Tue | Nov 06, 07 | 5:59:49 am MYT
Selaku Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak bijak mengelakkan provokasi yang dilakukan oleh wartawan Berita Minggu (4 November 2007) baru-baru ini.
Wartawan akhbar ini bertalu-talu bertanyakan soalan adanya generasi muda Umno yang mahu cepat naik di dalam politik. Najib bijak dan mengelak dari provokasi soalan tersebut. Akhirnya dia hanya menyebut:-
"Sebab itu yang saya kata tadi, biar kita faham realiti politik, tahu bawa diri dan kita mesti ada kebijaksanaan. Walaupun kita muda, tidak semestinya kita berfikiran macam orang muda tetapi kita mesti ada kematangan cara berfikir dan bertindak. Mereka kena belajar dan terus belajar menimba pengamalan berpolitik."
Itulah Najib. Dia yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia tidak mudah terperangkap dengan soalan provokasi lebih-lebih lagi di akhbar yang mungkin dikuasai oleh menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin.
Sama ada wartawan ini mendapat arahan halus untuk mengenal hati budi Najib ataupun mereka sememangnya mempunyai 'keberanian' mempersoalkan dan 'memperlekeh' sikap sesetengah Pemuda Umno yang mahu cepat naik ke atas politik.
Jika di lihat kepada persoalan yang dikemukakan, akhbar ini mahu melihat skop yang lebih luas perbezaan politik antara golongan tua dan golongan muda di dalam Umno.
Mereka cuba melihat skop dari cawangan, bahagian dan kepimpinan Umno pusat. Tetapi dari sudut yang tersirat, ia lebih dilihat fokus kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini yang sanggup menggunakan 'perlindungan' bapa mentuanya untuk naik ke atas.
Khairy dilihat seolah-olah cuba 'menolak' Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein agar dia dapat memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam Pemilihan Pemuda sebaik sahaja selesainya pilihan raya umum kelak.
Secara tersirat juga Khairy mahu melihat sejauhmana pandangan Najib terhadap dirinya walaupun dia tahu Najib tidak pernah memperkatakan sesuatu terhadap tindak tanduknya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini terutama secara terbuka di khalayak umum seperti di dalam akhbar harian dan elektronik.
Khairy tahu, jika melihat situasi yang ada,Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan suatu ketika nanti untuk memberi 'laluan' kepada Najib sebagai Presiden dan Perdana Menteri dan bagaimana pandangan politik Najib jika dia menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno kelak.
Sama ada soalan provokasi ini dirancang secara halus atau tidak, Khairy tidak perlu risau dengan pandangan Najib terhadap dirinya. Tidak mungkin Abdullah tidak memberikan Khairy tempat sebagai Ahli Parlimen mahupun Adun dalam pilihan raya umum akan datang.
Tidak mustahil, Abdullah akan memberikan jawatan 'Senator' jika Khairy tidak terpilih sebagai Ahli Parlimen mahupun Adun.
Untuk menyelamatkan karier politik menantunya, Abdullah sendiri akan memberikan jawatan di dalam kabinet samada sebagai Menteri Penuh mahupun Timbalan Menteri.
Abdullah perlu bertindak demikian kerana itu berulangkali dia menyebut mahu kekal lagi sebagai Presiden Umno mahupun Perdana Menteri Malaysia. Amat mustahil Abdullah membiarkan Khairy terkapai-kapai di dalam politik sekadar Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada masa akan datang.
Khairy merasakan dirinya perlu cepat untuk naik ke atas semasa Abdullah berada di dalam kemuncaknya. Dia tidak mahu situasi merangkak, bertatih dan berjalan terlebih dahulu kerana ia boleh merosakan cita-cita politiknya untuk naik ke atas.
Dia perlu cepat dan pantas mengambil segala ruang yang ada untuk merubah sesuatu yang baru di dalam Umno. Khairy kini tidak akan menoleh ke belakang lagi.
Dalam Perhimpunan Agung Umno 2007 ini, dia telah menyiapkan diri untuk meraih sebanyak mungkin publisiti agar orang memperkatakan mengenai dirinya. Inilah mungkin persiapan yang paling hebat kerana Perhimpunan Agung Umno 2007 adalah kali terakhir bagi orang-orang tertentu sebelum menjelang pilihan raya umum akan datang.
Khairy tidak perlu gusar pandangan Najib terhadap dirinya. Khairy juga tidak perlu takut jika Najib berpandangan negatif terhadap dirinya.
Khairy akan sentiasa selamat selagi Abdullah memegang jawatan Presiden Umno. Harapan Khairy untuk naik ke atas sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno sudah tidak menjadi halangan lagi.
Bagaimanapun Khairy perlu ingat, daripada 11 orang Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, hanya tiga orang yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda ini. Mereka adalah Najib, Hishamudin dan Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz. Bagaimanapun status Nazri sebagai Ketua adalah sebagai Pemangku apabila Tan Sri Rahim Thamby Chik diminta melepaskan jawatannya kerana skandal. - mks.
No comments:
Post a Comment