Monday, August 17, 2009

POLITIK : ISNIN 17 OGOS 2009


Pengkhianat perlu ditentang
KUDAT16 Ogos – Mana-mana pihak yang mencetuskan isu berbaur perkauman ataumempertikai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan merupakanpengkhianat bangsa dan negara, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bahagian UMNO setuju perlembagaan parti dipinda
PETALINGJAYA 16 Ogos – Hampir semua bahagian UMNO di seluruh negara yang habisbersidang hari ini bersetuju supaya perlembagaan parti itu dipinda bagimenangani gejala politik wang ketika kempen pemilihan.





SPRM bukan gestapo
KUALALUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan iabertindak seperti 'gestapo' (polis rahsia Nazi) ketika menjalankansiasatan dan akan tetap menyiasat ahli politik yang dikaitkan dengansalah laku rasuah.






Pembangkang jangan hanya berprasangka buruk terhadap SPRM
KOTA KINABALU 16 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri MuhyiddinYassin menegaskan pembangkang sepatutnya memberi kerjasama dan bukanhanya berprasangka buruk terhadap Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan kes rasuah.

SPRM perlu berani – Hisham
PETALING JAYA 16 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)perlu berani berhadapan dengan cabaran, bukan melepaskan tanggungjawabdengan tidak menyiasat individu yang melakukan kesalahan rasuah keranatekanan politik.

Nafi tolak Chuan How jatuh
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)hari ini menafikan dakwaan mereka menggunakan kaedah gestapo semasamenahan Wong Chuan How, pembantu khas kepada seorang daripada Excokerajaan negeri Selangor, pada Jumaat lepas.

Kenapa DAP perlu takut?
KUCHING 16 Ogos - Parti-parti pembangkang yang mahu masalah rasuah dinegara ini ditangani dengan lebih serius seharusnya tidak perlu takutdengan langkah-langkah pencegahan dan siasatan yang dilakukan olehSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Perlu ada tindakan tegas
ROMPIN 16 Ogos - Tindakan tegas perlu diambil ke atas mana-mana pihaktermasuk pemimpin pembangkang yang terbukti terlibat dalam kegiatanmengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara.

'Lakukan tinjauan mesra, 30 minit pun cukup'
KUDAT 16 Ogos - Barisan Nasional (BN) mampu untuk menang pada PilihanRaya Umum ke-13 (PRU13) jika semua wakil rakyatnya turun padang danmenyelesaikan segala masalah rakyat.

Saya okey – Muhyiddin
KOTA KINABALU 16 Ogos – ‘‘Saya okey, tiada masalah dan tidak terkejut,”kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menceritakan pengalaman apabilahelikopter yang dinaikinya terpaksa melakukan pendaratan tidak dijadualdi Tuaran hari ini.

Bukan sekat kebebasan bersuara
PETALINGJAYA 16 Ogos - Cadangan mewujudkan undang- undang berkaitan penggunaanInternet bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara di negara ini.


200 penduduk bantah pembinaan kuil
SHAHALAM 16 Ogos - Kira-kira 200 penduduk Islam di Seksyen 23 di siniberkumpul secara aman di hadapan tapak kuil seluas 0.2 hektar dikawasan perumahan mereka bagi membantah keputusan pembinaan rumahibadat tersebut.

Saya akan beri keterangan hari ini - Ridhuan Tee
KUALALUMPUR 16 Ogos - "Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah datang kepejabat saya Jumaat lepas untuk mengambil keterangan dan saya dipanggilpihak polis untuk memberikan keterangan yang sama esok kerana tuduhanini bersifat peribadi dan tidak berhujah secara akademik."





Dijamin berjalan lancar
MELAKA 16 Ogos - Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil DewanUndangan Negeri (DUN) Permatang Pasir esok dijamin akan berjalan lancardan berlangsung dalam keadaan terkawal.


Calon BN mula 'pasang gear satu'
BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Kurang 24 jam selepas diumumkan sebagai calonBarisan Nasional (BN), Rohaizat Othman mula memasang 'gear satu'menjelang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Permatang Pasir dengan turun padang menemui penduduk.

Saya sedia jawab segala tuduhan - Rohaizat
BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan RayaKecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othmansudah bersedia menghadapi pihak pembangkang sepanjang tempoh berkempenbermula esok.

UMNO Perak bantu kempen - MB
IPOH 16 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadirberkata, UMNO negeri akan menghantar jentera bagi membantu kempenPilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di PulauPinang.

Pertandingan tiga penjuru di Permatang Pasir?
BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Permatang Pasir 25 Ogos ini bakal menyaksikan sekurang-kurangnyapertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pas danseorang calon bebas.

'UMNO, Pas hentilah berbalah'
KEPALA BATAS 16 Ogos - UMNO dan Pas diingatkan supaya menghentikansebarang perbalahan politik dalam soal agama, sebaliknya bermuafakatdan mencari jalan untuk mengukuhkan imej serta perpaduan umat Islam dinegara ini.

Pesan Dr. Mahathir kepada ahli politik
TRONOH 16 Ogos - Seseorang ahli politik atau pemimpin mesti menjauhikesalahan atau perkara-perkara tidak baik, kata bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad.

UMNO perlu bersemangat perjuangkan kedaulatan negara
MELAKA 16 Ogos - UMNO hari ini dituntut supaya bersemangatmemperjuangkan kedaulatan negara sama seperti ketika memperjuangkan hakorang Melayu semasa menentang Malayan Union pada 1946.

T. Mohan menang Ketua Pemuda MIC
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Penyelaras Pergerakan Pemuda MIC, T. Mohanmemenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda parti itu dengan mengalahkanS. P. Muthuveloo.

Had umur Pemuda MIC ditingkatkan 45 tahun
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Had umur bagi menyertai Pergerakan Pemuda MICakan dinaikkan daripada 40 ke 45 tahun untuk membolehkan lebih ramaigolongan muda menyertainya.

Ahli UMNO disaran miliki Facebook
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Setiap ahli UMNO terutama kalangan pemimpindisaran menyertai laman sosial Facebook sebagai satu cara untuk menarikgenerasi muda mendekati parti itu.









'SPRM tak wajar beza siasatan'
KOTAKINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajarmembezakan siasatan terhadap orang politik dengan orang biasa keranaundang-undang adalah untuk semua, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perbincangan cari kaedah selesai isu sensitif Rabu
PETALINGJAYA: Tiga kementerian akan mengadakan perbincangan Rabu ini bagimencari mekanisme untuk melicinkan dan mempercepatkan proses siasatandan pendakwaan kes membabitkan isu perkauman, agama, institusi beraja,kedudukan bahasa Melayu terutama di internet.

Batal arahan siasat masa pejabat: Nazri
KUCHING:Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz,mengarahkan Peguam Negara supaya mengambil tindakan untuk membatalkanarahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berhubungkebenaran untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)menjalankan siasatan pada waktu pejabat sahaja.

Lesen guaman batal tak jejas calon BN bertanding
GEORGETOWN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan UndanganNegeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman, layak bertandingwalaupun lesen peguam sivilnya dibatalkan.

Rohaizat sedia hadapi apa saja tuduhan
BUKITMERTAJAM: Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DewanUndangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman sedia menghadapiapa saja tuduhan dilemparkan parti pembangkang terhadapnya sepanjangtempoh berkempen.

'Tiada rekod MCA terima RM10j'
KUALALUMPUR: Bendahari Agung MCA, Senator Tan Sri Tee Hock Seng, semalammengesahkan parti itu tidak menerima RM10 juta daripada Datuk SeriTiong King Sing seperti didakwa Ketua Pegawai Eksekutif Kuala DimensiSdn Bhd (KDSB) itu terhadap Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat.

T Mohan Ketua Pemuda MIC
KUALALUMPUR: Ketua Koordinator Pemuda MIC, T Mohan dipilih sebagai KetuaPemuda MIC yang baru manakala Datin Paduka P Komala Devi mengekalkanjawatan Ketua Wanita MIC pada pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita danPuteri MIC di sini, semalam.

Syor akar umbi pinda perlembagaan Umno diperhalus: Hishammuddin
KUALALUMPUR: Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa PindaanPerlembagaan Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata cadanganakar umbi mengenai pindaan perlembagaan parti itu akan dikumpulkan dandibincangkan pada bulan puasa ini sebelum dibawa ke peringkattertinggi.

Umno, Pas wajar henti berbalah
KEPALABATAS: Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta Umno dan Pas supayamenghentikan perbalahan berkaitan akidah Islam yang semakinmenjadi-jadi dan ketara sejak kebelakangan ini.Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak gembira melihat kedua-duaparti yang hampir 100 peratus ahlinya adalah orang Islam bergaduhmengenai isu akidah Islam yang tidak memberi apa-apa faedah.

'Kaji tradisi agih kerusi wakil rakyat'
KUALALUMPUR: Tradisi pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri(DUN) antara parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diguna pakaisekarang perlu dikaji semula dengan mengambil kira kehendak pengundikawasan itu.

Pakatan mahu Perak huru-hara
IPOH: Pakatan pembangkang dipercayai sedang merancang mewujudkan siri keduatindakan 'menghuru-harakan' Perak apabila mahu mengadakan Sidang DewanUndangan Negeri (DUN) pada 2 September ini, kata Menteri Besar, DatukSeri Dr Zambry Abdul Kadir.

PDRM cukup anggota pantau pilihan raya
GEORGETOWN:Jumlah anggota polis ditugaskan memantau perjalanan pilihan raya kecilDewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan ditambah sekiranyawujud keadaan tidak stabil sehingga membahayakan keselamatan pendudukdi kawasan itu.

Pusat akan umum projek di Manek Urai
KOTABHARU: Kerajaan Pusat dijangka membuat beberapa pengumuman dalam tempohterdekat bagi memenuhi permintaan masyarakat Manek Urai, sebagaimanadijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya kecil kawasanitu, baru-baru ini.





Polis ambil keterangan Jeff Ooi
PULAUPINANG 16 Ogos - Polis hari ini mengambil keterangan Ahli ParlimenJelutong, Jeff Ooi selama hampir dua jam di pusat khidmatnya di PlazaSri Wonders di sini, berhubung kenyataannya yang mengaitkan syariahIslam sebagai ekstremisme.

PKFZ, KDSB minta surat pelantikan sah Pengerusi LPK
KUALALUMPUR: Pemaju utama Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala DimensiSdn Bhd (KDSB) semalam meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong TeeKeat menunjukkan surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agongataupun pejabat Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan Datuk Lee HwaBeng sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sah sebelum jam4.30 petang hari ini.

SPRM bukan gestapo

SPRM bukan gestapo

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my

Salah laku ahli politik tetap disiasat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan ia bertindak seperti 'gestapo' (polis rahsia Nazi) ketika menjalankan siasatan dan akan tetap menyiasat ahli politik yang dikaitkan dengan salah laku rasuah.

SPRM juga menegaskan pegawainya tidak pernah bertindak kasar terhadap pembantu Exco kerajaan negeri Selangor, Wong Chuan How ketika menahannya di pusat khidmat wakil rakyat Adun Sungai Pelek, di Sepang, pada Jumaat lalu.

Menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan semalam, Wong tidak akan cedera jika mematuhi arahan dan memberikan kerjasama penuh kepada pegawai suruhanjaya itu bagi menyempurna-kan siasatan.

Sebelum ini, pembangkang menuduh SPRM bertindak kasar ketika menahan Wong bagi membantu siasatan berhubung salah guna peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan 235 projek bernilai hampir RM500,000.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya kepada media Sabtu lalu menuduh SPRM bertindak seperti gestapo ketika menahan Wong.

Menghuraikan secara terperinci kronologi siasatan, SPRM menjelaskan, siasatan awal mendapati beberapa program dan bantuan yang menggunakan peruntukan pembangunan Adun Sungai Pelek tidak disampaikan kepada pemohon walaupun sudah diluluskan dan cek diserahkan kepada Wong.

"Hasil hasil siasatan itu menjadikan Wong sebagai suspek utama dan keputusan dibuat agar beliau ditangkap untuk siasatan lanjut. Pada 5 Ogos, SPRM berusaha menghubungi Wong melalui telefon dan menghantar SMS ke telefon bimbitnya tetapi tidak dibalas.

"Pada Khamis lalu, Wong menghantar SMS kepada pegawai SPRM memaklumkan beliau bersetuju bertemu di pejabat pusat khidmat Adun Sungai Pelek pada jam 9 pagi keesokannya," kata SPRM.

Pada hari kejadian, sepasukan pegawai SPRM bertemu Wong berserta dua peguamnya di tempat yang dijanjikan dan mereka menunjukkan kad kuasa kepada mereka bertiga. Wong juga dimaklumkan beliau perlu dibawa ke Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana dokumen berkaitan kes disiasat berada di pejabat itu.

Namun, Wong dan dua peguamnya membantah kerana beliau dikatakan terikat dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Bil 4 Tahun 2009. Akibat daripada keengganan Wong, beliau ditangkap oleh pegawai SPRM mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Wong enggan menurunkan tandatangannya selepas notis mengikut Seksyen 53 (3) Akta SPRM 2009 dibaca dan diserahkan kepadanya.

Selepas itu, Wong melalui peguamnya meminta pegawai SPRM membenarkan beliau ke balai polis untuk membuat laporan berhubung tangkapan itu sebelum mengikut pegawai SPRM ke Putrajaya.

Pegawai SPRM bersetuju dan memaklumkan bahawa Wong adalah di bawah pengawasan SPRM dan perlu menaiki kereta pegawai SPRM untuk ke balai polis.

Namun, ketika Wong yang tidak digari hendak dimasukkan ke dalam kereta yang menunggu di luar, beliau secara tiba-tiba menepis tangan pegawai SPRM yang mengiringinya dan cuba melarikan diri.

Pegawai SPRM kemudian terpaksa menghalang Wong melarikan diri dengan memeluknya dari belakang kerana beliau mula meronta-ronta dan akhirnya menjatuhkan dirinya atas lantai kaki lima deretan kedai di situ.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, ketika dihubungi berkata walaupun menerima kecaman daripada pembangkang, pihaknya tetap menjalankan siasatan terhadap mana-mana ahli politik yang dikaitkan dengan salah laku rasuah.

"Siasatan akan tetap diteruskan. Kami tidak akan berhenti. Kalau berhenti, habislah kita. Parti pembangkang terutama DAP sering mengada-adakan cerita apabila membabitkan siasatan terhadap ahli parti itu.

"DAP memang banyak main wayang. Pembangkang sejak dari dulu memang tidak pernah mahu beri kerjasama. Mereka bercakap seolah-olah kita tidak menjalankan siasatan terhadap orang Umno dan Barisan Nasional (BN)... mengarutlah," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull yang berkata, SPRM akan menghentikan serta merta siasatan terhadap semua kes membabitkan ahli politik kerana menerima kecaman pelbagai pihak berhubung cara siasatan dijalankan.

'SPRM tak wajar beza siasatan'

'SPRM tak wajar beza siasatan'

Oleh Veena Rusli dan Mohd Azrone Sarabatin
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN menerima memorandum mengutuk kegiatan demonstrasi jalanan oleh Abdullah (kanan) sambil diperhatikan Yahya (kiri) ketika tiba di Terminal 2 KKIA, semalam.

TPM mahu semua pihak bekerjasama apabila disiasat

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar membezakan siasatan terhadap orang politik dengan orang biasa kerana undang-undang adalah untuk semua, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isu berbangkit adalah rasuah dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik mesti bekerjasama dengan SPRM apabila diperlukan.

Beliau berkata, SPRM atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini, sudah berpuluh-puluh tahun melaksanakan tugasnya dan mempunyai prosedur tiada bezanya antara dulu dan sekarang kerana semua siasatan menjurus kepada kes rasuah.

"Dalam sejarah rekod BPR dulu pun, banyak pihak dalam parti mana sekalipun terbabit dengan kes rasuah diambil tindakan sama, tanpa perbezaan dan kita tak nak nanti orang sangsi dengan integriti badan yang ditubuh dalam bentuk suruhanjaya.

"Mungkin SPRM ada sebab tertentu nak buat begitu (membezakan siasatan) dan ia bukan keputusan kerajaan, maka terpulanglah atas kebijaksanaan mereka.

"Bagaimanapun, saya kurang pasti mengapa kenyataan (menghentikan siasatan ke atas orang politik) itu dibuat. Apakah perlu ada perbezaan dari segi bentuk atau cara menangani masalah rasuah di kalangan orang politik dengan orang biasa," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebelum berlepas pulang ke ibu negara, petang semalam.

Kelmarin, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, dilaporkan berkata SPRM akan memberhentikan siasatan kes membabitkan ahli politik berikutan kecaman daripada pelbagai pihak berhubung cara siasatan dijalankan.

Muhyiddin juga menasihatkan parti pembangkang supaya tidak membuat perlakuan yang dilihat sebagai enggan bekerjasama dan kemudian tampil membuat pelbagai andaian kononnya SPRM bertindak secara tidak saksama.

"Apabila pegawai SPRM panggil untuk membantu siasatan, rakyat atau sesiapapun yang terbabit mesti beri kerjasama supaya proses undang-undang dapat berjalan dengan baik.

"Nampaknya pembangkang buat cara lain. Mereka sepatutnya bekerjasama, tak payahlah nak melawan pihak berkuasa kerana mereka belum dituduh, belum dibawa ke mahkamah dan mereka tak pasti lagi terbabit dengan rasuah," katanya.

