daripada Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
Tambah beliau, tidak ada kriteria ditetapkan dalam pemilihan calon pilihan raya kecil berkenaan tetapi UMNO mahukan calon yang terbaik.
DUN Manek Urai membabitkan 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa, manakala 25 lagi adalah pemilih pos.
Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di DUN Manek Urai adalah orang Melayu, manakala Cina (0.46 peratus) dan India (0.23 peratus).
BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.
Bagaimanapun, Ismail mengalahkan Mohamed pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,352 undi.
'Perang' PPP kini menular ke Pulau Pinang
PULAU PINANG 29 Mei - Kemelut Parti Progresif Penduduk (PPP) kian bergolak apabila ia menular ke negeri ini pula.
Bukan sahaja PPP kini mempunyai 'dua orang Presiden' malah di negeri ini turut mempunyai 'sepasang' Pengerusi Negeri.
Hari ini, pihak media dijemput ke sidang akhbar oleh bekas Naib Pengerusi PPP Negeri, V. Nantha Kumar bagi mengecam tindakan Datuk M. Kayveas yang didakwa kini merupakan bekas Presiden.
Nantha mendakwa, beliau kini merupakan Pengerusi PPP Negeri yang baru setelah dilantik dan mendapat persetujuan 25 ahli majlis tertinggi (MT) pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) PPP, 24 Mei lalu.
"Pelantikan saya ini sah kerana dipilih pada EGM minggu lalu bersama tiga Naib Presiden serta 25 ahli MT PPP yang baru.
"Di negeri ini sahaja, kira-kira 60 peratus ahli PPP menyokong penuh 'Presiden PPP' yang baru, Senator Datuk T. Murugiah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
EGM PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu melantik Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Presiden PPP yang baru.
EGM tersebut sebelum itu meluluskan undi tidak percaya terhadap Kayveas dan memecat semua ahli MT PPP termasuk Kayveas.
Pada 11 Mei lalu, Murugiah dipecat daripada PPP kerana didakwa mengamalkan politik wang dan diberi tempoh sehingga 30 Mei untuk membuat rayuan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai sidang akhbar tersebut, Pengerusi PPP negeri, Datuk Dr. Loga Bala Mohan menyifatkan pelantikan Nantha bersama 'sekutunya' tidak sah kerana EGM itu sendiri tidak mengikut prosedur dalam perlembagaan parti.
Katanya, segala apa yang diperkatakan oleh 'pengurusan kepimpinan baru PPP negeri' itu tidak mengikut saluran perlembagaan yang betul.
"Mereka semua tidak mendapat pengesahan daripada pucuk pimpinan PPP yang kini masih diketuai oleh Kayveas,'' jelasnya.
Kayveas bukan Presiden PPP?
pengarang@utusan.com.my
|
|
PUTRAJAYA 29 Mei - Kemelut dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) kian berkecamuk apabila kumpulan penyokong Senator Datuk T. Murugiah hari ini 'mengeluarkan peluru' terbaru mereka bagi menundukkan kepimpinan Datuk M. Kayveas yang mendakwa setakat ini masih sah sebagai Presiden parti itu.
Dalam tindakan terbaru itu, tiga orang ahli PPP dengan dua daripadanya telah dipecat sebelum ini bertindak membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa sebenarnya Kayveas sudah kehilangan kelayakan memegang sebarang jawatan parti itu sejak 2005.
Jurucakap kumpulan itu, S. Muthulingam berkata, ini kerana Kayveas telah didenda sebanyak RM5,000 di bawah Seksyen 103D, Akta Profesion Undang-Undang 1976 pada 17 Mac 2005.
Ini sekali gus menyebabkan Kayveas tidak layak menjadi Presiden sehingga selepas lima tahun daripada tarikh tersebut.
''Seksyen 9A (1) (b) akta tersebut menyebut bahawa seseorang yang disabitkan kesalahan dan didenda tidak kurang RM2,000 atau hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun di bawah mana-mana undang-undang, maka orang itu tidak layak memegang apa-apa jawatan suatu pertubuhan berdaftar.
''Tetapi Kayveas telah mengambil bahagian dalam pemilihan PPP pada November 2005 dan menang tanpa bertanding sebagai Presiden meskipun mengetahui beliau telah didenda oleh Majlis Peguam," katanya kepada pemberita selepas menghantar laporan berkenaan di Ibu Pejabat ROS di sini hari ini.
Hadir sama dua lagi ahli yang dipecat oleh Lembaga Disiplin PPP pada 16 Mei lalu iaitu M. Jeyaratnam dan R. Rajendran.
Buletin rasmi Majlis Peguam, Infoline pada Mac/April 2005 menyenaraikan Kayveas antara 13 peguam yang dikenakan tindakan disiplin iaitu denda sebanyak RM5,000 pada 17 Mac 2005 di bawah seksyen 103D Akta Profesion Undang-Undang 1976.
Ahad lalu, kumpulan pro Murugiah bertindak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) membabitkan 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
EGM itu meluluskan enam usul termasuk undi tidak percaya ke atas Kayveas sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang disandangnya sejak 1993.
Serentak itu, EGM tersebut turut membatalkan pemecatan Murugiah lantas memilihnya sebagai Presiden baru.
Bagaimanapun Kayveas menolak keputusan EGM tersebut dan mendakwa ia tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti.
Status sama ada EGM itu sah atau sebaliknya sedang disiasat oleh ROS dan pada masa yang sama Kayveas masih dianggap Presiden yang sah.
Menurut Muthulingam, pihaknya hanya menyedari bahawa Kayveas pernah didenda pada minggu lalu, lantas mengambil keputusan untuk melaporkan perkara itu kepada ROS.
''Kami laporkan kepada ROS terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis.
