Saturday, October 20, 2007

Klip video tidak pernah disunting, siasatan BPR jadi tanda tanya

Azamin Amin
Sat | Oct 20, 07 | 11:48:30 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Hrkh) - Kenyataan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diselar kerana mendakwa klip video yang memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim dalam negara yang kini tidak boleh dijadikan bahan bukti kes kerana ia telah disunting sedangkan yang ditayangkan merupakan sebahagian awal klip tersebut.

Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali berkata video berkenaan tidak pernah disunting sama sekali dan yang dipaparkan selama ini merupakan 8 minit awal daripada keseluruhan klip tersebut.

"Manakala bakinya akan kita paparkan setelah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menggantikan panel bebas yang sudah hilang wibawa dan tidak dapat menjamin keselamatan dan perlindungan saksi dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Ini penting kerana bahagian akhirnya akan menunjukkan beberapa orang yang hadir sewaktu perbualan itu dirakamkan dan akan mendedahkan saksi-saksi tertentu dalam kes ini," katanya.

Beliau juga membangkit persoalan dan menyelar BPR kerana tidak wajar bertindak menyiasat bagi pihak panel bebas sedangkan siasatan haruslah dilaksanakan oleh panel itu sendiri tanpa melibatkan agensi lain.

"Untuk mengesahkan kesahihan atau ketulenan klip video ini, panel bebas sepatutnya memanggil pakar-pakar dalam bidang multimedia dan teknologi untuk mengkajinya secara teknikal bukan menunggu keputusan BPR," katanya dan turut menambah tindakan ini membuktikan panel bebas tersebut tiada kuasa dan mempunyai kredibiliti.

"Apa guna tubuh panel bebas yang tiada kuasa memanggil saksi terutama yang disebut dalam klip ini seperti V.K Linggam, Vincent Tan, Adnan Mansor dan Tun Fairuz malah saksi-saksi lain tidak mahu tampil ke depan jika jaminan keselamatan dan tiada perlindungan saksi," katanya.

Beliau menggesa kerajaan membubarkan panel bebas ini supaya Suruhanjaya Diraja dapat dibentuk bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Sebelum itu dalam masa sama, dilaporkan Majlis Peguam menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Diraja bagi menggantikan panel bebas dan menurut Presidennya, Ambiga Sreenevasan, ini kerana, panel bebas yang ditubuhkan pada 25 September lalu tidak mempunyai kuasa penuh untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kes tersebut.

Menurut beliau, suruhanjaya diraja yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, mewajibkan kehadiran dan menyediakan imuniti kepada para saksi bagi memastikan keberkesanan siasatan terhadap kes tersebut.

"Sekiranya mereka tidak mampu untuk menjalankan siasatan, lebih baik tubuhkan Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kuasa menyeluruh untuk membuat siasatan," katanya.

Syed Husin berpendapat sikap melengah dan tidak mengendahkan tuntutan ini dilihat sebagai satu tindakan untuk menutup kes ini daripada didedahkan kepada umum memandangkan pilihan raya bakal menjelang yang boleh mengakibatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang sokongan daripada rakyat jelata.

Beliau turut berpandangan bahawa BPR sudah dijadikan alat oleh parti pemerintah untuk 'membersihkan' para pemimpinnya yang terlibat dalam pelbagai salah laku tertuatama yaang melibatkan rasuah.

"Korupsi dalam BPR sendiri harus diselidiki sehingga ke peringkat atasan supaya ketelusan dan kewibawaannya boleh diyakini rakyat selama ini," katanya.

Pada 27 September lalu kerajaan menubuhkan panel bebas khas diketuai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan klip video berkenaan.

Panel yang hanya diberi tempoh 30 hari bekerja, mulai tarikh pengeluaran surat pelantikan anggotanya 27 September lalu dijadualkan bermesyuarat pada 29 Oktober ini.

Bagaimanapun mesyuarat yang dijadualkan itu terpaksa ditangguhkan kerana laporan siasatan daripada BPR masih belum diperolehi. - mns

Pilihan raya Umum penentu Najib cabar Abdullah

Murtadza Ibrahim
Sat | Oct 20, 07 | 11:34:35 am MYT

Harakah (16-30 Oktober 2007) lalu dipetik sebagai berkata, Dato' Seri Najib Tun Razak mengintai peluang mencabar Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila pemimpin nombor dua Umno ini tidak mampu menunggu lama untuk mencabar kerusi Presiden Umno. Akhbar ini dipetik sebagai berkata, suasana ke arah itu kini sudah membahang apabila ada desas-desus mengatakan Najib tidak mampu menunggu lama untuk mencabar kerusi Presiden Umno.

Perkara lain yang menarik perhatian yang disebut oleh Subky adalah dua keadaan sahaja Najib tidak jadi PM. Pertama mati dulu dan kedua menjalani nasib yang sama dengan Musa, Ghafar dan Anwar.

Kita menolak pandangan mati dan melihat kepada pandangan kedua Subky iaitu menjalani nasib yang sama dengan Musa, Ghafar dan Anwar. Adakah Najib sanggup berfikiran demikian jika ia secara terbuka mencabar Abdullah dalam Pemilihan Perhimpunan Agung Umno akan datang?

Sememangnya Najib menyedari kekuatan kumpulan Abdullah yang diketuai menantunya Khairy yang kini menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Najib menyedari hakikat dan tidak akan lupa sama sekali dalam Pilihan raya Kecil Dun Ijok pada April 2007 lalu apabila Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerang dirinya habis-habisan tanpa menyebut langsung nama Abdullah dan Khairy.

Najib menyedari hakikat bahawa kuasa Perdana Menteri dan Presiden Umno yang dipegang oleh Abdullah cukup luas sehingga dia dan keseluruhan keluarganya menghadiri program 'mengenang Jasa Tun Razak' yang dianjurkan oleh Khairy di Bangunan Sime Darby pada pertengahan tahun ini.

Najib terpaksa akur ketika itu walaupun ada di kalangan pemimpin Umno yang hadir tertanya-tanya dan 'terkejut' dengan kehadiran begitu ramai keluarga Tun Razak termasuk Toh Puan Hajah Rahah dan hampir kesemua adik beradik dan menantu. Suatu program yang hanya dianjurkan oleh Naib Ketua Pemuda tetapi keseluruhan keluarga Tun Razak hadir. Ini membuktikan begitu hebat dan kuatnya pengaruh Khairy walaupun program ini dikatakan dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Umno.

Namun Najib tidak berdiam diri dan mengambil risiko terserah kepada menantu Abdullah untuk mencaturkan politiknya. Najib juga membina rangkaian baru di samping mengekalkan hubungan baik rakan-rakan beliau semasa menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang kini ramai di kalangan mereka memegang jawatan penting di dalam Umno bahagian. Dia membina rangkaian baru dengan mengajak beberapa Ketua Umno bahagi oleh Abdullah.

Majoriti Ketua Umno bahagian-bahagian yang dibawa adalah kalangan mereka yang bukan Ketua Pemuda atau Ahli Jawatankuasa Pemuda semasa Najib menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno dahulu. Najib akan cepat faham dengan beberapa Ketua Umno bahagian yang mungkin 'menolak' pelawaan ini yang disifatkan sebagai 'orang Abdullah' yang perlu diberikan perhatian.

Di samping itu, dalam mesyuarat bahagian-bahagian Umno yang baru selesai, jentera Najib sudah bergerak dan memantau segala perkembangan politik Ketua Umno dan AJK Umno bahagian sama ada memberi sokongan padu kepada dirinya atau sebaliknya. Di sinilah kekuatan Najib yang cuba melakukan 'personal touch' secara senyap dan mungkin juga di dalam pengetahuan Khairy.

Khairy juga bertindak menyusun strategi untuk 'menyelamatkan' kedudukan bapa mentua agar tidak dicabar oleh Najib. Tindakan yang dilakukan adalah 'memantau' dan mendapatkan sebanyak mana maklumat pada setiap Umno bahagian yang menentukan arah sokongan. Jika ada pemimpin Umno yang bersikap 'menyokong Najib secara total' harapan pemimpin ini untuk mengekalkan kembali kedudukan di dalam kerajaan akan 'padam' dalam Pilihan raya umum ke-12 kelak. Menurut sumber, tumpuan mereka adalah di negeri Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

Menurut satu sumber, majoriti Ketua Umno bahagian yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan sekarang hampir pasti tidak akan 'selamat' yang pernah berkhidmat di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu. 'Abdullah akan menggunakan pendekatan halus tetapi kejam dengan melakukan slogan; kini adalah era Abdullah dan bukan lagi era orang-orang Tun Dr Mahathir dengan alasan untuk membina negara baru yang lebih dinamik.

