Tue | Nov 06, 07 | 1:34:05 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 Nov(Hrkh) - Umno Terengganu kini terdesak apabila memaksa rakyat Terengganu mengundi mereka dalam satu sesi simulasi pilihan raya olok-olok yang diadakan di seluruh negeri tersebut pada 3 November lalu.
Umno dan BN Terengganu mengadakan program simulasi yang melibatkan sejumlah 318 Unit Peti Undi (UPU) di seluruh negeri dengan mensasarkan 200 orang pengundi 'target' bagi setiap cawangan dapat keluar serta mengundi dalam pilihan raya 'olok-olok' (simulasi) tersebut.
Harakah dimaklumkan, beberapa kawasan yang 'bermasalah' disediakan peruntukan membayar kepada pengundi-pengundi simulasi antara RM2 hingga RM50.00 seorang mengikut keadaan setempat.
Antara yang menjadi sasaran mereka adalah pengundi yang menerima wang ihsan, wang daripada jabatan kebajikan serta penjawat awam yang tidak mempunyai jawatan yang tetap.
"Ini kerana mereka ini dipaksa untuk mengundi Umno-BN jika mahu terus menerima sumbangan wang tersebut atau disekat bantuan jika enggan berbuat demikian," ujar Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata, ada sumber yang menyatakan bahawa semua pengundi yang datang 'diminta' mengundi Umno-BN.
Menurutnya, simulasi ini adalah kempen awal Umno-BN untuk pilihan raya akan datang yang secara psikologinya akan meninggalkan kesan kepada pengundi untuk memilih Umno-BN dalam pilihan raya nanti.
"Nanti, mereka akan senang cakap bahawa 'kamu buat sebagaimana yang kamu undi sebelum ini'. Ini adalah satu permainan 'politics of fear' bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tidak mengundi selain daripada Umno-BN dalam pilihanraya umum tidak lama lagi," tegasnya.
Mustafa mengutuk Umno Terengganu yang tanpa segan silu menjalankan sesi simulasi tersebut dengan menggunakan bangunan awam serta menyalahgunakan kuasa mereka sebagai kerajaan yang menguasai negeri itu.
"Ini kerana mereka(Umno-BN) dengan sewenang-wenangnya menghantar surat mengarahkan petugas-petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya turut sama membantu menjayakan simulasi tersebut," dakwanya.
Menurutnya lagi, proses yang dijalankan dalam simulasi tersebut adalah sebagaimana yang akan berlaku semasa hari pengundian dalam pilihanraya umum tidak lama lagi.
"Tindakan Umno-BN menggunakan dewan, sekolah dan balai raya yang akan digunakan dalam pilihanraya ini tidak seharusnya berlaku kerana semua yang dijalankan itu adalah untuk kepentingan politik mereka," katanya.
Mustafa juga merujuk kepada SPR berhubung hal ini, dan SPR mengesahkan bahawa mereka tidak menerima apa-apa makluman mahupun permohonan bagi penganjuran simulasi tersebut.
"Apabila ditanya mengenai penglibatan petugas-petugas SPR dalam program tersebut, SPR hanya berkata hal tersebut adalah 'di luar kawalan mereka' dan mereka tidak boleh berbuat apa-apa," jelasnya.
Dalam pada itu, PAS Terengganu tidak menolak kemungkinan bahawa Umno-BN yang kini merasa berada dalam keadaan yang 'tidak selamat' yang menyebabkan mereka mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi simulasi ini.
Menurut sumber yang boleh dipercayai juga beberapa tempat dalam Dun Alor Limbat serta bahagian Marang mengalami 'nasib' yang sama ekoran perpecahan yang serius melanda Umno/BN Terengganu hari ini. - mr
No comments:
Post a Comment