''Untuk laporan polis, itu nanti kami akan serahkan kepada pihak peguam bila kami perlu membuat laporan," katanya.
Beliau menyatakan, Kayveas bukan sekadar tidak layak menjadi Presiden malah melanggar peruntukan dalam Akta Pendaftar Pertubuhan apabila bertanding dalam pemilihan parti pada 2005 dan memegang jawatan Presiden.
''Beliau boleh dianggap bersalah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya.
''Kayveas sepatutnya menulis surat kepada ROS mengenai hukuman denda yang telah dikenakan ke atasnya tetapi dia tetap bertanding dan memegang jawatan Presiden.
''Memang soal keputusan ahli parti memilih Kayveas dahulu adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan oleh ROS atau mahkamah tetapi ini soal kelayakan beliau untuk memegang jawatan itu," katanya.
Tambahnya, Kayveas juga tidak menghantar laporan atau penyata pemilihan PPP dan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti pada 2005 kepada ROS sekali gus boleh menyebabkan sesuatu pertubuhan dibatalkan pendaftarannya.
''Ini menunjukkan Kayveas langsung tidak menjaga parti," katanya.
Justeru, Muthulingam menggesa ROS mengambil tindakan terhadap Kayveas mengikut peruntukan dalam Akta Perdaftar Pertubuhan.
''Memandangkan PPP telah mengadakan EGM dan memilih Murugiah sebagai Presiden parti, maka ROS perlu mengiktiraf beliau sebagai Presiden PPP yang sah," katanya.
ISU PKFZ : Chor nafi pernah jadi pemegang saham WBGB
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, menafikan beliau mempunyai konflik kepentingan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Chor berkata, beliau dijemput menjadi pengarah bukan eksekutif Wijaya Baru Global Berhad (WBGB), sekitar 2004 bagi membantu mengetuai pusat perubatan ditubuhkan WBGB.
"Pada bila-bila masa saya bukan seorang pemegang saham dalam WBGB," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Chor berkata, beliau diminta Menteri Pengangkutan untuk mengambilalih pengerusi bukan eksekutif Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sekitar awal 2007 menggantikan Datuk Yap Pian Hon.
"Sebaik diberitahu mengenai pelantikan itu, saya memaklumkan kepada lembaga pengarah WBGB bahawa saya ingin meletak jawatan sebagai pengarah. Surat lantikan (LPK) daripada Yang di-Pertuan Agong saya tidak terima sehingga Mei 2007.
"Saya menghadiri mesyuarat lembaga pengarah WBGB kali terakhir pada April 2007. Sepanjang tempoh sebagai ahli lembaga pengarah WBGB, tiada keputusan mengenai peranan Wijaya Baru Sdn Bhd dalam kerja PKFZ dan saya pada kebanyakan masa berurusan berkaitan dengan penubuhan pusat perubatan," katanya.
Chor berkata, beliau tidak berpindah ke LPK sehingga Jun 2007 dan hanya mempengerusikan mesyuarat lembaga pertama pada pertengahan Jun 2007.
"Saya tidak tahu menahu langsung mengenai jual beli itu. Pada Jun 2007 apa saja yang berlaku berkaitan PKFZ disifatkan sebagai nasi sudah menjadi bubur. Saya adalah pengerusi bukan eksekutif LPK untuk tempoh kurang sembilan bulan iaitu dari Jun 2007 hingga Mac 2008.
"Saya tidak pernah terbabit dalam sebarang kegiatan berkaitan PKFZ memandangkan pembelian tanah dalam PKFZ bersama dengan pembangunan di situ sudah mendapat kelulusan lebih awal iaitu 2002 dan 2004," katanya.
Katanya, semua syarat dan terma di antara kerajaan dan vendor atau syarikat pemaju dalam urusan penjualan atau pembelian bagi pembangunan berikutnya dibuat sebelum beliau menjadi pengerusi bukan eksekutif LPK.
ISU PKFZ : Syarikat mahu saman PwC
KUALA LUMPUR: Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), pemaju Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap PriceWaterhouseCoppers (PwC) kerana laporannya didakwa mencemari imej dan menjejaskan perniagaan syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Wijaya Baru Global Berhad (WBGB), Datuk Faizal Abdullah, berkata PwC membuat komen bersifat nakal mengenai peranan KDSB dalam projek PKFZ.
Katanya, peguam WBGB selaku syarikat induk KDSB sedang mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap PwC bagi mengembalikan keyakinan pelabur dan memperjelaskan kepada umum mengenai kedudukan sebenar projek PKFZ.
"Laporan PwC yang banyak menggunakan perkataan bersifat andaian seperti 'mungkin', 'difahamkan' dan 'ada kebarangkalian' menunjukkan seolah-olah ada unsur penipuan dalam urusan pembelian tanah antara KDSB dan Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad (KPPLB).
"Ini bukan saja menjejaskan projek PKFZ yang kini dijauhi pelabur, malah perniagaan lain WBGB terkena tempias dan terjejas akibat kemelut ini.
"Saham syarikat pada tahap purata RM1.80 sesaham dalam tempoh lima tahun lalu kini merudum sehingga 30 sen seunit. Sudah tentu kami mahu ganti rugi untuk kerugian ini," katanya dalam satu sidang media, di sini semalam.
Walaupun LPK memberi surat pengecualian tanggungjawab kepada PwC selaku juruaudit yang menyediakan laporan PKFZ, ia tidak memberi kekebalan kepada PwC jika wujud kecuaian dalam laporan itu yang memudaratkan pihak ketiga.
Faizal berkata, laporan PKFZ disediakan PwC untuk LPK mengenai kemelut berhubung projek berkenaan dan tidak sewajarnya mengheret sama KDSB dan membuat kenyataan yang menjejaskan kewibawaan syarikat.
Najib minta Ong beri penjelasan
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat diarah memberi penjelasan bagi setiap persoalan yang dibangkitkan dalam laporan audit projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, Ong akan membuat penjelasan bagi setiap perkara seperti yang dibangkitkan dalam laporan juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Berhad (PwC).
"Saya nak minta Datuk Seri Ong Tee Keat membuat penjelasan pada setiap perkara yang dibangkitkan oleh laporan audit itu, jadi kita boleh rujuk pada dia kerana dia akan sediakan segala ulasan, penjelasan mengenainya.
"Rujuk kepada penjelasan itu saja," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, semalam.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai kos melaksanakan PKFZ dijangka melonjak kepada RM12.4 bilion jika Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) gagal menjelaskan bayaran ansuran pinjaman Kementerian Kewangan mengikut jadual.
BN tiada kepentingan dalam PKFZ
SHAH ALAM: Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor tiada kepentingan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan kos awal sebanyak RM1.85 bilion, kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Malah katanya, pelantikan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) iaitu pemilik tapak projek PKFZ, bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai Exco Negeri ketika itu.
Dr Mohamad Khir berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu dilantik sebagai Pengerusi oleh ahli KPPL yang seramai kira-kira 2,500 orang dengan sebahagian besarnya nelayan.
"Pengambilan tanah dan penjualan tanah untuk tapak PKFZ tiada kaitan secara langsung dengan kerajaan negeri. Malah isu ini tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco ketika itu," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri memberikan tanah itu kepada KPPL selepas dimohon antara 1995 hingga 1997 dan KPPL mengadakan kerjasama membangunkan tanah itu dengan Kumpulan Dimensi Sdn Bhd (KDSB).
Beliau berkata, tanah seluas 404 hektar itu diambil mengikut Seksyen 3(1)(b) Kanun Tanah Negara yang membolehkan tanah itu diambil untuk perniagaan.
Katanya, KDSB menjual tanah itu kepada Lembaga Pelabuhan Klang untuk dijadikan tapak PKFZ pada harga RM25 sekaki persegi dengan mengambil kira kos pembangunan asas seperti menambak tanah, membina perparitan, jalan, jambatan, paip dan bekalan air yang telah dilaksanakan.
"Tanah ini dijual lebih mahal kerana mengambil kira semua kos. Tanah ini asalnya berlumpur dan berair tidak sesuai untuk pembangunan.
"Kerajaan negeri ketika itu tidak terbabit secara langsung dengan pembelian ini kerana ia membabitkan urusan antara KDSB dengan LPK," katanya.
Kementerian akan teruskan pembangunan PKFZ
SHAH ALAM 29 Mei - Kementerian Pengangkutan akan tetap meneruskan pembangunan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) walaupun dilaporkan wujud kelemahan serta konflik dari segi tadbir urus oleh syarikat juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC).
Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, keputusan itu merupakan pandangan peribadi beliau yang merasakan projek berkenaan harus dilaksanakan atas dasar kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Ini kerana katanya, projek berkenaan menggunakan peruntukan melibatkan wang rakyat melalui pinjaman mudah (soft loan).
''Secara optimisnya melalui pandangan peribadi serta berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan termasuk pelabur berpotensi, saya rasa rakyat percaya ia (PKFZ) adalah projek yang berdaya maju.
''Dan kita perlu lakukan untuk kepentingan rakyat kerana peojek ini melibatkan pinjaman mudah, maknanya menggunakan wang rakyat.
''Apa yang saya cakap ini bukan untuk populariti tetapi untuk kepentingan rakyat. Saya mungkin pertaruhkan kerjaya politik saya dalam hal ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini yang mahu kerajaan supaya menjual PKFZ sebagai satu langkah untuk mengatasi masalah kerugian yang membebani Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA).
Semalam, PwC telah mengeluarkan laporan mengenai PKFZ dan sekaligus mendedahkan wujud konflik kepentingan, kelemahan urus tadbir dan pengurusan sebagai punca utama PKFZ mengalami pelbagai masalah.
Dalam laporan itu, terdapat beberapa perkara yang didedahkan antaranya ialah wujud beberapa pihak yang pernah mempunyai kepentingan dalam pemilikan tanah seluas 404 hektar yang menjadi tapak PKFZ, turut mempunyai kepentingan dalam syarikat yang menjual tanah terbabit kepada PKA, Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB).
Selain itu, laporan itu turut menyatakan beberapa kelemahan pentadbiran dalam urusan pembelian tanah dan pembangunan di antara PKA dengan KDSB.
Walaupun Kabinet meluluskan pembelian tapak bagi pembangunan PKFZ, surat perintah pembangunan serta perjanjian sampingan selain perjanjian kerja tambahan antara PKA dan KDSB tidak dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan Kabinet.
PKA dan Kementerian Kewangan juga didapati gagal memaklumkan kepada Kabinet mengenai ketidakupayaan PKA membiayai projek PKFZ, sebaliknya PKA memburukkan keadaan dengan menandatangani beberapa perjanjian pembangunan baru.
Dalam pada itu, Tee Keat turut memberitahu, ekoran laporan PwC itu, laporan terhadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun dibuat.
Bagimanapun katanya, selepas kedua-dua laporan (SPRM dan PAC) dibuat, PKA perlu melantik perunding kewangan dan perundangan bagi membolehkan masalah itu diatasi dan seterusnya merangka tindakan baru bagi melaksanakan semula pembangunan dan operasi PKFZ.
ISU PKFZ : Kerajaan susun semula pengurusan
KUALA LUMPUR 29 Mei - Kerajaan sedang dalam proses menyusun semula pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan anak syarikatnya, Port Klang Free Zone Sdn. Bhd. setelah laporan audit mendedahkan kelemahan urus tadbir sebagai punca projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dirundung pelbagai masalah.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, selaras dengan laporan PricewaterhouseCoopers Advisory Services (PwC) Sdn. Bhd. yang telah didedahkan kepada umum semalam, pihaknya akan menstrukturkan semula kewangan LPK dan PKFZ serta menyelesaikan segala isu yang timbul menggunakan saluran perundangan.
''Langkah ini diambil kerana kerajaan berkongsi kebimbangan rakyat Malaysia tentang peningkatan kos, kelemahan urus tadbir dan pengurusan PKFZ seperti yang telah didedahkan di dalam laporan audit terbabit.
''Tindakan ini juga menunjukkan kerajaan memang berhasrat mengubah pengurusan cara lama kepada corak pentadbiran lebih terbuka dan telus selaras dengan gagasan yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," kata kenyataan itu.
Hab muatan dan pemindahan kapal PKFZ milik LPK seluas 405 hektar yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang diselubungi kontroversi selepas beberapa pihak mendedahkan bahawa kos pembangunannya melambung tinggi daripada nilai asalnya yang kurang daripada RM2.5 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion.
Menurut kenyataan itu, langkah pembetulan yang sedang dilakukan kerajaan akan membolehkan PKFZ berdaya maju pada jangka masa panjang sejajar dengan objektif asal projek tersebut untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai hab muatan dan pemindahan kapal serantau.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, tindakan mendedahkan laporan audit berkenaan semalam akan menghentikan spekulasi berhubung isu PKFZ.
''Kabinet berpandangan bahawa adalah penting agar rakyat Malaysia mendapat laporan tentang urutan peristiwa yang membawa kepada kedudukan terkini PKFZ.
''Terbitan laporan tersebut kepada awam menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjadi telus dan komited dalam mengurangkan bebanan pembayar cukai,' ujarnya.
UMNO : Gantung jawatan jika didakwa
Oleh Norfatimah Ahmad, Anwar Hussin dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my
NAJIB bersama Muhyiddin ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa serta-merta, pemimpin Umno di semua peringkat yang didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan secara automatik akan digantung semua jawatannya dalam parti.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata peraturan baru itu diputuskan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam meneliti cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pengurusan parti.
"Sekiranya pemimpin itu berjaya dalam proses mahkamah, iaitu didapati tidak bersalah, maka jawatannya dikembalikan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Ibu Pejabat Umno di sini.
Perdana Menteri juga mengumumkan persetujuan MT menambah ahli Lembaga Disiplin Umno, termasuk Panel Siasatan, Tribunal dan Panel Rayuan.
Antara ahli baru lembaga itu ialah bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ismail Said; peguam Datuk Zuraidah Atan; bekas Penolong Kanan Penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR), Wahab Wahid; pesara penguasa polis, Mohd Zain Ismail dan pesara inspektor polis, Nordin Saidin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi menjelaskan peraturan baru itu tidak hanya membabitkan pemimpin di peringkat Pusat, malah meliputi cawangan dan bahagian.
"Contohnya, Ketua Umno Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail, yang dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini," katanya.
Selasa lalu, Abd Ghani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 10 tuduhan menyalahguna kuasanya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan menerima rasuah berjumlah lebih RM200,000 bagi meluluskan tender antara 2006 dan 2007.
Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, pula menjelaskan kes membabitkan Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membuat kenyataan palsu, adalah antara yang menjadi rujukan dalam pelaksanaan peraturan baru itu.
"Kita menggunakan prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah. Tidak adil jika parti memecat atau melucutkan jawatan seseorang pemimpin itu, tetapi mahkamah memutuskan dia tidak bersalah pula.
"Jadi peraturan ini dikuat kuasa untuk bertindak adil kepada mana-mana pemimpin dalam parti yang dihadapkan ke mahkamah," katanya.
Bulan lalu, Ibu Pejabat Umno mengumumkan jawatan Ketua Umno Bahagian Labuan yang disandang Suhaili gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa di mahkamah selaras Fasal 10.10 Perlembagaan Umno.
Hutan Simpan STONG : Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab
KOTA BHARU 29 Mei – Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terhadap kelulusan bagi pembukaan ladang kelapa sawit di kawasan hutan simpan Stong sekiranya ia melibatkan kawasan yang sepatutnya dikekalkan sebagai khazanah negeri.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, sebarang keputusan yang dibuat harus mengambil kira manfaatnya kepada alam sekitar dan juga kesan kepada sektor pelancongan di kawasan yang mempunyai potensi besar itu.
“Dalam soal sedemikian, ia menuntut kerjasama dan keprihatinan semua pihak,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan negeri baru-baru ini yang meluluskan 400 hektar hutan di Stong kepada sebuah syarikat.
Kelulusan itu agak mengejutkan kerana ia dipercayai berada dalam kawasan Taman Negeri yang bukan sahaja dianggap sebagai khazanah warisan tetapi juga gedung ilmu dan destinasi eko pelancongan.
Ekoran itu, Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN), Datuk Abdul Aziz Derashid dilaporkan meminta kelulusan itu dikaji semula kerana ia dibimbangi bukan sahaja menjejaskan kepentingan penduduk setempat tetapi juga kepentingan negeri dan generasi masa depan.
Menurut Yen Yen, seluruh dunia pada masa sekarang sangat peka kepada isu alam sekitar dan eko pelancongan.
‘‘Semua pihak perlu tentukan apa-apa yang kita hendak buat mesti membawa manfaat kepada keadaan alam sekitar. Kita harap semua orang boleh beri kerjasama,” katanya.
UMNO Pulau Pinang sifatkan PKR hanya pandai bercakap
PULAU PINANG 29 Mei - UMNO Pulau Pinang menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rakan sekutunya hanya pandai bercakap 'berapi-api' tetapi tidak tahu membawa pembangunan kepada rakyat.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, ia jelas dapat dilihat dalam tempoh 15 bulan selepas penduduk Penanti memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR.
Kata beliau, masih ada penduduk Penanti dibelenggu kemiskinan, tiada kemudahan air dan elektrik, manakala jalan kampung yang rosak juga tidak diperbaiki.
Malah, bukan itu sahaja, menurutnya, masjid dan surau di kawasan itu seperti diabaikan, yang rosak tidak langsung diperbetulkan, peniaga dan usahawan kecil juga tidak diberikan bantuan apa lagi soal pendidikan anak-anak.
''Hakikatnya, Penanti sepatutnya menjadi antara kawasan paling pesat membangun dengan pelbagai kemudahan infrastruktur memandangkan bekas ADUN kawasan itu, Mohammad Fairus Khairuddin turut memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I.
''Namun, sepanjang tempoh itu juga, tiada apa-apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang yang kini memerintah Pulau Pinang. Mereka ini hanya tahu bermain dengan emosi rakyat untuk membangkitkan semangat melalui ucapan 'berapi-api','' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak bertanding pada pilihan raya kecil kali ini turut terkena tempias dengan kata-kata umpatan dan cacian daripada PKR.
Tambahnya, paling menyedihkan, sebahagian lebih 15,000 penduduk di kawasan itu seolah-olah tidak peduli jika tiada sebarang pembangunan mahu pun pembaharuan dijalankan.
Pada masa yang sama, katanya, tiada mana-mana pihak mahu pun individu yang membangkitkan atau mempersoalkan mengenainya.
''Kita sudah melihat semua kempen, ceramah termasuk kenyataan akhbar yang dibuat PKR dan rakan sekutunya sepanjang 15 bulan ini, tidak ada satu pun membicarakan tentang sumbangan Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohammad Fairus kepada rakyat Penanti.
''UMNO negeri turut menerima banyak aduan dan rungutan daripada penduduk Penanti bahawa Anwar dan Mohammad Fairus jarang turun untuk bertemu dan mendengar masalah rakyat, kalau adapun, bila dekat-dekat pilihan raya baru nampak 'batang hidung'," ujarnya.
Justeru, Zainal Abidin berkata, Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Ahad ini merupakan platform terbaik bagi pengundi di kawasan itu memberi isyarat kepada PKR bahawa mereka mahu melihat pembangunan dan bukan hanya bermain emosi.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat Penanti menilai dan memikirkan dalam tempoh mereka yang dipilih itu menjadi wakil rakyat, apakah pembangunan serta sumbangan atau pun projek-projek kecil yang dijalankan oleh pakatan pembangkang.
''Saya juga ingin bertanya kepada rakyat di Penanti sama ada mereka berpuas hati dengan pembangunan di kawasan itu setakat ini, ataupun bagi mereka cukup sekadar mendengar kata-kata retorik serta ucapan 'berapi-api' yang dimainkan PKR dan rakan sekutunya untuk meneruskan kehidupan seharian,'' katanya.
Ish, ish, ish... kemaruk dah UMNO ni, dah tak masuk bertanding nak berkempen pula haha
Kalau betul PKR tak buat kerja, UMNO buat ler kerja, bg menang ker kerusi Penanti, ops lupa UMNO kecut nak bertanding
Baru beberapa bulan memerintah, nak minta maju, pesat membangun
UMNO dah jadi kerajaan 50 tahun, buat apa?
Penduduk minta bantuan Nai
BUKIT MERTAJAM 29 Mei - Pengaruh politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti sememangnya tidak dinafikan, namun penduduk Kampung Tun Sardon dekat sini terpaksa bergantung harap kepada calon Bebas, Nai Khan Ari bagi mendapatkan bekalan air ke kampung itu.
Sejak 10 tahun lalu, enam keluarga di kampung tersebut terpaksa hidup tanpa bekalan air paip dan terpaksa pula menghidu bau busuk najis ayam yang dibawa air setiap kali hujan lebat.
Keadaan itu menyebabkan Nai berazam untuk membela nasib enam keluarga terbabit lebih-lebih lagi apabila melihat kesukaran Johari Hussin, 37, sekeluarga yang terpaksa bergantung pada telaga sebagai punca air bagi meneruskan rutin harian.
"Dalam Kampung Tun Sardon ini yang jarak masuknya dari jalan besar kira-kira satu kilometer, ada enam keluarga yang menetap di sini dengan keadaan tidak ada bekalan air paip.
"Itulah masalah utama mereka yang saya tahu kerana saya adalah anak jati Telok Wang, Penanti. Kampung Tun Sardon ini pula berjiran dengan kampung asal saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, selain meneruskan kempennya pada hari ini, tinjauannya ke rumah Johari sebagai tanda prihatin terhadap nasib golongan miskin dan terpinggir.
Katanya, tidak kiralah sama ada golongan itu sengaja atau tidak sengaja dipinggirkan tetapi nasib mereka harus dibela.
"Enam keluarga yang menetap di sini terpaksa bergantung pada air telaga untuk memasak, mandi dan membasuh pakaian.
"Sedangkan Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang maju tetapi rakyat miskin dan golongan yang diabaikan tetap wujud dan hari ini saya membawa media untuk melihat sendiri kesusahan hidup yang terpaksa dilalui tanpa bekalan air paip dan air bersih," katanya.
Nai yang meneruskan kempen untuk bertanding Pilihan Raya Kecil DUN Penanti Ahad ini berjumpa sendiri dengan keluarga Johari bagi memperkenalkan dirinya sebagai calon Bebas yang bertanding di Penanti.
Tu dia, tetiba jer keluar kenyataan rakyat Pulau Pinang miskin hehe
UMNO nafi taja percutian ke Thailand
Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
PULAU PINANG 29 Mei - UMNO Pulau Pinang menafikan dakwaan ia menaja bas membawa penduduk Penanti membeli-belah sambil bercuti di beberapa tempat termasuk di Thailand pada hari Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, 31 Mei ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman yang menyifatkan perkara tersebut sebagai karut berkata, pihaknya tidak pernah membuat sebarang perancangan seumpama itu yang dikatakan bertujuan menghalang penduduk di situ keluar mengundi.
Menurutnya, memandangkan cuti persekolahan pun sudah bermula, jadi tidak hairan jika ada pihak yang menganjurkan lawatan begitu, namun beliau menegaskan UMNO negeri tidak terlibat langsung dengan program tersebut.
''Saya sebenarnya tidak terperanjat apabila mengetahui mengenai perkara ini kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rakan sekutunya pasti akan bercakap atau membuat tuduhan apa sahaja, tidak kira apa sekali pun kita cakap.
''Jika tidak percaya, mereka boleh pergi tunggu di tepi lebuh raya atau di mana-mana, pergi tengok ada ke banyak bas lawatan kononnya ditaja oleh UMNO yang akan bertolak seawal 7 pagi dari kawasan ini pada hari undi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa ada usaha untuk mengurangkan peratusan pengundi dengan menganjurkan lawatan ke beberapa tempat seperti Langkawi, Wang Kelian dan selatan Thailand dengan bas tajaan UMNO.
Pilihan Raya Kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara tiga calon Bebas dengan seorang calon PKR.
Empat calon tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Dr. Mansor Othman, 59; bekas Ketua Wanita PKR negeri, Aminah Abdullah, 56; bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari, 41; dan pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42 tahun.
PKR sedia tahan bas bawa keluar pengundi
BUKIT MERTAJAM 29 Mei - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menahan bas yang disyaki membawa pengundi keluar dari kawasan Penanti pada hari pengundian pilihan raya kecil kawasan itu, 31 Mei ini.
Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin mendakwa, ada cubaan untuk membawa pengundi keluar dari kawasan tersebut sebagai usaha mengurangkan peratusan pengundian pada pilihan raya kecil itu.
''Saya nak beri amaran kepada pemimpin UMNO di kawasan ini (Penanti) kerana hasil risikan kita, ada cubaan nak bawa pengundi keluar dari Penanti pada 31 Mei ini dengan pelbagai alasan.
''Kemungkinan kita akan ambil tindakan termasuk menahan bas yang membawa keluar pengundi. Kalau nak keluar, mereka kena mengundi terlebih dahulu," katanya di sini hari ini.
Shamsul Iskandar berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat perkara itu.
Katanya, parti itu mengambil pendirian bahawa setiap pengundi yang hendak dibawa keluar dari kawasan itu dengan apa sebab sekalipun, perlu membuang undi terlebih dahulu.
''Kita akan mendapatkan bantuan daripada SPR dan pihak polis dalam hal ini, kita mengambil sikap bahawa kalau hendak keluar, mereka kena mengundi dulu," katanya.
Anwar mahu tawan Perlis
KANGAR 29 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan impian terbarunya untuk menakluk Perlis, satu-satunya negeri di utara tanah air yang terlepas daripada tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.
Anwar berkata, PKR akan menggerakkan semua jentera yang ada bersama pakatan pembangkang lain dalam usaha untuk merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).
Katanya, walaupun tiada wakil Parlimen daripada pakatan pembangkang di negeri itu, usaha akan dibuat termasuk melantik Ahli Parlimen PKR di Kedah untuk memantau masalah masyarakat Perlis.
''Perlis berada tidak jauh dari negeri pakatan pembangkang Kedah. Saya akan memastikan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul melaksanakan tugas berkaitan bagi membantu menawan Perlis daripada BN.
''Perkara ini tidak akan habis di sini, masalah rakyat Perlis akan dibawa ke Parlimen dan didebatkan," katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan di Kuala Perlis di sini semalam.
Terdahulu beliau menerima 630 borang keahlian memasuki PKR.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Zamri Sapar ketika ditanya mengenai desas-desus kemasukan bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh ke dalam PKR, beliau berkata, mereka sering berhubung baik.
''Hashim menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan kepadanya.
''Biar hasrat tersebut datang dari dalam dirinya dan bukan orang lain," ujarnya.
Anifah pentingkan rakyat
PUTRAJAYA 29 Mei - Menteri Luar, Datuk Anifah Aman berkata, beliau lebih mementingkan isu kepentingan rakyat dan negara berbanding saman oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Kepentingan rakyat lebih penting daripada hal saman," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau ditanya oleh pemberita sama ada telah melantik peguam untuk menguruskan kes saman oleh Anwar.
Anifah sebelum ini dilaporkan berkata, beliau ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar sebagai umpan untuk melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.
Anwar bagaimanapun menafikan kenyataan itu dan telah mengemukakan surat tuntutan RM100 juta daripada Anifah atas kerosakan reputasi yang dialami.
Anifah hari ini mengaitkan apa yang berlaku ke atasnya dengan pembongkaran calon Bebas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, Aminah Abdullah yang mendakwa ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
''Ini cuma pilihan raya kecil yang tidak melibatkan pembentukan kerajaan, calon Bebas ini telah ditawarkan wang dan kedudukan.
''Jadi fikir-fikirlah, jika calon Bebas dalam pilihan raya kecil ditawarkan jawatan, apatah lagi jika ia melibatkan pembentukan Kerajaan Persekutuan," katanya.
Selamat tinggal Gerakan - Cheng Guan
Oleh HASNURUL MOHAMED
utusanpenang@utusan.com.my
BUTTERWORTH 29 Mei - Selepas 19 tahun menjadi ahli dan berjuang dalam parti Gerakan, Naib Presidennya, Huan Cheng Guan (gambar) hari ini mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu.
Menurutnya, keputusan itu adalah muktamad dan beliau akan membuat pengumuman rasmi dalam tempoh tiga minggu akan datang.
Katanya, sebab utama beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu adalah kerana tidak sehaluan dan sependapat dengan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan dan menyedari Gerakan telah hilang hubungan dan sentuhan dengan peringkat akar umbi.
"Saya berasakan pucuk pimpinan parti tidak lagi mengekalkan hubungan mereka dengan peringkat akar umbi. Jadi apabila membuat keputusan, mereka tidak berpandukan atau mengikut perlembagaan parti.
"Sebaliknya, mereka menggunakan undang-undang hutan rimba dalam menerajui parti. Sikap tidak mempedulikan pandangan akar umbi ditolak ke tepi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, keputusan yang dibuatnya itu bukanlah bertujuan menghasut ahli Gerakan untuk turut menyertai tindakan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau berasakan banyak bahagian dan cawangan Gerakan di Pulau Pinang termasuk di negeri-negeri lain yang akan mengikut jejak langkahnya.
Katanya, dalam tempoh tiga minggu akan datang, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya dan keluar parti secara rasmi kepada Presiden Gerakan.
Jentera pilihan raya Pas kenal pasti calon
KUALA KRAI 29 Mei - Pemilihan calon Pas untuk bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai akan diteliti oleh jentera pilihan raya negeri sebelum dikemukakan kepada pimpinan Pusat.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jentera itu akan memperinci cadangan setiap calon yang dikemukakan sebelum disenarai pendek kepada tiga orang sahaja.
"Kita telah lancar jentera kita hari ini, oleh itu bermula esok pasukan inilah yang akan membuat keputusan menapis dan memilih nama-nama calon yang difikirkan layak untuk bertanding di sini.
"Setakat ini kita masih dalam proses mengenal pasti beberapa orang calon dan kita akan gunakan masa selama sebulan yang ada sebelum hari penamaan calon untuk memilih yang terbaik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat di Kuala Lumpur semalam memutuskan tarikh penamaan calon untuk pilihan raya kecil itu pada 6 Julai depan manakala hari pembuangan undi pada 14 Julai.
Kerusi N41 Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia 22 Jun lepas kerana mengalami komplikasi jantung.
Takiyuddin berkata, walaupun jentera pilihan raya diberi mandat untuk mengenal pasti calon namun ia tidak menghalang pimpinan Pas pusat daripada mengemukakan calon mereka sekiranya mempunyai pilihan yang lebih baik.
Pas lancar jentera pilihan raya
KUALA KRAI 29 Mei - Pas Kelantan melancarkan jentera operasi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai hari ini dengan keyakinan dapat mengekalkan kerusi itu dan majoriti lebih besar.
Setiausaha Perhubungannya, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, pihaknya menyasarkan untuk mendapat undi popular lebih daripada 60 peratus kali ini bagi mengulangi pencapaian pada pilihan raya umum 1999.
"Pada 2008, undi popular mencatatkan kira-kira 58 peratus. Oleh itu, tahun ini sasaran kita bukan setakat menang tetapi lebih tinggi lagi untuk membuktikan sokongan tidak terhakis," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera operasi itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini.
Menurut Takiyuddin, kekalahan tipis kepada Barisan Nasional dengan majoriti 53 undi pada pilihan raya umum 2004 tidak bermakna parti itu ditolak oleh pengundi setempat kerana tahun lepas, Pas berjaya membuktikan keupayaan untuk bangkit.
"Keyakinan kita berasaskan sikap yang ditunjukkan oleh penduduk setempat. Juga dengan semangat yang dibawa oleh bekas wakil rakyat, Allahyarham Ismail Yaacob," ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu jentera pilihan raya itu akan diterajui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun selaku pengarah operasi.
Takiyuddin pula selaku timbalan pengarah manakala Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dipilih sebagai penasihat dan Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan, Wan Nik Wan Yusof selaku setiausaha.
Umno guna komunikasi bersemuka pengundi
Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
Pekerja penerangan boleh bermalam di rumah penduduk
KUALA LUMPUR: Jentera Penerangan Umno akan menggunakan pendekatan komunikasi bersemuka dengan pengundi untuk mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat di akar umbi bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di Kelantan, Julai depan.
Pendekatan itu untuk membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengetahui apakah perkara perlu dilaksanakan untuk memenangi hati rakyat tanpa menunggu maklumat pihak ketiga yang kadang-kadang tidak menepati aspirasi rakyat.
Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata menerusi pendekatan itu beliau mahu jentera penerangan mengambil inisiatif bertemu dan bermalam di rumah penduduk di DUN itu bagi mewujudkan suasana mesra pengundi dan mudah memahami isi hati rakyat.
"Ketika lawatan pertama ke DUN Manek Urai Rabu lalu, saya sempat bermalam di rumah penduduk di situ dan jentera penerangan Umno negeri dan pusat turut bermalam di beberapa rumah penduduk lain.
"Hasilnya saya mendapat maklum balas secara terus daripada rakyat yang boleh dijadikan panduan untuk Umno dan BN memenangi hati rakyat, termasuk melaksanakan konsep kempen mesra rakyat," katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai, manakala pengundian pada 14 Julai depan.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, siri ceramah tetap diadakan sebagai saluran biasa berkempen dalam pilihan raya.
Katanya, beliau belum lagi memutuskan berapa banyak siri ceramah akan diadakan tetapi akan berbincang dengan jentera penerangan Umno Kelantan yang diterajui Dali Husin.
