Tuesday, November 06, 2007

Wakil Wilayah Persekutuan bahas guna pendekatan 3B

KUALA LUMPUR: Umno Wilayah Persekutuan akan membahaskan isu relevan berkaitan pembangunan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui pendekatan 3B � Bersama, Bersatu dan Berjaya pada Perhimpunan Agung esok.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, berkata isu berkenaan selaras dengan wawasan Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera yang diterapkan untuk Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, pendekatan 3B menjadi teras utama Umno dan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan mengharungi perjuangan parti kerana ia mempunyai semangat setiakawan jitu dan menjadi landasan memperkukuhkan dan memperkuatkan jentera Umno dan BN.

Pada perhimpunan kali ini Umno Wilayah Persekutuan akan menampilkan Ketua Umno Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Labuan membahaskan ucapan dasar Presiden, Pemangku Ketua Umno Bandar Tun Razak Datuk Rahim Baba membahaskan usul ekonomi dan pendidikan, manakala Ketua Umno Batu, Datuk Yusuff Hamid usul sosial dan agama.

"Kita mengenalpasti beberapa elemen penting untuk diketengahkan pada perhimpunan kali ini termasuk isu pembangunan ekonomi Bumiputera di bandar, pembangunan Melayu bandar dan beberapa penting relevan yang lain.

"Kita juga akan memperincikan persiapan BN Wilayah Persekutuan menghadapi pilihan raya umum menerusi konsep 3B yang merangkumi semua aspek termasuk persediaan, sistem penyampaian, kesejahteraan rakyat dan perpaduan," katanya.

Zulhasnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Umno Wilayah Persekutuan yakin amanat Presiden parti tahun ini akan menjurus kepada perpaduan kaum, persiapan menjelang pilihan raya umum dan yang penting kekuatan Umno .

Justeru, beliau berkata, Umno Wilayah Persekutuan juga mengenalpasti dan telah mengambil tindakan dari semasa ke semasa menangani masalah rakyat serta gerakan yang efektif dan efisyen bagi memperkukuhkan jentera parti.

No comments: