Tue | Nov 06, 07 | 5:46:40 am MYT
Sempena Perhimpunan Agung Umno 2007, Dato' Seri Abdullah Ahmad memberikan peluang kepada Mingguan Malaysia (MM) menginterbiu beliau secara panjang lebar mengenai pelbagai isu, termasuklah soal koridor pembangunan yang ghairah dilancarkan kebelakangan ini.
Wawancara tersebut yang tersiar dalam MM 4 November 2007, pasti bertujuan memberikan kefahaman mendalam kepada para perwakilan perhimpunan Umno 2007 mengenai isu-isu besar. Ia juga pastinya bertujuan meredakan kemungkinan rasa tidak puas hati sesetengah perwakilan terhadap apa yang sedang berlaku mutakhir ini.
Sebagai anak Johor yang prihatin terhadap kedaulatan bumi Johor Darul Takzim - dulu, kini dan selamanya - saya kecewa dengan jawapan Abdullah mengenai isu koridor ini.
Minda 'stereotype'
Setelah membaca jawapan Abdullah secara menyeluruh dan teliti, saya dapati jawapan beliau menimbulkan satu 'stereotype' keadaan dan generalisation minda seperti berikut:
Bahawa seluruh kawasan koridor Selatan, Utara, Timur, Sabah dan Sarawak mempunyai latar belakang political economy yang serupa.
Bahawa seluruh kawasan koridor terbabit mempunyai masalah dan faktor strategik yang sama. Bahawa seluruh kawasan koridor berkenaan bersempadankan hakikat geopolitik yang sama. Adenda Melayu?
Berasaskan stereotype dan generalisation seperti ini, Abdullah pun menegaskan bahawa koridor-koridor berkenaan mendatangkan manfaat seperti berikut:
Memberikan peluang kepada perkembangan modal insan dan ilmu pengetahuan.
Memperluaskan lagi peluang memperoleh pendapatan tambahan, pendapatan baru.
Penduduk di kawasan tersebut yang majoritinya Melayu (dan Bumiputera) akan turut ditingkatkan (ekonomi dan mutu hidupnya).
Secara tidak langsung, pembangunan (koridor) ini sesuai dengan agenda Melayu.
WPI Berbeza
Daripada intisari jawapan seperti di atas, Abdullah seolah-olah mahu menenggelamkan hakikat bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor adalah amat berbeza dengan lain-lain koridor.
Kalau koridor Utara, Timur, Sabah dan Sarawak adalah di dalam kawasan majoriti Melayu dan Bumiputera, kawasan rural-based dan kawasan agricultural-based, WPI tidak sepenuhnya rural-based atau agricultural-based.
WPI merangkumi beberapa kawasan membangun - beberapa estet perindustrian, berpuluh-puluh taman perumahan dan kampung tradisional, satu lapangan terbang dan dua pelabuhan besar.
Koridor Utara, Timur, Sabah dan Sarawak tidak menghadapi soal kedaulatan negara kerana kesemuanya tidak mengambilkira perkembangan di negara-negara asing yang terdekat.
Kedaulatan Negara
Tetapi, WPI membabitkan Singapura, sebuah negara asing yang sangat-sangat laparkan tanah dan memang sentiasa mencari kesempatan untuk meluaskan sifera politik dan ekonominya ke Malaysia. Sebab itulah, sepatah kata Abdullah sendiri, WPI adalah Shenzen kepada Singapura yang bertaraf seperti Hongkong di Negeri China.
Wilayah-wilayah koridor lain tidak membabitkan soal trans-border movement atau pergerakan melintasi sempadan.
Di WPI, Abdullah sampai tergamak menyatakan pada peringkat awalnya, bahawa orang dari Singapura tak perlu menggunakan apa-apa dokumen perjalanan untuk ke WPI. [Kenyataan dasar ini ditentang keras oleh rakyat Malaysia dan kini sudah pun diperbaiki.]
Tidak seperti WPI, lain-lain wilayah pembangunan tidak bersempadankan sebuah negara satelit Amerika Syarikat yang jadi pengkalan zionis terbesar di Asia Tenggara dan yang menjadikan Israel sebagai penasihat keselamatan dan pertahanannya.
Super Bridge
Tidak seperti lain-lainnya, di WPI telah diwujudkan satu jawatankuasa peringkat menteri Malaysia-Singapura untuk menasihati soal-soal pembangunan WPI.
Di WPI sudah diura-ura akan dibina sebuah jambatan besar atau super bridge kononnya untuk memudahkan lagi mobiliti duahala Malaysia-Singapura.
Perkara yang dikatakan ura-ura ini sebenarnya sudah pun diperincikan di Singapura beberapa bulan lalu. Satu peta mengenai cadangan super bridge ini juga sudah diedarkan kepada banyak pihak yang berminat.
Mungkinkah Abdullah akan menyetujui pembinaan super bridge seperti ini? Tidak mungkinkah di sebalik super bridge itu akan digandingkan juga agenda pertahanan dan ketenteraan Singapura yang ketulusannya terhadap Malaysia mesti sentiasa diragui?
Oleh itu, berasaskan jawapan Abdullah dalam MM 4 November 2007, adakah pembangunan WPI menepati agenda Melayu atau agenda nasional, khusus sekali dalam konteks kedaulatan, keselamatan dan pertahanan negara kita?
Saya tidak mahu menyenaraikan perincian mengenai banyak lagi perbezaan WPI dengan lain-lain koridor di seluruh negara. Saya juga tidak mahu menafikan bahawa koridor-koridor yang akan dibangunkan, melainkan WPI, pasti akan memberikan manfaat kepada Melayu dan Bumiputera.
Bagaimanapun, saya tetap mempersoalkan rasional kerajaan membangunkan WPI yang kini menimbulkan persepsi umum yang amat negatif.
Turut Berdosa?
Saya tidak anti-pembangunan. Tetapi, saya tetap sinis dengan matlamat sebenar di sebalik WPI. Adakah ianya benar-benar selaras dengan agenda Melayu dan agenda nasional?
Maka, kalau Abdullah boleh berkata, berdosalah beliau kalau pembangunan seluruh koridor di bawah rejim pentadbirannya meminggirkan Melayu dan Bumiputera, saya juga akan berdosa kalau tidak bertanya kepada Abdullah, apakah kerajaan pimpinannya telah meneliti seluruh aspek kedaulatan, keselamatan dan pertahanan negara ini dengan semasak-masaknya, sewaktu WPI digubal oleh pihak Khazanah Nasional, di mana ketua pakar ekonominya juga dikatakan adalah warganegara Singapura?
Lantas, adakah Abdullah akan terdorong untuk secara ikhlas menjelaskan kepada rakyat jelata bahawa WPI adalah lain daripada semua koridor yang akan dibangunkan di negara kita?
No comments:
Post a Comment