"Saya akan jumpa Jawatankuasa Penerangan Umno Kelantan Isnin ini di Kota Bharu untuk membincang dan merangka strategi gerak kerja jentera penerangan bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Manek Urai," katanya.
Ditanya peluang BN dalam pilihan raya kecil DUN itu, beliau berkata Pas tidak boleh berasa selesa kerana rakyat boleh membuat keputusan sewajarnya berdasarkan apa yang mereka nikmati sepanjang di bawah kerajaan Pas.
Katanya, BN tetap ada peluang sekali pun DUN itu dikatakan antara kubu kuat Pas berdasarkan parti itu pernah tewas kepada BN pada pilihan raya umum 2004.
Pemuda Pas pertahan ulama
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Mei - Dewan Pemuda Pas berikrar untuk mempertahankan institusi kepimpinan ulama kerana ia merupakan satu gagasan yang telah menjadi sumber kekuatan kepada parti itu selama ini.
Ketuanya yang baru, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, Pemuda juga mahu kepimpinan ulama diperkasakan lagi sejajar dengan kedudukan Pas dalam politik arus perdana yang kini disifatkan semakin kukuh.
Justeru kata beliau, pihaknya akan memastikan hanya individu atau satu kumpulan kolektif yang memenuhi tiga kriteria kepimpinan ulama iaitu beriman, bertaqwa dan berilmu sahaja diberi mandat menerajui Pas.
''Pemuda amat mengambil berat tentang perkara ini kerana ia melibatkan dasar yang ditetapkan dalam Islam. Islam telah menetapkan untuk menjadi pemimpin mereka perlu di kalangan orang yang beriman, bertaqwa dan berilmu.
''Ini soal asas dalam pemerintahan Islam. Mengenai latar belakang pendidikan, itu soal lain kerana bagi Pemuda, tiga kriteria perlu dipenuhi terlebih dahulu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nasrudin sebelum ini telah diumumkan sebagai pemimpin tertinggi dalam Dewan Pemuda Pas selepas beliau berjaya memenangi jawatan itu tanpa bertanding.
Pengumumannya telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali pada satu sidang akhbar 26 Mei lalu.
Sementara itu Nasrudin berkata, beliau telah menggariskan tiga perkara untuk memantapkan lagi Pemuda terutama dalam memastikan keberkesanannya sebagai barisan hadapan parti.
Pertama beliau berkata, menjadikan Islam sebagai teras perjuangan.
''Saya tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana Pas terbina atas nama Islam dan Islam merupakan teras perjuangan kami. Islam juga membentuk kepimpinan ulama dalam parti.
"Kami tidak akan menerima sesuatu yang selain daripada Islam,'' katanya.
Kedua, beliau dan rakan-rakan akan membuat gerakan pengukuhan dalaman parti dengan bermatlamatkan tiga objektif utama iaitu akidah, gerakan berasaskan kepada wadah perjuangan Islam tulen serta keperibadian anggota yang soleh.
''Ketiga, ialah mengemas kini jalinan hubungan dengan pihak luar parti supaya perjuangan Pas serta dakwah parti kami berjalan dengan baik,'' katanya.
Selain itu beliau berkata, Pemuda juga akan meneroka jaringan hingga ke peringkat antarabangsa iaitu dengan menjalinkan kerjasama dengan badan-badan Islam di luar negara.
Beliau berkata, setakat ini tumpuan hanya diberikan kepada pertubuhan Islam di rantau ASEAN dan ia perlu diperluaskan ke negara-negara Timur Tengah.
''Langkah ini penting supaya Pas tidak ketinggalan memperjuang isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan kepentingan ummah secara keseluruhan,'' ujarnya.
'Ahli perlu perkukuh Umno'
KUALA LUMPUR: Umno perlu memberi tumpuan kepada aspek imej, kredibiliti dan integriti jika mahu terus dilihat sebagai parti paling relevan membela nasib dan kepentingan orang Melayu.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pembangkang menyerang Umno berdasarkan tiga aspek itu bagi mewujudkan persepsi di kalangan orang Melayu kononnya ada parti lain yang boleh membela nasib orang Melayu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, berkata ahli Umno tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menyebarkan fitnah kononnya Umno akan berkubur selepas pilihan raya umum ke-13.
“Sebaliknya, ahli Umno perlu menanam pendirian yang parti ini akan terus wujud selepas pilihan raya umum nanti dan relevan untuk membela nasib orang Melayu,” katanya pada Forum Bual Bicara ‘Umno Menempuh Arus’ di ibu pejabat Umno, malam tadi.
Selain beliau, bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times Sdn Bhd, Datuk Ahmad Talib dan pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam turut menjadi ahli panel forum yang dikendalikan Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail.
Sementara itu, Ahmad menegaskan kekuatan Umno bukan bergantung kepada laporan disebarkan melalui media arus perdana termasuk yang dikuasai parti itu.
Sebaliknya beliau berkata, Umno menjadi kuat kerana disokong oleh pemimpinnya yang hebat, kesepakatan antara pemimpin tertinggi dan ahli akar umbi di samping mendapat sokongan daripada parti komponen BN.
PENANTI : Proses undi pos lancar
ANGGOTA keselamatan menunaikan tanggungjawab pada DUN Penanti di Ibu Pejabat Polis SPT, semalam. |
BUKIT MERTAJAM: Proses pembuangan undi pos bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) di sini, semalam, berjalan lancar dengan 20 anggota polis menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Mereka selesai mengundi jam 12 tengah hari, tiga jam selepas pusat mengundi dibuka. Anggota polis pertama mengundi ialah Lans Koperal Fadzil Aziz, 49.
Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil DUN Penanti, Superintendan Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata walaupun 24 anggota polis layak mengundi secara pos, hanya 20 mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT.