GENEVA: Ketua badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Louise Arbour mengecam perisytiharan darurat di Pakistan dan penahanan hakim dan tokoh politik.
"Perisytiharan darurat hanya patut diguna dalam menangani ancaman keselamatan yang meruncing bukan untuk menjejas kewibawaan dan kebebasan kehakiman," kata pesuruhjaya tinggi hak asasi PBB itu dalam satu kenyataan.
Arbour menyatakan kebimbangannya terhadap laporan beberapa hakim utama, peguam dan aktivis politik ditahan atau diletakkan di bawah tahanan kediaman, termasuk utusan khas PBB berhubung kebebasan beragama dan kepercayaan, Asma Jahangir.
Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat Sabtu lalu dengan menyatakan ancaman militan dan kehakiman yang campur tangan dengan urusan kerajaan sebagai alasan bagi mengeluarkan perintah itu.
Perisytiharan darurat itu dibuat beberapa hari sebelum Hakim Mahkamah Agung sepatutnya dijadual bersidang hari ini berhubung kesahihan pemilihan Musharraf sebagai presiden.
Arbour berkata beliau agak terganggu dengan penggantungan hak asasi di bawah perintah darurat.
Di bawah undang-undang antarabangsa, hak kepada kehidupan, larangan terhadap tahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan layanan kejam dan tidak berperi kemanusiaan tidak boleh ditarik balik, walaupun dalam keadaan darurat, katanya.
Ketua hak asasi PBB itu menggesa pihak berkuasa Pakistan menjelaskan kedudukan mereka yang ditahan dan menjamin tidak ada siapa yang ditahan semata-mata kerana menggunakan secara aman hak politik mereka.
Sementara itu di BEIJING, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates mendesak Musharraf mengembalikan negaranya kepada demokrasi berperlembagaan.
"Kami mendesak Musharraf kembali kepada pemerintahan berlandaskan undang-undang, perlembagaan dan demokrasi secepat mungkin," kata Gates kepada wartawan.
Beliau berkata perisytiharan darurat dan penggantungan perlembagaan adalah perkembangan yang membimbangkan.
Seorang jurucakap Pentagon yang mengiringi Gates berkata Washington menggantung perbincangan pertahanan tahunan dengan Pakistan berikutan pergolakan di negara Asia Selatan berkenaan.
Bagaimanapun, Gates menjelaskan langkah Amerika itu tidak menjejaskan usaha memerangi keganasan Washington.
"Kami sedang menyemak semula semua bantuan yang diberi kepada Pakistan sebelum ini tetapi kami tetap mengambil kira ia tidak akan menjejaskan usaha memerangi keganasan di rantau Asia," kata Gates. � AFP
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment