Sunday, November 04, 2007

Orang Melayu semakin hilang suara di Parlimen

Maslan Yusoh
Sat | Nov 03, 07 | 5:55:51 pm MYT

KOTA BHARU, 3 Nov (Hrkh) - Orang Melayu kini semakin hilang suara di Parlimen apabila bangsa-bangsa lain terus mendominasi jumlah keseluruhan kerusi yang diperuntukkan.

Berpaksi kepada perpaduan dan tolak ansur, akhirnya banyak kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu telah diserah kepada parti-parti kompenan Barisan Nasional (BN) lain.

Misalnya pada pilihan raya umum 1990 sebanyak 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mempunyai majoriti pengundi Melayu diserahkan kepada calon-calon bukan Melayu.

Kerusi terbabit iaitu 13 bagi peringkat Parlimen dan 24 kerusi Dun. Jumlah itu tidak termasuk kerusi-kerusi yang telah ditandingi calon bukan Melayu sejak dahulu lagi.

Antara kerusi Parlimen majoriti Melayu yang diserahkan kepada MCA dan MIC pada pilihan raya tersebut iaitu Padang Serai (55.2 peratus Melayu), Alor Setar (54.8 peratus), Lipis (53.2 peratus), Pontian (52.2 peratus), Kapar (60 peratus), Ampang Jaya (68.5 peratus), Selandar (50.8 peratus) dan Telok Kemang (51.3 peratus).

Selepas diserahkan kepada kompenan lain, kerusi terbabit tidak lagi dipulangkan kepada calon Melayu. Biar pun masalah itu disedari rata-rata orang Melayu namun mereka tetap memilih Umno yang bertanggungjawab mengecilkan empayar Melayu.

Pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004, BN memenangi 198 kerusi Parlimen dan pembangkang hanya tinggal 20 sahaja. Selain itu BN juga menguasai 452 kerusi di peringkat Dun daripada jumlah keseluruhan sebanyak 505 kerusi.

Seorang penganalisis bebas, Dr Khairudin Damhoeri berkata, sedangkan pada 1964 suara orang Melayu di Parlimen sebanyak 62 peratus, namun sekarang telah susut dengan banyaknya.

"Kuasa orang Melayu di Parlimen sudah berkurangan berbanding pada zaman awal pilihan raya umum diadakan di negara ini," katanya pada Syarahan Awam Pencapaian Sosio Ekonomi Sektor Pertanian di Kelantan sempena 50 tahun merdeka di sebuah hotel di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan Institut Kajian dan Penyelidikan Strategik Negeri Kelantan (Kriss) dan kerajaan negeri. Ia sepatutnya menampilkan bekas Menteri Pertanian, Dato' Seri Sanusi Junid bagi membentang pengalamannya dalam sektor tersebut.

Bagaimanapun difahamkan bekas Menteri Besar Kedah itu tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan. Hampir 1,000 peserta memenuhi dewan utama hotel berkenaan.

Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Adun Kadok, Haji Mohd Shukri Abdul Rahman, Penyelia Dun Kok Lanas, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim, Pengarah Kriss, Wan Ahmad Shafei dan Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Saifudin Nasution Ismail.

Dr Khairudin juga berkata, biar pun Kelantan dikategori sebagai negeri yang miskin, namun kehidupan rakyat agak selesa disebabkan kos hidup masih rendah.

"Kira-kira 73 peratus daripada jumlah penduduk memiliki rumah sendiri. Ini menyebabkan bebanan kehidupan mereka tidak terasa sangat biar pun mengikut statistik Kelantan mempunyai ramai penduduk miskin," ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan pusat mewujudkan banyak agensi bagi meningkatkan pembangunan rakyat di Kelantan.

Menurutnya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diberi tanggungjawab membangunkan kawasan selatan dan Lembaga Kemajuan Pengairan Kemubu (Kada) pula diberi peranan di kawasan utara Kelantan.

Bagaimanapun katanya sejak agensi itu diwujudkan tidak banyak perubahan berlaku terutamanya Kada, di mana sekadar membantu 19,000 penanam padi.

Kata beliau jumlah pesawah yang disenarai di bawah Kada tidak berubah sejak awal penubuhan sehingga sekarang.

"Begitu juga Kesedar setelah hampir 20 tahun kewujudannya namun hutang meneroka tanah masih belum dilunaskan. Selain hak milik kepada peneroka tidak diselesaikan.

"Lebih malang lagi apabila pendapatan peneroka tidak selari dengan kenaikan harga kelapa sawit di pasaran sekarang," katanya.

Beliau berkata, Kada atau Kesedar dicadangkan diserah kepada kerajaan negeri bagi melihat kemampuan pemimpin di peringkat negeri mengurusnya pula. - mj

'Pemuda Umno bergantung kepada Khairy'

Wartawan Kita
Sun | Nov 04, 07 | 11:46:36 am MYT

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Hrkh) - Beberapa orang Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian-bahagian yang melobi mahu menjadi calon dalam Pilihan raya umum ke-12 akan datang masih mengharapkan `bantuan’ Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang juga menantu kepada Presiden Umno, Khairy Jamaluddin.

Difahamkan beberapa orang Ketua dan Naib Ketua Pemuda ini sudah memberitahu pemimpin Umno di bahagian masing-masing bahawa mereka sudah menjalin hubungan baik dengan menantu Perdana Menteri ini.

“Walaupun Khairy sendiri tidak memberi jaminan sama ada mereka boleh menjadi calon atau tidak tetapi tindakan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda ini telah 'merosakkan' perpaduan pemimpin di sesetengah bahagian," kata seorang Ketua Umno bahagian yang memberi jaminan akan 'bersara' sebagai Adun dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang.

Dia menambah, apa yang lebih mengecewakan adakalanya mereka berhubung dengan menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ini di hadapan pemimpin dan penyokong bagi membuktikan betapa 'eratnya' hubungan mereka ini.

Ketua Umno Bahagian ini menolak tanggapan bahawa Khairy telah menjadi 'beban kepada Perdana Menteri' tetapi sedikit sebanyak ahli-ahli Umno di peringkat bawahan terpengaruh dengan kempen Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda ini.

Sehingga tahun 2008 yang dianggap kemungkinan Pilihan raya Umum akan diadakan, dianggarkan lebih 60 peratus daripada 191 ketua Umno bahagian-bahagian seluruh negara tamat tempohnya sebagai Ketua Pemuda. Bagaimanapun Ketua Pemuda Umno bersama kepimpinan Umno bahagian Jelutong, Pulau Pinang masih digantung oleh Majlis Tertinggi Umno.

Khairy yang semakin hampir menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia ini selepas selesainya Pilihan raya Umum ke-12 kelak berikutan pengunduran Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia sekarang, Dato' Seri Hishamudin Tun Hussien. Hishamuddin dijangka akan bertanding kerusi Naib Ketua Umno Pusat.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan kepada media pada September 2007 lalu, Hishamudin telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pemuda Umno tidak akan melobi untuk menjadi calon.

Ini juga membuktikan bahawa pengaruh Khairy sememangnya kuat di peringkat Pemuda yang disifatkan sebagai tokoh yang paling berani dilahirkan oleh Pemuda Umno di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. - mns

Menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007: Nama Anwar masih disebut

Wartawan Kita
Sun | Nov 04, 07 | 11:35:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Hrkh) - Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak pastinya tidak 'tidur lena' apabila nama Penasihat Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim masih disebut-sebut oleh ahli Umno sebelum menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007 yang bermula pada 5 November depan.

Anwar dikatakan masih berupaya untuk membawa Umno ke arah yang lebih baik dan pantas berikutan pengalaman mereka bersama bekas Timbalan Presiden Umno sebelum dipecat pada tahun 1998 dahulu.

"Hanya Anwar sahaja yang boleh membawa pembaharuan ataupun mengekalkan cara pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamed dahulu yang memberi kesamarataan atau penambahan ekonomi kepada ahli-ahli Umno," kata seorang Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita Umno Pusat yang ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau yang enggan namanya disebutkan memberitahu, situasi pada masa kini dianggap terlalu lemah dan perlahan di samping beberapa tindakan kumpulan Presiden Umno yang masih memberi tekanan kepada bekas Presiden Umno, Dr Mahathir.

Beliau mengakui begitu 'kecewa' dengan apa yang berlaku kepada Dr Mahathir selaku pemimpin Umno yang dihormati oleh ahli parti mahupun masyarakat di luar negara. "Hanya Anwar sahaja yang boleh menjadi penyelamat kepada parti ini memandangkan usia yang masih muda berbanding Dr Mahathir".

Dia yakin Dr Mahathir tidak akan 'comeback' di arena arus perdana politik Umno memandangkan faktor kesihatan dan usia. "Mahathir masih mempunyai 'aura' di kalangan ahli Umno terutamanya di peringkat akar umbi".

Seorang perwakilan dari Negeri Sembilan pula memberitahu, tiada apa mustahil di dalam politik dan kerana itu tidak mustahil Anwar akan kembali semula dan menerajui parti yang pernah dianggotainya.

"Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh melantik Anwar sebagai senator dan memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan sebelum menjelang Pemilihan Perhimpunan Agung Umno akan datang," katanya yang juga namanya enggan disebut.

Dia menambah, Pak Lah hanya mahu jaminan dari Anwar bahawa menantunya tidak diganggu untuk naik ke atas di dalam politik Umno memandangkan keadaan Najib yang masih dilihat sebagai 'orang Mahathir'.

Ketika diaju pertanyaan adakah ahli dan pemimpin Umno boleh menerima teori beliau ini, dia menambah sudah hampir 30 tahun dia di dalam Umno dan cukup 'masak' dengan perangai ahli-ahli Umno ini yang disifatkan sebagai 'pengikut yang cukup taat'. "Apa yang penting adalah tidak 'miss sorru' dan tiada sebarang gangguan untuk menambahkan perniagaan".

Mengenai Najib pula, dia memberitahu, dia memahami sikap Najib yang begitu patuh dan taat kepada kepemimpinan parti dan politik dalam Umno. "Saya yakin Najib tidak akan menentang Pak Lah jika Pak Lah mengambil semula Anwar ke dalam Umno".

Sementara dalam beberapa siri ceramah yang dianjurkan oleh pembangkang, Anwar begitu 'komited' tidak akan menyertai Umno sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada pembangkang menjelang pilihan raya Umum ke-12 akan datang.

Bagaimanapun, Anwar kurang 'menyinggung' perasaan ahli dan kepimpinan Umno bahagian dalam beberapa siri ceramah sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kepimpinan tertinggi Umno terutamanya Najib dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Perhimpunan Agung Umno 2007 akan berlangsung selama lima hari bermula pada 5 November dan berakhir 9 November 2007. Dianggarkan 2522 perwakilan ahli hadir di Perhimpunan ini dengan ucapan dasar oleh Abdullah Ahmad Badawi. - mns

Bukan masa melobi

Oleh Zainuddin Ayip dan Kadir Dikoh


Datuk Seri Najib Razak

Pembahas wakili negeri tak semesti jadi calon pilihan raya: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan perwakilan Umno supaya tidak menjadikan perhimpunan agung parti yang bermula esok hingga Jumaat ini sebagai pentas melobi dan menonjolkan diri sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya umum, tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Umno berkata, perwakilan juga tidak harus menganggap perhimpunan yang dihadiri 2,522 perwakilan mewakili 190 bahagian Umno itu sebagai medan untuk melobi bagi menyerlahkan peluang mereka menjadi calon kerana cara seperti itu boleh 'menikam diri sendiri'.


"Jika kita dipilih menjadi jurucakap (wakil negeri) untuk berbahas, tidak semestinya kita akan diangkat menjadi calon kerana kriteria menjadi calon mewakili Barisan Nasional cukup banyak, terserah budi bicara pemimpin tertinggi. Bukan saja pandai berpidato tetapi banyak ciri lain yang kena ambil kira.

"Antara kriteria utama penampilan dan kebolehannya selain boleh diterima bukan saja oleh parti malah pengundi di kawasan mereka," katanya.

Beliau mengakui, sepanjang tiga hari perhimpunan, apabila ada peluang berjumpa pemimpin tertinggi, pada masa itulah mungkin ada perwakilan cuba melobi dan menonjolkan diri. Itu perkara biasa.


"Nak kata tidak boleh sebut sangat pun (kegiatan melobi), benda ini sudah realiti dan realiti politik ini kadang-kadang, kita kena tunjuk kita ada minat, nanti orang kata macam kita tak berminat (nak jadi calon) pula. Kita kena tunjuk bahawa kita ada minat menjadi calon, tetapi buat secara sederhana, berhemah dan bersopan, janganlah orang kata beria-ia dan berlebihan sangat," katanya.

Najib berkata demikian dalam temu bual khas dengan Berita Minggu di pejabatnya di sini kelmarin ketika diminta mengulas kecenderungan perwakilan Umno untuk melobi sebagai calon memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Perhimpunan Agung Umno itu bermula dengan majlis taklimat tertutup Presiden, petang esok dan sebelah malamnya, Najib melakukan perasmian serentak persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Selasa ini, Wanita, Pemuda dan Puteri akan bersidang serentak dan kemuncaknya adalah ucapan Presiden pada Rabu ini, diikuti perbahasan dan usul oleh perwakilan pada Khamis dan pagi Jumaat.

Ucapan penggulungan dijangka bermula selepas solat Jumaat, dimulai dengan Naib Presiden, diikuti Timbalan Presiden dan diakhiri Presiden. Perhimpunan kali ini hanya membabitkan 190 daripada 191 bahagian kerana Umno Bahagian Jelutong digantung berikutan masalah dalaman.

Timbalan Perdana Menteri, berkata kepetahan berpidato seperti ketika perbahasan pada perhimpunan agung tidak memadai untuk dipilih sebagai calon kerana seseorang itu mungkin tidak disukai pengundi.

Malah katanya, pengundi akan marah jika parti mencalonkan seseorang yang tidak diterima majoriti pengundi.

"Kalau pandai bercakap tetapi orang tak suka, tak boleh juga. Pengundi cukup marah kalau kita cuba paksa (mencalonkan orang yang mereka tak suka). Kita mesti tahu cita rasa, sensitiviti, keadaan dalam satu-satu kawasan.

"Sebab yang paling penting kali ini, BN mesti menang. Calon yang kita pilih mestilah calon paling sesuai.

Calon kita mesti boleh diterima dan boleh menang di kawasan itu. Tiada guna letak calon yang tidak boleh menang," katanya.

Najib juga berkata, Umno akan memberi garis panduan kepada mereka yang bercakap pada perhimpunan kali ini bagi mengelak mereka menyentuh isu sensitif berkaitan kaum atau agama seperti yang berlaku pada perhimpunan tahun lalu.

Perkara ini, kata beliau cukup penting kerana ucapan pada perhimpunan itu turut diikuti dan dinilai oleh mereka di luar dewan termasuk bukan Melayu.

Mengenai perebutan atau tuntutan kerusi di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib berkata �status quo� pengagihan kerusi sekarang kekal berikutan tiada kerusi tambahan melainkan ada parti sanggup menyerahkan kerusi mereka kepada rakan lain dalam komponen atas semangat setia kawan.

Nik Aziz tak cadang lapor BPR

KOTA BHARU 3 Nov. – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak bercadang untuk melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai tindakan seorang peniaga yang mahu memberikan rasuah kepadanya sebanyak RM1 juta, 16 tahun lalu.

Beliau berkata, selain perkara itu berlaku terlalu lama iaitu pada awal pemerintahan Pas di Kelantan dan beliau sendiri ketika itu mengakui tidak tahu tindakan yang perlu diambil berhubung kes tersebut.

‘‘Kalau sekarang sudah tentulah (laporkan kepada BPR)... tetapi apa yang berlaku itu 16 tahun lalu di mana seorang tauke balak mahu memberikan wang RM1 juta kepada saya sekiranya saya beri kawasan balak kepada dia,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, sebagai seorang berpendidikan agama lebih berpegang kepada prinsip Islam melarang umatnya melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.

– Bernama

Nik Aziz dakwa tauke balak cuba rasuah

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

Menteri Besar Kelantan tak boleh tunjuk bukti kerana tawaran dibuat secara lisan

KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku ditawarkan jutaan ringgit oleh seorang tauke balak yang mahu mendapatkan konsesi kawasan pembalakan di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ganjaran itu ditawarkan kepadanya oleh lelaki terbabit, ketika beliau baru menduduki jawatan berkenaan kira-kira 16 tahun lalu.

"Hari pertama jadi Menteri Besar, seorang tauke datang minta balak dan sanggup bayar wang berjuta kepada saya. Kalau saya beri lagi (tambah), dia akan bayar lagi.

"Ketika itu, saya pegang janggut dan serban saya sambil berkata, mu kenal janggut aku, akhirnya dia lari (pergi)," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan mengambil keterangannya berhubung pengakuannya mendakwa pernah ditawarkan rasuah jutaan ringgit sepanjang mentadbir Kelantan sejak 16 tahun lalu.

Kelmarin, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, dilaporkan sudah mengarahkan Pengarah BPR Kelantan, Md Yusoff Md Zain, untuk menyiasat dakwaan itu yang disiarkan dalam Berita Harian pada Isnin lalu.

BPR dijangka menemui Nik Abdul Aziz minggu depan untuk mengambil keterangan, termasuk sama ada pernah membuat laporan mengenai perkara itu kepada BPR kerana kegagalan berbuat demikian, adalah menyalahi Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Nik Abdul Aziz tidak menjelaskan sama ada tauke balak terbabit memperoleh sebarang kelulusan konsesi pembalakan di negeri ini sepanjang pentadbirannya selepas kejadian terbabit.

Beliau turut menyifatkan tidak perlu lagi membuat laporan kepada BPR berhubung tawaran rasuah itu ketika ini kerana kejadian terbabit sudah lama berlaku.

"Tak payah lapor, sudah 16 tahun (lama sangat), orang itu mati atau hidup lagi, saya tak tahu," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang bukti lain bagi mengesahkan tawaran tauke balak itu kerana janji ganjaran wang berjuta terbabit dibuat secara lisan dalam pertemuan berkenaan.

"Bukti apa? dia nak beri, itu saja buktinya. Kalau tok guru bagi kawasan ni (balak) kepada saya, saya beri tok guru sekian-kian juta, itulah buktinya," katanya.

Namun, Nik Abdul Aziz berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada BPR untuk menyelesaikan perkara itu sama ada dipanggil ke pejabat badan itu atau ditemui pegawainya.

"Saya akan pergi apabila dipanggil BPR, mengapa pula tidak pergi. Kalau dia (BPR) datang ke bilik saya, itu lagi baik," katanya.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz turut mencabar Umno Kelantan jika mempunyai sebarang bukti rasuah dalam pentadbirannya, supaya menyerahkan bukti kepada BPR dan bukannya sekadar menyebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ucapan dasar Presiden sentuh perpaduan

Oleh YULPISMAN ASLI dan SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyentuh soal pentingnya orang Melayu bersatu di bawah payung UMNO dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Abdullah juga dijangka menegaskan terhadap pentingnya UMNO mempertahankan prinsip yang telah disepakati dalam soal hak istimewa orang Melayu, bahasa dan agama di samping menghormati hak dan budaya kaum lain.

Beliau berkata, Abdullah juga bakal menyentuh kembali kejayaan negara dalam tempoh 50 tahun lalu serta soal meneruskan agenda mencapai Misi Nasional iaitu Wawasan 2020.

‘‘Selepas itu, (ucapan seterusnya) apa yang Presiden biasa perkatakan ialah apa yang kita mahu lihat 50 tahun akan datang,’’ katanya kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri merasmikan Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Muhyiddin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Usul berkata, ucapan dasar Presiden merupakan antara tiga usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan agung kali ini.

Dua usul lain yang termaktub dalam rangka usul yang akan dibentang dan dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO ialah Usul Ekonomi dan Pendidikan serta Usul Agama dan Sosial.

Beliau berkata, usul-usul tersebut telah pun dimaklumkan kepada jurucakap negeri-negeri dan satu sesi taklimat mengenainya akan diadakan pada 5 November ini.

Menurutnya, taklimat itu bukan untuk mengarahkan apa yang boleh cakap dan tidak boleh cakap kerana perwakilan UMNO sudah matang untuk berucap ketika membahas usul.

‘‘Tetapi, yang lebih penting, kita tidak boleh lupa persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum. Jadi, nada dalam perhimpunan kali ini seharusnya menggambarkan pemikiran UMNO yang menjadi teras kepada Barisan Nasional (BN) yang hendak mementingkan hubungan baik antara kaum.

‘‘Kita hendak memberi persepsi yang jelas kepada masyarakat apa sebenarnya peranan UMNO supaya mereka tidak lupa. Jadi, fokus ialah kepada soal persiapan pilihan raya umum supaya kita mencipta sekali lagi kejayaan yang cemerlang,’’ katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Muhyiddin mengingatkan pemimpin generasi muda Melayu bahawa menguruskan Malaysia bagi tempoh 20 ke 50 tahun akan datang adalah jauh lebih sukar dan mencabar.

Katanya, beliau sendiri telah mula merasai cabaran hebat yang bakal ditempuh oleh mereka berikutan wujud golongan mempertikaikan perkara-perkara yang telah disepakati oleh pemimpin terdahulu dalam menjamin perpaduan dan pembangunan negara secara terbuka.

Beliau berkata, golongan berkenaan terdiri daripada generasi yang lahir selepas merdeka dan tahap kesedaran mereka mengenai kepentingan perkara-perkara yang telah disepakati itu disifatkan sebagai amat cetek.

‘‘Mereka ini yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu. Mereka turut mempertikaikan mengapa barisan kepimpinan kita masih menekankan pentingnya Dasar Ekonomi Baru (DEB),’’ katanya.

Muhyiddin berkata, isu-isu yang dibangkitkan adalah sensitif dan sewajarnya tidak dibincangkan setelah disepakati bagi menjamin kesejahteraan semua pihak.

Sabah minta perwakilan tidak terima sogokan

KOTA KINABALU 3 Nov. – Badan Perhubungan UMNO Sabah mengingatkan para perwakilan dari negeri itu supaya tidak menerima sebarang sogokan yang mungkin ada hubung kait dengan pemilihan parti akan datang pada Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Musa Aman berkata, beliau telah memberi nasihat kepada semua ketua bahagian dan meminta disampaikan kepada perwakilan masing-masing agar menjauhkan diri daripada terjebak dengan politik wang.

Menurut beliau, semua perwakilan harus datang ke perhimpunan itu untuk membincangkan hala tuju serta mengukuhkan lagi parti dan bukannya terjebak dengan aktiviti menarik sokongan untuk pemilihan parti akan datang.

Katanya, UMNO Sabah juga akan memantau kegiatan seperti itu bagi memastikan ia tidak berlaku kerana boleh merosakkan kekuatan parti.

‘‘Setakat ini, belum ada lagi yang datang ke Sabah atau pemimpin UMNO yang menemui perwakilan dan saya percaya tidak akan ada.

‘‘Kita telah beri nasihat kepada perwakilan, pemberian wang tidak dibenarkan, saya percaya pemberian wang tidak akan berlaku kerana ia tidak dibenarkan oleh parti,’’ katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kumpulan Sawit Kinabalu di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail baru-baru ini bahawa pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan diingatkan tidak dibenar menyenaraikan calon pilihan masing-masing untuk memenuhi jawatan tertentu semasa pemilihan parti kerana ia melanggar tataetika ahli UMNO.

Mengenai perhimpunan parti kali ini, Musa memberitahu, UMNO Sabah akan membawa isu perpaduan, pembangunan dan pendidikan semasa perbahasan.

UMNO Kedah fokus Koridor Utara

ALOR STAR 3 Nov. – UMNO Kedah akan memberi fokus kepada isu pembangunan negeri Jelapang Padi dengan menyentuh aspek kemajuan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) dan manfaatnya kepada kesejahteraan rakyat pada Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiga perwakilan yang dipilih untuk membahaskan usul berkaitan ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Arzmi Hamid dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pendang, Kamal Saidin.

Katanya, Othman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri akan membahaskan ucapan dasar Presiden, Arzmi pula isu berkaitan pendidikan dan ekonomi, manakala Kamal akan menyentuh isu agama.

‘‘Saya mahu agar perwakilan bijak memetik ucapan Presiden khususnya dalam mengetengahkan isu berhubung Koridor Utara yang menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Kedah melalui projek pertanian berskala besar dengan nilai tambah melibatkan golongan petani dan pesawah.

‘‘Selain itu, hal berkaitan kesejahteraan rakyat termasuk pendapatan isi rumah, kemudahan yang dibekalkan kepada rakyat dan infrastruktur sokongan terutama di kalangan golongan kurang upaya dan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan ibu tunggal juga akan diberi penekanan,” katanya.

Mahdzir yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah di Taman Rakyat Mergong, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 345 perwakilan akan mewakili UMNO Kedah ke perhimpunan agung tersebut.

Peneraju GLC perlu berjiwa Melayu

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM 3 Nov. – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dijangka akan membawa usul meminta kerajaan hanya melantik orang Melayu yang benar-benar berjiwa Melayu bagi menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang bermula Isnin ini.

Beliau juga dijangka membawa usul supaya diwujudkan garis panduan bagi memastikan GLC tidak ‘potong jalan’ syarikat bumiputera untuk mendapatkan tender projek-projek besar kerajaan selain meminta GLC berkongsi kekayaan dan keuntungan besar dengan syarikat bumiputera.

Semua usul tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu adalah antara 19 resolusi yang diserahkan kepada beliau hasil Persidangan Meja Bulat bertajuk Hala Tuju Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang diadakan di sini hari ini.

Persidangan sehari yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua DPMMS, Tan Sri Rozali Ismail itu dihadiri seramai 55 wakil pelbagai persatuan perniagaan yang bernaung di bawah DPMMS.

Pengarah Eksekutif DPMMS, Kamarulzaman Mohamad berkata, cadangan supaya hanya Melayu yang benar-benar berjiwa Melayu menerajui GLC dibuat kerana DPMMS bimbang jika ada peneraju GLC yang enggan membantu peniaga Melayu.

‘‘Kita bimbang kerana ramai peneraju GLC adalah di kalangan mereka yang tidak mendapat biasiswa atau bantuan kerajaan ketika belajar berbanding GLC terdahulu.

‘‘Jadi mungkin sikap untuk membantu sesama usahawan Melayu dan orang Melayu tidak begitu menebal di jiwa mereka,’’ katanya.

Beliau berkata, DPMMS juga membuat usul supaya GLC melantik ejen di kalangan usahawan Melayu untuk membawa masuk produk ke negara ini sebagai usaha mempelbagaikan lagi cabang perniagaan selain membuka peluang usahawan Melayu membangunkan produk itu di negara ini.

‘‘Ada GLC berkaitan telekomunikasi yang membawa masuk terus produk ke negara ini sedangkan syarikat ini boleh melantik ejen di kalangan usahawan Melayu untuk membawa masuk produk tersebut,’’ katanya.

Menurut Kamarulzaman, DPMMS juga meminta kerajaan mengekalkan Konsep Payung serta Penswastaan dan tidak menghentikannya disebabkan berlaku satu atau dua kegagalan.

‘‘Kami juga minta kerajaan memberi projek kepada usahawan Melayu tulen bukannya kepada pihak tertentu demi untuk menjaga kepentingan atau hubungan,’’ katanya.

Pembahas diminta tangkis tohmahan terhadap kerajaan

KAMPUNG GAJAH 3 Nov. – Pembahas dari Perak perlu berani menyuarakan pendapat masing-masing pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang bagi menangkis segala tohmahan mengenai kelemahan dasar kerajaan dalam memajukan ekonomi orang Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd. Rahman berkata, ketegasan para pembahas dalam Usul Ekonomi sangat penting supaya agenda memajukan masyarakat Melayu tidak terganggu.

‘‘Sekarang ramai orang bercakap mengenai tahap ekonomi orang Melayu, malah parti lawan termasuk segelintir ahli parti kita sendiri sering pertikai dasar-dasar kerajaan yang diperjuangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

‘‘Ada juga yang sanggup pertikai Dasar Ekonomi Baru (DEB) jadi pada masa inilah para pembahas perlu berani dan tegas mempertahan dan menyokong dasar kerajaan, kalau tidak sampai bila kita hendak lihat Melayu jadi maju,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kampung Gajah berkata, isu mengenai hanya sebahagian Perak dimasukkan ke dalam projek Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) juga perlu diperjelaskan kepada umum.

Katanya, walaupun Koridor Utara hanya melibatkan kawasan utara Perak, namun ia sudah cukup untuk memberi ruang dan peluang kepada pembangunan pesat negeri ini.

‘‘Satu masa nanti kawasan utara Perak akan lebih maju daripada sekarang kerana limpahan daripada pembangunan di Pulau Pinang.

‘‘Kawasan negeri jiran itu akan jadi sempit dan bakal kekurangan tanah maka pada masa itulah kerajaan negeri berpeluang membangunkan kawasan perumahan, perindustrian dan ruang perniagaan kepada orang Melayu,’’ katanya.

Menurut beliau, Perak yang kaya dengan sumber kayu-kayan juga perlu menumpukan kepada industri berasaskan kayu seperti perabot dan pembinaan.

‘‘Percaya atau tidak, Perak boleh jadi pusat industri berasaskan kayu yang terbesar di dunia jika kita semua menggemblengkan tenaga ke arah itu.

‘‘Jangan kita semua jadi lemah semangat hanya disebabkan projek Koridor Utara tidak meliputi semua kawasan di Perak,’’ katanya.

Tangkis semua khabar angin – Zam

KOTA BHARU 3 Nov. – Pegawai-pegawai di jabatan dan agensi Kementerian Penerangan diminta menangkis segera khabar angin yang mengatakan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Besar memulaukan Persidangan Raja-Raja Melayu yang diadakan pada Rabu dan Khamis lalu.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin mendakwa khabar angin itu disebarkan oleh pihak tertentu dalam usaha mereka untuk menarik orang ramai menyertai satu tunjuk perasaan besar-besaran kononnya sebagai menyokong Raja-Raja Melayu.

‘‘Ia adalah satu usaha bagi menggambarkan adanya keretakan hubungan di antara kedua-dua pihak bagi menimbulkan prasangka mengatakan negara ini berada dalam krisis,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pertemuan dengan warga kementerian itu di Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Zainuddin berkata, sebelum persidangan itu, khabar angin telah disebarkan mengatakan Menteri-menteri Besar akan memulaukan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Katanya, ini terjadi apabila beliau telah ditanya oleh ramai pemberita sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu sama ada benar atau tidak ia akan dipulaukan.

‘‘Saya sedar, jika saya menafikannya sekalipun ketika itu, ia akan disiarkan juga dengan tujuan untuk memberikan gambaran bahawa seolah-olah ada rancangan untuk memulaukannya.

‘‘Bagaimanapun, ternyata perkara itu tidak berlaku dan pihak itu kemudiannya menyebarkan khabar angin Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini telah dipulaukan dengan harapan orang ramai mempercayainya,’’ ujarnya.

Selain itu, katanya, mereka juga merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan dengan keyakinan bahawa rakyat akan menyokong setelah melihat adanya sokongan media terhadap usaha untuk menyusun semula badan kehakiman negara.

Tambahnya, ia bermula dengan suatu tunjuk perasaan peguam di Putrajaya pada 26 September lepas berikutan pendedahan satu klip video yang mendakwa seorang peguam bercakap dengan seorang hakim kanan berhubung pelantikan hakim.

Justeru Zainuddin berharap orang ramai mematuhi nasihat pihak polis yang meminta supaya tidak menghadiri sebarang perjumpaan atau perhimpunan haram.

Katanya, rakyat hendaklah memahami bahawa di sebalik perancangan untuk mengadakan tunjuk perasaan itu, ada parti pembangkang yang terlibat.

Beliau mendakwa strategi yang digunakan itu sudah lapuk dan yakin orang ramai tidak lagi mudah percaya dengan taktik sedemikian.

MIC cadang PPP disingkirkan dari BN

SUNGAI SIPUT 3 Nov. – MIC akan mencadangkan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya Parti Progresif Penduduk disingkirkan dari pakatan BN berikutan tindakan Presidennya, Datuk M. Kayveas yang sering mempertikaikan peranan MIC dalam membela nasib kaum India di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, penyingkiran adalah tindakan paling wajar untuk dikenakan terhadap PPP kerana parti komponen itu jelas tidak menghormati parti komponen yang lain dan tiada semangat setia kawan.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin parti komponen, Kayveas mesti mengikut saluran betul jika mahu membangkitkan soal peranan parti lain iaitu dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

‘‘Beliau (Kayveas) sering tidak ikut saluran yang betul dan selalu marah MIC dan pimpinannya. Sebab itu kita mahu bentangkan usul kepada Dewan Tertinggi BN supaya PPP dikeluarkan dari pakatan BN.

‘‘MIC mahu pucuk pimpinan BN mengambil langkah sewajarnya ke atas Kayveas agar ia menjadi peringatan kepada orang lain,’’ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Deepavali kepada fakir miskin di Dewan Konvensyen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mengenai cadangan MIC supaya PPP dikeluarkan daripada BN.

83 penyokong Pas sertai UMNO

PASIR PUTEH 3 Nov. – Sebanyak 83 orang penyokong Pas di Kampung Dalam Ru Semerak, dekat sini, keluar dari parti itu dan menyertai UMNO semalam.

Mereka menyerahkan borang keahlian UMNO masing-masing kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Kamarudin Md. Nor malam tadi.

Mereka bertindak demikian selepas hilang keyakinan terhadap perjuangan Pas dan tidak yakin dengan hala tuju parti itu dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

Ia diketuai bekas Setiausaha Pas kawasan itu, Nawawi Yusoff, 36, dan ahli Jawatankuasa Pemuda Pas, Zamri Mohd. Nor, 43.

Nawawi berkata, dia tidak yakin lagi dengan perjuangan Pas, malah merasa tertipu setelah mendapati parti itu gagal membangunkan Kelantan walaupun diberi mandat memerintah sejak lebih 17 tahun lalu.

‘‘Lebih 10 tahun saya berada dalam Pas tiada apa-apa yang dapat kecuali sehelai kain pelikat tetapi bukan itu yang menjadi teras perjuangan, sebaliknya saya melihat kepentingan agama dan bangsa,” katanya di sini semalam.

Nawawi juga menyeru ahli dan penyokong Pas lain supaya mengikut jejak langkahnya bagi mencapai misi Barisan Nasional (BN) untuk menawan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, perjuangan dalam politik sepatutnya mempunyai misi dan visi bukannya sebagai ‘pak turut’ seperti yang diamalkan oleh ahli-ahli Pas.

‘‘Tiada gunanya lagi terus menyokong Pas kerana perjuangan parti itu jelas tidak menguntungkan orang Melayu yang semakin ketinggalan dalam arus kepesatan ekonomi negara,” ujarnya.

Menurutnya, UMNO sudah membuktikan kewibawaannya dalam membangunkan Kelantan termasuk keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap keperluan rakyat negeri ini walaupun masih diterajui Pas.

Kamarudin yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak berkata, penyertaan bekas penyokong Pas itu akan menguatkan lagi kedudukan UMNO untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, sejak 2004 sehingga sekarang, lebih 2,000 anggota Pas telah menyertai UMNO di 214 cawangan di seluruh bahagian berkenaan yang kini keahliannya sudah mencecah 24,600.

Kamarudin yakin lebih ramai lagi ahli Pas akan menyertai UMNO menjelang pilihan raya yang mungkin diadakan tahun depan.

Pelan ‘Kelantan Baru’ disediakan

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 3 Nov. – Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan mengumumkan pelan lengkap berhubung ‘Kelantan Baru’ kepada rakyat di negeri ini pada hujung bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, pelan tersebut dirangka bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak terpinggir daripada arus pembangunan berbanding negeri-negeri lain bermula tahun depan.

Beliau berkata, Kelantan berpotensi besar untuk menjadi sebuah negeri yang membangun sekiranya ditadbir dan diurus dengan baik oleh kerajaan.

‘‘Saya akan bentangkan dengan jelas segala usaha kita untuk mewujudkan ‘Kelantan Baru’ kepada rakyat di negeri ini, agar kita semua dapat berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain.

‘‘Kita mesti berazam untuk mewujudkan ‘Kelantan Baru’ supaya tidak ketinggalan dengan Terengganu dan Pahang di Pantai Timur ini,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau berucap pada program Merakyatkan Seni Budaya Semarak Merdeka Dikir Barat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Ketereh, Kelantan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Mohamed Mohd. Daud.

Annuar yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, melalui pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) rakyat negeri ini akan mendapat manfaat yang besar.

‘‘Sudah sekian lama kita terpinggir, rakyat Kelantan akan mendapat peluang untuk membangun sebaik sahaja fajar tahun 2008 menjelang.

‘‘Dengan ECER dan Kelantan Baru nasib kita akan berubah, negeri ini akan mendapat peluang ekonomi yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya,’’ ujarnya.

'Sukar ambil tindakan calon mula berkempen'

KOTA TINGGI: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengakui adalah sukar untuk parti berkenaan mengambil tindakan kepada calon yang mula berkempen pada perhimpunan agung parti itu minggu depan sebagai persediaan untuk pemilihan Umno yang dijangka berlangsung tahun depan.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kota Tinggi, berkata walaupun Lembaga Disiplin sudah memberi amaran akan mengambil tindakan kepada calon yang berkempen pada perhimpunan agung Umno minggu depan, tetapi sudah ada tanda bahawa ada calon yang sudah memulakan kempen.

"Mereka (calon) tahu bahawa tahun depan, pucuk pimpinan parti melalui Lembaga Displin akan mengenakan pelbagai peraturan dan syarat bagi mengelakkan berlaku politik wang dan sebagainya, hingga mencemarkan pemilihan.

"Jadi, perhimpunan agung minggu depan, adalah tempat terbaik untuk mereka memulakan kempen bagi pemilihan akan datang dan saya rasa semua ahli dan pemimpin Umno mengetahuinya," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Syed Hamid yang juga Menteri Luar berkata, perhimpunan agung Umno minggu depan, adalah pentas terbaik untuk parti berkenaan membincangkan segala isu dan agenda orang Melayu terutama sekali dalam menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.

"Perhimpunan agung berlangsung ketika suasana negara dan orang Melayu berada dalam suasana selesa dengan banyak dasar kerajaan mula dilaksanakan selain hubungan antara kaum juga di tahap terbaik," katanya.

Beliau berkata, pembangkang juga tidak mempunyai isu besar untuk memperlekeh Umno dan kerajaan yang dipimpin Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan segala janji yang dibuat ketika pilihan raya umum lalu sudah atau sedang dilaksanakan.

Katanya, atas sebab itu, pembangkang hanya mempunyai isu pinggiran yang sebenarnya, tidak menggugat kerajaan secara keseluruhan dan tiada masyarakat atau mana-mana kaum di negara ini, dipinggirkan dalam mengecapi sebarang peluang sama ada daripada segi pembangunan atau pelajaran.

Negeri Sembilan usul ekonomi, pendidikan

Oleh Hussain Said

Topik dibahas secara menyeluruh kerana terkandung dalam RMK-9

SEREMBAN: Umno Negeri Sembilan akan mengutarakan beberapa pandangan, khususnya dalam usul ekonomi dan pelajaran pada perbahasan perhimpunan agung Umno, minggu depan, yang diyakini mampu mengukuhkan kedudukan dan masa depan orang Melayu dalam kedua-dua bidang berkenaan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kedua-dua usul berkenaan perlu dibahaskan dengan lebih menyeluruh kerana ia adalah antara isu utama yang terkandung dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Kita berpendapat kedudukan ekonomi negara berada pada paras terbaik dan semua penunjuk dan penanda aras ekonomi, menyebelahi negara kita. Jadi, kita harus merebut peluang itu bagi membangunkan dan mengukuhkan lagi ekonomi negara," katanya.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata demikian selepas merasmikan bangunan tambahan dan makmal ICT Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Benar, Mantin, dekat sini, semalam.

Mohamad turut menasihatkan rakyat tidak perlu bimbang dengan kedudukan dan keadaan ekonomi negara sekarang walaupun ada ancaman berlaku krisis ekonomi Amerika Syarikat yang memungkinkan permintaan barangan negara ini ke negara kuasa besar itu berkurangan.

Beliau berkata, krisis itu mungkin berlaku tetapi untuk jangka masa panjang dan bukannya dalam tempoh terdekat kerana ketika ini lebihan dagangan Malaysia sudah mencapai lebih 116 bulan yang bermakna negara sudah banyak mengeksport daripada mengimport.

"Kalau kita tak buat apa-apa pun, kita masih mampu bertahan selama 8.8 bulan dan ia bermakna kita masih mampu menanggung belanjawan negara dengan baik. Rizab luar negara kita juga sudah mencapai AS94 bilion (RM310.2 bilion).

"Jika sebelum krisis pada 1997, kita cuma ada lebih kurang AS20 bilion (RM66 bilion) dalam rizab negara. Ia juga bermakna kita berjaya meningkatkan rizab luar negara dengan lebihan dagangan," katanya.

Mohamad berkata, fakta itu akan menjadi sebahagian daripada rangka yang akan dibahaskan bertujuan mendorong rakyat supaya terus bekerja kuat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang sedang pesat membangun itu.

"Kita juga akan cadangkan supaya peranan sektor swasta sebagai enjin pembangunan dipertingkatkan kerana ketika ekonomi merudum pada 1997 dan 1998, kerajaan banyak membantu menyelesaikan projek terbantut yang dikendalikan mereka," katanya.

Katanya, tiga wakil Umno negeri ini yang diberi tanggungjawab berbahas ialah Ketua Umno bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim yang akan membahaskan ucapan Presiden, Ketua Umno bahagian Rasah, Datuk Hashim Rusdi membahaskan usul ekonomi dan pelajaran, manakala Naib Ketua Wanita Umno negeri, Zainab Nasir membahaskan usul agama dan sosial.

"Saya menasihatkan mereka supaya membahaskan setiap usul itu dengan baik dan betul. Sudah banyak yang dilakukan oleh Presiden Umno. Kalau kita tidak bahaskan dengan betul, ia akan tinggal begitu sahaja," katanya.

Muafakat teras ucapan

Oleh Ziauddin Sharuddin dan Abdul Razak Raaff


DIIKTIRAF: Muhyiddin menyampaikan anugerah cemerlang ahli kepada Dr Alfida Sohana Awang Soh, sambil disaksikan Shafie di Kuala Lumpur, semalam.

Presiden Umno dijangka beri penekanan kerjasama semua kaum

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menekankan pentingnya permuafakatan antara kaum bagi semua sektor terutama ekonomi dan pendidikan serta kesungguhan mengekalkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum akan datang dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2007.

Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata sejak kebelakangan ini, banyak pihak membangkitkan dan mempertikaikan beberapa perkara yang dianggap sensitif seperti isu agama, kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.


"Mungkin ada saranan supaya diwujud dan ditingkatkan usaha muafakat antara kaum, tetapi tidak semestinya secara formal dan bukan dalam bentuk dialog nasional, tetapi disertai pelbagai pihak untuk meningkatkan kesefahaman antara kaum di negara," katanya.

Beliau yang mewakili Abdullah berkata demikian ketika merasmikan Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara, di sini semalam. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Draf Usul Perbahasan berkata, antara inti pati ucapan dasar Presiden Umno yang lain ialah aspek perpaduan nasional selain mengimbau kejayaan selepas 50 tahun kemerdekaan, sejarah perjuangan bangsa pimpinan terdahulu, sumbangan ahli parti dan lapisan masyarakat untuk mencapai kecemerlangan.


Selain itu, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata nada Perhimpunan Agung Umno turut mencerminkan pemikiran parti yang menjadi teras Barisan Nasional (BN) yang mementingkan hubungan baik antara kaum.