Friday, October 26, 2007

Klip Video : Anwar atau BPR yang gagal?

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Salleh
Fri | Oct 26, 07 | 10:12:04 am MYT

Beberapa akhbar arus perdana melaporkan mengenai isu penyerahan klip video 'Pita Lingam' yang menyebut bahawa Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim gagal menyerahkan bukti kepada BPR semalam.

ImageLaporan juga menyebut bahawa BPR berkata Anwar gagal mengemukakan pita pada tarikh yang ditetapkan dalam perintah yang dikeluarkan BPR.

Menurut laporan Bernama, BPR dalam satu kenyataan semalam berkata klip video asal itu perlu dikemukakan kepada ibu pejabat BPR pada 25 Oktober bagi membantu siasatan terhadap kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Menurut kenyataan itu, kegagalan berbuat demikian merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 58 Akta itu dengan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa Anwar menghubungi BPR untuk meminta supaya mereka mengambil klip video itu daripada beliau, kata laporan itu lagi.

Menurut kenyataan itu adalah menjadi tanggungjawab Anwar untuk datang dan menyerahkan klip video tersebut ke ibu pejabat BPR di Putrajaya dan bukannya meminta pegawai BPR datang ke pejabat beliau bagi mendapatkan klip video itu seperti mana yang diminta oleh Anwar.

Menurut BPR lagi, mereka difahamkan bahawa klip video yang ingin diserahkan oleh Anwar itu juga merupakan salinan dalam bentuk 'pen drive' berupa rakaman sepanjang lapan minit, dan bukannya yang asal seperti yang diperintahkan.

BPR seterusnya menafikan bahawa tindakan yang diambil bagi mendapatkan salinan asal klip video daripada Anwar itu bermotifkan politik seperti yang didakwa beliau.

Begitupun terdahulu di pejabat Anwar, mantan Timbalan Perdana Menteri itu sendiri menyebut bahawa, pegawai BPR, Sazali Salbi menghubunginya pertama kali pada jam 11.00 pagi bagi membincangkan soal penyerahan pita tersebut.

ImageBegitupun selang beberapa minit, pegawai yang sama menghubungi Anwar sekali lagi bagi menyatakan pembatalan penyerahan pita tersebut tanpa alasan.

Kenyataan itu dibuat Anwar secara terbuka dan Anwar begitu konsisten dengan kenyataannya sambil mengangkat 'thumb drive' yang dikatakan memiliki apa yang BPR mahukan.

Biarpun beberapa kali ditanya wartawan, Anwar tetap konsisten dengan kenyataanya bahawa BPR yang membatalkan pertemuan itu.

Mengikut rekod, sebelum ini dua telah dua kali pegawai BPR datang ke rumah Anwar bagi menyiasat dan mengambil keterangan Anwar dalam membantu siasatan kes 'Pita Lingam'.

Kedatangan itu termasuk pada 22 Oktober lalu, pegawai BPR yang diketuai Sazali Salbi datang untuk menyerahkan notis perintah menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 22 (1) (b) Akta Pencegah Rasuah.

Begitupun pada ketika itu Anwar dikatakan masih belum membuat pendirian samada menyerahkan klip itu atau tidak.

Namun semalam, dengan penuh keyakinan Anwar membuat kenyataan bahawa beliau memetik kata-kata pegawai BPR bahawa pihak BPR membatalkan pertemuan semalam tanpa sebab.

ImageJika mengikut kenyataan Anwar, pertemuan yang rancang BPR itu telah dibatalkan badan tersebut dengan hanya membuat panggilan sahaja.

Perkara ini berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh BPR kepada akhbar arus perdana yang menyatakan Anwar gagal menyerahkan pita itu.

Begitupun penulis melihat bahawa jika benar kenyataan Anwar itu ianya secara sendiri boleh menidakkan kenyataan yang dikeluarkan BPR petang semalam kepada beberapa akhbar arus perdana.

Cuma apa yang mengecewakan, tidak ada sebarang laporan oleh akhbar arus perdana yang menyentuh kenyataan Anwar yang mendakwa BPR membatalkan pertemuan bagi menyerahkan pita rakaman itu.

Kata seorang pemerhati politik, mengapa tidak BPR sendiri mengambil bukti itu kerana sebelum ini BPR dilihat cukup bersungguh-sungguh dalam mendapatkan pita itu termasuk datang terus ke pejabat Anwar bagi mendapatkan keterangan.

