Wed | Nov 14, 07 | 1:25:03 pm MYT
Di hujung 1990-an, setelah Reformasi Indonesia berhasil meranapkan tembok kekuasaan tirani Presiden Suharto yang menyaksikan puluhan khalayak dan mahasiswa Universitas Trisakti hilang, maut dan tenggelam dalam badai amukan tentera, ada jalur fahaman lain menjelma mengiriingi peristiwa berdarah itu. Protes rakyat aman kerana dikawal polis!
Ketika mengulas insiden keganasan polis Malaysia dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat baru-baru ini, wartawan penyair dari Batam, Indonesia Hasan Aspahani, 37, berkata hal itu tidak berlaku lagi di mana-mana tempat di negara jiran tersebut.
"Saya tidak ingat nama undang-undang itu secara jelas. Tapi sememangnya ada undang-undang yang menyebutkan bahawa aksi dan protes itu dikawal oleh polis dengan aman, tanpa ribut. Asalkan perhimpunan itu tidak bersifat anarkis.
"Pokoknya, hal itu sudah menjadi fahaman umum dalam kalangan warganegara bahawa setiap aksi dan protes itu akan dilindungi oleh polis supaya tidak berlaku apa-apa ke atas khalayak,†kata Hasan sambil menyifatkan tuntutan Bersih itu sudah tepat pada saatnya.
Adakah polis Malaysia dan pemerintah dijangkiti penyakit sadisme atau pun penderitaan secara psikologi di mana para pesakit jiwa itu gemar melihat mangsanya menderita akibat dipukul, ditendang dan mengerang kesakitan?
Kalau benar, amat malang bagi rakyat negara ini kerana penyakit kejiwaan itu membarah dan merebak ke dalam hati pihak berkuasa dan tiada pakar peru batan yang dapat merawat 4,000 anggota 'keselamatan' yang ditugaskan mengawal ketenteraman rakyat amnya.
Bukan cabar kuasa
Sementara itu, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dalam temuramah eksklusif bersama penulis menerusi gerbang maya berkata, rakyat Malaysia tak perlu takut untuk menuntut hak mereka secara berterusan walaupun terdedah dengan ancaman dan tekanan pemerintah.
"Rakyat berhak menubuhkan parti dengan manifesto sendiri dan bertanding dalam pilihan raya. Demonstrasi tidak menjatuhkan kerajaan. Tidak betul disebut bahawa perhimpunan itu adalah pemberontakan.
"Rakyat bukan cabar kuasa. Tetapi, cuma mengingatkan perlunya dilaksanakan reformasi sebenar dan janganlah mencabar ketuanan Tuhan dengan menderhaka dan menipu," kata Abdul Ghani lagi.
Kekerasan polis dan FRU ini, kata beliau, dengan sendirinya telah menunjukkan kerajaan sendiri mencemarkan imej negara dengan tindakan tidak demokratik dan penguasa seperti mahu menunggang minda bangsa hingga membawa mereka melonjak ke angkasa.
"Siapa yang kerahkan polis sempitkan jalan? Saya dengar ada orang yang ingin datang ke ibu kota dan akhirnya dipaksa pulang ke kampung masing masing.
"Jalan raya yang sesak dengan sekatan itu tiada faedah, melainkan menghabiskan minyak kereta orang ramai yang beribu ringgit. Kehadiran demonstran tidak banyak menghalang laluan kecuali di istana dan di beberapa simpang terhad untuk menyeberang," katanya.
Kesesakan seluruh negara pada hari itu, kata Abdul Ghani, adalah disebabkan polis yang hanya menurut arahan Umno. Beliau turut membangkitkan persoalan yang menunjukkan pihak kerajaan dan polis seperti lumpuh daya fikiran atau bertindak di luar kewarasan.
"Malah, ada yang merampas baju kuning orang ramai. Bila polis dibenarkan 'merompak' baju rakyat? Apa salahnya memakai baju kuning dengan tulisan khas atau mungkin telah ada pihak tertentu yang yang gentar terhadap baju kuning itu?
"Kenapa dituduh mencemarkan institusi raja apabila Agong terima memorandum rakyat? Bukankah BN yang zalim memerintah boleh ditakrifkan sebagai mencemarkan nama baik raja dan negara juga?
"Polis yang memberi permit demo kepada Umno BN, tapi tidak beri kepada rakyat adalah polis yang dipengaruhi. Polis hanya bersikap profesional apabila tampuk negara dipegang oleh pimpinan yang adil dan bermaruah," kata beliau lagi.
Berhubung gesaan Anwar untuk buat perhimpunan 200,000 rakyat dalam 3 minggu lagi, beliau berkata, pihaknya menyerahkan keputusan itu terhadap kebijaksanaan pimpinan.
Gelombang fesyen kuning
"Perhimpunan yang ramai itu tentu perlukan persiapan masa lama. Ia mestilah sempurna dengan logistik dan perlu diperhalusi. Bagaimanapun, saya tertarik dengan cadangan agar memakai baju kuning Bersih setiap hari Sabtu. Ini untuk memberi tekanan agar penguasa menyerah kepada kemahuan rakyat akhirnya," katanya.
Mungkinkah budaya menguningkan pejabat, melahirkan trauma kuning ke atas penguasa akan berterusan hingga pilihan raya ini? Jikalau fenomena trauma kuning, menguningkan ceramah pembangkang berjaya dilaksanakan, tentunya hal ini akan memeningkan kepala Umno dan menambahkan demam kuning ke atas pihak polis pula.
"Kita perlu latih polis agar tidak lagi merompak baju kuning. Saya cadang baju itu dijahit dalam pelbagai potongan. Boleh buat baju Melayu yang banyak kocek. Ini akan cetuskan gelombang fesyen Bersih yang terbaru," kata Abdul Ghani.
Kebanyakan revolusi dan budaya menentang di Barat akhirnya melahirkan fesyen-fesyen. Gaya rambut Neo-Nazi, ala punk adalah kesan pemberontakan tertentu yang lahir melalui fesyen pakaian. Mungkinkah gelombang kuning bakal lahir dalam bentuk fesyen pakaian dalam acuan revolusi ala kita sendiri?
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz ketika mengulas isu perhimpunan 100,000 rakyat kepada wartawan di Lobi Parlimen pada 12 November lalu berkata, Umno juga mampu meraih sokongan rakyat melalui perhimpunan jika ada pihak tertentu yang mahu mereka buktikan kekuatan daripada sokongan massa.
"Jika pembangkang fikir perhimpunan 100,000 rakyat itu adalah bukti bahawa rakyat kini menyokong mereka, maka kita juga dapat berbuat begitu. Kita akan himpun sejuta rakyat bagi menunjukkan bahawa rakyat kini menyokong Umno!" katanya dengan nada angkuh.
Barangkali Bersih boleh mencabar Nazri untuk menghimpunkan rakyat dengan cara yang sama? Sudah pasti tiada sekatan jalan, water canon, bom pemedih mata yang dihadiahkan FRU - PDRM kerana perhimpunan ini bermotifkan wang.
Umno tentu terpaksa mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk mengupah mat rempit bermotor di jalan raya hanya semata-mata mempertahankan ego mereka. Silap hari bulan, akan terjadi pertembungan aksi berdarah antara mat rempit - FRU. Lebih ganas dan liar!