Sementara itu, berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kudat dan Kota Marudu di Dewan Tun Mustapha, Kudat, semalam, Muhyiddin Yassin menyifatkan pihak yang mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan sehingga mencetuskan sentimen perkauman sebagai petualang bangsa yang harus ditentang habis-habisan.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, dasar diamalkan kepemimpinan negara sejak merdeka membolehkan rakyat hidup aman damai, walaupun Malaysia didiami masyarakat pelbagai bangsa dan keturunan.

"Jika ada petualang cuba menjejaskan perpaduan dan mencetuskan sentimen berbaur perkauman, kita anggap mereka sebagai pengkhianat bangsa," katanya.

Perbincangan cari kaedah selesai isu sensitif Rabu

Perbincangan cari kaedah selesai isu sensitif Rabu

PETALING JAYA: Tiga kementerian akan mengadakan perbincangan Rabu ini bagi mencari mekanisme untuk melicinkan dan mempercepatkan proses siasatan dan pendakwaan kes membabitkan isu perkauman, agama, institusi beraja, kedudukan bahasa Melayu terutama di internet.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perbincangan itu membabitkannya; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Katanya, mesyuarat itu akan turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mesyuarat itu bagi membincang dan memperhalusi tindakan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing ke atas mereka yang didapati cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara.

"Peguam Negara akan memberikan nasihat (perundangan) kepada kita, manakala SKMM akan memberikan bukti (sebagai sokongan terhadap sesuatu dakwaan). Ini penting kerana kita tidak mahu orang tidak bersalah didakwa dan apa yang kita lakukan ini juga membabitkan mereka yang berada di alam siber.

"Sekiranya ada pihak yang menggunakan ruang siber sebagai tiang untuk bersembunyi di belakang tuduhan dan dakwaan yang jelas menimbulkan kemarahan dan mempersendakan kaum, agama dan raja, maka mereka perlu bersedia untuk berhadapan dengan tindakan mahkamah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, keharmonian antara kaum perlu dipertahankan dan amanah untuk memeliharanya tidak hanya terletak di bahu polis semata-mata yang menjalankan siasatan tetapi juga pihak lain terutama mahkamah untuk proses pendakwaan.

Lesen guaman batal tak jejas calon BN bertanding

Lesen guaman batal tak jejas calon BN bertanding

Oleh Fazli Abdullah dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my

PENOLONG Pegawai Pengurus SPR, Kamarul Haizal Koderat (tengah) bersama pegawai lain membuat semakan surat akuan sumpah yang akan digunakan di Pusat Penamaan Calon Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir, Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam, semalam.

Penasihat Undang-Undang Umno sudah buat semakan: Zahid

GEORGETOWN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman, layak bertanding walaupun lesen peguam sivilnya dibatalkan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengakui Majlis Peguam Malaysia membatalkan lesen Rohaizat untuk menjadi peguam sivil, berkata perkara itu tidak menjejaskan peluang untuk bertanding.

"Pembatalan itu tidak menyebabkan beliau tidak layak untuk bertanding sebagai calon BN di Permatang Pasir. Penasihat Undang-Undang Umno sudah semak bahawa beliau masih layak," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang bercakap pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Balik Pulau di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas di sini, semalam.

Beberapa pihak dilaporkan menyebut Rohaizat yang dinamakan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, sudah dibatalkan lesen guamannya oleh Majlis Peguam.

Pendedahan itu dilihat sebagai usaha untuk menjejaskan peluang Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh untuk berhadapan dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, pada pilihan raya kecil itu, 25 Ogos ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Rohaizat masih boleh menjalankan khidmat sebagai peguam syarie jika ingin berbuat demikian kerana hanya Mahkamah Syariah negeri yang berhak membatalkan sijil guamannya.

"Itulah sebabnya (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) ketika mengumumkan Rohaizat sebagai calon, beliau disebut sebagai peguam syarie," katanya.

Di BUKIT MERTAJAM, BN akan berusaha memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini, tanpa mengira sama ada dari segi undi atau moral.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Othman, berkata jentera BN perlu bersatu padu dan melupakan persengketaan sesama sendiri bagi memastikan matlamat itu dicapai.

"Kita perlu buktikan kepada orang luar bahawa Umno dapat menguasai kerusi DUN Permatang Pasir kerana calon yang diketengahkan adalah terbaik dan disenangi," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di sini, semalam.

Beliau berkata, Umno Bahagian Permatang Pauh juga perlu bekerja keras memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil itu milik mereka bagi menangkis pandangan serong orang luar terhadap mereka.

"Buktikan pada mereka kita tidak berpecah-belah atau berpuak-puak. Kita boleh bangkit dengan satu tujuan iaitu memastikan kemenangan berpihak pada BN, sekali gus menghapuskan pandangan serong," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Rohaizat yang juga Setiausaha Umno Cawangan Permatang Pauh; Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man; Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat dan seorang calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 25 Ogos.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari Pas yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 31 Julai akibat sakit jantung.

Batal arahan siasat masa pejabat: Nazri

Batal arahan siasat masa pejabat: Nazri

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my

MB Selangor mahu sekat kebebasan SPRM

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, mengarahkan Peguam Negara supaya mengambil tindakan untuk membatalkan arahan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berhubung kebenaran untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan pada waktu pejabat sahaja.

Beliau selaku Menteri bertanggungjawab memerangi rasuah dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini berikrar akan melawan habis-habisan hasrat Menteri Besar Selangor itu, kerana ia akan menyekat kebebasan SPRM sebagai sebuah badan bebas.

"Apa yang dilakukan pembangkang adalah 'cakap tidak serupa bikin'. Saya tidak setuju dan mahu supaya peguam negara mengambil tindakan untuk sama ada ke mahkamah, bagi membatalkan arahan Menteri Besar Selangor itu.

"Saya akan lawan habis-habisan. Saya ingin berkeras dalam hal ini. Saya ingin menyatakan Kerajaan Selangor tidak ada hak mengeluarkan peraturan seperti ini, melainkan ia diputuskan oleh Parlimen untuk menentukan peraturan dan undang-udang tertentu dalam Akta SPRM," katanya pada sidang media selepas melawat Kompleks Mahkamah Kuching di Petra Jaya dekat sini, semalam.

Beliau yang mengulas arahan Menteri Besar Selangor itu susulan insiden yang menimpa Teoh Beng Hock, 30, turut mengulas insiden di Pusat Perkhidmatan DAP Sungai Pelek kelmarin, apabila sekumpulan pegawai SPRM cuba menahan Pembantu Khas seorang Exco Selangor, Wong Chuan How, berhubung pemberian projek membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek.

"Pegawai SPRM menjalankan tugas untuk membasmi rasuah...inilah juga yang dimahukan parti Wong (DAP) sendiri. Tapi nampaknya mereka ini cuba menggunakan apa sahaja peluang untuk menghalang SPRM daripada mengambil tindakan.

"Ramai juga ahli politik Barisan Nasional (BN) yang disiasat oleh SPRM tetapi kita tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyusahkan pegawai SPRM. Apakah masalah DAP...apakah mereka takut?," katanya sambil menambah sedangkan ketua DAP sendiri, Lim Kit Siang mahu supaya SPRM diberi kebebasan menjalankan tugas, namun tindakan mereka pula sebaliknya.

Mengenai cadangan mewujudkan dua bentuk siasatan dalam SPRM iaitu untuk anggota politik dan rakyat, Nazri berkata undang-undang ini adalah untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka.

Beliau juga tidak bersetuju dengan desakan pembangkang supaya Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull meletak jawatan.

"Nampaknya hari ini pembangkang yang sebenarnya cuba untuk menguasai SPRM. Kita (BN) tidak pernah menghalang SPRM menyiasat kita, termasuk saya sendiri satu ketika dulu.

"Apa yang besar sangat DAP sehingga rasuah tidak boleh dilakukan oleh wakil rakyat mereka. Saya mahu Shukri tidak berputus asa, anggap ini semua sebagai cabaran dan saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau. Jangan letak jawatan kerana tekanan pembangkang yang tidak bertanggungjawab," katanya.

'Tiada rekod MCA terima RM10j'

'Tiada rekod MCA terima RM10j'

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Bendahari Agung parti sahkan laporan audit tidak catat cek daripada Tiong

KUALA LUMPUR: Bendahari Agung MCA, Senator Tan Sri Tee Hock Seng, semalam mengesahkan parti itu tidak menerima RM10 juta daripada Datuk Seri Tiong King Sing seperti didakwa Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) itu terhadap Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat.

Sejak mengambil alih jawatan berkenaan tahun lalu, katanya, beliau tidak pernah menerima sumbangan berkenaan daripada Tiong kerana setiap cek diterima parti mesti melalui semakannya.

Malah, Tee turut menolak kemungkinan wang berkenaan diberi sebelum beliau menjadi Bendahari Agung MCA dengan menegaskan perkara itu tidak berlaku.

"Setiap tahun, parti mengemukakan set penuh akaun untuk audit dan ia adalah jelas," katanya pada sidang media selepas Taklimat Khas Presiden oleh Ong yang dihadiri lebih 800 pemimpin MCA di Wisma MCA di sini, semalam.

Laporan akhbar sebelum ini memetik Ong sebagai menafikan beliau menerima 'pinjaman' RM10 juta daripada Tiong bagi aktiviti berkaitan partinya.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dakwaan Tiong itu jelas dibuat dengan beberapa motif, termasuk mengalih perhatian daripada dakwaan penyelewengan yang didedahkan Pasukan Petugas Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKPZ) terhadap KDSB.

Malah, Ong pada Ahad lalu membuat laporan polis terhadap Tiong kerana mendakwanya membuat kenyataan berbentuk fitnah dan memberi kata dua akan menyaman Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu, sekiranya tidak menarik balik tuduhan itu dalam tempoh tujuh hari.

Seterusnya, Tee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan MCA berkata, beliau sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melakukan siasatan terhadap parti itu.

Sementara itu, beliau berkata, jawatankuasa perhubungan negeri berkenaan melahirkan sokongan penuh kepada kepemimpinan Ong yang menangani isu PKFZ dengan telus.

Selain itu, katanya, mereka mengutuk tindakan Tiong yang menggunakan pelbagai taktik untuk menjejaskan imej MCA dan juga merosakkan nama baik Ong.

Syor akar umbi pinda perlembagaan Umno diperhalus: Hishammuddin

Syor akar umbi pinda perlembagaan Umno diperhalus: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata cadangan akar umbi mengenai pindaan perlembagaan parti itu akan dikumpulkan dan dibincangkan pada bulan puasa ini sebelum dibawa ke peringkat tertinggi.

Beliau berkata, menerusi mesyuarat bahagian Umno yang berakhir semalam juga akan membolehkan pihaknya menerima maklum balas daripada akar umbi dalam tempoh dua hari lagi bagi membolehkannya diperhalusi untuk proses seterusnya.

"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan ini akan meneliti dan mengumpulkan dan mendapatkan idea baru yang datangnya daripada akar umbi... inilah hasrat saya supaya kita ambil kesempatan daripada mesyuarat bahagian ini untuk mengupayakan ahli cawangan, bahagian sehingga peringkat negeri.

"Pengumpulan cadangan ini pada Ramadan, oleh itu kita akan mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, insya-Allah akan dapat dibentangkan ke Majlis Tertinggi sehingga tarikh kita bawa usul pindaan sebelum perhimpunan pada hari pertama tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Hishammuddin berkata, beberapa perkara juga perlu diperhalusi antaranya membabitkan aspek pemilihan pemimpin cawangan, bahagian dan pusat sama ada ia boleh dilakukan serentak atau tidak.

Terdahulu dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lembah Pantai, Hishammuddin berkata, Umno masih lagi relevan sehingga sekarang dan parti keramat itu mesti dipertahankan supaya ia dapat terus diterima rakyat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang tamat tidak lama lagi, Hishammuddin berkata, kerajaan akan mengumumkan perkara itu apabila sampai masanya nanti.

'Kaji tradisi agih kerusi wakil rakyat'

'Kaji tradisi agih kerusi wakil rakyat'

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Ambil kira kehendak pengundi, komposisi kaum

KUALA LUMPUR: Tradisi pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diguna pakai sekarang perlu dikaji semula dengan mengambil kira kehendak pengundi kawasan itu.

Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengagihan kerusi ketika ini mengikuti konsep 'diwarisi' iaitu parti sama bertanding kawasan diperuntukkan kepadanya walaupun peluang menang tipis.

"Mungkin sudah tiba masanya tradisi itu dikaji semula sebagai salah satu aspek transformasi untuk memastikan kejayaan kepada BN.

"Kita perlu mengambil kira kehendak pengundi termasuk komposisi kaum di kawasan itu kerana ia faktor amat penting untuk menentukan BN mendapat sokongan pada pilihan raya akan datang.

"Justeru, perlulah ada kajian semula untuk menentukan apakah kehendak rakyat dan sikap serta pendirian pengundi, terutama sebelum menghadapi pilihan raya. Janganlah pengagihan kerusi ditetapkan hanya mengikut tradisi serta amalan sekiranya ia tidak boleh memberi kemenangan kepada parti (BN).

"Bagaimanapun, sudah tentu semuanya (penetapan berkaitan perkara itu) adalah berdasarkan perbincangan dalam BN," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Ke-6 Umno Bahagian Wangsa Maju di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah.

Sementara itu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, kepimpinan Umno pada semua peringkat perlu memahami dan menginsafi keadaan semasa parti yang terjejas kesan daripada pilihan raya umum yang lalu.

Bagi meletakkan Umno pada landasan yang betul semula, katanya, kepimpinan parti perlu melakukan perubahan walaupun ia drastik, pahit, tidak popular, sukar diterima dan bukan mengikut kelaziman.

"Jika kepemimpinan mengambil jalan penyelesaian yang mudah atau ringan, Umno tidak mungkin dapat keluar daripada masalah dihadapi. Oleh itu, adalah penting untuk semua ahli Umno menerima, memahami dan yakin kepada kepimpinan," katanya.

Mohamed Khaled turut membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana sanggup menggadaikan hak istimewa orang Melayu dan Islam untuk kepentingan politik.

Pakatan mahu Perak huru-hara

Pakatan mahu Perak huru-hara

Oleh Shamsul Kamal Amarudin
bhnews@bharian.com.my

Sokongan rakyat termasuk orang Cina kepada kerajaan negeri semakin kukuh

IPOH: Pakatan pembangkang dipercayai sedang merancang mewujudkan siri kedua tindakan 'menghuru-harakan' Perak apabila mahu mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 September ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, pakatan pembangkang melakukan tindakan itu selepas mereka tahu dan bimbang dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh terhadap kerajaan negeri sekarang termasuk di kalangan persatuan masyarakat Cina.

"Saya tidak terkejut dengan tindakan mereka, sebelum ini pun mereka sudah buat sidang DUN bawah pokok dan sekarang nak buat lagi keadaan huru-hara... dengan suasana tidak stabil, dengan sendiri mereka mengharapkan apa yang diinginkan akan tercapai.

"(Tetapi) saya tidak akan tunduk dan terikut dengan permainan mereka...saya percaya rakyat tahu dan sudah muak, benci dan meluat tengok cara mereka ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ipoh Barat di sini, semalam.

Zambry mengulas laporan sebuah akhbar tabloid semalam yang memetik kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bahawa beliau akan menghadiri 'sidang DUN 2 September' jika diarahkan berbuat demikian oleh bekas Speaker, V Sivakumar.

Mohammad Nizar dilaporkan berkata, penetapan tarikh berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Sivakumar yang masih dianggap-nya sebagai Speaker dan mana-mana pihak tidak boleh menghalang atau mempertikai tindakan berkenaan.

Zambry mengingatkan Mohammad Nizar supaya tidak terus melakukan kekecohan di negeri ini dengan mengambil kira perasaan majoriti rakyat yang mahukan kestabilan bagi meneruskan kehidupan seharian.

Beliau berkata, pakatan pembangkang tidak boleh menganggap hanya yang menyokong mereka saja dianggap sebagai rakyat manakala yang tidak menyokong mereka tidak dianggap rakyat tetapi musuh.

Zambry berkata, seorang pemimpin pakatan pembangkang dalam satu siri ceramahnya malam kelmarin dilaporkan telah merayu kepada persatuan masyarakat Cina agar tidak menjemput beliau dalam sebarang majlis mereka.

"Dia takut (sebab) persatuan Cina sudah mula menjemput saya untuk berbincang bagaimana mahu membangunkan ekonomi Perak... mereka (pakatan pembangkang) bimbang kerana kekuatannya hanya ada pada situ (pengundi Cina).

"Ini satu kebimbangan bagi mereka dan satu caranya ialah terus mewujudkan suasana huru-hara (dengan mengadakan sidang DUN sendiri)," katanya.

PDRM cukup anggota pantau pilihan raya

PDRM cukup anggota pantau pilihan raya

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Jumlah ditambah jika keadaan tak stabil: Hishammuddin

GEORGETOWN: Jumlah anggota polis ditugaskan memantau perjalanan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan ditambah sekiranya wujud keadaan tidak stabil sehingga membahayakan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian kerana mempunyai anggota simpanan dari kawasan berhampiran Permatang Pasir.

"Ketika ini kami sudah menempatkan seramai 990 anggota polis untuk memantau perjalanan pilihan raya dan ia akan ditambah sekiranya wujud keadaan tidak stabil akibat angkara pihak berkaitan.

"Anggota polis yang ditambah ini mungkin akan ditempatkan di kawasan panas dan memantau sesi ceramah pihak bertanding bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal serta aman untuk pengundi," katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Terdahulu beliau diberi taklimat dan penerangan berhubung persediaan polis menghadapi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil itu dan 25 Ogos sebagai hari pengundian sekiranya ada pertandingan.

Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othamn, 38, sebagai calonnya, manakala Pas pula menamakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, 52.

Hishammuddin juga mengingatkan supaya semua parti politik bertanding menjaga sikap masing-masing dan tidak menimbulkan suasana membahayakan persekitaran dengan menimbulkan isu-isu sensitif terutama ketika pilihan raya diadakan pada Ramadan.

"Ini kerana kita sudah ada pengalaman berdepan dengan situasi seumpama itu ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos tahun lalu yang menyaksikan banyak isu sensitif ditimbulkan.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan sekiranya mereka menimbulkan suasana membahayakan serta menggugat kesejahteraan dinikmati pengundi selama ini," katanya.

Pusat akan umum projek di Manek Urai

Pusat akan umum projek di Manek Urai


AWANG ADEK beramah mesra dengan warga Bachok yang bekerja dengan Syarikat Nur Abadi Garments Sdn Bhd, semalam.

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat dijangka membuat beberapa pengumuman dalam tempoh terdekat bagi memenuhi permintaan masyarakat Manek Urai, sebagaimana dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya kecil kawasan itu, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata beberapa projek di sekitar Manek Urai kini dalam perbincangan serta penelitian Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan.

Katanya, projek kecil seperti membaiki rumah penduduk miskin dan membaiki jalan kampung sudah dilaksanakan, manakala projek besar seperti pembinaan jambatan baru di Manek Urai Lama, yang dijangka menelan belanja RM10 juta sedang dalam penelitian.

"Sebenarnya BN berjanji akan melaksanakan beberapa projek di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jika BN menang di Manek Urai. Walaupun kalah, berdasarkan sokongan kuat diterima, beberapa projek tetap akan dilaksanakan.

"Saya pasti Kerajaan Pusat akan membuat pengumuman menarik dalam masa terdekat ini bagi memenuhi permintaan rakyat di situ, namun begitu bukan semua permintaan akan ditunaikan.

"Sepatutnya segala projek pembangunan untuk DUN itu dilaksanakan kerajaan negeri, namun disebabkan keprihatinan kerajaan Pusat selain menghormati sokongan masyarakat Manek Urai terhadap BN, beberapa projek tetap dilaksanakan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas majlis bersama warga Bachok dan kakitangan Nur Abadi Garments Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dekat sini, semalam. Hadir sama, Pengurus Besar Nur Abadi Garments, Ariffin Mahmood.

Ditanya mengenai usaha mencemarkan kredibiliti calon BN di DUN Permatang Pasir, Rohaizat Othman, 38, Dr Awang Adek yang juga Ketua Umno bahagian Bachok berkata, semua itu adalah helah dan taktik pembangkang.

Katanya, pembangkang akan mencari pelbagai sebab untuk menjatuhkan calon BN kerana terlalu inginkan kepada kemenangan.

"Rohaizat seorang calon berwibawa dan mempunyai pengalaman serta berpelajaran tinggi dan penduduk di DUN itu boleh membuat penelitian serta kesimpulan sebaik mungkin terhadap calon itu. Apa yang dilakukan pembangkang ialah untuk mencemarkan kredibiliti calon BN itu," katanya.

PKFZ, KDSB minta surat pelantikan sah Pengerusi LPK

PKFZ, KDSB minta surat pelantikan sah Pengerusi LPK

KUALA LUMPUR: Pemaju utama Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) semalam meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat menunjukkan surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong ataupun pejabat Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan Datuk Lee Hwa Beng sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sah sebelum jam 4.30 petang hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Faizal Abdullah, berkata pihaknya mahu Ong supaya segera menyiarkan surat pelantikan Lee yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ataupun pejabat Yang di-Pertuan Agong sama ada di media ataupun portal rasmi kementerian itu segera.

Beliau berkata, ini kerana, KDSB difahamkan menerusi blog Menteri Pengangkutan bahawa beliau secara peribadi mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh Lee sebagai Pengerusi LPK selepas ia tamat pada 31 Mac lalu.

"Adakah Menteri Pengangkutan berkuasa untuk berbuat demikian... jika tidak, adakah ia tidak melanggar kedudukannya sebagai seseorang yang menjawat jawatan sebagai menteri... jika begitu, adakah Datuk Lee Hwa Beng membantu Menteri Pengangkutan menyalahgunakan kuasa...

"Datuk Lee Hwa Beng sudah melakukan banyak perkara secara umum menerusi jawatannya di dalam LPK selepas 31 Mac 2009, jadi adalah tidak adil untuk mencemarkan imej KDSB sebagai badan persendirian tetapi juga imej kerajaan secara tidak langsung," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain itu, Faizal berkata, menerusi peguam, pihaknya difahamkan kuasa untuk melantik Pengerusi LPK terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 2(4), bukannya berada di bawah kuasa Menteri Pengangkutan.

Katanya, Menteri Pengangkutan hanya berkuasa untuk melantik pengurus besar dan antara lima dan sembilan ahli pihak berkuasa LPK.

"Oleh itu, mereka perlu buktikan bahawa kedudukan Lee Hwa Beng sebagai Pengerusi adalah sah kerana beliau banyak membuat kenyataan awam sejak 31 Mac lalu, iaitu tempoh bagi perkhidmatannya sepatutnya tamat," katanya.

Dijamin berjalan lancar

Dijamin berjalan lancar

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 16 Ogos - Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir esok dijamin akan berjalan lancar dan berlangsung dalam keadaan terkawal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya telah mengatur kawalan keselamatan secukupnya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang tempoh penamaan calon.

Menurut beliau, semua persiapan dan langkah keselamatan disusun dengan baik selepas mendapat taklimat daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, kelmarin.

''Saya dah lihat persiapan keselamatan yang diatur oleh polis Pulau Pinang dan saya cukup berpuas hati dengan semua persiapan untuk memastikan hari penamaan calon berjalan lancar dan terkawal.

''Jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak diduga, kita juga sudah membuat persiapan untuk itu," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu di Everly Resort Hotel, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron.

Pada pilihan raya kecil 25 Ogos ini, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon muda, Rohaizat Othman, 38, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh. Beliau akan dicabar oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52.

Menurut Hishammuddin, seramai 998 anggota dan pegawai polis akan ditempatkan di barisan hadapan sepanjang hari penamaan calon.

Di samping itu, kata beliau, pasukan tambahan pula diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan akan bertindak jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak ingini.

Dari segi logistik pula, kata Hishammuddin, penyokong kedua-dua calon akan turut diasingkan dengan kawalan yang cukup ketat.

''Kita akan pisahkan kedua-dua penyokong calon BN dan Pas bagi mengelakkan mereka daripada bertembung," katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin sekali lagi meminta kerjasama kedua-dua parti yang bertanding agar tidak bertindak hingga boleh menimbulkan ketegangan.

Beliau menegaskan, polis akan bertindak tanpa mengira sama ada mereka daripada BN atau Pas jika ada di antara mereka dengan sengaja menimbulkan kekecohan sepanjang hari penamaan calon.

''Jika ada di antara mereka yang bertindak di luar batasan, pihak polis tidak akan teragak-agak menahan mereka dan bertindak mengikut undang-undang yang sedia ada," katanya.

Saya sedia jawab segala tuduhan - Rohaizat

Rohaizat sedia hadapi apa saja tuduhan

BUKIT MERTAJAM: Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman sedia menghadapi apa saja tuduhan dilemparkan parti pembangkang terhadapnya sepanjang tempoh berkempen.

Beliau yang bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang Syariah berkata ia adalah risiko dan cabaran yang perlu ditanggungnya selepas menyatakan kesediaan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Saya sedia berhadapan dengan tanggapan negatif dan tuduhan pembangkang tetapi hanya menjawab apabila tiba masanya. Bagaimanapun pada masa ini, saya serahkan pada Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Hafarizam Harun untuk menjelaskannya," katanya.

Rohaizat berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas khabar angin yang tersebar di sini bahawa beliau disenaraihitamkan oleh Majlis Peguam Malaysia.

Rohaizat yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada Hafarizam untuk menjelaskannya kerana ia berkaitan dengan undang-undang.

Diminta mengulas peluangnya sebagai calon mungkin terjejas berhubung itu, Rohaizat berkata, ia tidak menjadi masalah kepadanya dan menganggapnya sebagai satu isu lama yang sudah selesai serta cuba dipolitikkan pihak tertentu.

"Saya memang seorang peguam tetapi tidak mengamalkannya sejak hampir dua tahun lalu. Jadi, saya tidak nampak sebarang masalah akan timbul pada hari penamaan calon," katanya.


Saya sedia jawab segala tuduhan - Rohaizat

BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman sudah bersedia menghadapi pihak pembangkang sepanjang tempoh berkempen bermula esok.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah menjangka akan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan bersifat peribadi tetapi menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi ekoran kesediaannya bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.

''Saya sudah bersedia untuk menghadapi tuduhan (pembangkang) dan sedar bahawa mereka akan menggunakan serangan peribadi (ketika kempen), saya akan menjawab apabila tiba masanya.

''Bagaimanapun, pada masa ini, saya serahkan kepada Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun menjelaskannya. Satu kenyataan mengenai perkara ini akan dikeluarkan beliau petang ini," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa beliau disenaraihitamkan oleh Majlis Peguam Malaysia.

Rohaizat bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada Hafarizam untuk menjelaskan.

Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan peluang BN di Permatang Pasir, Rohaizat berkata, '' Saya tidak fikir begitu."

Tambahnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah dan menganggapnya sebagai satu isu lama yang sudah selesai dan tiada kaitan dengannya.

''Saya memang seorang peguam, tetapi tidak mengamalkannya sejak hampir dua tahun lalu," kata Rohaizat sambil menambah, beliau sedar isu yang cuba hendak dibangkitkan oleh Pas itu.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rohaizat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sebagai calon BN yang bakal dicabar Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52 tahun.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

Calon BN mula 'pasang gear satu'

Calon BN mula 'pasang gear satu'


naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata sesuatu kepada Rohaizat Othman (tengah) sambil diperhatikan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainol Abidin Osman di Permatang Ara, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Kurang 24 jam selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman mula memasang 'gear satu' menjelang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan turun padang menemui penduduk.

Semalam, Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh itu memenuhi tiga jemputan majlis perkahwinan di Kampung Sama Gagah dan Tanah Liat, di sini selain turun padang meninjau persiapan jentera pilihan raya BN di peti-peti undi sekitar Permatang Pasir.

Rohaizat, 38, bagaimanapun berkata, ia berlaku secara kebetulan kerana sebelum diumumkan sebagai calon, beliau sebenarnya dilantik sebagai penyelaras jentera pilihan raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Justeru katanya, beliau tidak melihat itu sebagai bentuk kempen kerana hari penamaan calon hanya akan berlangsung Isnin ini.

''Bukan hendak berkempen, sebelum ini saya dilantik sebagai penyelaras jentera dan saya sudah buat beberapa persiapan untuk jentera. Jadi, saya gunakan masa yang ada untuk berjumpa mereka (anggota jentera pilihan raya).

''Sebelum ini saya sudah dapat jemputan daripada kenalan untuk hadir majlis perkahwinan dan apabila hari ini ada kelapangan, saya datanglah. Sekurang-kurangnya boleh berjumpa dengan penduduk di situ," katanya ketika ditemui pemberita di sini petang semalam.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan Rohaizat yang juga Penasihat Undang-Undang Syariah sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Beliau bakal berdepan Pesuruhjaya Pas, Salleh Man, 52, yang akan mempertahankan kerusi itu, yang sebelum ini disandang oleh pemimpin Pas, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat sakit jantung 31 Julai lalu.

Ditanya mengenai reaksi ahli keluarganya sejurus dipilih sebagai calon, Rohaizat mengakui, isterinya, Khairul Niza Abdul Razak, 38, terkejut sebaik mengetahui beliau akan mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu.

''Rasa terkejut yang saya alami (selepas diumumkan sebagai calon) sudah reda tapi isteri saya belum lagi, dia pun tak sangka saya akan jadi calon. Tapi alhamdulillah, isteri dan ahli keluarga memberi restu kepada saya," tambahnya.

Mengenai persediaan beliau untuk melalui jadual ketat sepanjang kempen pilihan raya, Rohaizat berkata, semua urusan mengenai kempen sedang diatur oleh jawatankuasa UMNO di peringkat Pusat, negeri dan bahagian.

Menjawab soalan mengenai andaian bahawa BN bakal berdepan calon lawan yang berpengalaman berikutan perbezaan usia yang ketara antara beliau dan Salleh, Rohaizat berkata, faktor itu bukan jaminan kemenangan kepada mana-mana calon.

''Insya-Allah, berbekalkan latar belakang pendidikan serta pengalaman lebih 12 tahun dalam UMNO cawangan dan bahagian, saya yakin dapat memberi sumbangan khidmat kepada penduduk di sini (Permatang Pasir).

''Apa yang penting, saya mahu memasuki gelanggang (pilihan raya) sebagai underdog yang mahu bersemuka dengan pengundi dan berkongsi apa juga permasalahan dengan mereka," tambah bapa kepada seorang anak itu.

UMNO Perak bantu kempen - MB

UMNO Perak bantu kempen - MB

IPOH 16 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, UMNO negeri akan menghantar jentera bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Pulau Pinang.

Menurutnya, jentera itu akan bergerak secara teratur dan berterusan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan di kawasan itu.

"Kita akan bersama-sama dengan UMNO Pulau Pinang dan BN untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Hamdan Abd. Rahman kerana sakit jantung pada 31 Julai lalu.

Ditanya mengenai pakatan pembangkang yang mahu mengadakan Persidangan DUN pada 2 September ini, Zambry berkata, rancangan itu dibuat semata-mata untuk menghuru-harakan negeri ini.

"DUN Perak telah melantik Datuk R. Ganesan sebagai Speaker bagi menggantikan bekas Speaker V. Sivakumar dan ia dibuat dalam Persidangan DUN," ujarnya.

Jelas Zambry, pakatan pembangkang melakukan rancangan tersebut kerana kerajaan negeri yang diterajui BN semakin mendapat sokongan rakyat.

Zambry berkata, beliau tidak akan tunduk kepada permainan politik parti pembangkang kerana rakyat sudah muak dengan tindak-tanduk seumpama itu.

"Sebagai Menteri Besar saya akan teruskan agenda ekonomi dan pembangunan sosial untuk rakyat dan sama sekali tidak akan terikut-ikut dengan rentak mereka," ujarnya.

Pertandingan tiga penjuru di Permatang Pasir?

Pertandingan tiga penjuru di Permatang Pasir?

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir 25 Ogos ini bakal menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pas dan seorang calon bebas.

Sehingga petang ini, tiga individu sudah mengesahkan akan bertanding dengan menyerahkan borang pencalonan dan membayar deposit untuk calon sebanyak RM5,000.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada individu yang tampil menawarkan diri sebagai calon pada saat-saat akhir esok.

''Menurut rekod kita (SPR), enam borang pencalonan sudah diambil tetapi setakat ini hanya tiga yang dikembalikan bersama wang deposit calon.

''Tunggulah, mungkin ada lagi yang mahu menjadi calon pada saat-saat akhir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat penamaan calon dan penjumlahan undi pilihan raya itu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini.

BN sebelum ini mengumumkan akan meletakkan calonnya, Rohaizat Othman, 38, manakala Pas pula memilih Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man, 52, untuk menentangnya.

Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, yang sebelum ini bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Penanti 31 Mei lalu turut menawarkan diri dalam pilihan raya kali ini.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari Pas kerana sakit jantung pada 31 Julai lalu.

Mengenai persediaan menjelang pilihan raya kecil itu, Abdul Aziz memberitahu, 474 pegawai dan kakitangan SPR akan bertugas pada hari penamaan calon esok sehingga hari mengundi.

Katanya, SPR membuka enam kaunter di sekitar kawasan Permatang Pasir dari pukul 10 pagi hingga 5 petang untuk memudahkan para pengundi membuat semakan daftar mengundi.

Beliau menasihatkan parti yang bertanding supaya tidak membawa terlalu ramai penyokong pada hari penamaan calon esok bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

''Kalau boleh kita harap tidak terlalu ramai yang datang berhimpun dan berarak mengiringi calon kerana ia mengundang banyak masalah seperti kesesakan dan ketenteraman.

''Mengambil kira perkembangan penularan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) yang semakin serius, kita harap perhimpunan dan perarakan penyokong yang terlalu ramai dapat dielakkan," tambahnya.

Selain itu beliau meminta parti-parti yang bertanding supaya menjalankan kempen secara aman dan berhemah, lebih-lebih lagi ia berlangsung pada bulan Ramadan.

DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi terdiri daripada 72.4 peratus Melayu, 25.8 peratus (Cina), 3.39 peratus (India) dan 0.16 peratus (kaum-kaum lain).

Proses penamaan calon akan berlangsung esok di Dewan Perdana, IKBN Bukit Mertajam dan hari pengundian adalah pada 25 Ogos ini.

'UMNO, Pas hentilah berbalah'

'UMNO, Pas hentilah berbalah'

KEPALA BATAS 16 Ogos - UMNO dan Pas diingatkan supaya menghentikan sebarang perbalahan politik dalam soal agama, sebaliknya bermuafakat dan mencari jalan untuk mengukuhkan imej serta perpaduan umat Islam di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebagai parti terbesar orang Melayu, UMNO dan Pas mesti mempunyai pendirian yang sama dalam mempertahankan tuntutan agama, khususnya yang menyentuh soal akidah.

Menurut beliau, banyak isu yang menyentuh soal agama dibangkitkan kebelakangan ini sekali gus menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat kerana dikhuatiri ia akan mencetuskan perbalahan.

''Sekarang ini banyak isu mengenai agama ditimbulkan, tidak ada sebab kenapa UMNO dan Pas yang ahlinya 100 peratus beragama Islam perlu berbalah dalam soal ini.

"Semua umat Islam itu bersaudara dan perlu berpegang kuat kepada tali Allah kerana itu yang dikehendaki oleh agama. Jangan kerana parti, kita hendak berbalah dan tuduh-menuduh antara satu sama lain," katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan UMNO bahagian itu di sini hari ini.

Abdullah berkata, kedua-dua parti itu mungkin berbeza pandangan mengenai polisi atau pendekatan dalam membangunkan negara, tetapi ia bukan alasan untuk berbalah dalam soal agama.

Katanya, walaupun sebelum ini usaha menemukan UMNO dan Pas untuk berbincang mengenai perpaduan tidak menjadi kenyataan, masih ada ruang untuk kedua-dua parti itu mencari titik persamaan demi kepentingan agama.

"Masih ada peluang (untuk berbincang). Ia mungkin lebih mudah jika kedua-dua parti menyatakan terlebih dahulu perkara-perkara yang hendak dibincangkan," katanya.

Ditanya mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, Barisan Nasional (BN) perlu mengumpul kekuatan 100 peratus bagi memberi saingan kepada Pas.

Jelasnya, hanya dengan kekuatan dan kerjasama dari semua parti komponen boleh memberi kemenangan kepada BN khususnya dalam melicinkan kerja-kerja jentera pilihan raya.

"Kalau semua parti komponen sama-sama turun dan bekerja keras, kita boleh menang. Apa yang penting ialah kita muafakat dan memberi keyakinan kepada pengundi," katanya.

Abdullah turut menasihatkan parti yang bertanding supaya berkempen secara berhemah memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan dalam bulan Ramadan.

''Janganlah ketika berkempen, kita berbalah lebih-lebih lagi soal agama. Semua pihak perlu menjaga percakapan dan perbuatan, jangan sampai ia mencemarkan ibadah (puasa) kita," tambahnya.







Umno, Pas wajar henti berbalah

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Pergaduhan dua parti Islam tidak membawa faedah

KEPALA BATAS: Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta Umno dan Pas supaya menghentikan perbalahan berkaitan akidah Islam yang semakin menjadi-jadi dan ketara sejak kebelakangan ini.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak gembira melihat kedua-dua parti yang hampir 100 peratus ahlinya adalah orang Islam bergaduh mengenai isu akidah Islam yang tidak memberi apa-apa faedah.

Katanya, jika kedua-dua parti hendak berbalah sekali pun, biarlah mengenai isu yang memberi manfaat seperti pembangunan dan kebajikan rakyat tanpa membabitkan akidah Islam semata-mata seperti sekarang.

"Sehubungan itu, saya cadangkan supaya kedua-dua parti berbincang sekali lagi untuk mencari kesepakatan mengenai isu yang tidak boleh disentuh serta dipolitikkan.

"Mungkin mereka boleh gunakan kesempatan pilihan raya kecil Permatang Pasir ini sebagai permulaan.

"Mungkin Umno boleh menjadi peneraju dengan menemui kepimpinan Pas sekali lagi bagi mencadangkan perkara ini (perbincangan) dan minta mereka (Pas) senaraikan isu sedia dibincangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di sini, semalam.

Sejak kebelakangan ini, Umno dan Pas sering berbalas kenyataan berhubung tindakan beberapa pemimpin DAP yang dilihat mengeluarkan kenyataan menghina Islam.

Antaranya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam serta kefahaman mereka terhadap agama rasmi Persekutuan itu mungkin tidak mendalam.

Beliau sebaliknya menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

Kenyataannya itu dibidas pemimpin Umno antaranya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Menteri Besar Kelantan itu sanggup menghalalkan tindakan menghina Islam tanpa memikirkan sentimen orang lain hanya kerana pihak menghina adalah rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Abdullah mahu tanggapan pelbagai pihak terutama parti pembangkang bahawa pihak berkuasa negara ini hanya bertindak terhadap sesebuah kaum tertentu, dihentikan.

"Ini (tanggapan) tidak begitu elok kerana mampu merosakkan perpaduan kaum dan menimbulkan keadaan tidak baik kepada rakyat. Mereka harus ada keyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak kerana seseorang itu bersalah bukan disebabkan kaum," katanya.

Pesan Dr. Mahathir kepada ahli politik

Pesan Dr. Mahathir kepada ahli politik

TRONOH 16 Ogos - Seseorang ahli politik atau pemimpin mesti menjauhi kesalahan atau perkara-perkara tidak baik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, golongan tersebut perlu sedar bahawa setiap kesalahan yang dilakukan atau perkara-perkara tidak baik itu biasanya akan diketahui oleh rakyat akhirnya.

Selain itu katanya, 'pertelingkahan' di antara ahli politik bukan sahaja menimbulkan tanggapan tidak elok kepada rakyat malah memburukkan imej parti yang diwakili.

''Apabila ada sesuatu kesalahan inilah (jadinya) tak dapat tidak, orang ramai akan dapat tahu. Kita tidak boleh sembunyikan.

''Sebab itu kalau nak jadi pemimpin, nak jadi ketua, jangan terlibat dengan perkara-perkara tidak baik," katanya selepas Majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kontroversi membabitkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung isu kewangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Rabu lalu, King Sing secara terbuka mendakwa Tee Keat yang juga Presiden MCA menerima RM10 juta daripadanya selaku Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn. Bhd. iaitu pemaju siap guna PKFZ untuk menjayakan aktiviti parti itu.

Dakwaan tersebut mendorong Tee Keat membuat laporan polis sehari selepas itu selain turut mengumumkan kepada media bahawa beliau juga telah meminta peguamnya menghantar surat tuntutan terhadap King Sing.

Mengulas lanjut kata Dr. Mahathir, beliau melihat isu PKFZ itu akan berpanjangan dan pertengkaran terbuka yang berlaku antara kedua-dua ahli politik itu hanya akan mencemarkan imej kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

Ditanya apakah nasihat beliau kepada kedua-dua pemimpin terbabit katanya, mereka perlu bekerjasama dan mengelakkan pertelingkahan secara terbuka.

Mengulas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenaan umur persaraan kakitangan kerajaan iaitu 58 tahun hanya akan merugikan negara kerana kehilangan golongan yang berpengalaman dan masih boleh menyumbang, Dr. Mahathir berkata, terserah kepada kerajaan untuk mengkaji perkara itu.

Sultan Perak membangkitkan perkara itu ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-22 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia di Wisma Samudera, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut malam tadi.

Seramai 1,169 siswazah menerima ijazah masing-masing pada majlis Konvokesyen UTP tahun ini.

UMNO perlu bersemangat perjuangkan kedaulatan negara

UMNO perlu bersemangat perjuangkan kedaulatan negara

MELAKA 16 Ogos - UMNO hari ini dituntut supaya bersemangat memperjuangkan kedaulatan negara sama seperti ketika memperjuangkan hak orang Melayu semasa menentang Malayan Union pada 1946.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, ia perlu dilakukan untuk menghentikan pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap parti itu kebelakangan ini.

Menurutnya, ini kerana segelintir rakyat hari ini dilihat lebih mempertahankan orang yang membuat kesalahan daripada pihak yang cuba melakukan kebaikan.

"UMNO hari ini dituduh sebagai perkauman. Ia tidak benar tetapi dipercayai oleh segelintir rakyat.

"UMNO juga selama ini akur dengan perlembagaan tetapi ada pemimpin yang menghasut rakyat sehingga mereka menganjurkan macam-macam perkara tidak baik apabila ia bercanggah dengan kehendak mereka," ujarnya.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Idris Haron.

Menurut Razali, keadaan itu menyebabkan pembangunan negara tidak dapat berjalan dengan lancar terutama apabila segelintir rakyat dilihat seolah-olah berkuasa sehingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa akur dengan kehendak mereka.

"Bayangkan apa akan jadi kepada negara kalau polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berundur apabila diserang rakyat yang 'diapi-apikan' oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab," katanya.

T. Mohan menang Ketua Pemuda MIC

T Mohan Ketua Pemuda MIC

Oleh Faiza Zainudin

faiza@bharian.com.my


MOHAN dijulang selepas menang pemilihan Ketua Pemuda MIC, di Kuala Lumpur, semalam.

P Komala Devi kekal jawatan Ketua Wanita kalahkan S Thangasvari


KUALA LUMPUR: Ketua Koordinator Pemuda MIC, T Mohan dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC yang baru manakala Datin Paduka P Komala Devi mengekalkan jawatan Ketua Wanita MIC pada pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri MIC di sini, semalam.

T Mohan, yang memangku jawatan Ketua Pemuda MIC sejak Jun lalu menewaskan pencabarnya, SP Muthu Veloo, Ketua Pemuda MIC Bahagian Subang, yang juga anak saudara Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Mohan meraih 321 undi, manakala Muthu Veloo 148 undi. Pertandingan itu dianggap bersejarah kerana ini kali pertama jawatan tertinggi dalam pergerakan Pemuda MIC dipertandingkan.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda dimenangi Ketua Biro Politik dan Risikan MIC, V Mugilan dengan 266 undi menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang, R Vidyananthan (204 undi).

Ketua Wanita, Komala Devi mengekalkan kedudukannya dengan meraih 238 undi mengatasi pencabar yang juga timbalannya, S Thangasvari, yang mendapat 212 undi.

Jawatan Timbalan Ketua Wanita dimenangi Ahli Majlis Tertinggi Wanita Pusat yang juga Ketua Wanita MIC Grik, Dr C V Prema dengan 279 undi, mengalahkan Ketua Wanita Negeri Sembilan, D P Thanaletchumy (172 undi).

Jawatan Ketua Puteri dan Timbalan Ketua Puteri MIC tidak dipertandingkan dan Samy Vellu melantik penyandangnya, Senator J Usha Nandhini sebagai penyelaras manakala menantunya, V Shaila Nair sebagai pembantu penyelaras.

Seramai 512 perwakilan Pemuda MIC dan 572 perwakilan Wanita MIC mengundi pada pemilihan kali ini.

Kedua-dua sayap pergerakan itu juga memilih dua wakil masing-masing bagi menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, 12 bagi Majlis Pemuda dan Wanita MIC dan 35 perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC yang dijadualkan 12 September ini.

Sementara itu, Mohan menyifatkan pemilihannya membuktikan kerja keras yang dilakukan terhadap parti selama ini membuahkan hasil.

Beliau yang tidak terkejut dengan kemenangannya berkata, sokongan padu pada peringkat akar umbi membantunya meraih kemenangan.

"Mereka nampak usaha dan kerja saya, saya yakin boleh menang, itu kelebihan saya yang mereka nampak, boleh bekerja dan membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Akar umbi menilai kemampuan dan komitmen saya yang dilakukan tanpa mengira masa sejak dulu lagi," katanya yang berazam membantu MIC mencapai kejayaan lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.







T. Mohan menang Ketua Pemuda MIC

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Penyelaras Pergerakan Pemuda MIC, T. Mohan memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda parti itu dengan mengalahkan S. P. Muthuveloo.

Mohan, 36, berjaya memenangi jawatan itu dengan majoriti 173 undi apabila memperoleh 321 undi manakala Muthuveloo, 38, yang juga anak saudara kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu pula mendapat 148 undi.

Samy Vellu ketika mengumumkan perkara itu berkata, Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor, V. Mugilan memenangi jawatan Naib Ketua pergerakan itu dengan majoriti 16 undi mengalahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyananthan.

"Mugilan yang merupakan Ketua Biro Politik parti telah memperoleh 266 undi manakala Vidyananthan mendapat 240 undi,'' katanya ketika mengumumkan keputusan pemilihan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tambah Samy Vellu, Datin Paduka Komala Krishnamoorthy yang juga Ketua Wanita MIC berjaya mempertahankan jawatan apabila mengalahkan pesaingnya, S. Thangeswari dengan majoriti 26 undi.

"Komala memperoleh 238 undi manakala Thangeswari yang merupakan Ketua Wanita Perak mendapat 212 undi.

"Bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita pula, Dr. V. Prama Kumari berjaya mengalahkan Dr. P. Tanaletchumy dengan majoriti 107 undi,'' jelasnya.

Menurutnya, 10 calon Pemuda MIC telah bertanding bagi kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan hanya dua orang telah dipilih iaitu G. Kumaaraamaan dan V. P. Shanmugam.

"Sementara itu enam calon wanita telah bertanding untuk memenangi dua kerusi CWC. Dua calon yang mendapat jumlah undi tertinggi adalah S. Murugeswary dan M. Mogana,'' kata beliau.

Sementara itu, Komala Devi ketika ditemui berkata, beliau gembira kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengetuai pergerakan wanita parti itu.

"Banyak kerja perlu dilakukan oleh saya selepas ini. Antaranya ialah mengadakan kursus kepercayaan untuk mendapat kerjasama ahli-ahli peringkat akar umbi bagi mengukuhkan perpaduan parti dan memperoleh semula kepercayaan rakyat," katanya.

Mohan pula berkata, kemenangan hari ini memberi peluang kepadanya untuk meneruskan semua agenda yang sudah dirancang sebelum ini.

Had umur Pemuda MIC ditingkatkan 45 tahun

Had umur Pemuda MIC ditingkatkan 45 tahun

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Had umur bagi menyertai Pergerakan Pemuda MIC akan dinaikkan daripada 40 ke 45 tahun untuk membolehkan lebih ramai golongan muda menyertainya.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, langkah itu selaras dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain seperti UMNO, MCA dan Gerakan yang menetapkan had umur itu.

Beliau berkata, kebanyakan ahli Pemuda MIC ketika ini sudah menjangkau umur 40, menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa keluar daripada pergerakan itu.

"Cadangan baru itu akan membantu MIC untuk mempunyai lebih ramai anggota muda serta mampu menyediakan pemimpin pelapis pada masa depan,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita, Puteri dan Putera MIC Kebangsaan Ke-25 di sini hari ini.

Sebelum ini, MIC menetapkan had umur 40 tahun untuk menerajui Pergerakan Pemuda parti, bagaimanapun ia menyebabkan Ketuanya, S. A. Vigneswaran meletakkan jawatan Julai tahun lalu.

Terdahulu, Samy Vellu dalam ucapannya berkata, permohonan keahlian parti juga akan diperluas melalui on-line kerana pihaknya mendapati ramai golongan muda dan berpendidikan tinggi ingin menjadi ahli tetapi menghadapi pelbagai kesukaran.

"Melalui kaedah ini, kita dapat menarik minat golongan tersebut untuk menjadi ahli dan seterusnya menyumbang kepada MIC dan membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti ini,'' jelasnya.

Ahli-ahli MIC dan pemimpin juga digalak mewujudkan blog masing-masing dan menggunakan laman sosial Facebook untuk berinteraksi.

Ahli UMNO disaran miliki Facebook

Ahli UMNO disaran miliki Facebook

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Setiap ahli UMNO terutama kalangan pemimpin disaran menyertai laman sosial Facebook sebagai satu cara untuk menarik generasi muda mendekati parti itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin berkata, langkah itu menepati aspirasi generasi kini yang lebih mengenali dunia Internet berbanding mendapatkan maklumat menerusi media tradisi.

‘‘UMNO perlu mula menggunakan gelanggang yang betul dan mengikut peredaran semasa supaya ia terus relevan dengan kehendak rakyat.

‘‘Untuk UMNO terus berjaya, jika kita tidak ambil tindakan sewajarnya, kita tidak akan dapat bergerak ke depan,’’ katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju di sini hari ini.

Mohd. Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, penggunaan Facebook juga boleh membantu ahli UMNO meneroka pandangan generasi muda dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, UMNO perlu melakukan apa yang terdaya demi kelangsungan politik dan perkembangan orang Melayu walaupun cara itu tidak popular, drastik atau menyakitkan.

Polis ambil keterangan Jeff Ooi

Polis ambil keterangan Jeff Ooi

PULAU PINANG 16 Ogos - Polis hari ini mengambil keterangan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi selama hampir dua jam di pusat khidmatnya di Plaza Sri Wonders di sini, berhubung kenyataannya yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme.

Kenyataannya juga diambil ekoran dua laporan polis yang dibuat masing-masing oleh Persatuan Putra Pulau Pinang pada 12 Ogos dan Forum Penyelarasan Umat (Forum) di Balai Polis Jalan Patani pada 14 Ogos lalu.

Tiga pegawai polis terdiri daripada Asisten Supritendan Fauzi Mohd. Yusof, Cif Inspektor Rosli Tipu dan Inspektor Assrul Hadi Makmur dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut tiba di pusat khidmat itu pada pukul 11 pagi.

Difahamkan, selain Ooi, dua pembantu peribadinya iaitu Yeoh Boo Seong dan Teoh Choo Cheow juga diambil keterangan kerana turut berada di pusat khidmat tersebut pada hari beliau membuat kenyataan itu pada 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut.

"Kita telah ambil kenyataan beliau dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(b) Akta Hasutan 1948," katanya.

Pada 2 Ogos lalu, dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme.

Ooi juga mendakwa Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Razali Abdullah yang juga ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) mempunyai misi membentuk Malaysia sebagai negara yang menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya menjelang 2020.

Tindakan Ooi itu menyebabkan pelbagai pihak termasuk Angkatan Pemuda Keadilan Pulau Pinang menghantar memorandum mendesak beliau meletak jawatan dan meminta maaf.

Pada 9 Ogos lalu, Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu dalam sidang akhbarnya tetap dengan pendiriannya untuk tidak meminta maaf, sebaliknya hanya menarik balik kenyataannya.