Kerana itu, Abdullah yang sudahpun berusia 67 tahun sering menyebut berulang kali dia masih mahu kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dengan alasan banyak kerja-kerja yang dirancang sekarang belum selesai. Dia sering membuat kenyataan kepada media massa kepunyaan kerajaan.

Ini juga dilihat sebagai satu isyarat kepada Najib dan orang-orangnya supaya tarik 'hand-brake' sebelum menjelang Pemilihan Perhimpunan Agung Umno kelak. Najib dikatakan akur tetapi 'orang-orangnya' sudah bertebaran di setiap bahagian dan bertembung dengan 'orang-orang Abdullah' yang diketuai Khairy. Abdullah perlu mempertahankan lagi jawatannya walaupun semakin 'lesu' dan 'keliru' kerana terlalu kerap keluar negara semata-mata untuk menantunya.

Abdullah akan melakukan 'pembersihan' dalam Pilhan raya umum akan datang terhadap 'orang-orang Najib' dan saki baki 'orang Dr Mahathir' dengan harapan laluan menantunya sebagai pemimpin utama negara semakin mudah dan tanpa gangguan. Tunggulah calon-calon Umno dalam Pilihan raya umum akan datang walaupun Ketua Pergerakan Pemuda Umno pernah menyebut;- pemuda tidak akan melobi menjadi calon dalam Pilihan raya umum akan datang. Sekali lagi kita tunggu dan lihat!

Ketua pembangkang gesa Ketua Hakim Negara letak jawatan

PETALING JAYA 20 Okt — Ketua pembangkang, Lim Kit Siang menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim supaya meletakkan jawatan dengan segera kerana beliau menyifatkan ketua badan kehakiman itu “tidak layak untuk tugas tersebut.”

“Jika beliau boleh menggunakan Datuk Seri (Mohamed) Nazri Aziz untuk mengelirukan Parlimen dan menafikan bagi pihaknya bahawa beliau memperakukan pemansuhan Common Law pada Ogos apabila beliau sebenarnya telah berbuat demikian, beliau boleh melakukan lagi untuk menafikan bahawa beliau ialah di pihak lain dalam Pita Lingam,” kata pengerusi DAP itu dan juga anggota Parlimen Ipoh Timur.

Lim kemudian memainkan salinan pita kaset yang dikatakan merakamkan kenyataan Ahmad Fairuz berkaitan dengan pemansuhan Common Law kepada pemberita di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Menurut pita itu, Ahmad Fairuz didakwa menyatakan kepada pemberita pada 21 Ogos bahawa beliau tidak fikir ada keperluan untuk Common Law of England kerana Malaysia mempunyai banyak pakar perundangan untuk diterjemahkan dan memberikan pandangan sendiri mereka mengenai undang-undang.

“Saya mencadangkan pada seminar, mungkin mereka boleh kaji perkara ini, sama ada anda mahu mengekal dan menjaga kedudukan ini atau menunjukkan kerajaan bahawa kita boleh mewujudkan pilihan. Kenapa ke Common Law?" menurut rakaman tersebut.

Rakaman itu dikatakan diadakan pada satu seminar mengenai pemikiran dan kerja-kerja akademik Allahyarham bekas Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Ahmad Ibrahim Ogos lepas.

Ia disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Mansuhkan Common Law — Ketua Hakim Negara mahu sistem perundangan Inggeris digantikan sepenuhnya.”

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan tajuk akhbar berkenaan yang telah menjadi kontroversial disebabkan pemberitaan yang tidak bertanggungjawab.-Bernama

Anwar akan disoal siasat BPR lagi Isnin ini

KUALA LUMPUR 20 Okt — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disoal siasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Isnin ini berhubung isu klip video yang kononnya merakam perbualan seorang peguam kanan mengenai pelantikan hakim.

Setiausaha politik beliau, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya dihubungi penyiasat kanan cawangan tindakan khas BPR Putrajaya, Chua Lay Choo semalam bagi soal siasat lanjutan.

“Ketua Cawangan Tindakan Khas selaku Penolong Pesuruhjaya BPR Putrajaya, Salzali Salbi akan menyoal siasat Anwar berkenaan video rakaman itu atas alasan kecemasan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, Anwar akan mengadakan sidang akhbar sejurus selepas soal siasat di pejabatnya di Petaling Jaya selesai.

Sim berkata, pada 5 Okt lalu Anwar telah disoal siasat BPR berkaitan isu yang sama.-Bernama

BPR: Klip video tidak boleh jadi bukti

Oleh: RUHAIDINI ABD KADIR

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Klip video yang didakwa memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim dalam negara yang kini disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak boleh dijadikan bahan bukti kes kerana ia telah disunting.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, BPR tidak boleh meneruskan siasatan kerana klip video yang ada pada agensi berkenaan tidak tulen.

“Kesahihan klip video itu yang kini merupakan satu-satu bukti utama kes tersebut dipersoalkan kerana telah ‘diganggu’.

“Selagi klip video asal iaitu yang tidak disunting tidak diperoleh, selagi itulah BPR tidak dapat teruskan siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Said meminta orang ramai yang memiliki klip video asal agar tampil membantu siasatan BPR.

“BPR perlukan klip video asal dan mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti agar membantu kami,” katanya.

Menjawab satu soalan, Ahmad Said berkata, jika klip video asal diperoleh, bahan bukti itu akan dihantar ke Hong Kong untuk dinilai kesahihannya.

Pada 27 September lalu kerajaan menubuhkan panel bebas khas diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar untuk menjalankan siasatan terhadap kesahihan klip video berkenaan.

Panel yang hanya diberi tempoh 30 hari bekerja, mulai tarikh pengeluaran surat pelantikan anggotanya 27 September lalu dijadualkan bermesyuarat pada 29 Oktober ini.

Bagaimanapun mesyuarat yang dijadualkan itu terpaksa ditangguhkan kerana laporan siasatan daripada BPR masih belum diperoleh.

Syor tubuh Suruhanjaya Diraja ganti panel bebas

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Majlis Peguam menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Diraja bagi menggantikan panel bebas yang menjalankan siasatan kes klip video mengenai perbualan seorang peguam terkenal kononnya dengan seorang hakim kanan.

Presidennya, Ambiga Sreenevasan berkata, ini kerana, panel bebas yang ditubuhkan pada 25 September lalu tidak mempunyai kuasa penuh untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kes tersebut.

Menurut beliau, suruhanjaya diraja yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, mewajibkan kehadiran dan menyediakan imuniti kepada para saksi bagi memastikan keberkesanan siasatan terhadap kes tersebut.

“Sekiranya mereka tidak mampu untuk menjalankan siasatan, lebih baik tubuhkan Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kuasa menyeluruh untuk membuat siasatan.” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Klip video selama lapan minit itu didakwa menunjukkan seorang peguam terkenal berbual melalui telefon dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai pelantikan hakim di negara ini pada 2002 dan disebarkan di Internet oleh parti pembangkang pada 18 September lalu.

Wakil rakyat Perlis liat melawat kawasan ditegur

KANGAR 19 Okt. – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegur sebahagian wakil rakyat di negeri ini yang ‘liat’ untuk melawat dan meninjau masalah yang dihadapi penduduk di kawasannya sebaliknya hanya pandai menuding jari terhadap pihak-pihak tertentu jika wujud sesuatu masalah.

Katanya, sikap demikian tidak harus ada pada seorang wakil rakyat yang sepatutnya sentiasa mengambil tahu dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kawasannya.

“Ini tidak, dia hanya pandai salahkan orang lain bila ada masalah timbul sedangkan dia tidak pernah pun ambil tahu apa-apa masalah yang dihadapi penduduk di kawasannya.

“Di sini saya nak nasihatkan mereka ini terutama yang tinggal di luar kawasannya supaya selalu selalulah balik dan tinjau apa masalah yang dihadapi penduduk.

“Janganlah hanya duduk di Kuala Lumpur dan jarang sekali melawat kawasan sendiri dan bila balik ke sini (Perlis) hanya nak salahkan orang lain tidak buat itu dan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa enam bersama pemimpin-pemimpin UMNO Perlis dan ketua-ketua jabatan kerajaan di Dewan Warisan di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada kira-kira 1,000 pelajar tingkatan enam atas dan matrikulasi di negeri ini.

Shahidan berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat apa sahaja masalah yang dihadapi penduduk dan wakil-wakil rakyat diberi tanggungjawab untuk menanganinya dengan baik.

“Kalau ada wakil rakyat yang bersikap seperti itu, dia tidak layak menjadi wakil rakyat. Pilihan raya umum semakin hampir maka semua pemimpin perlu sering berdamping bersama rakyat dan berusaha bersama-sama selesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi,” katanya.

Menteri Besar turut menegur wakil rakyat yang tidak menghadiri mesyuarat tertentu kerajaan negeri termasuk mesyuarat pembangunan negeri.

“Kalau dia tidak hadir mesyuarat mengenai kepentingan rakyat, bagaimana dia mahu menyelesaikan masalah mengikut apa yang dirancang oleh kerajaan semasa mesyuarat itu?" katanya.

Mengenai masalah banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Arau baru-baru ini, Shahidan berkata beliau sudah melawat kawasan itu dan sudah mengarahkan pembinaan saluran tambahan bagi mengelak laluan air di parit-parit sekitar daripada tersekat.

“Memang ada pembinaan jalan raya di situ tetapi kita sudah mengambil langkah perlu untuk mengelak kejadian banjir kilat berlaku lagi. Kita akan memperbaikinya dari semasa ke semasa,” katanya.

Beberapa kawasan di Arau ditenggelami banjir kilat Ahad lalu akibat sistem perparitan yang dikatakan tidak dibuat dengan sempurna menyebabkan laluan air di parit tersekat.

Pengundi boleh tukar kawasan asal

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta pengundi yang nama mereka dipindahkan ke kawasan lain tanpa kebenaran memohon menukar semua ke kawasan asal mengikut alamat dalam kad pengenalan.

Sumber SPR berkata, bagi melakukan proses itu mereka perlu mengisi dan menandatangani borang pertukaran supaya tidak hadapi masalah apabila pilihan raya nanti.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai SPR yang mendedahkan ada Penolong Pegawai Pendaftaran (PPP) dilantik menyalahguna kuasa dengan memindah nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran.


Pegawai terbabit dikesan memindahkan nama pemilih baru atau sedia ada yang memohon menukar alamat mengikut Sistem Pendaftaran Bermusim (SPB) yang dilaksanakan sebelum 16 Julai 2002.

Sementara itu Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, ketika dihubungi berkata pemilih berdaftar yang bertukar alamat tempat bermastautin tetapi hendak mengundi di pusat pengundian berdekatan alamat kediaman baru, perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat pertukaran alamat dalam kad pengenalan.

Katanya, selepas menukar alamat dalam kad pengenalan, mereka perlu memohon kepada SPR dengan mengisi Borang A bagi menukar alamat kawasan mengundi.


“SPR akan meluluskan permohonan tukar alamat dengan syarat alamat itu sama seperti alamat dalam pangkalan data JPN,” katanya.

Beliau juga berkata, SPR sudah membuat tempahan 50,000 peti undi telus cahaya, selain alat penindik baru kertas undi dan dakwat khas yang akan digunakan sebagai tanda pada kuku jari telunjuk kiri pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, dakwat khas yang dibeli dari India dicuba guna oleh ahli SPR, Datuk Dr P Manogran dan ia tidak boleh dihilangkan daripada kuku selama kira-kira dua setengah minggu.

Katanya, peti undi telus cahaya itu pula ditempah daripada sebuah syarikat tempatan bagi menggantikan peti undi hitam yang digunakan selama ini.

Alat penindik baru pula lebih ringan, tidak berkarat dan senang dibuat bunga penindik pada kertas undi bagi membezakan kertas undi berdasarkan saluran pengundian di pusat mengundi.

Sementara itu, Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkata SPR perlu memastikan bahawa isu memindahkan nama pemilih ke kawasan lain tanpa pengetahuan pengundi tidak berulang pada masa depan.

Katanya, meskipun SPR tidak lagi membenarkan PPP menguruskan permohonan pertukaran alamat pemilih dan hanya memberi tugas menguruskan pendaftaran pengundi baru, suruhanjaya itu mesti melakukan pemantauan rapi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula meminta SPR membuat laporan polis mengenai pemindahan nama pemilih ke kawasan lain tanpa pengetahuan pengundi atau merujuknya kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat berhubung bentuk tindakan yang wajar diambil.

Katanya, jika terbukti PPP berkenaan terbabit, beliau mesti dipecat dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Setiausaha agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, oleh kerana ia berkaitan urusan pentadbiran, SPR perlu mengambil tindakan menghukum dan tidak membenarkan mereka yang terbabit menjadi PPP.