Mungkin dalam hal ini ada pihak bermain wayang, namun dikesali sekali lagi akhbar arus perdana menjadi sandaran untuk menutup kenyataan pembangkang.

Kita akan saksikan selepas ini wayang gambar 'bollywood' yang lebih hebat antara Anwar dengan BPR.

KeADILan bidas sikap putar belit BPR dalam kes Lingam

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Oct 26, 07 | 3:18:36 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Kerajan dibidas kerana sudah hilang hala tuju moralnya dan tidak mungkin boleh diharapkan untuk mendaulatkan undang-undang dalam perlaksanaan undang-undang yang sediaada sekalipun, kata Pegawai Khas Anwar, Din Marican.

"Saya kagum tetapi tidak hairan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memutar belitkan prosedur dan mengulangi ugutannya untuk mendakwa Penasihat KeADIlan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di bawah Akta Mencegah Rasuah berkaitan siasatan video VK Lingam,"kata Din dalam satu kenyataanya hari ini.

Rakyat harus jelas dengan fakta-fakta kes, pada Khamis, 25 Oktober , jam 11.05am, BPR menghubungi Anwar Ibrahim dan membatalkan temujanji di pejabat Anwar yang terdahulu telah dipersetujui bagi mengambil bahan bukti, kata Din.

"Melalui telefon Anwar bertanya Tuan Sazali bin Salbi, ketua pasukan penyiasatan BPR mengapa temujanji tersebut dibatalkan. Jawapan Sazali adalah bahawa arahan 'datang dari atas' dan menasihatkan Anwar untuk simpan sahaja bukti tersebut. Anwar kemudian diberitahu bahawa temujanji tersebut dibatalkan sehingga makluman seterusnya,"katanya.

KeADILan dengan itu mencabar ketidakadilan yang dilakukan itu, kata Din.

KeADILan akan mengadakan himpunan solidariti untuk Anwar di Pandan Indah malam ini dengan Anwar Ibrahim, Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Dr. Hassan Ali dan YB Teng Chang Khim Hubungi sebagai pemidato, kata Din.

AMK berdemo isu 'Pita Lingam' di Masjid Negara

Wan Nordin dan Intan Abdullah
Fri | Oct 26, 07 | 3:00:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Meskipun dengan hanya kehadiran kira-kira 30 orang pemuda sahaja, namun semangat yang membara dalam diri 30 anak muda Angkatan Muda KeADILan (AMK) tetap menjadi azimat untuk mereka berhimpun di hadapan Masjid Negara selepas solat Jumaat hari ini.

Tujuannya satu, untuk memberi penerangan kepada rakyat isu laporan 'Pita Lingam' yang diputarbelitkan oleh beberapa media arus perdana semalam.

Begitupun kehadiran sekitar 30 orang tidak memberi kesan besar meskipun isu yang digarab Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai pita lingam ini adalah isu besar yang mengugat pentadbiran negara.

Seorang pemerhati yang enggan namanya disiarkan melihat bahawa kurangnya komunikasi dan kelemahan dalam menguruskan himpunan bagi isu tersebut menyebabkan himpunan itu seakan tidak mendapat perhatian.

Kata rakan pemerhati itu lagi, AMK seharusnya membuat persediaan yang rapi untuk mengadakan himpunan itu bagi memberi impak besar dan seterusnya mencetus ledakan baru membesarkan isu tersebut.

Malangnya kata rakan tersebut, suasana 'dingin' pula yang berlaku akibat kesilapan perancangan yang dilakukan.

"Saya tidakpun melihat mana-mana promosi yang dibuat pihak terbabit untuk menjemput orang ramai, aktivis dan pejuang menyertai demonstrasi itu.Ini yang menyebabkan isu besar boleh 'layu' hanya kerana himpunan tidak mendapat sambutan,"katanya.

Terdahulu dalam himpunan itu, anggota Exco AMK, Lim Teck Hai yang memulakan ucapan mengecam sikap bermain wayang Badan pencegah Rasuah (BPR) dalam kenyataanya mengenai kegagalan Anwar menyerahkan pita rakaman kepada BPR.

