Tuesday, November 06, 2007

Nik Aziz puji PM lebih telus bangunkan Kelantan

PASIR PUTEH 5 Nov. – Kepimpinan Pas Kelantan memuji pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bersikap lebih terbuka dalam aspek membangunkan Kelantan walaupun tidak sehaluan dalam politik.

Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendekatan dan sikap seperti itu wajar dicontohi oleh semua pihak.

Beliau berkata, sikap penyayang dan keprihatinan pucuk pimpinan negara itu tidak pernah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Pak Lah terlebih dahulu sayang kepada saya sehingga naik dan turun pentas beliau sentiasa memimpin tangan saya,” katanya kepada pemberita selepas mengimamkan solat hajat sempena Pelancaran Tabung Derma Pembinaan Asrama Maahad Tahfiz al-Quran Nurul Hidayah di sini hari ini.

Mursyidul Am Pas itu berkata demikian ketika ditanya tentang keakraban beliau bersama Abdullah pada majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kota Bharu pada Isnin lalu.

Asrama Maahad Tahfiz yang menempatkan 96 pelajar musnah terbakar pada 22 Oktober lalu.

Sementara itu, Nik Aziz dalam masa yang sama mengakui rasa terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri dan berharap perubahan itu akan diteruskan bukan oleh sebelah pihak sahaja pada masa-masa akan datang, malah di kalangan pimpinan Pas sendiri.

“Perubahan itu sewajarnya diikuti oleh pengikut kedua-dua belah pihak UMNO dan Pas di peringkat bawahan yang sebelum ini ada yang tidak bertegur sapa kerana perbezaan politik.

‘‘Lagi pula perjuangan Islam sememangnya menuntut penyatuan sesama umat dan sebab itu pada satu ketika Pas pernah menyertai Barisan Nasional (BN). Tetapi nasib tidak baik bila kita tolong, dia sepak dan tendang kita balik (BN dahulu),” katanya.

Ditanya mengenai hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kajian Strategik Negeri Kelantan (KRIS) yang mendapati 70 peratus ahli Pas Kelantan mahu beliau terus menyandang jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum kelak, Nik Aziz berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu jika parti masih memerlukan khidmatnya.

“Pencalonan saya yang pilih tetapi selepas itu parti yang menentukannya dan saya pun dah memegangnya (jawatan Menteri Besar) selama 18 tahun.

‘‘Saya pun bercita-cita nak suruh orang lain (menggantikan), kerana saya ini macam pemimpin kanan ajar orang lain. Takkan nak ajar selama-lamanya” katanya.

No comments: