Thursday, May 28, 2009

POLITIK : KHAMIS 28 MEI 2009

'Jangan cabar Kak Min'
BUKIT MERTAJAM 27 Mei - Calon Bebas, Aminah Abdullah ( gambar )bersedia membuat satu lagi pendedahan mengenai apa yang disebutnyasebagai 'peristiwa di sebuah hotel di Jawi pada 2007' membabitkanpemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Zahrain MohamedHashim.

13 bahagian keluar PPP jika ROS pilih Kayveas
JOHOR BAHRU 27 Mei - Ahli-ahli di 13 daripada 19 bahagian PartiProgresif Penduduk (PPP) negeri ini mengancam akan keluar parti jikalaporan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memihak kepada Datuk M. Kayveas.

Kayveas sedia dengar 'rungutan' Murugiah
KUALA LUMPUR 27 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M.Kayveas sedia mendengar sebarang 'rungutan' Senator Datuk T. Murugiahjika bekas Ketua Pemuda itu sanggup berjumpanya dalam masa terdekatini.

Moral jentera parti DUN Manek Urai kembali melonjak
KUALA KRAI 27 Mei - UMNO akan menjadikan Pilihan Raya Kecil DewanUndangan Negeri (DUN) Manek Urai sebagai asas kebangkitan semula partiitu di Kelantan ketika moral jenteranya kembali berada di tahap palingtinggi.

Tidak ada jaminan sidang DUN Perak berjalan lancar - Nizar
IPOH 27 Mei - Kempen mogok lapar anjuran pakatan pembangkang di Perakyang masuk hari kedua hari ini dilihat berjalan sepi dan tidak mendapatsambutan ramai.

Mohd. Saberi bebas ambil tindakan undang-undang - SPR
BUKIT MERTAJAM 27 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernahmenghalang Mohd. Saberi Othman yang ditolak borang pencalonannyadaripada mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap badan itu.

Sokong perhimpunan haram: Pewaris selar MB Selangor
KUALA LUMPUR 27 Mei - Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menyelarMenteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim keranamengeluarkan kenyataan menyokong budaya perhimpunan haram.








Kes rasuah Azalina masih disiasat
KUALALUMPUR: Lembaga Disiplin Umno masih menyiasat dakwaan rasuah terhadapDatuk Seri Azalina Othman Said walaupun Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia (SPRM) minggu lalu mengumumkan siasatan pihaknya mendapatitiada kes untuk mendakwa beliau di mahkamah.

Aminah dakwa terima panggilan berbaur ugutan
BUKITMERTAJAM: Dua hari selepas mendedahkan ditawarkan jawatan dan wangtunai oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menarik diridaripada bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Penanti, Aminah Abdullah, semalam mendakwa menerima panggilan berbaurugutan.

SPR, SPRM siasat kes sogokan secara bebas
ALORSETAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh membatalkan kemenangancalon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, jikaterbukti calon itu melakukan sogokan supaya pihak lawan menarik diridaripada bertanding.

Tiada calon tarik diri
GEORGETOWN:Tiada calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti disini, yang menarik diri selepas tempoh penarikan diri berakhir tengahmalam kelmarin.

BN kempen mesra rakyat
KUALAKRAI: Barisan Nasional (BN) menumpukan kempen secara mesra rakyat iaitudari rumah ke rumah dan warung ke warung untuk merampas kembali kerusiDewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan.

Peluang terbaik dedah kelemahan Pas: Ibrahim
KUALALUMPUR: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Uraiadalah landasan terbaik kepada Barisan Nasional (BN) mendedahkankelemahan Pas mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun, kata AhliParlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Calon pemilihan Pas bidas larang kempen di Harakah
KUALALUMPUR: Pemimpin dan calon Pas yang bertanding pada pemilihan partimembidas tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Mustafa Ali,yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka mengenai larangan berkempendalam Harakah, lidah rasmi parti itu.

Mat Sabu yakin menang jawatan timbalan presiden
KUALALUMPUR: Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu yakin berpeluang memenangijawatan Timbalan Presiden pada Muktamar Tahunan parti, Jumaat depan danakan berjuang memastikan Pas terus mendapat sokongan umat Islam sertabukan Islam.

'Tak perlu kaji permit perhimpunan'
KUALALUMPUR: Polis tidak akan tunduk kepada desakan supaya mengkaji semulaproses permohonan permit untuk mengadakan sebarang perhimpunan keranadikhuatiri boleh menimbulkan kekacauan dan mengganggu ketenteramanawam.

Perhimpunan tanpa permit tetap dilarang
IPOH:Polis Perak menjelaskan tidak menghalang penyokong mana-mana partipolitik yang mahu menyertai mogok lapar atau menyalakan lilin tetapiakan menahan mereka yang berhimpun tanpa permit.





Anwar saman Menteri Luar RM100 juta
KUALALUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim,memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Menteri Luar, Datuk AnifahAman atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada sidangmedia di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat di Washington, 16 Meilalu.

Anwar saman Anifah RM100j
KUALALUMPUR 27 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari inimemfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap MenteriLuar, Datuk Anifah Aman kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsurfitnah.

Raja Petra lari guna laluan tikus?
KUALALUMPUR 27 Mei - Jabatan Imigresen percaya pengendali dan editor lamanweb Malaysia Today , Raja Petra Raja Kamarudin ( gambar ) menggunakanlaluan tikus untuk ke luar negara berikutan tiada rekod keluar masukdicatatkan di pintu-pintu masuk negara.

Anwar saman Menteri Luar RM100 juta

Anwar saman Menteri Luar RM100 juta


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Menteri Luar, Datuk Anifah Aman atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada sidang media di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat di Washington, 16 Mei lalu.

Anwar selaku plaintif, memfailkan saman itu pada jam 2.10 petang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam, melalui Tetuan S N Nair & Partners.

Selain Anifah disaman secara individu, Anwar turut menamakan Menteri Luar serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, teruk, teladan, faedah 8 peratus setahun, kos dan relif difikirkan sesuai mahkamah.

Beliau juga memohon perintah injunksi bagi menahan defendan, ejen atau pekerjanya atau sesiapapun daripada melafazkan, berca-kap, menulis atau menerbitkan pernyataan fitnah itu.






Anwar saman Anifah RM100j

KUALA LUMPUR 27 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap Menteri Luar, Datuk Anifah Aman kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Anifah didakwa membuat kenyataan sedemikian apabila menyatakan bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya sebagai ‘umpan’ melompat parti selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Kenyataan tersebut didakwa diucapkan oleh Anifah sewaktu sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton di Washington pada 16 Mei lalu semasa lawatan kerjanya ke negara tersebut.

Anwar antara lain mendakwa, Anifah selaku defendan mengucapkan kenyataan fitnah itu atau menyebabkan penerbitan kenyataan tersebut untuk mendapatkan kelebihan yang tidak sewajarnya demi memperoleh publisiti murahan.

Kayveas sedia dengar 'rungutan' Murugiah

Kayveas sedia dengar 'rungutan' Murugiah

KUALA LUMPUR 27 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas sedia mendengar sebarang 'rungutan' Senator Datuk T. Murugiah jika bekas Ketua Pemuda itu sanggup berjumpanya dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, beliau akan mendengar apa saja rungutan Timbalan Menteri itu yang menimbulkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap parti dan ahli-ahli parti.

"Ini bukan masalah antara saya dengan Murugiah tetapi antara beliau dengan parti. Selaku presiden parti, saya sanggup berjumpanya untuk menyelesaikan kemelut dalam PPP yang menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini.

"Hanya tinggal tiga hari lagi untuk membuat rayuan bagi pemecatannya. Jika dia benar-benar sayangkan parti, lebih baik buat rayuan dan menjadi ahli PPP yang sah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai ahli MT dipilih sebagai 'presiden' baru parti itu melalui mesyuarat agung tergempar (EGM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pemilihan dibuat oleh kira-kira 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di seluruh negara.

Murugiah dipilih sebulat suara sebagai Presiden selepas undi tidak percaya ke atas Kayveas dilulus sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang telah disandangnya sejak 1993.

Tambah Kayveas, beliau tidak berhasrat membuat laporan polis terhadap Murugiah dan tidak ingin membawa isu tersebut ke mahkamah.

Menurutnya, Murugiah tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan EGM PPP yang dijadualkan bulan depan.

"Beliau berlagak seperti 'Perdana Menteri' dengan meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak perlu datang ke EGM itu.

"Dia tidak mempunyai kuasa menghentikan atau membatalkan program yang telah pun dirancangkan oleh PPP," jelasnya.

13 bahagian keluar PPP jika ROS pilih Kayveas

13 bahagian keluar PPP jika ROS pilih Kayveas

JOHOR BAHRU 27 Mei - Ahli-ahli di 13 daripada 19 bahagian Parti Progresif Penduduk (PPP) negeri ini mengancam akan keluar parti jika laporan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memihak kepada Datuk M. Kayveas.

Sebaliknya, mereka menegaskan, ahli-ahli itu akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) jika keputusan ROS memihak kepada Senator Datuk T. Murugiah.

Timbalan pengerusi PPP Bahagian Pulai yang mengetuai kumpulan itu, Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, pihaknya menerima kira-kira 5,000 panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang bersetuju dengan langkah tersebut.

''Sehingga kini kira-kira 5,000 panggilan telefon diterima dari pelbagai pihak yang menyatakan hasrat mereka menyertai kumpulan kami biarpun apa keputusan ROS," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua PPP Bahagian Pulai M. Gajentran; Tan Lai Soon (Sri Gading); G.S Maniam (Kota Tinggi); M. Vimalanadan (Ayer Hitam) dan lebih 30 ahli parti peringkat cawangan.

Dr. Muruga Raj bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar anggota PPP yang bakal keluar parti sekiranya Kayveas kekal sebagai presiden.

Beliau berkata, mereka menganggap Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Ahad lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) adalah sah.

Menurutnya, ini kerana mereka yang hadir telah dimaklumkan terlebih dahulu mengikut perlembagaan parti.

''Selain itu, sebenarnya ramai yang menyokong Murugiah sebagai presiden tetapi mereka tidak mahu mendedahkan diri mereka,'' jelasnya.

M. Gajentran pula mendakwa semua ahli dan bahagian berkenaan sudah menyatakan persetujuan bersama untuk keluar daripada PPP memandangkan sudah hilang kepercayaan kepada Kayveas.

Menurutnya, mereka juga kecewa dengan tindakan Kayveas menyifatkan EGM itu sebagai tidak sah.

''Bagaimana beliau (Kayveas) boleh membuat tuduhan berkenaan... sedangkan PPP di bawah pimpinannya tidak ditadbir mengikut perlembagaan parti.

''Bayangkan, di negeri ini, misalnya, tidak pernah ada mesyuarat di peringkat bahagian atau cawangan," tegasnya.

Selain itu, beliau berkata, ahli parti juga langsung tidak mengetahui status keahlian mereka sama ada sah atau tidak selepas memperbaharui kad masing-masing.

Katanya, perkara berkenaan pernah dibangkitkan dalam konvensyen parti itu di peringkat negeri atau dalam pertemuan dengan Kayveas, namun tidak berhasil kerana pemimpin itu akan memecat mana-mana ahli yang mempersoalkan kuasanya.

SPR, SPRM siasat kes sogokan secara bebas

SPR, SPRM siasat kes sogokan secara bebas



ABDUL Aziz (kiri) menerima cenderahati berupa kertas undi terbesar ketika pilihan raya Dun Bukit Selambau daripada Mohd Habib di Percetakan Nasional cawangan Kedah, semalam.

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh membatalkan kemenangan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, jika terbukti calon itu melakukan sogokan supaya pihak lawan menarik diri daripada bertanding.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata SPR bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes itu secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Kita bekerjasama dengan SPRM dalam hal ini dan jika didapati calon sendiri terbabit, maka tindakan boleh sampai ke tahap membatalkan kemenangannya jika calon itu menang dalam pilihan raya nanti.

"Bagaimanapun jika kesalahan itu dilakukan oleh pihak lain, ia mungkin tidak menjejaskan calon terbabit meskipun pihak yang melakukan perbuatan itu adalah dari parti yang sama.

"Saya serahkan perkara itu kepada Penasihat Undang-undang SPR untuk meneliti kes ini dan kita akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukkan undang-undang selepas siasatan SPRM selesai," katanya selepas melawat kilang Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini, semalam.

Kilang PNMB di sini, mencetak kertas undi untuk pilihan raya kecil Penanti. Hadir sama Pengarah Urusan PNMB, Datuk Mohd Habib Jamaldin.

Kelmarin, PKR mengaku dua ahlinya menemui dan menawarkan ganjaran kepada calon Bebas, Aminah Abdullah supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Aminah turut membuat laporan kepada SPRM dan mengemukakan bukti mengenai wujudnya tawaran dan sogokan berkenaan.

Calon Bebas itu mendakwa beliau ditawarkan ganjaran wang tunai RM80,000 serta jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang oleh PKR jika membatalkan hasrat bertanding.

Abdul Aziz berkata, SPR akan meneliti salinan rakaman audio cakera padat berhubung dakwaan itu bagi melengkapkan siasatan.

Katanya, SPR tidak menolak siasatan akan ambil masa agak lama kerana ia perlu mendapatkan maklumat sahih.

Peluang terbaik dedah kelemahan Pas: Ibrahim

Peluang terbaik dedah kelemahan Pas: Ibrahim


KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai adalah landasan terbaik kepada Barisan Nasional (BN) mendedahkan kelemahan Pas mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, Pas gagal membawa perubahan serta memajukan ekonomi negeri itu, sebaliknya Pas berselindung di sebalik kelemahan Umno untuk meneruskan kelangsungan parti itu di Kelantan.

“Saya lihat pilihan raya kecil ini medan terbaik buat Umno mendedahkan kelemahan Pas Kelantan kepada rakyat, biar rakyat jelas dan tahu akan kelemahan parti itu.

“Banyak perkara boleh dipersoalkan sepanjang Pas menjadi kerajaan, dari segi ekonomi, peluang pekerjaan dan hasil negeri diperoleh daripada inisiatif kerajaan negeri. Kita tidak nampak pun semua ini,” katanya di sini, semalam.

Ibrahim berkata, pilihan raya kecil itu perlu bersih daripada serangan peribadi terhadap parti lawan, dan Pas perlu menjawab isu dibangkitkan Umno.

Ibrahim berkata, Pas banyak menyerang parti lawannya, khususnya Umno bagi menutup kelemahan mentadbir negeri.

“Hampir 18 tahun Pas di Kelantan hanya bergantung kepada populariti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.

Tu dia, ketua katak sudah meningkatkan taringnya. Dulu dia bertanding pon atas sebab populariti PAS, kalau bertanding atas tiket sendiri, hilang wang pertaruhan

'Jangan cabar Kak Min'

'Jangan cabar Kak Min'

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 27 Mei - Calon Bebas, Aminah Abdullah (gambar) bersedia membuat satu lagi pendedahan mengenai apa yang disebutnya sebagai 'peristiwa di sebuah hotel di Jawi pada 2007' membabitkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim.

Aminah menegaskan, beliau terpanggil untuk membuat pendedahan itu ekoran tindak tanduk pemimpin PKR terutamanya Zahrain yang didakwa memandang remeh isu sogokan wang dan jawatan yang didedahkannya baru-baru ini.

Tanpa menghurai lanjut maksud 'peristiwa' itu, Aminah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang mencabar Zahrain untuk menjelaskan sendiri kepada umum apa yang dimaksudkannya itu.

"Saya nak ingatkan Zahrain supaya jangan mencabar Kak Min. Saya nak tanya sama ada dia masih ingatkah lagi dengan peristiwa di sebuah hotel di Jawi pada 2007.

"Saya minta dia jawab dalam tempoh 24 jam dan jika tidak, saya akan dedahkan kepada umum. Maruah dibayar dengan maruah," tegasnya ketika ditemui pemberita semasa berkempen dari rumah ke rumah di Simpang Tiga Kubang Ulu di sini hari ini.

Zahrain yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang semalam memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Aminah jika beliau terus membuat dakwaan tidak berasas terhadap parti itu.

Kenyataan Zahrain itu adalah berikutan pendedahan Aminah bahawa PKR cuba menyogoknya jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) atau Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta wang RM88,000 melalui satu pertemuan dengan dua ahli PKR di rumahnya, 13 Mei lalu.

Aminah mendakwa jawatan TKM1 dan wang RM88,000 itu ditawarkan sekiranya beliau menang atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Ahad ini tetapi dengan syarat beliau kembali menyertai PKR.

Mengulas lanjut, Aminah berkata, peristiwa itu yang berlaku di sebuah hotel di Nibong Tebal, dekat sini pernah dilaporkan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sehingga kini tiada tindakan dibuat.

"Sebaliknya, PKR Pulau Pinang telah mengambil tindakan memfitnah saya dengan bermacam-macam tuduhan, apa yang saya katakan ini adalah fakta," katanya.

Sementara itu, Aminah berkata, beliau bersedia ke mahkamah untuk membuktikan dakwaan bahawa beliau cuba disogok jawatan dan wang sebagai ganjaran supaya menarik diri dalam pilihan raya tersebut.

Tegasnya, beliau tidak perlu berasa takut kerana apa juga pendedahan yang dibuatnya adalah berdasarkan prinsip kebenaran dan disertakan dengan bukti.

"Saya buat pendedahan bukan semata-mata meraih undi tetapi dibuat atas prinsip kebenaran dan biarlah pengundi membuat penilaian sendiri," katanya.

Aminah dakwa terima panggilan berbaur ugutan

Aminah dakwa terima panggilan berbaur ugutan

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Calon Bebas turut dimaki hamun individu tidak dikenali

BUKIT MERTAJAM: Dua hari selepas mendedahkan ditawarkan jawatan dan wang tunai oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menarik diri daripada bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Aminah Abdullah, semalam mendakwa menerima panggilan berbaur ugutan.

Calon Bebas itu juga mendakwa dimaki hamun oleh individu yang tidak dikenali yang menghubunginya, dipercayai menggunakan telefon awam.

Sambil menegaskan beliau tidak takut dengan ugutan itu, Aminah berjanji akan membuat pendedahan baru berhubung perbuatan PKR termasuk apa yang berlaku di sebuah hotel di Nibong Tebal pada 2007.

Diminta mengulas lanjut apa yang berlaku di hotel itu, Aminah mencabar Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim supaya menjawab dalam tempoh 24 jam mengenainya.

"Maruah dibayar maruah. Saya mahu beliau menjawabnya. Kalau tidak saya sendiri akan mendedahkannya kepada orang ramai," katanya.

Ditanya mengenai panggilan ugutan itu, beliau berkata: "Macam-macam kata maki hamun kepada saya, tetapi saya anggap mereka ini sebagai pengecut kerana tidak berani guna telefon sendiri, boleh saya hubung semula. Semua guna telefon awam."

Isnin lalu, Aminah, 56, mendedahkan beliau ditawarkan jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wang tunai RM80,000 jika menarik diri.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu juga mendakwa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I jika menang, dengan syarat menyertai semula parti berkenaan.

Aminah yang mendakwa dua ahli PKR membuat tawaran itu ketika berkunjung ke rumahnya di Jelutong, Georgetown, 13 Mei lalu, juga merakam perbualan mereka dengan rakamannya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menjelaskan pendedahan yang dibuatnya bukan bertujuan membalas dendam terhadap parti yang pernah dianggotai selama kira-kira 10 tahun.

"Saya dedahkan semua ini bukannya untuk membalas dendam, sebaliknya untuk menegakkan hak serta keadilan yang kononnya sering dilaung-laungkan dalam parti itu.

"Sebagai seorang pejuang, tidak ada perkataan balas dendam dalam kamus Kak Min. Saya hanya berjuang dan memberi keadilan kepada semua," katanya.

Sementara itu, Aminah menafikan beliau memerangkap dua ahli PKR yang menemuinya berhubung tawaran jawatan dan wang tunai, sebalik ia diatur sendiri seorang daripada mereka.

Dua ahli PKR yang menemuinya adalah pembantu khas kepada Exco kerajaan Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam dan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Cheah Kah Peng.

Kelmarin, Cheah dalam sidang media bersama Lim mendakwa Aminah memerangkap mereka dan menafikan menawarkan ganjaran wang tunai dan jawatan kepada calon Bebas itu.

Calon pemilihan Pas bidas larang kempen di Harakah

Calon pemilihan Pas bidas larang kempen di Harakah
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

Kenyataan terbuka Mustafa boleh burukkan imej parti

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan calon Pas yang bertanding pada pemilihan parti membidas tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Mustafa Ali, yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka mengenai larangan berkempen dalam Harakah, lidah rasmi parti itu.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata, tidak wajar Mustafa membuat kenyataan secara terbuka mengenai larangan itu, sebaliknya memadai dengan menjelaskan kepada kakitangan Harakah untuk tidak menyiarkan apa saja kenyataan yang boleh dikaitkan dengan kempen.

Beliau yang juga calon Naib Presiden, berkata tindakan itu boleh dilakukan secara senyap kerana semua pihak terutama calon sedia maklum bahawa parti tidak membenarkan Harakah menyiarkan sebarang kempen kecuali yang membabitkan isu atau kenyataan daripada biro yang diketuai calon berkenaan.

"Tidak perlu disebut di khalayak, seolah-olah menggambarkan betapa seriusnya isu itu cuba ditangani oleh parti sedangkan perwakilan sudah matang memilih pemimpin," katanya.

Akhbar semalam melaporkan kenyataan Mustafa mengenai larangan berkempen dalam Harakah, tetapi mereka dibenarkan berkempen dalam media arus perdana.

Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh, berkata kenyataan secara terbuka mengenai isu itu mengundang pelbagai spekulasi yang boleh memburukkan imej parti, sedangkan ia tidak seteruk yang digambarkan.

"Tidak perlu membuat kenyataan seperti itu kerana saya lihat setakat ini tiada calon kenyataannya disiarkan dalam Harakah adalah semata-mata untuk berkempen, sebaliknya hanya menyatakan pendirian biro atau dewan diketuai mereka.

"Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berkempen walaupun saya mempunyai laman blog sendiri kerana saya yakin keupayaan perwakilan untuk memilih pemimpin mereka," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Dewan Ulama Pas turut memberi reaksi yang sama apabila mempertikaikan tindakan Mustafa.

"Tidak perlu mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana beliau adalah Pengerusi Harakah yang boleh memberi arahan secara terus supaya akhbar itu tidak dijadikan alat untuk berkempen oleh mana-mana calon.

"Saya yakin perwakilan lebih matang dan takkanlah perwakilan boleh disamakan dengan pengundi kawasan pilihan raya," katanya.

Mat Sabu yakin menang jawatan timbalan presiden

Mat Sabu yakin menang jawatan timbalan presiden


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu yakin berpeluang memenangi jawatan Timbalan Presiden pada Muktamar Tahunan parti, Jumaat depan dan akan berjuang memastikan Pas terus mendapat sokongan umat Islam serta bukan Islam.

"Saya rasa tiada masalah untuk menghadapi calon lain (penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Husam Musa) dan saya berkeyakinan mempunyai peluang memenangi jawatan itu, malah bersedia menghadapi pertandingan berkenaan.

"Kita serah kepada perwakilan untuk menilai kita dan membuat keputusan, di dalam Pas pemimpin yang bertanding tidak mempunyai wang untuk berkempen," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohamad berkata, beliau juga menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua itu kerana ingin membantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan percaya boleh menyumbang.

Malah, beliau mendakwa sikapnya yang agak agresif di barisan hadapan parti itu sehingga menyebabkan beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bukanlah satu beban kepada parti dan tidak akan menjadi penghalang untuk beliau memenangi jawatan itu.

Sementara itu, usaha Berita Harian untuk menghubungi Nasharuddin gagal dan sehingga kini beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertandingan berkenaan.

Mohd. Saberi bebas ambil tindakan undang-undang - SPR

Mohd. Saberi bebas ambil tindakan undang-undang - SPR

BUKIT MERTAJAM 27 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah menghalang Mohd. Saberi Othman yang ditolak borang pencalonannya daripada mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap badan itu.

Mohd. Saberi juga bebas untuk membuat laporan polis jika dirasakannya sesuai ekoran borang pencalonannya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Ahad ini, tidak diterima.

Mohd. Saberi, 49, dilaporkan telah membuat laporan polis sehari selepas hari penamaan calon kerana tidak berpuas hati dengan tindakan SPR.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya, calon Bebas itu boleh mengambil apa jua tindakan yang dirasakannya sesuai.

Beliau berkata, terpulang kepada Mohd. Saberi sama ada untuk memanjangkan perkara itu atau sebaliknya.

"SPR tidak boleh menegahnya daripada mengambil tindakan yang dia rasakan sesuai dan kita juga tidak ada apa-apa masalah jika dia mahu memanjangkan kes ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Roslan yang juga merupakan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berkata, dalam tempoh bantahan pada hari penamaan calon Sabtu lalu, SPR mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk menolak borang pencalonan daripada ahli perniagaan itu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, sehingga ke hari ini SPR tidak dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan berhubung perkara tersebut.

Kelmarin, Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Mohd. Yusof memberitahu bahawa SPR mempunyai alasan ketika menolak borang pencalonan Mohd. Saberi pada hari penamaan calon tetapi tidak mendedahkan sebabnya.

Menurutnya, SPR berbuat demikian atas faktor mahu menjaga air muka calon itu.

Kes rasuah Azalina masih disiasat

Kes rasuah Azalina masih disiasat
Oleh Norfatimah Ahmad

tim@bharian.com.my

Lembaga Disiplin teruskan siasatan walau SPRM umum tiada dakwaan

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Umno masih menyiasat dakwaan rasuah terhadap Datuk Seri Azalina Othman Said walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu mengumumkan siasatan pihaknya mendapati tiada kes untuk mendakwa beliau di mahkamah.

Ahli Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata fail kes membabitkan bekas Menteri Pelancongan yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu masih di peringkat siasatan pihaknya.

"Fail kes Azalina masih dibuka Lembaga Disiplin, tetapi kami memerlukan masa untuk membuat penelitian dan siasatan bagi mengesahkan jika ada asas terhadap dakwaan yang dibuat terhadapnya," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Megat Najmuddin berkata, siasatan terhadap Azalina adalah antara kes yang diberi perhatian Lembaga Disiplin, selain beberapa kes lain yang membabitkan calon yang menang dalam pemilihan Umno, baru-baru ini.

"Kami biasanya menetapkan sehingga enam bulan untuk menyelesaikan siasatan dan kita akan cuba melaksanakan tugas dengan ini dengan berkesan termasuk yang membabitkan calon yang menang pada pemilihan parti dan didakwa terbabit dalam politik wang pada saat akhir," katanya.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap Azalina yang dilengkapkan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati tiada aspek yang membolehkan bekas menteri itu dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, ada kemungkinan pihak lain yang turut terbabit dalam siasatan terhadap kes Azalina yang dikatakan menyalah guna kuasa dan penyelewengan pengagihan projek kementerian itu, boleh dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

Pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Dua pegawai kanan Azalina turut ditahan SPRM, tetapi dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Bagaimanapun, pada awal April lalu, Azalina menyelar SPRM dengan mendakwa organisasi berkenaan melengahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Beliau dilaporkan berkata, SPRM dilihat berdiam diri tanpa memberi sebarang alasan terutama selepas selesai Perhimpunan Agung Umno hujung Mac lalu yang menyaksikan beliau tewas dalam merebut jawatan ahli MT Umno.

Pada awal siasatan SPRM terhadap Azalina, fail kes berkenaan turut diserahkan suruhanjaya berkenaan kepada Lembaga Disiplin parti itu untuk siasatan lanjut kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak mematuhi tata etika parti.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, ketika ditanya mengenai cadangan menghapuskan sistem kuota dan memperluaskan hak memilih di kalangan ahli Umno pada pemilihan parti akan datang, berkata langkah itu wajar mendapat sokongan semua pihak.

"Jika semua berjalan lancar, langkah ini tentunya dapat menangani gejala politik wang, tetapi pada masa sama kita harap tiada pihak yang cuba mencari taktik lain yang menyalahi tata etika untuk mendapatkan sokongan," katanya.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya juga sedia memberi sebarang cadangan jika diminta berbuat demikian untuk memastikan perubahan yang bakal diterapkan pada pemilihan Umno akan datang membawa kebaikan untuk parti itu.

Raja Petra lari guna laluan tikus?

Raja Petra lari guna laluan tikus?

KUALA LUMPUR 27 Mei - Jabatan Imigresen percaya pengendali dan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin (gambar) menggunakan laluan tikus untuk ke luar negara berikutan tiada rekod keluar masuk dicatatkan di pintu-pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman memberitahu, setakat ini pihaknya tidak merekodkan sebarang pergerakan keluar masuk Raja Petra di semua pintu masuk negara yang diwartakan.

"Oleh sebab itu, kita percaya Raja Petra menggunakan laluan tikus sekiranya benar dakwaan dia kini berada di luar negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, Raja Petra kini berada di Brisbane, Australia bersama isterinya, Marina Lee Abdullah.

Semalam, penulis blog itu sekali lagi dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas beliau tidak hadir untuk perbicaraan kes memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Ini merupakan kali kedua waran tangkap dikenakan terhadap penulis blog itu selepas beliau gagal menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lalu, yang dikeluarkan oleh Hakim Rozina Ayob.

Abdul Rahman menambah, sekiranya Raja Petra menggunakan 'laluan tikus' untuk keluar negara, usaha menjejaknya lebih sukar kerana ia di luar kawalan Imigresen.

"Namun pihak imigresen bersedia membantu dan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjejaki Raja Petra.

"Kami telah tingkatkan pemantauan dan memperketatkan kawalan pintu masuk serta sempadan negara sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengesan Raja Petra," katanya.

Tidak ada jaminan sidang DUN Perak berjalan lancar - Nizar

Tidak ada jaminan sidang DUN Perak berjalan lancar - Nizar

IPOH 27 Mei - Kempen mogok lapar anjuran pakatan pembangkang di Perak yang masuk hari kedua hari ini dilihat berjalan sepi dan tidak mendapat sambutan ramai.

Perkara berkenaan jelas berlaku apabila program menanam 10 batang 'pokok demokrasi' di kawasan rizab Sungai Kinta berhampiran Medan Istana di sini dijalankan tanpa kehadiran penyokong parti masing-masing.

Malah lebih mengejutkan apabila tidak semua pemimpin pembangkang yang turun padang memberi sokongan moral terhadap usaha dan idea mereka sendiri yang bermula pada pukul 9 pagi itu.

Apa yang jelas, program berkenaan dihadiri tidak sampai 30 orang malah 'diselamatkan' dengan kehadiran kira-kira 20 wakil media tempatan yang membuat liputan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa, krisis politik di negeri ini akan berterusan jika Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan.

''Saya tidak yakin satu sidang khas DUN Perak akan diadakan. Saya tidak beri jaminan perjalanan DUN itu akan berjalan lancar malah saya rasa perkara lebih teruk akan berlaku,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas menanam 'pokok demokrasi' itu.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan berkata, kenyataan Nizar itu agak memeranjatkan kerana selama ini imej pemimpin Pas itu dilihat amat bertamadun.

''Watak Nizar yang dipaparkan kepada seluruh dunia adalah cukup bertamadun. Cakapnya selalu berisi dengan ayat-ayat al-Quran, mempunyai akhlak dan moral yang baik.

''Jadi biarlah rakyat menilai sendiri perangai beliau yang sanggup cakap begitu kalau ada sidang DUN. Tak apalah... biarlah dia dengan cerita-ceritanya... saya tak mahu cakap banyak tentang dia,'' katanya.

Moral jentera parti DUN Manek Urai kembali melonjak

Moral jentera parti DUN Manek Urai kembali melonjak

KUALA KRAI 27 Mei - UMNO akan menjadikan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sebagai asas kebangkitan semula parti itu di Kelantan ketika moral jenteranya kembali berada di tahap paling tinggi.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan menegaskan, perubahan barisan kepimpinan di peringkat negeri dan Pusat telah menyuntik semangat baru di kalangan ahli yang melihat kemenangan itu kelak amat penting.

Katanya, meskipun Pas mencanangkan bahawa Manek Urai merupakan kubu kuatnya, sejarah membuktikan ia pernah dikuasai Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada tahun 1978 dan 2004.

''Tidak mustahil kita mengulangi sejarah Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir dalam keadaan yang sama iaitu berlangsung setahun selepas pilihan raya umum dan kebetulan disebabkan kematian wakil rakyat Pas dan di kubu kuat mereka," ujarnya.

Beliau mengingatkan meskipun berdepan dengan saingan sengit namun kemenangan boleh dicapai melalui formula 4P dan 4S dengan kerja keras oleh jentera di semua peringkat mengerakkan strategi dengan berkesan.

''Formula 4P melibatkan aspek kepimpinan, perpaduan, perancangan dan pelaksanaan manakala 4S menyentuh soal semangat, sungguh-sungguh, sama-sama dan sistematik.

''Sewaktu pilihan raya kecil, berasaskan pengalaman lalu, kemenangan hanya dicapai jika pimpinan bergerak bersama dengan mengenepikan segala masalah dalaman dengan fokus pada matlamat yang sama," ujarnya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan pertama dengan kepimpinan bahagian, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian di samping jentera penerangan di sini malam tadi. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Pertemuan itu merupakan yang pertama bagi beliau dengan kepimpinan bahagian dan jentera penerangan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Terdahulu ketika berucap pada pertemuan itu, Ahmad menekankan betapa perlunya perancangan yang baik dilaksanakan dengan berkesan agar dapat menarik sokongan kalangan penyokong parti lawan dan pengundi atas pagar.

''Kalau kita gagal untuk merancang maka tentunya kita merancang untuk gagal," ujarnya.

Beliau menarik perhatian, fokus kempen akan terarah dari rumah ke rumah 12,292 pengundi kerana itulah hubungan yang paling dekat dengan para pengundi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, pilihan raya kecil ini juga sebagai cabaran awal baginya dalam memikul tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baru.

''Justeru saya akan menghabiskan banyak masa di sini bagi menyelaraskan gerak kerja, bersama dengan masyarakat setempat dengan menginap di rumah-rumah mereka, menyelami kehidupan dan permasalahan serta harapan mereka," ujarnya.

PRK PENANTI : Tiada calon tarik diri

Tiada calon tarik diri


GEORGETOWN: Tiada calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di sini, yang menarik diri selepas tempoh penarikan diri berakhir tengah malam kelmarin.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Penanti, Roslan Yahaya, berkata bilangan calon bertanding kekal empat orang iaitu calon Parti keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon Bebas.

Ini bermakna, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman akan menghadapi tentangan tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah, Nai Khan Ari Nan Keow dan Kamarul Ramizu Idris.

Seramai 15,384 pengundi, termasuk 24 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya kecil itu. Daripada bilangan pengundi itu, 76.68 peratus adalah Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.3 peratus (India) dan 0.71 peratus (lain-lain).

Mengenai undi pos, Roslan berkata, SPR menjangka hanya 23 daripada 24 pengundi dijangka mengundi pada pilihan raya kecil itu berikutan seorang pengundi sedang menuntut di luar negara.

"Selebihnya adalah anggota polis. Proses pembuangan undi akan dibuat pada 29 Mei ini (Jumaat) di Pejabat Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), mulai jam 8 hingga 5 petang," katanya.

Manek Urai : BN kempen mesra rakyat

BN kempen mesra rakyat

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


AHMAD (kiri) bertanya khabar penduduk Lela Jasa pada lawatan ke kampung itu, semalam.

Dekati pengundi Manek Urai dari rumah ke rumah

KUALA KRAI: Barisan Nasional (BN) menumpukan kempen secara mesra rakyat iaitu dari rumah ke rumah dan warung ke warung untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata kaedah kempen seperti itu membolehkan jentera BN menyelami isi hati serta masalah yang dihadapi penduduk Manek Urai menerusi perbualan dan sesi penerangan yang dibuat sambil minum dan makan bersama.

“Apabila berkempen, tidak mesti berceramah. Ia tetap dibuat tetapi kita menumpukan kempen dan program penerangan dari rumah ke rumah, warung dan masjid kerana lebih berkesan di luar bandar seperti Manek Urai.

“Apa yang penting kita berjumpa dan beramah mesra dengan rakyat sambil mendengar luahan hati mereka.

“Saya akan tidur di rumah penduduk untuk memahami masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk di Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, di sini, semalam.

Kerusi DUN Manek Urai yang terletak dalam Parlimen Kuala Krai itu kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, daripada Pas meninggal kerana komplikasi jantung di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Jumaat lalu.

Ahmad berkata, BN berpeluang cerah merampas DUN Manek Urai memandangkan kawasan itu bukan kubu kuat Pas seperti digembar-gemburkan parti terbabit.

Katanya, kerusi DUN berkenaan pernah dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum 1978 dan 2004, sekali gus memberi gambaran jelas Pas bakal berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kemenangan pada 2008.

“Kalau nak kata Manek Urai kubu kuat Pas, pasti mereka tidak pernah kalah di sini dan saya yakin kerja keras serta semangat kerjasama jitu daripada semua pihak, BN mampu mencatatkan kejayaan.

“Berdasarkan perbualan ketika minum dan solat berjemaah bersama penduduk, maklum balas mereka sangat positif dan mudah-mudahan ia berterusan," katanya.

Beliau berkata, kemenangan di Manek Urai penting bagi BN kerana ia menggambarkan petunjuk rakyat kembali meletakkan kepercayaan kepada kepemimpinan baru parti dan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sokong perhimpunan haram: Pewaris selar MB Selangor

Sokong perhimpunan haram: Pewaris selar MB Selangor

KUALA LUMPUR 27 Mei - Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menyelar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan menyokong budaya perhimpunan haram.

Timbalan Presidennya, Rahimuddin Md. Harun berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin seperti beliau.

''Rakyat sudah bosan dengan masalah yang timbul akibat perhimpunan haram dan majoriti rakyat menolak budaya perhimpunan haram,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Menteri Besar Selangor itu yang meminta Kerajaan Persekutuan dan polis supaya mengkaji semula undang-undang berkaitan perhimpunan awam di negara ini.

Rahimuddin berkata, kenyataan Abdul Khalid itu juga dilihat mampu menghasut dan menggalakkan rakyat untuk menyalahi undang-undang.

''Sistem demokrasi dan kepentingan rakyat harus diutamakan berbanding kepentingan politik semata-mata,'' katanya.

Malah, tambahnya, golongan yang berhasrat melakukan perhimpunan haram seperti pertubuhan haram Hindraf harus sedar bahawa mereka bukannya mewakili suara rakyat tetapi hanyalah minoriti yang cuba berlagak kuat.

Perhimpunan tanpa permit tetap dilarang

'Tak perlu kaji permit perhimpunan'

Oleh Jalal Ali Abd Rahim dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my

Semua pihak perlu hormati undang-undang bagi elak situasi kurang selesa: KPN

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan tunduk kepada desakan supaya mengkaji semula proses permohonan permit untuk mengadakan sebarang perhimpunan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata semua pihak perlu menghormati undang-undang mengenainya bagi mengelakkan wujudnya situasi kurang selesa di negara ini yang rakyatnya berbilang kaum.

"Kita tegas dalam perkara ini dan meminta semua pihak menghormati undang-undang. Saya tidak mahu komen jika kenyataan atau desakan itu dibuat ahli politik. Kami menjalankan tugas secara profesional dan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang jelas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Isnin lalu yang mahu kerajaan dan polis mengkaji semula undang-undang berhubung keperluan memohon permit untuk menganjurkan sebarang perhimpunan.

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Mohammad Agus Yusoff, berkata desakan Khalid itu tidak wajar memandangkan undang-undang sudah jelas mengenainya.

"Ini terpulang kepada budi bicara pihak berkuasa. Jika polis syak perhimpunan itu boleh mendatangkan mudarat jadi penganjur perlu pohon permit dan polis berhak menghentikan perhimpunan berkenaan.

"Bagaimanapun, undang-undang itu tidaklah sampai menyusahkan kita sehingga mahu berkumpul untuk majlis kenduri kahwin pun perlu dapatkan permit. Kita kenalah faham mana perhimpunan yang perlu permit dan mana yang tidak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata semua pihak sepatutnya menghormati peraturan itu dan tidak mempersoalkannya.

"Perkara ini sebenarnya sensitif dan jika boleh semua pihak perlu berhati-hati. Undang-undang sudah jelas mengenai perkara ini dan jika beliau (Khalid) kurang puas hati, boleh kemukakan untuk dibahaskan di Parlimen," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga laporan polis dibuat petang semalam terhadap kenyataan Khalid.

Dua laporan masing-masing dibuat oleh pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim (IRMM), Amir Ansaa Alla Pitchay dan wakil Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris), Azwanddin Hamzah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, petang semalam.

Satu lagi laporan dibuat oleh individu dikenali Azwanddin Hamzah di Balai Polis Dang Wangi di sini.




Perhimpunan tanpa permit tetap dilarang


IPOH: Polis Perak menjelaskan tidak menghalang penyokong mana-mana parti politik yang mahu menyertai mogok lapar atau menyalakan lilin tetapi akan menahan mereka yang berhimpun tanpa permit.

Ketuanya, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata dalam suasana politik yang agak tegang di negeri ini sekarang, sebarang bentuk perhimpunan mestilah mendapat kebenaran polis.

Beliau berkata, polis sentiasa tegas dalam aspek itu bagi mengekalkan ketenteraman awam dan mencegah kejadian buruk.

"Bukan polis tidak membenarkan mogok lapar.

Kita tak membenarkan perhimpunan haram. Masalah orang nak berpuasa atau

tak nak makan, tidak ada kena-mengena dengan polis.

"Kita tidak halang dan kita tidak menggalakkan. Yang polis tidak bagi ialah perhimpunan haram,” katanya di sini semalam.

"Dalam keadaan sekarang ini, apa juga bentuk perhimpunan di Perak hendaklah dengan permit.

"Kalau tiada permit, tindakan akan diambil polis. Kita memang konsisten dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, semalam.

Kelmarin, polis menahan 14 pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat selepas perasmian kempen mogok lapar manakala dua lagi ditahan pada sebelah malam di depan Wisma DAP kerana berkumpul sempena majlis menyalakan lilin.

Semua yang ditahan dibebaskan petang dan lewat malam kelmarin atas jaminan polis.

Sementara itu, Zulkifli berkata, IPK Perak bercadang menubuhkan tiga lagi Pusat Sehenti, iaitu di IPD Kerian, Manjung dan Perak Tengah.

Katanya, Pusat Sehenti yang dinamakan Balai Polis Sentral itu menghimpunkan semua pegawai penyiasat dari semua jabatan dalam perkhidmatan polis bagi memudahkan orang ramai berurusan.

Beliau berkata, Balai Polis Sentral membolehkan penduduk menguruskan kes jenayah, trafik, komersial, narkotik dan sebagainya di bawah satu bumbung dan tidak perlu lagi membuat laporan di balai berbeza.

Laman web IPK Perak yang boleh dicapai di www.polisperak.rmp.gov.my bertujuan meningkatkan perkhidmatan secara online terutama untuk golongan muda.