Siap sedia hadapi cabaran masa depan: Noraini
KUALA LUMPUR: Semua ahli Puteri Umno diminta supaya memperlengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu serta kemahiran bagi membolehkan mereka dapat terus berdiri teguh serta mantap menghadapi cabaran pada masa depan.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata mereka juga perlu merebut setiap peluang yang kebanyakannya kini menjurus ke arah pengisian kemerdekaan negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Katanya, ahli pergerakan itu seperti juga rakyat lain negara ini tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada pelbagai bantuan kerajaan seperti subsidi untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka pada masa depan.
"Kita perlu menghayati nasihat presiden parti semalam yang meminta kita semua supaya tidak leka dengan pelbagai kemudahan serta bantuan disalurkan kerajaan dan sebaliknya perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran mendatang.
"Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan kita di Malaysia ini seolah-olah terlalu manja kerana banyak sangat menerima subsidi.
"Beliau juga menegaskan bahawa di sebalik setiap cabaran itu mesti tersedia peluang dan terserah kepada kita semua untuk merebutnya," katanya selepas menghadiri majlis taklimat tertutup Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Noraini menasihatkan ahli Puteri supaya turut serta dalam menjayakan tiga program pembangunan koridor wilayah yang dilancarkan oleh kerajaan sebelum ini.
Beliau berkata Perdana Menteri dalam taklimatnya semalam, antara lain memberi jaminan terhadap peluang masyarakat Melayu untuk terbabit secara langsung dalam pembangunan di wilayah Selatan, Utara dan Timur Semenanjung.
"Dalam masa sama, Pak Lah juga berkata usaha perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar. Katanya, masyarakat luar bandar juga perlu mengambil setiap peluang yang disamping perlu sentiasa rajin," katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, pula berkata Presiden parti dalam taklimat tertutupnya mengajak semua ahli-ahli Umno melihat ke bawah, melihat kepada realiti, soal pembaziran dan perlunya semua rakyat bekerja kuat.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga menyentuh mengenai harga barang dan memberi peringatan penting supaya kita semua sentiasa beringat-ingat serta jangan memandang ringan cabaran yang menanti di hadapan kita.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment