Saturday, May 27, 2006

DBKU bukan punca undi BN kurang

UTUSAN MALAYSIA

KUCHING 26 Mei - Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini menafikan kekurangan majoriti undi yang diperoleh calon Barisan Nasional (BN) di Satok dan Pantai Damai pada pilihan raya lalu berpunca daripada tindakan tegas pihak berkuasa tempatan itu.

DBKU dalam kenyataannya di sini, hari ini berkata, isu kekurangan majoriti bukanlah disebabkan DBKU, lebih-lebih lagi yang melibatkan kawasan Pantai Damai.

Menurut kenyataan itu, Pantai Damai merangkumi Penempatan Semula Rampangi, Pasir Pandak, Pasir Panjang, Buntal dan Santubong tidak pernah terlibat dengan sebarang tindakan `keras' oleh DBKU.

Kata kenyataan itu, DBKU telah memberi kerjasama yang sangat baik dengan penduduk Pantai Damai, ketua-ketua masyarakat dan juga wakil rakyat kawasan berkenaan.

``Pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, kempen anti nyamuk, dialog, turun padang dan program kejiranan telah dijalankan, malah pada 3 Julai tahun lepas DBKU dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Buntal telah mengadakan Program Kejiranan Mesra yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud,'' kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran komen Menteri Perumahan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Satok, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg yang menyarankan DBKU menggunakan pendekatan yang lebih bertolak-ansur serta kemanusiaan dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

Kalau tahu Sarawak bermasalah kenapa PM tak bantu kempen?

HARAKAHDAILY

Fri | May 26, 06 | 07:44:59 PM
Oleh A. Kadir Jasin

Barisan Nasional Sarawak tidak kalah dalam pilihan raya umum negeri 20 Mei lalu. Tetapi yang jelas “menang” adalah pembangkang.


BN memperoleh 62 daripada 71 buah kerusi Dewan Undangan yang diperbesarkan. Pembangkang dan calon bebas mendapat sembilan, bilangan terbesar sejak 1986.

Di negara-negara lain atau di negeri-negeri lain di Malaysia, keputusan begini tidak memeranjatkan. Tetapi di Sarawak ia hampir-hampir menyebabkan “serangan jantung”.

Sebabnya banyak dan pelbagai. Buat permulaan, sejak awal-awal lagi kepemimpinan negeri dan pusat, dengan bantuan media massa arus perdana, menguar-uarkan kemenangan bersih.

Ini berpandukan prestasi pilihan raya negeri 2001 dan pilihan raya umum 2004 di mana BN negeri memperoleh kemenangan besar.

Malah ada penyokong Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud “meremehkan” proses demokrasi yang sangat penting itu sebagai hadiah hari jadi kepada beliau. Abdul Taib merayakan hari jadinya yang ke-70 pada 21 Mei. Tidak mengejutkan jika tarikh pilihan raya itu dipilih khas untuk berlaku serentak dengan ulang tahun ke-70 kelahiran beliau.

Apa yang rata-rata disifatkan sebagai memeranjatkan oleh banyak pengulas politik sebenarnya tidaklah terlalu memeranjatkan. Malah dengan alasan yang begitu banyak untuk mengasak BN, parti-parti pembangkang sebenarnya gagal untuk memaksimumkan peluang keemasan mereka.

Namun kejayaan DAP memenangi enam kerusi dan Keadilan, buat kali pertama, mendapat satu kerusi cukup untuk memberi isyarat bahawa pengundi Sarawak semakin bersedia untuk menjadi “lebih Malaysia” dalam pilihan mereka.

Reaksi Kepada Monopoli Politik

Ini mungkin berupa manifestasi “pemberontakan” terhadap monopoli politik negeri itu oleh parti-parti kaum dan puak yang bergabung menjadi BN Sarawak, dan mungkin berupa isyarat awal perpecahan BN Sarawak.

Penolakan BN oleh pengundi bandar, khasnya pemilih keturunan Cina, bukan sahaja berupa pemberontakan terhadap Sarawak United People’s Party (SUPP) tetapi juga protes terhadap prestasi ekonomi yang tidak menentu.

Sebagai masyarakat peniaga, pengundi Cina lebih sensitif kepada perkembangan ekonomi yang dalam masa setahun dua ini tidak menampakkan arah dan tujuan yang jelas.

Kemerosotan bilangan pemilih yang keluar mengundi dan perubahan trend pengundian masyarakat Dayak mengukuhkan andaian bahawa berlaku protes yang meluas terhadap BN Sarawak yang diketuai oleh parti Melayu/Melanau, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia di mana parti-parti nasional BN seperti Umno, MCA, MIC dan Gerakan tidak bertapak. Politik negeri itu diserahkan bulat-bulat kepada parti-parti etnik negeri yang bergabung membentuk BN Sarawak.

Akibatnya, Sarawak dan Ketua Menterinya mempunyai kedudukan yang istimewa dalam kerangka politik nasional. Walaupun jarang diperkatakan, sistem yang memisahkan BN negeri daripada BN pusat memberikan Sarawak suatu bentuk autonomi yang tidak dinikmati oleh negeri-negeri lain.

Malah pemerhati politik tidak terlepas daripada membuat komen bahawa Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN pusat, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak pun hadir untuk berkempen di Sarawak.

Jadi tidak hairanlah apabila Abdullah membuat kenyataan media di Mesir mengatakan beliau “berasa sesuatu tidak kena” mengenai pilihan raya itu beberapa hari sebelum pengundian, banyak pihak di Sarawak menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa dan menyebabkan mereka berasa terkilan.

Apa Muslihat Perdana Menteri?

“Kalau tahu BN ada masalah, apatah lagi akan kalah banyak kerusi, mengapa Perdana Menteri tidak beritahu Abdul Taib atau datang sendiri membantu?” demikian reaksi para pemerhati politik di Kuching.

Bekas seorang pengarang akhbar Sarawak yang saya temui di Kuching pada 24 Mei berkata seandainya Perdana Menteri mengetahui atau “berasa” sesuatu tidak kena, logiknya beliau perlu memberitahu Abdul Taib atau pemimpin negeri yang lain.

“Atau apalah salahnya beliau memberitahu Najib (Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak) kerana Najib datang berkempen,” kata seorang wartawan Sarawak.

Apakah kenyataan Abdullah di Mesir itu mengandungi suatu muslihat atau mesej yang tidak kita fahami atau sekadar sedap cakap?

Kalau beliau “berasa” ada sesuatu yang tidak kena, siapakah yang mempengaruhi fikiran beliau untuk membuat kesimpulan sedemikian?

Teori persekongkolan (conspiracy theory) berlambak -- daripada kerenggangan perhubungan di antara Abdul Taib dengan pentadbiran baru di Putrajaya kepada isu perniagaan dan (seperti biasa) “faktor Khairy”.

PM Ada Kuasa Ghaib?

Atau apakah Perdana Menteri dan pembantu-pembantu beliau cuba memberi gambaran bahawa beliau mempunyai kuasa dan naluri istimewa untuk “menilik” apa yang akan berlaku, yang tidak nyata kepada orang lain?

Ini mengingatkan saya kepada dakwaan seorang rakan akrab Perdana Menteri, yang kini menganggotai dan mempengerusikan banyak perbadanan kerajaan dan syarikat swasta, yang secara terbuka menyifatkan Abdullah sebagai manusia yang “diberkati”.

Dalam sebuah seminar di Universiti Malaya tidak lama dulu, kawan yang mendakwa dirinya pengamal tasawuf itu berkata segala-gala yang berlaku kepada Abdullah membuktikan “keistimewaan” beliau.

Jadi tidak hairanlah jikalau akhbar Internet Malaysiakini secara berseloroh menyiarkan tajuk berita “The Clairvoyant Malaysian Prime Minister” (Perdana Menteri Malaysia Tukang Tilik).

Berasa atau tidak, tilik atau tidak dan diberkati atau tidak, keputusan pilihan raya Sarawak yang memberikan prestasi baik kepada pembangkang pasti akan memberi kesan bukan sahaja kepada negeri berautonomi itu malah kepada politik nasional.

Dengan begitu banyak soalan yang belum terjawab atau dijawab tetapi tidak meyakinkan – daripada isu AP kepada penjualan aset Proton pada harga 1 Euro, pembatalan projek jambatan, kesan perjanjian perdagangan bebas dan kenaikan harga yang berterusan – pembangkang tidak kekurangan modal untuk mengasak kerajaan.

Walaupun kerajaan, dengan bantuan media massa arus perdana yang menyokongnya, cuba memberi penjelasan mengenai pelbagai kenaikan harga yang berlaku sejak akhir-akhir ini, rakyat terbanyak terus curiga kerana banyak penjelasan itu bercanggah antara satu sama lain.

Misalnya, walaupun kenaikan 12 peratus tarif elektrik mulai 1 Jun ini didakwa tidak akan menjejas 60 peratus pengguna – mereka yang menggunakan RM43.60 sebulan atau kurang -- namun mereka akan dibebankan oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat kos elektrik yang lebih tinggi.

Kalau hari ini pengguna berasa tekanan kenaikan harga, sebabnya ialah kerana kadar inflasi yang dulunya rendah – di bawah dua peratus setahun – kini telah meningkat kepada hampir lima peratus (4.6 peratus pada bulan April)

Di masa yang sama, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih rendah daripada negara-negara jiran dan Bursa Malaysia adalah yang paling lemah prestasinya berbanding pasaran saham negara-negara Asia yang lain. Malah kita kalah kepada Indonesia, Filipina dan Negeri Thai dalam beberapa aspek.

Peluang Untuk Pembangkang

Inilah antara isu politik, ekonomi dan sosial yang boleh dan pastinya dijadikan modal oleh parti-parti pembangkang untuk meraih sokongan.

Yang menjadi tanda tanya hanyalah kemampuan mereka membuat analisis terperinci dan menyampaikan maklumat kepada rakyat jelata dan pengundi secara meluas dan berkesan.

Kemampuan mereka akan terus terhad kerana mereka tidak akan mendapat tempat di dalam media massa arus perdana dan mereka sendiri masih tidak mampu meyakinkan umum bahawa mereka boleh menjadi alternatif kepada BN.

Namun dengan semakin meluasnya penggunaan media massa alternatif seperti Internet, harapan pembangkang memecahkan monopoli politik BN adalah lebih cerah.

Keputusan pilihan raya negeri Sarawak adalah bukti jelas aliran ini.