Tuesday, October 02, 2007

Peniaga direman bantu siasatan kes rusuhan

KUALA TERENGGANU 1 Okt. - Seorang peniaga pasar malam ditahan reman empat hari berkuat kuasa hari ini bagi membantu siasatan kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Buruk pada 8 September lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, lelaki berusia 21 tahun itu merupakan antara 26 individu yang dicari polis bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

‘‘Setelah gagal menyerah diri, polis menjalankan gerakan memburunya dan menangkap lelaki ini di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai di sini kira-kira pukul 11 malam tadi,’’ katanya di sini hari ini.

Berikutan penangkapan itu, Khairi berkata, polis telah mendapatkan perintah tahanan reman ke atas lelaki itu daripada Mahkamah Majistret di sini hari ini dan tempoh remannya berakhir pada 4 Oktober ini.

‘‘Ini merupakan lelaki pertama yang dikehendaki polis ditahan reman kerana 20 lelaki yang telah menyerah diri atau ditangkap sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil,’’ ujarnya.

Dengan perkembangan tersebut, katanya, ia menjadikan keseluruhan 21 daripada 46 individu yang dicari telah memberi keterangan berhubung kes membakar Jalur Gemilang dan merosakkan harta benda awam dalam kejadian rusuhan awal bulan lepas.

Antara mereka yang telah menyerah diri sebelum ini termasuk seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah agama swasta dari Binjai Bongkok, Marang dan pelajar tingkatan empat serta pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Pasir Panjang di sini.

Pas ramal pilihan raya Mac 2008

KUALA TERENGGANU 1 Okt. – Pas meramalkan pilihan raya umum akan diadakan pada Mac atau selewat-lewatnya pertengahan tahun depan berdasarkan beberapa perkembangan dalam negara yang menuntut penjelasan daripada kerajaan.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, sebelum ini, Pas menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan pada November ini, namun beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menangguhkannya sehingga tahun depan berikutan beberapa isu yang masih belum selesai.

Beliau mendakwa, selagi isu-isu berkenaan tidak selesai, UMNO tidak mempunyai keberanian untuk menghadapi pilihan raya lebih awal.

“Walaupun UMNO belum bersedia tetapi Pas sudah lama bersedia. Saya nampak Perdana Menteri dan UMNO belum bersedia untuk mengadakan pilihan raya umum bulan November ini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Menurut Mustafa, antara isu hangat yang menuntut penjelasan kerajaan adalah rakaman video antara seorang peguam kanan mengenai urusan pelantikan hakim, rusuhan di Batu Burok, isu pemindahan ternakan babi di Melaka dan beberapa isu lain.