Wanita Gerakan semalam meminta kerajaan menyelesaikan isu sensitif dengan bijaksana, matang dan bertanggungjawab tanpa mengguris perasaan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Ketua pergerakan itu, Datuk Tan Lian Hoe, berkata sekiranya isu itu tidak diselesaikan, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan perkara ini boleh berlarutan hingga ke generasi akan datang.
“Isu sensitif terutama yang berkaitan dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini, harus dibincangkan dan diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan tahunan pergerakan itu di sini, semalam.
“Kerajaan perlu peka dan serius terhadap perkara ini. Biar kita bincang dan tidak kata itu boleh ini tak boleh. Kita guna platform sesuai untuk berbincang tanpa emosi serta mengkaji pelbagai masalah,” katanya.
Sebelum itu, ketika menjawab hujah dibangkitkan beberapa perwakilan, Tan berkata, rakyat perlu mengambil inisiatif menubuhkan badan pemantau bebas pada peringkat akar umbi bagi memastikan hasil negara tidak disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kita minta golongan profesional seperti jurutera, arkitek atau yang berkelayakan dalam membuat penilaian. Badan khas ini boleh menyiasat dan menilai projek dilaksanakan di sesuatu kawasan,” katanya.
Berhubung isu keselamatan golongan wanita, Tan berkata, golongan lelaki harus dididik sejak kecil supaya lebih menghormati wanita bagi mengelakkan kejadian rogol dan sumbang mahram.
“Salahkah kalau wanita itu dilahirkan cantik? Sebenarnya, bukan wanita bermasalah, tetapi kaum lelaki juga kerana kurangnya pendidikan moral dan agama,” katanya.
Seramai 12 perwakilan berucap membahaskan ucapan dasar Tan, yang menyentuh beberapa isu termasuk gejala rasuah, isu hak wanita dalam penggubalan undang-undang dan keselamatan golongan wanita. - Bernama