MOHON RESTU: Abdullah berdoa sebelum minum pada hari keempat Perhimpunan Agung Umno 2007, semalam. |
PM minta elak terperangkap isu agama cetusan pembangkang
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, perkara asas yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kesucian agama, kepercayaan dan amalan serta kepentingan orang Melayu, tidak perlu diungkit lagi.
Sambil mengharapkan pemimpin semua 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) menyampaikan mesej itu kepada ahli masing-masing, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN berkata, perkara asas yang dipersetujui ketika Perlembagaan Persekutuan digubal itu tidak boleh dirundingkan lagi.
Abdullah bagaimanapun memberi jaminan, Umno bersedia untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian bijak melalui formula sama-sama menang bagi menangani isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
"Umno tidak mengamalkan sifat lidah bercabang, Umno tidak bernada lain di hari siang lain di hari malam, Umno bukan makhluk dua alam, makhluk yang bertukar warna berasaskan suasana," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.
Penjelasan Presiden Umno itu disambut tepukan gemuruh lebih 2,500 perwakilan. Hadir sama ialah semua pemimpin kanan parti komponen BN serta pemerhati dan perwakilan asing.
Dalam ucapan selama 80 minit bertema 'Memperkukuh Keyakinan � Meneroka Era Baru' itu, Perdana Menteri menyentuh pelbagai isu meliputi ekonomi, pendidikan dan sosial serta menetapkan hala tuju perjuangan parti sehingga 2057.
Abdullah, yang turut mengimbau pencapaian Umno sepanjang 50 tahun negara merdeka, berkata perbincangan bagi mencari penyelesaian berhubung isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum lebih sesuai dilakukan melalui forum tertutup kerana ia perlu ditangani secara objektif, rasional dan matang.
"Umno dan rakan dalam BN jangan sekali-kali terperangkap dalam isu agama dan perkauman yang dicetuskan pembangkang. Kita adalah parti yang menguasai kerajaan, kita adalah parti yang didukung oleh kuasa eksekutif, kita tidak harus merendahkan kedudukan kita, melatah dicucuk oleh pembangkang," katanya.
Beliau berkata, pada perhimpunan agung tahun lalu, Umno membenarkan media membuat siaran langsung ketika perbahasan dan buat pertama kalinya dunia berpeluang mengikuti retorik politik Melayu tanpa tapisan dengan sebilangan kecil pembahas mengupas usul yang mungkin menyinggung perasaan kaum lain.
Katanya, ketika ucapan Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri, barisan Majlis Tertinggi dan pembahas, mereka memperlihatkan semangat majoriti ahli Umno dengan mengulas isu dari perspektif nasional dan percaya nada berunsur ekstrem juga disuarakan oleh ahli dalam parti politik lain yang dikuasai kaum lain di negara ini.
Namun, dalam semangat membina sebuah negara yang rukun lagi bersatu, konsensus majoriti berlandaskan kesederhanaan dan semangat saling menghormati terbukti mengatasi suara bernada ekstrem.
"Dalam pertemuan dengan pemimpin lain, saya kata saya boleh memahami perasaan parti lain seperti MCA, MIC. Saya boleh faham tetapi Umno pun kena buat macam itu.
�Apa yang penting ialah apabila kita menterjemahkannya dalam dasar, maka ini dilakukan dalam suasana di mana pemimpin pelbagai kaum berbincang dan keputusannya dibuat berlandaskan konsensus supaya tiada kaum yang terpinggir.
�Inilah semangat BN. Inilah menjadi kekuatan BN," katanya sambil menegaskan bahawa setiap isu yang dihadapi perlu ditangani berasaskan kepentingan nasional dan kepentingan sejagat.
"Kita sudah 50 tahun merdeka. Kini insan yang lahir di bumi ini adalah anak Malaysia, mereka adalah warga Malaysia. Mereka besar dan dewasa dengan hanya mengenal negara ini. Mereka berpijak di bumi Malaysia dan menjunjung langit Malaysia. Bukan lagi masanya untuk kita mendendangkan lirik berasaskan kaum," katanya.
Abdullah turut mempertahankan Pemuda Umno dengan menjelaskan bahawa perbuatan menghunus dan mengucup keris adalah sebahagian daripada adat warisan pusaka bangsa Melayu. Keris bukan senjata untuk digunakan terhadap kawan, tetapi senjata untuk membela diri dan kawan.
"Namun ia ditakrif secara sempit, secara negatif, orang bukan Melayu ditakutkan, malah turut digemakan oleh kumpulan tertentu di luar negara bertujuan memburukkan imej Umno dan Malaysia," katanya.
Beliau memberi jaminan Umno sama sekali tidak akan melanggar semangat perjanjian merdeka yang dipersetujui bersama kaum lain dan peluang yang ada di Malaysia terbuka kepada setiap warga Malaysia.
Katanya, hubungan harmoni antara kaum dan pelbagai agama di negara ini bukanlah satu opsyen tetapi satu kemestian.
INFO: Ucapan Presiden:
- Kesucian agama, kepercayaan dan amalan serta kepentingan orang Melayu seperti yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu diungkit lagi.
- Umno bersedia duduk semeja dan mencari penyelesaian bijak melalui formula sama-sama menang bagi menangani isu yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama.
- Perbincangan bagi mencari penyelesaian berhubung isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum lebih sesuai dilakukan melalui forum tertutup.
- Umno tidak akan melanggar semangat perjanjian merdeka yang dipersetujui bersama kaum lain dan peluang yang ada di Malaysia terbuka kepada setiap warga Malaysia.
- Semua pihak perlu kikis tanggapan kononnya pelaksanaan koridor ekonomi wilayah akan memudaratkan orang Melayu, sebaliknya rancangan itu hendaklah dilihat sebagai gagasan besar selari dengan usaha melahirkan 'towering Malays'.
- GLC perlu mengambil peranan sebagai pemangkin untuk membolehkan berlakunya proses pemindahan teknologi asing kepada syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
- Wakil rakyat diwajib mengutamakan agenda kemiskinan dan kejayaan membasmi kemiskinan di kawasan masing-masing akan dijadikan salah satu petunjuk utama prestasi.