Sunday, June 28, 2009

POLITIK : AHAD 28 JUN 2009

Perlu kerja kuat di Manek Urai
KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui BarisanNasional (BN) bakal menghadapi laluan sukar pada Pilihan Raya KecilDewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Perkukuh muafakat dalam BN - TPM
PAGOH 27 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti komponenBarisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan lagi permuafakatan mereka dalamperkara-perkara asas mengenai Perlembagaan seperti yang telahdipersetujui sebelum ini bagi menyatupadukan lagi parti.




'Minta ampun kepada Tuhan'
PAGOH 27 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mursyidul Am Pas,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak perlu memohon maaf kepada UMNOtetapi meminta ampun kepada Tuhan atas kenyataannya menyamakan partiitu seperti komunis dan ajaran sesat.

Tetap pertahan kecaman terhadap UMNO
KUALAKRAI 27 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terusmempertahankan kecamannya terhadap UMNO yang disifatkannya sebagaikomunis dan sesat sebelum ini kerana didakwa menolak Islam.

Desak minta maaf
PONTIAN27 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu memintamaaf kepada UMNO kerana menyifatkan UMNO sebagai parti ajaran sesatseperti Ayah Pin dan sama dengan pengganas komunis, Chin Peng.

Calon BN DUN Manek Urai diumum hari ini
PAGOH27 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,beliau akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan RayaKecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan esok.

Zambry pertahan Harussani
IPOH 27 Jun - ''Apabila mufti tegur Barisan Nasional (BN), mereka tepuk tangan tetapi apabila tegur mereka, mufti kena hentam."

Nik Aziz cabar PM berdebat
KOTABHARU 27 Jun - Selepas dikecam hebat kerana mendakwa UMNO sama sepertiajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng, Datuk Nik AbdulAziz Nik Mat cuba 'mengalih' perhatian kepada isu lain pula.

Hadi kembali serang UMNO
KUALAKRAI 27 Jun - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembalimenyerang UMNO dengan menyifatkan parti itu mengkhianati agama dengantidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah.

Khalid nafi kosong kerusi beri laluan Zaid ke Parlimen
SHAHALAM 27 Jun - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari inimenafikan beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razakbagi memberi laluan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Zaid Ibrahim.


Ubah sikap hapus rasuah
BENTONG 27 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, usahamenghapuskan rasuah politik hanya akan berjaya sekiranya setiappemimpin dan ahli UMNO mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menolakamalan tersebut.

Syor 600,000 ahli diberi hak mengundi
BENTONG27 Jun - Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan UMNO mencadangkanjumlah mereka yang diberi hak mengundi bagi pemilihan peringkat MajlisTertinggi (MT) diperluaskan sehingga 600,000 orang atau 25 peratusdaripada keseluruhan ahli UMNO.

'Saya tidak akan minta maaf'
KEPALABATAS 27 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim tidak akanmeminta maaf berhubung kenyataannya mengenai kegiatan pihak tertentumerekrut warga emas menjadi ahli DAP melalui pengisian borang pemberiansagu hati.






Tidak mustahil BN menang di Manek Urai
KUALALUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan memenangi kerusi DewanUndangan Negeri (DUN) Manek Urai, pada pilihan raya kecil 14 Julai iniwalaupun berdepan laluan sukar, kata Datuk Seri Najib Razak.

Nik Aziz ajak Najib berdebat
KOTABHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempelawaPerdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengadakan debat terbuka bagimenyelesaikan kekalutan politik Pas dan Umno yang berlaku sejak sekianlamanya.

Pas, PKR politikkan isu royalti cetus kemarahan
KUALAKRAI: Pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sengajamempolitikkan isu royalti minyak di Kelantan untuk membangkitkankemarahan rakyat kepada Kerajaan Pusat walaupun sedar pengeluaran bahanapi itu di kawasan bertindih di antara Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Pindaan perlembagan Umno sia-sia jika ahli rasuah
BENTONG: Cadangan meminda perlembagaan Umno yang bertujuan mewujudkan sistempemilihan lebih telus dan terbuka tidak akan memberi makna jika ahliUmno masih mengamalkan rasuah ketika pemilihan, kata Tun Dr MahathirMohamad.

Permuafakatan BN dibincang
MUAR: Permuafakatan parti komponen Barisan Nasional (BN) terhadap perkarayang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus dibincangkan semulabagi memastikan semua yang terbabit sepakat dalam semua isu berkenaan.

'Minta ampun kepada Tuhan'

'Minta ampun kepada Tuhan'

Oleh LUQMAN HAZIQ dan
KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

PAGOH 27 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak perlu memohon maaf kepada UMNO tetapi meminta ampun kepada Tuhan atas kenyataannya menyamakan parti itu seperti komunis dan ajaran sesat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri Besar Kelantan itu tidak perlu meminta maaf kepada UMNO walaupun ada pemimpin UMNO yang mendesak pemimpin Pas tersebut berbuat demikian.

"UMNO ini parti politik, walaupun ada kawan-kawan yang minta beliau minta maaf kepada UMNO tetapi bagi saya, dia tidak payah minta maaf kepada UMNO, dia kena minta ampun kepada Tuhan.

"Itu adalah tuduhan daripada seorang Islam kepada Islam yang lain dan ia adalah amat berdosa. Sama ada berdosa kecil atau berdosa besar, itu kita serah kepada Nik Aziz sendiri menilainya. Sebagai seorang ulama, mesti dia lebih tahu," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda Negara (Pewaris) 2009 di Kampung Jayor dekat sini hari ini.

Mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang menyamakan UMNO seperti komunis dan ajaran sesat, beliau berkata, UMNO adalah parti yang jauh lebih Islam daripada Pas dan telah lama memperjuangkan syiar Islam di negara ini.

"Dalam perlembagaan UMNO pun, kita letak syiar Islam dalam negara kita. Bila dia kata UMNO macam Ayah Pin, parti komunis, ini adalah tuduhan berat.

"Jangan hukum kita. Pas pun pernah kata UMNO ini kafir, tapi tak tahulah siapa yang kafir, siapa yang Islam. Bagi saya, dia bukan merapu tetapi lebih daripada merapu dan agaknya Pas sudah lari daripada perjuangan Islam yang diperkatakan diperjuangkan parti itu," katanya.

Menurutnya, mungkin kini adalah masa yang sesuai bagi golongan ulama yang tidak ada kepentingan politik bersuara dan membuat teguran untuk menyatupadukan orang Islam di negara ini.

"Ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegur kepincangan dalam parti politik tidak harus dianggap mencampuri urusan politik.

"Baru-baru ini saya berpeluang duduk dengan Harussani dan beliau menyampaikan pandangannya, ini mungkin masa paling sesuai bagi golongan ulama yang tidak mempunyai kepentingan politik membantu menyumbang kepada perpaduan Melayu," katanya.

Nik Aziz ajak Najib berdebat

Nik Aziz ajak Najib berdebat

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mempelawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik Pas dan Umno yang berlaku sejak sekian lamanya.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

"Jemputan itu sengaja dibuat kerana kekecohan dalam politik hari ini, terutama antara Pas dan Umno," katanya selepas mengimamkan solat Sunat Dhuha di pekarangan Pasar Siti Khadijah, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, hasrat untuk perdebat itu dibuat berikutan tindakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis berhubung kenyataan beliau dalam satu ceramah pada 21 Jun lepas, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.

Katanya perkara berlaku sekarang tidak akan selesai melalui media sebagai saluran tetapi mesti dibincangkan secara bersemuka. � Bernama






Nik Aziz cabar PM berdebat

KOTA BHARU 27 Jun - Selepas dikecam hebat kerana mendakwa UMNO sama seperti ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba 'mengalih' perhatian kepada isu lain pula.

Hari ini Mursyidul Am Pas itu mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat secara terbuka.

Cadangan secara 'tiba-tiba' itu dibuat ekoran tindakan Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadapnya kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.

Nik Abdul Aziz yang menentang idea kerajaan perpaduan dengan UMNO dan mendakwa parti itu menolak Islam, berkata, debat itu boleh dianggap seperti mengikut cara nabi-nabi pada zaman Nabi Musa berdepan dengan Firaun.

Katanya, beliau mewakili pemimpin Islam manakala Najib dianggapnya sebagai pemimpin sekular.

Menurut beliau, sejak Pas ditubuhkan pada tahun 1951 sehingga hari ini, rakyat belum mendapat jawapan mengenai dasar perjuangan UMNO, oleh itu melalui debat masalah tersebut dapat diselesaikan.

Katanya, surat rasmi akan dihantar kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk menetapkan satu tarikh yang sesuai bagi kedua-dua pemimpin itu berdebat di hadapan umum.

"Saya nak tahu kenapa UMNO lawan Pas sedangkan Pas menggunakan Islam. Nak tahu tak kena di mana Islam ini, sampai UMNO tolak dan menggunakan sekular.

"UMNO mesti berdepan dengan saya sebagai seorang pemimpin Islam, Presiden UMNO sebagai pemimpin sekular maka kita berdebat. Ini secara nabi-nabi, contohnya Nabi Ibrahim berdepan Namrud, Nabi Musa berdepan dengan Firaun dan Nabi Muhammad berdepan Abu Jahal," ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan solat sunat Dhuha di Masjid al-Baroah berhampiran Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.

Ditanya mengapa tiba-tiba beliau menimbulkan cadangan tersebut, Menteri Besar Kelantan itu berkata, ia berikutan laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO Kelantan terhadapnya kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.

Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian membuat laporan polis itu di Balai Polis Kota Bharu kerana mendakwa Nik Abdul Aziz sengaja mencetuskan perasaan marah penduduk negeri ini apabila menyamakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng.

"Cadangan ini timbul hari ini kerana UMNO buat laporan polis. Saya cakap tidak mengapalah tetapi masalah tetap tidak akan selesai. Kalau nak selesaikan, kenalah melalui pucuk pemerintahan," tegasnya.

Ditanya usaha UMNO membangunkan ummah dan syiar Islam termasuk pembinaan masjid dan sekolah selama ini, beliau menjawab: ''Tak apalah, persoalannya dasar, orang Pas sendiri pun sembahyang kalau tidak ikhlas tak boleh. Orang Pas yang sembahyang tidak ikhlas tak boleh juga. Inikan pula orang UMNO yang tolak Islam nak ikhlas macam mana.''

Tetap pertahan kecaman terhadap UMNO

Tetap pertahan kecaman terhadap UMNO

KUALA KRAI 27 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus mempertahankan kecamannya terhadap UMNO yang disifatkannya sebagai komunis dan sesat sebelum ini kerana didakwa menolak Islam.

Namun, katanya, ia tidak bermaksud UMNO seperti komunis yang sebenar dan percaya ia bandingan yang paling sesuai digunakan untuk menggambarkan sebahagian sikap dan pendirian UMNO.

''Contoh bila kita kata seseorang itu seperti 'kijang masuk kampung'. Apakah Mamat kena ada ekor ke, kena ada tanduk atau kaki empat baru serupa kijang? Ada satu pun (sikap) sudah cukup....'lolar' (tak tentu hala)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Manek Urai di padang awam Manek Urai Lama di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Katanya, beliau menyedari banyak pihak yang membidasnya dalam laporan media berhubung ceramahnya di Laloh dekat sini beberapa hari lalu termasuk Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan yang membuat laporan polis.

Beliau berkata, UMNO tidak sebagaimana komunis yang secara terang-terangan menolak agama dan juga kewujudan Tuhan serta nabi.

''UMNO kata ada... tetapi tak jadi kerja (tak laksanakan suruhan), jadi marah pula kat orang. Nak undi lagi parti macam tu.

''UMNO sebagai orang Islam, dia sembahyang, dalam sembahyang wajib baca fatihah yang kandungannya meminta Tuhan memimpin jalan yang betul seperti jalan nabi-nabi.

''UMNO menolak Islam dan mengambil kebangsaan (dasar perjuangan). UMNO tak ikut jalan nabi. Cuba ajar nak kata bagaimana (terhadap UMNO) yang tolak Islam, tolak Tuhan," ujarnya.

Atas alasan itu juga Nik Abdul Aziz menyalahkan UMNO yang dianggap menjadi punca persengketaan yang menjejaskan perpaduan umat Islam di negara ini.

Katanya, persengketaan yang wujud di kalangan umat Islam di negara ini bukannya dicetuskan oleh Pas sebaliknya UMNO yang harus bertanggungjawab.

''Kita perjuangkan Islam tetapi UMNO yang menentang kita sehingga keadaan menjadi kucar lanar (kucar-kacir)," katanya.

Nik Abdul Aziz menganggap apa yang dilalui oleh Pas sebagaimana yang ditempoh oleh Rasullullah dalam menegakkan perjuangan Islam apabila baginda dimusuhi oleh anggota keluarga dan kaum sendiri.

Desak minta maaf

Desak minta maaf

PONTIAN 27 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu meminta maaf kepada UMNO kerana menyifatkan UMNO sebagai parti ajaran sesat seperti Ayah Pin dan sama dengan pengganas komunis, Chin Peng.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak wajar malah disifatkan keterlaluan kerana melabelkan UMNO sedemikian rupa hanya untuk meraih keuntungan politik semata-mata.

Katanya, Menteri Besar Kelantan itu perlu bertanggungjawab dan menarik balik kenyataan yang dibuat kerana tidak mungkin UMNO yang selama ini memperjuangkan nasib orang Melayu melindungi golongan berkenaan.

"UMNO menggesa Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada 1.3 juta ahli UMNO di seluruh negara kerana menyamakan UMNO dengan gelaran dan panggilan yang cukup menghiris hati orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Buku Lesen Sampan Kes Khas kepada nelayan Parlimen Pontian di Ayer Baloi di sini hari ini.

Tambah Ahmad, beliau juga meminta orang Melayu di Kelantan dan Dewan Undangan Negeri Manek Urai menilai sendiri kenyataan yang dibuat oleh seorang yang dipanggil Tok Guru.

"Saya berharap orang Melayu sedar tindak-tanduk yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz yang bukan sahaja menolak kerajaan perpaduan tetapi mencetuskan tindakan yang melampau," tegas beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, Nik Aziz akan terus mengeluarkan kenyataan kontroversi bagi menarik perhatian ahli Pas menjelang hari penamaan calon DUN Manek Urai.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, beliau berkata, pengundi yang menyokong Barisan Nasional (BN) merupakan golongan yang suka pada perpaduan di kalangan orang Melayu dan Islam.

"UMNO yakin para pengundi Melayu sedar akan tindak tanduk pemimpin Pas seperti Nik Abdul Aziz yang mengikut telunjuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP," jelasnya.

Beliau berharap, pengundi di DUN Manek Urai dapat membuat pilihan yang bijaksana dan memberi peluang kepada BN bagi membela masa depan mereka.

Khalid nafi kosong kerusi beri laluan Zaid ke Parlimen

Khalid nafi kosong kerusi beri laluan Zaid ke Parlimen

SHAH ALAM 27 Jun - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu merupakan satu spekulasi kerana tiada sebarang perbincangan yang dibuat mengenai perkara tersebut di peringkat pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan yang dibuat oleh pimpinan PKR, ia merupakan keputusan bersama bagi memantapkan parti pembangkang itu.

"Perkara ini merupakan satu isu yang besar dan ia mesti dibincangkan di peringkat kepimpinan PKR tetapi perkara ini tidak ada pun dibincangkan.

"Namun saya fikir ketika ini bukan masa yang sesuai untuk mengosongkan kerusi dan mengadakan pilihan raya. Kita dapati rakyat tidak begitu selesa sekiranya terlalu banyak pilihan raya," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid Negeri Selangor 2009 di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus yang mendakwa beliau akan mengosongkan kerusinya sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi laluan kepada Zaid untuk mewakili PKR di Dewan Rakyat.

Dakwaan yang disiarkan dalam portal berita tempatan itu mula tercetus berikutan penyertaan Zaid ke dalam PKR baru-baru ini. Malah, kekosongan itu dikatakan akan dilakukan selepas selesai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor turut memberitahu, pihaknya telah menyediakan pegawai sokongan daripada Majlis Agama Islam Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu mengemaskini kedudukan akaun kewangan masjid di seluruh negeri itu.

Katanya, usaha itu dibuat bagi membolehkan pengurusan kewangan masjid dapat dilaksanakan sebaik mungkin terutamanya melibatkan wang sumbangan daripada orang ramai.

"Kita buat kemaskini akaun bukan kerana ada penyelewengan tetapi kita nak disiplinkan dan melatih pihak pengurusan masjid dalam soal rekod aliran kewangan.

"Ini kerana, masjid merupakan satu institusi yang dipercayai oleh umat Islam, jadi ia perlu mempunyai satu pengurusan yang baik," katanya.

Calon BN DUN Manek Urai diumum hari ini

Calon BN DUN Manek Urai diumum hari ini

PAGOH 27 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan esok.

Beliau berkata, pengumuman itu diadakan pada sebelah petang.

"Esok saya akan ke Manek Urai dan calon BN akan saya umum antara pukul 4 atau 4.30 petang.

"Insya-Allah kita akan letak calon terbaik. Saya kira calon mampu memberi khidmat kepada penduduk di situ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda Negara (Pewaris) 2009 di Kampung Jayor, dekat sini hari ini.

Muhyiddin menambah, semua jentera UMNO dan BN di Manek Urai telah bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN berkenaan dan tidak mustahil kerusi itu mampu dirampas semula oleh BN.

"Saya percaya kalau kita bekerja keras, kita dapat rampas balik Manek Urai," katanya.

Semalam Pas mengumumkan seorang pemborong ikan di pasar Kuala Krai, Mohd. Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Mohd. Fauzi dipilih sebagai calon Pas berasaskan tradisi masyarakat setempat yang lebih selesa dengan pemimpin yang rapat dengan mereka walaupun beliau bukan di kalangan ulama atau profesional.

Pemilihan Mohd. Fauzi juga dianggap Pas mampu melonjakkan majoriti kemenangan parti itu walaupun akan berdepan saingan sengit daripada BN.

Zambry pertahan Harussani

Zambry pertahan Harussani

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

IPOH 27 Jun - ''Apabila mufti tegur Barisan Nasional (BN), mereka tepuk tangan tetapi apabila tegur mereka, mufti kena hentam."

Itulah reaksi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) terhadap tindakan pengikut Pas yang membidas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria gara-gara kenyataan beliau tentang kerajaan perpaduan.

Zambry berkata, Mufti Perak bukan orang politik dan beliau membuat teguran sebagai seorang ulama yang cintakan kesejahteraan.

''Sikap penyokong Pas ini tidak melambangkan mereka mewakili parti Islam kerana Islam mementingkan keadilan,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pemuda Pas Perak yang melahirkan rasa kecewa mereka terhadap pandangan Harussani ekoran kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO.

Harussani sebelum ini melahirkan rasa kecewanya dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi terlalu taksub sehingga sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik masing-masing.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyamakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan mengatakan parti itu lebih teruk daripada komunis, Zambry berkata, 'tok guru' juga manusia biasa dan tidak terlepas melakukan kesalahan.

Katanya, ini terbukti apabila Nik Aziz terpaksa membuat penjelasan bagi memperbetulkan kenyataannya dengan mendakwa ia hanya sekadar kiasan.

''Nik Aziz dianggap oleh pengikut beliau sebagai seorang yang alim dan semua orang menghormati beliau tetapi 'tok guru' juga perlu diperbetulkan.

''Tok guru pun melakukan kesilapan kerana dia cuma manusia biasa, bukannya maksum yang tidak melakukan sebarang kesalahan,'' katanya.

Pas, PKR politikkan isu royalti cetus kemarahan

Pas, PKR politikkan isu royalti cetus kemarahan

KUALA KRAI: Pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sengaja mempolitikkan isu royalti minyak di Kelantan untuk membangkitkan kemarahan rakyat kepada Kerajaan Pusat walaupun sedar pengeluaran bahan api itu di kawasan bertindih di antara Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata justeru, satu perjanjian dimeterai bagi membolehkan kerjasama pengeluaran petroleum di kawasan berkenaan dengan hasilnya dibahagikan antara Malaysia, Thailand dan Vietnam.

"Isu royalti itu tidak sepatutnya dibangkitkan Pas kerana minyak itu berada dalam kawasan pertindihan dan ia dibuat selaras peraturan antarabangsa yang memerlukan kerjasama antara negara terbabit bagi mengusahakannya serta berkongsi hasilnya.

"Pemimpin Pas dan PKR tahu perkara sebenar namun tetap mempolitikkannya supaya kelihatan seperti Kerajaan Pusat menganiaya Kelantan," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di sini semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, hanya tiga negeri menikmati royalti minyak di negara ini iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu, manakala Kelantan menerima peruntukan RM7 bilion daripada Kerajaan Pusat.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, menyifatkan tuduhan pemimpin Pas bahawa BN membayar pengundi berdaftar di kawasan DUN Manek Urai yang berada di luar kawasan itu supaya tidak pulang mengundi 14 Julai ini, sebagai fitnah semata-mata.

Hadi kembali serang UMNO

Hadi kembali serang UMNO

KUALA KRAI 27 Jun - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembali menyerang UMNO dengan menyifatkan parti itu mengkhianati agama dengan tidak menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah.

Berucap pada majlis pengumuman calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai malam tadi yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, beliau berkata, pendekatan UMNO juga tidak dapat menyatukan umat Islam.

Pengumuman calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah itu dibuat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di padang awam Manek Urai lama.

''Islam tidak menjadi agama yang memerintah tetapi diperintah ikut suka dia, tidak menjadikan agama berdaulat. Islam yang sekerat, Islam yang disembelih dan dipotong," ujar Abdul Hadi.

Malangnya tegas beliau, usaha Pas untuk menunjukkan Islam yang berkuasa dan berdaulat di negara ini telah dihalang, dikekang daripada segi kemudahan dan kewangan.

Beliau mengajak pengundi di Manek Urai untuk terus menyokong Pas bagi memperlihatkan rakyat Kelantan tidak dapat menerima parti yang turut mengkhianati rakyat dan negara.

Katanya, kerajaan Pas Kelantan telah mampu bertahan selama beberapa penggal walaupun cuba dikalahkan dengan pelbagai cara termasuk tidak diagihkan royalti minyak seperti yang dilakukan terhadap kerajaan Pas Terengganu dahulu.

Beliau percaya adalah lebih baik bagi UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya kecil pada 14 Julai ini kerana rakyat Kelantan mempunyai maruah yang tidak boleh dijual beli.

Apatah lagi katanya, pilihan raya kecil akan banyak menghabiskan wang namun sekiranya UMNO meneruskan hasrat bertanding, ia tentunya akan menghadapi tentangan.

''Dalam pilihan raya umum lalu, pengundi Manek Urai serahkan amanah kepada Pak Su Wil (Allahyarham Ismail Yaacob) dan terpulang kepada penduduk untuk menunaikan amanah peninggalannya kepada orang yang boleh menyambung perjuangannya," ujarnya.

Tidak mustahil BN menang di Manek Urai

Tidak mustahil BN menang di Manek Urai

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Kita ada strategi sampai mesej kepada pengundi: Najib

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, pada pilihan raya kecil 14 Julai ini walaupun berdepan laluan sukar, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, BN ada strategi tersendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil itu dan tidak perlu terikut-ikut dengan rentak kempen Pas.

Beliau berkata, BN akan mengumumkan calonnya hari ini seperti mana diputuskan, walaupun Pas sudah memilih Bendahari Pas Kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, yang juga seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai, sebagai calonnya di Manek Urai.

"Kita ada cara kita sendiri untuk sampaikan mesej kepada pengundi dan akan letak wakil rakyat yang boleh berkhidmat kepada rakyat.

"Kita tahu Pas menang dengan majoriti besar (1,352 undi pada pilihan raya umum lalu) dan memang sukar bagi kita dalam pilihan raya kecil ini tetapi tidak mustahil untuk menang.

"Dan kita (akan) menunjukkan keikhlasan kita untuk membela masa depan mereka (pengundi) dan meletak seorang bakal wakil rakyat yang boleh memberi khidmat bakti kepada masyarakat di sana," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John di sini, semalam.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan 6 Julai.

Pilihan raya kecil berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, kerana komplikasi jantung, pada 22 Mei lalu.







Perlu kerja kuat di Manek Urai

KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui Barisan Nasional (BN) bakal menghadapi laluan sukar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan rekod terdahulu majoriti antara calon Pas dan BN adalah besar dan itu menunjukkan BN terpaksa bekerja keras untuk memenangi hati pengundi.

Bagaimanapun, beliau percaya harapan BN untuk memenangi kerusi tetap ada tetapi ia memerlukan kesungguhan dan komitmen daripada semua jentera untuk menyampaikan mesej parti kepada rakyat.

''Kita tahu Pas menang dengan majoriti yang agak besar pada pilihan raya lalu dan memang ini satu tentangan yang sukar bagi kita tetapi masih ada harapan.

''Bukan bererti tidak ada harapan, masih ada harapan tetapi kita akan menghadapi tentangan yang agak sukar,'' katanya selepas merasmikan Seminar Sekolah Mubaligh di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John di sini hari ini.

Beliau mengulas kedudukan terkini BN dalam menghadapi pilihan raya DUN Manek Urai yang dijadual diadakan pada 14 Julai ini.

DUN tersebut merupakan kubu kuat Pas dan parti itu tidak pernah tewas sepanjang sejarah pilihan raya di negara ini kecuali pada 2004.

Bagaimanapun pada 2008, kerusi itu kembali kepada Pas, apabila Ismail Yaacob bertanding semula dan menewaskan calon BN, Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Pada 22 Mei lalu, Ismail meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kerana pelbagai komplikasi jantung.

Ketika ditanya kempen agresif pihak Pas, Najib berkata, BN tidak akan mengikut cara seperti itu sebaliknya akan menggunakan pendekatan tersendiri untuk berkempen.

''Apa yang penting sekali kita dapat menyampaikan mesej kepada pengundi kita bahawa BN ikhlas untuk membela masa depan mereka," katanya.

''Kita juga akan meletakkan bakal wakil rakyat yang boleh memberi khidmat bakti kepada orang ramai di Manek Urai,'' tambahnya.

Sementara itu Pas malam tadi telah mengumumkan seorang pemborong ikan di pasar Kuala Krai, Mohd. Fauzi Abdullah dipilih sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil DUN tersebut.

Pindaan perlembagan Umno sia-sia jika ahli rasuah

Pindaan perlembagan Umno sia-sia jika ahli rasuah

BENTONG: Cadangan meminda perlembagaan Umno yang bertujuan mewujudkan sistem pemilihan lebih telus dan terbuka tidak akan memberi makna jika ahli Umno masih mengamalkan rasuah ketika pemilihan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyambut baik cadangan itu, beliau berkata, perubahan positif yang diharapkan berlaku dalam pemilihan parti bergantung kepada sikap ahli Umno.

“Ia cadangan yang baik tetapi pasti akan ada orang yang cuba beli (undi) juga. Maka, akhirnya, sikap ahli Umno lebih penting. Ini adalah kali ketiga perlembagaan Umno akan dipinda untuk mengelak rasuah ketika pemilihan.

“Sekiranya ahli Umno masih bersikap mengutamakan wang berbanding kepentingan parti, bangsa, agama dan negara, apa pindaan pun tidak akan mendatangkan hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada 300 ahli Umno Bahagian Pandan yang mengikuti Kursus Percambahan Minda dan Jatidiri di Janda Baik, semalam.



Ubah sikap hapus rasuah

Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my

MAHATHIR Mohamad bersalaman dengan peserta Kursus Percambahan Minda dan Jati Diri dekat Bentong, semalam.


BENTONG 27 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, usaha menghapuskan rasuah politik hanya akan berjaya sekiranya setiap pemimpin dan ahli UMNO mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menolak amalan tersebut.

Menurut bekas Presiden UMNO itu, walaupun cadangan terbaru pindaan perlembagaan parti bagi memperluaskan bilangan mereka yang mengundi itu baik namun ruang untuk dimanipulasi masih wujud.

''Cadangan itu baik tetapi akhirnya sikap ahli-ahli UMNO itu sendiri yang lebih penting. Dengan yang ini sudah tiga kali kita buat pindaan perlembagaan untuk elakkan rasuah.

''Namun kalau ahli UMNO terus utamakan RM200, RM300 lebih daripada parti agama, bangsa dan negara, apa pindaan pun tak akan berhasil. Tapi kalau mereka lebih utamakan parti, bangsa dan agama, RM60,000 pun tak boleh jual,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Percambahan Minda dan Jati Diri anjuran UMNO Bahagian Pandan di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) dekat sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mohd. Iszeham A. Hamid.

Sementara itu pada sidang akhbar, Mahathir berkata, beliau percaya walaupun bilangan yang akan memilih kelak mencecah seramai 600,000 orang sekalipun, usaha untuk membeli undi tetap akan berlaku.

''Kita boleh anggap dengan 600,000 mengundi ia cukup untuk hentikan rasuah tetapi akhirnya bagi saya sikap itu juga yang penting,'' tegasnya.

Sementara itu, Mahathir memaklumkan program yang dihadirinya hari ini merupakan jemputan rasmi yang pertama daripada mana-mana UMNO bahagian sejak beliau melepaskan jawatan kerajaan dan parti lebih enam tahun lalu.

Katanya, sekiranya ada jemputan seumpama itu pada masa depan, beliau bersedia hadir kerana merasa amat gembira dapat bertemu secara terus dengan ahli parti.

''Lagi pun saya lebih senang untuk bercakap dengan ahli-ahli dan penyokong UMNO daripada bercakap dengan orang atasan kerana akhirnya orang ini yang akan menentukan parti menang atau kalah,'' jelasnya.

Ditanya sama ada beliau akan berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (DUN) Manek Urai, Mahathir berkata, beliau lebih suka untuk menumpukan usaha memulihkan kredibiliti UMNO seperti mana yang dilakukannya hari ini.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, ahli dan pemimpin UMNO di peringkat bawah perlu menegur pemimpin atasan sekiranya wujud sebarang kelemahan bagi mengelak hakisan sokongan rakyat.

Katanya, itu sudah menjadi tugas mereka yang di bawah kerana rakyat tidak boleh diseru memberi sokongan secara membuta tuli tanpa mengira apa yang parti lakukan sama ada ia baik atau tidak.

''Rakyat akan kecewa jika kepimpinan yang lemah terus disokong dan ini akan menyebabkan berlakunya hakisan sokongan seperti mana pilihan raya yang lalu.

''UMNO dan parti dalam Barisan Nasional (BN) perlu sokongan mereka yang di luar parti untuk menang. Kita sudah merdeka 50 tahun, semua rakyat terpelajar,'' katanya.

Mengulas mengenai keuntungan Petronas, Mahathir berkata, ia berjaya dicapai kerana kecekapan pengurusannya hingga membolehkan syarikat itu bukan sahaja bergerak dalam negara tetapi peringkat antarabangsa.

''Semasa saya dulu saya tak campur tangan tetapi mereka perlulah buat laporan dan kadang-kadang kita ada bagi cadangan.

''Mereka ini profesional dan betul-betul minat, kita bernasib baik kerana mereka cekap dan oleh itu kita harus jangan campur tangan dalam perkara ini,'' katanya.

Syor 600,000 ahli diberi hak mengundi

Syor 600,000 ahli diberi hak mengundi

BENTONG 27 Jun - Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan UMNO mencadangkan jumlah mereka yang diberi hak mengundi bagi pemilihan peringkat Majlis Tertinggi (MT) diperluaskan sehingga 600,000 orang atau 25 peratus daripada keseluruhan ahli UMNO.

Angka tersebut adalah seperti mana yang dinyatakan dalam kertas cadangan jawatankuasa tersebut yang telah diedarkan kepada semua 191 UMNO bahagian di seluruh negara.

Ia diedarkan bertujuan bagi mendapat maklum balas ahli akar umbi untuk perkara itu diperhalusi semula sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya termasuk kepada MT.

Pengerusinya, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, jumlah itu telah diteliti oleh pihaknya yang dirasakan lebih sesuai berbanding jumlah sekarang yang hanya melibatkan kira-kira 2,500 orang atau 13 perwakilan bagi setiap bahagian.

Katanya, setelah mendapatkan maklum balas ahli, ia akan diperhalusi semula sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu Pindaan Perlembagaan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

''Ini terpulang kepada ahli sendiri, tetapi yang kita cadangkan ialah sehingga 600,000 orang. Selain itu, hak mengundi boleh juga diberi kepada jumlah lebih kecil iaitu 60,000 orang berdasarkan perwakilan yang mengundi di peringkat bahagian.

''Kita terbuka kepada sebarang respons. Jika cadangan ini diterima pakai, maka ia secara rasmi akan berkuat kuasa selepas perlembagaan dipinda pada 13 Oktober depan pada Mesyuarat Agung Khas,'' katanya kepada pemberita selepas perasmian Kursus Pencambahan Minda dan Jati Diri dekat Janda Baik di sini hari ini.

Kursus anjuran UMNO Bahagian Pandan selama tiga hari itu dirasmikan oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Idea untuk meminda perlembagaan parti pernah dicadangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bagi mengatasi amalan politik wang melalui memperluaskan bilangan perwakilan yang berhak mengundi.

Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.

Sementara itu Ab. Rauf berkata, idea 25 peratus ahli UMNO yang membayar yuran memilih pucuk pimpinan tertinggi adalah untuk memberi hak kepada mereka selain membolehkan semangat memiliki UMNO menjadi lebih tinggi dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, lagi pun formula satu per empat itu diambil kerana ia menjadi syarat kuorum atau kehadiran ahli untuk membolehkan sesuatu Mesyuarat UMNO Bahagian dijalankan.

''Kita juga cadangkan supaya pemilihan di peringkat bahagian ditentukan oleh kesemua ahli yang membayar yuran di dalam bahagian tersebut. Jadi, seluruh ahli diberi hak, tak ada lagi dah wakil lima cawangan ke bahagian,'' jelasnya.

Ditanya bagaimana cadangan tentang pemilihan ini hendak dijalankan, Ab. Rauf yang juga Setiausaha Kerja UMNO berkata, pemilihan MT dan bahagian akan dijalankan pada tahun yang berasingan.

''Dalam kertas cadangan itu, kita rancang pemilihan bahagian dibuat lebih awal daripada pemilihan MT.

''Pemilihan MT pula kita buat satu hari serentak di seluruh negara dengan tiada mesyuarat pada hari itu. Satu hari untuk hari undi saja macam pilihan raya umum.

''Semua yang berpeluang mengundi hanya perlu bawa kad pengenalan saja kerana ibu pejabat tahu siapa boleh mengundi,'' ujarnya.

Menurutnya, kertas cadangan itu sudah pun dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Parti.

Mengenai respons yang telah diterima setakat ini, Ab. Rauf berkata, beberapa maklum balas positif telah diterima setakat ini dan mana-mana ahli yang ingin memberikan pandangan mereka boleh diutarakan di laman web rasmi UMNO.

''Komen, cadangan dan pandangan boleh dikemukakan yang kita akan perhalusi untuk pindaan perlembagaan dapat diterima pakai oleh kesemua ahli UMNO.

''Mesyuarat bahagian yang akan mula Julai ini boleh bahaskan usul pindaan perlembagaan dan sebarang cadangan boleh dikemukakan semula kepada ibu pejabat untuk diperhalusi,'' katanya.

Permuafakatan BN dibincang

Permuafakatan BN dibincang

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my


MUHYIDDIN bergambar kenangan dengan peserta Pewaris 2009, di Muar, semalam.

Semua parti komponen perlu sepakat, pendirian mesti konsisten: TPM

MUAR: Permuafakatan parti komponen Barisan Nasional (BN) terhadap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan harus dibincangkan semula bagi memastikan semua yang terbabit sepakat dalam semua isu berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendirian parti terhadap perkara yang sudah dipersetujui dalam perlembagaan tidak boleh dilihat sentiasa berubah kerana ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, ketika ini, banyak berlaku perbezaan pendapat antara parti komponen BN berhubung perkara dalam perlembagaan dan ia dikhuatiri dilihat sebagai pendirian BN tidak konsisten.

Katanya, perkara pokok yang termaktub dalam perlembagaan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, hak kaum bukan Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan dan pengagihan kekayaan harus dipelihara dan dipertahankan.

"Selepas lebih 50 tahun konsep permuafakatan itu dilaksanakan dalam BN, kini wujud perbezaan pendapat di kalangan parti komponen. Perkara ini banyak disumbangkan oleh perkembangan politik semasa yang semakin berubah akibat wujudnya pemikiran baru serta timbulnya harapan generasi muda yang lahir selepas era merdeka.

"Pendirian terhadap perkara disepakati dalam perlembagaan tidak sewajarnya dikorbankan," katanya selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda (Pewaris) 2009, di sini, semalam.

Muhyiddin, berkata beliau sudah bertemu secara tidak formal dengan beberapa pemimpin parti komponen BN dan mereka bersetuju masalah yang timbul diselesaikan secara permuafakatan.

Sementara itu di MUAR, Muhyiddin berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak perlu meminta maaf daripada Umno ekoran kenyataannya yang menyamakan Umno dengan Ayah Pin dan komunis sebaliknya memohon ampun daripada Tuhan.

"Sebagai ulama dan tokoh agama yang disegani, Mursyidul Am Pas itu sepatutnya lebih mengetahui hukum membuat tuduhan yang boleh mencemarkan imej sesuatu pihak," katanya mengulas gesaan banyak pihak yang mahu Nik Aziz minta maaf kerana menyamakan Umno dengan Ayah Pin dan komunis.

Sementara itu, Muhyiddin yang akan mengumumkan calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, hari ini, berkata calon itu adalah yang terbaik dan mampu berkhidmat kepada rakyat.

Mengenai kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah, yang yakin BN mampu merampas semula kerusi DUN itu, Muhyiddin berkata, sebagai orang lama, Ahli Parlimen Gua Musang itu tentunya lebih tahu keadaan sebenar di kawasan berkenaan.






Perkukuh muafakat dalam BN - TPM

PAGOH 27 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan lagi permuafakatan mereka dalam perkara-perkara asas mengenai Perlembagaan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini bagi menyatupadukan lagi parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendirian parti terhadap perkara-perkara yang telah disepakati dalam Perlembagaan tidak boleh dilihat berubah-ubah kerana ia akan menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat dan para pengundi.

Menurutnya, perkara-perkara pokok yang telah termaktub dalam Perlembagaan seperti kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, hak kaum bukan Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan dan pengagihan kekayaan sewajarnya dipelihara dan terus dipertahankan.

"Dalam konteks BN saya percaya selepas beberapa puluh tahun konsep permuafakatan itu telah dilaksanakan, tetapi ada perubahan berlaku dalam pimpinan BN di samping perubahan dalam negara.

"Saya fikir ada keperluan untuk kita duduk bersama dan bertemu kembali supaya dapat mengambil pendirian yang lebih bersatu dan bersepakat dalam isu-isu yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda (Pewaris) 2009 yang menghimpunkan seramai 70 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program anak angkat di Kampung Jayor dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, keperluan untuk memperkukuhkan kembali permuafakatan itu dilihat amat perlu kerana kadangkala wujud nada yang berbeza daripada parti-parti komponen BN dan dikhuatiri juga pendirian parti turut tidak konsisten.

Katanya, biarpun perkara berkenaan banyak disumbang ekoran perkembangan politik semasa yang telah banyak berubah akibat pemikiran-pemikiran baru dan harapan daripada generasi muda yang lahir selepas era merdeka, pendirian terhadap perkara yang disepakatkan dalam Perlembagaan tidak sewajarnya dikorbankan.

"Prinsip pokok tidak boleh dikorbankan, apa salah kita pertahankan hak Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, kepentingan masyarakat bukan melayu pun termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau telah mula bertemu secara tidak formal dengan beberapa pemimpin parti komponen dan mereka bersetuju masalah yang timbul diselesaikan secara permuafakatan supaya BN dapat dilihat dalam konteks 1Malaysia yang lebih berkeyakinan.

"Perlu lebih awal kita bereskan hal-hal sebegini agar lebih yakin kita keluar dan duduk pada satu platform dan satu nada yang orang faham," katanya.

Katanya, dalam perkara berkenaan, BN sebenarnya memiliki banyak kelebihan berbanding pakatan pembangkang yang sering kali tidak sepakat termasuk dalam perkara mengenai perpaduan.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengingatkan generasi muda termasuk golongan mahasiswa supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan tuduhan pembangkang terhadap BN yang boleh membawa kepada perpecahan di dalam negara.

Sementara itu, ketika merasmikan Mesyuarat Bahagian MCA Bahagiah Pagoh di Tanjung Selabu, Jorak, Muhyiddin menegaskan, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membantu sekolah jenis kebangsaan dan sekolah persendirian di negara ini.

Beliau berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk membayar gaji guru-guru di sekolah jenis kebangsaan di negara ini.

"Peruntukan ini tidak termasuk bantuan infrastruktur yang kita berikan. Selain itu, kita juga beri RM600,000 daripada RM1.6 bilion untuk skim makanan tambahan kepada sekolah jenis kebangsaan ini.

"Siapa kata kita abaikan dan tidak bantu sekolah jenis kebangsaan dan sekolah persendirian ini. Malah ada sekolah mubaligh yang kita bantu 100 peratus apabila bersetuju dengan dasar pendidikan kita," tegasnya.

Datuk Azhar Ibrahim ( Ketua Pembangkang Pulau Pinang ) : 'Saya tidak akan minta maaf'

'Saya tidak akan minta maaf'

KEPALA BATAS 27 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim tidak akan meminta maaf berhubung kenyataannya mengenai kegiatan pihak tertentu merekrut warga emas menjadi ahli DAP melalui pengisian borang pemberian sagu hati.

Menurutnya, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk membangkitkan isu tersebut ekoran aduan yang diterimanya daripada golongan warga emas di Seberang Perai Utara (SPU) termasuk dari kawasan dewan undangan negerinya sendiri di Penaga.

Katanya, tidak timbul soal beliau cuba memfitnah kerajaan negeri sebaliknya Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sepatutnya menjelaskan dakwaan warga emas terbabit.

''Daripada Ketua Menteri menunggu penjelasan daripada saya, lebih baik dia menyiasat ejen-ejennya yang bertanggungjawab menarik ahli di kawasan ini.

''Saya tidak akan menuduh jika tidak mempunyai bukti kukuh mengenai kelakuan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Gerak Gempur Dadah SPU di sini hari ini.

Laporan akhbar Khamis lalu memetik kenyataan Azhar yang mahu kerajaan negeri menjelaskan dakwaan terdapat warga emas di negeri ini yang diminta mengisi borang pemberian sagu hati tetapi disyaratkan menjadi ahli parti politik tertentu.

Menurut Azhar, ada warga emas yang membuat aduan bahawa mereka diminta mengisi borang khas kononnya untuk mendapatkan sagu hati daripada kerajaan negeri tetapi mereka perlu menjadi ahli DAP terlebih dahulu.

Guan Eng dalam reaksinya bagaimanapun menafikan dakwaan itu sambil meminta Azhar meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang disifatkan satu fitnah terhadap kerajaan negeri.

Azhar berkata, Guan Eng yang sepatutnya meminta maaf kepada rakyat negeri ini kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan mengumumkan negeri ini sudah bebas daripada masalah miskin tegar.

''Di Penaga saja, tidak kurang 15 keluarga masih berada di tahap miskin tegar dan tanpa menyelidik secara terperinci, beliau telah mengisytiharkan negeri ini bebas miskin tegar.

''Saya tidak patut meminta maaf di atas kenyataan yang sahih sebaliknya Guan Eng yang patut minta maaf di atas kenyataan tidak benar, dia umumkan tanpa turun padang dan melihat keadaan rakyat di kawasan kampung," katanya.