Katanya, meskipun sebenarnya BPR berkata akan mendapatkan pita itu di pejabat Anwar seperti yang dijanjikan semalam, namun akhirnya setelah BPR membatalkan pertemuan di saat akhir, kenyataan yang keluar di media arus perdana sebaliknya.

BPR dalam kenyataannya menyatakan semalam Anwar pula yang gagal mematuhi notis yang dikeluarkan badan itu pada 22 Oktober lalu.

Lim juga mendesak pihak Istana Negara memandang serius tuntutan untuk mengadakan satu Suruhanjaya Diraja menyiasat 'Pita Lingam' kerana ia adalah berhubung isu kehakiman negara.

Beliau merayu dan merafak sembah kepada Institusi Raja supaya segera melakukan tindakan bagi menyelamatkan sistem kehakiman negara yang punah akibat tangan-tangan golongan yang mencatur kedudukan dalam organisasi kehakiman demi kepentingan politik sahaja.

Sebelum himpunan diadakan, suasana agak lengang dan hanya kelibat polis berpakaian preman, dan yang lengkap beruniform mundar-mandir di pekarangan Masjid Negara.

Kelibat Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh serta Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor dilihat turun dari kereta Honda berwarna biru sebelum solat Jumaat mungkin datang untuk melihat himpunan.

Beberapa anggota olis seakan tertanya-tanya sama ada himpunan akan diadakan atau sebaliknya dan ada juga yang menanti arahan untuk tindakan selanjutnya.

Kelihatan juga sebelum itu beberapa anggota polis yang duduk di pekarangan belakang Masjid Negara yang sanggup untuk tidak bersolat Jumaat bagi menunggu himpunan diadakan.

Hingga selesai himpunan, anggota-anggota polis itu juga masih berada di tempat 'melepak' tanpa menghiraukan mata-mata yang 'sinis' memandang ke arah mereka. - mks.

BPR akan keluar perintah dakwa, Anwar gagal serah klip video asal

Oleh THOMAS CHONG

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan mengeluarkan perintah dakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal mengemukakan klip video asal perbualan telefon peguam kanan dengan seorang hakim kanan.

BPR dalam kenyataan malam ini berkata, kegagalan Anwar berbuat demikian merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pada 22 Oktober lalu, BPR telah mengeluarkan perintah supaya mengemukakan klip video asal selama lebih kurang 14 minit kepada BPR, tetapi beliau gagal berbuat demikian,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Anwar sebelum ini telah menghubungi pegawai BPR untuk mengambil satu pen drive yang mengandungi klip video selama lapan minit daripadanya.

“Anwar bertanggungjawab untuk menyerahkan klip video itu kepada ibu pejabat BPR di Putrajaya dan bukannya meminta pegawai untuk mendapatkan daripadanya.

“BPR difahamkan klip video selama lapan minit dalam pen drive itu juga bukannya salinan asal,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama BPR menegaskan tindakan itu bukan bermotifkan politik dan ia adalah berteraskan undang-undang.

“Tindakan ini sebaliknya adalah berteraskan kepada undang-undang dan mereka yang ingkar dengan undang-undang ini akan diambil tindakan,” jelasnya.

Sementara itu Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan mengesahkan pihaknya masih belum menerima klip video itu.

“Perintah terhadap Anwar sudah dikeluarkan (Isnin lalu) supaya menyerahkan klip video tersebut... ia mestilah dipatuhi,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang boleh diambil ke atas Anwar kerana kegagalannya mematuhi perintah yang dikeluarkan BPR itu, Ahmad Said yang enggan mengulas lanjut berkata: “BPR masih tunggu rakaman asal klip video itu, kita tengok apa tindakan yang boleh diambil esok sebab tarikh akhir ialah hari ini.”

Sementara itu, Anwar dalam sidang akhbarnya memberitahu, beliau sudah bersedia menyerahkan salinan sahih mengandungi sebahagian klip video itu dalam bentuk thumb drive, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa kerana kemudian telah dihubungi oleh seorang pegawai BPR untuk memaklumkan pembatalan perjumpaan itu.

Ditanya sama ada klip video yang mahu diberikannya itu adalah klip keseluruhan iaitu selama 14 minit 16 saat, Anwar enggan mengulas perkara itu dan hanya menyatakan bahawa di dalam klip video itu dengan jelas ada menyebut kes Anwar dan Ketua Hakim Negara.

'Anwar kena hantar sendiri klip video'

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengarahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan video asal rakaman penuh perbualan telefon selama kira-kira 14 minit yang memaparkan perbualan telefon mengenai urusan pelantikan hakim dan bukan menunggu BPR datang mengambilnya.

Menurut kenyataan akhbar BPR semalam perintah menyerahkan rakaman itu sudah dikeluarkan terhadap Anwar pada 22 Oktober lalu mengikut Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegah Rasuah 1997 mengenai Perintah Mengemukakan Dokumen.

Dokumen itu perlu dikemukakan kepada ibu pejabat BPR di Putrajaya pada 25 Oktober bagi membantu siasatan terhadap kesalahan mengikut akta sama.

Namun, sehingga tarikh yang ditetapkan, Anwar gagal mengemukakan klip video asal yang dikatakan perbualan antara peguam kanan Datuk V K Lingam dan seorang hakim kanan pada 2002.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi pegawai BPR untuk meminta mengambil klip video berkenaan daripada beliau.

"Berdasarkan perintah yang dikeluarkan, adalah menjadi tanggungjawab Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk datang dan menyerahkan klip video berkenaan ke ibu pejabat BPR Putrajaya dan bukannya meminta pegawai BPR datang ke pejabat beliau untuk mendapatkan klip video itu," kata kenyataan itu.

Kegagalan mematuhi arahan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 29(c) akta berkenaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 59 akta sama dan jika bersabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada wakil BPR memaklumkan mereka membatalkan urusan mendapatkan salinan klip video berkenaan pagi semalam.

Dakwa perasuah: Gerak percaya ada pemimpin politik terlibat

Azamin Amin
Fri | Oct 26, 07 | 9:03:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) mengalu-alukan tindakan yang dilakukan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berdasarkan kepada Laporan Audit Negara 2006, kata Pengerusinya Mohamad Ezam Mohd Nor.

Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Menurut Ezam, tindakan BPR mendakwa beberapa individu yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah itu merupakan tindakan pertama yang dilakukan oleh badan pelaksana hukum khususnya BPR terhadap Laporan Ketua Audit Negara.

"Gerak melihat ini sebagai perkembangan positif dan satu tindakan yang amat signifikan dalam usaha memerangi rasuah," kata beliau dalam satu kenyataannya.

Dua hari lalu BPR mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negeri atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Manakala semalam, dua lagi pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan seorang awam didakwa di Seremban atas tuduhan yang sama.

Mereka termasuk berjawatan Pengarah dan Penolong Pengarah di KBS serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sebahagian besarnya didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Mengulas lanjut, kata Ezam, Gerak berharap usaha BPR ini diterima baik dan disokong oleh seluruh institusi masyarakat termasuk parti-parti politik sama ada pemerintah mahupun pembangkang.

"Gerak juga berharap BPR akan terus diberi ruang untuk menyiasat dan melakukan tangkapan termasuk terhadap pemimpin dan pentadbir berprofil tinggi.

"Pengamatan Gerak terhadap Laporan Ketua Audit Negara itu mendapati ada asas untuk beberapa pemimpin politik dipertanggungjawabkan atas kecurangan yang berlaku," katanya.

Menurut beliau, Gerak sedia memberi kerjasama kepada BPR untuk mempastikan setiap yang berlaku curang dipertanggungjawabkan.

"Sudah sampai masanya budaya pertanggungjawaban diterapkan di dalam masyarakat kita unruk mempastikan Malaysia benar-benar tampil sebagai negara yang adil dan telus, kriteria penting bagi sebuah negara untk bersaing di dalam pasaran global sekarang," katanya. - mks.

Audit Negara: AMK gesa BPR siasat Azalina, Sharizat dan Hishamuddin

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Oct 26, 07 | 8:36:05 am MYT

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengheret lebih 10 pegawai bersabit dengan penyelewengan yang didedahkan melalui Laporan Audit Ketua Audit Negara 2006.

Begitupun AMK melihat adalah menjadi satu keperluan bagi BPR untuk turut menyiasat dan mendakwa menteri-menteri yang terlibat sebagaimana yang disabitkan di dalam Laporan tersebut, kata Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa.

Kenyataan Ketua Pengarah BPR, Dato' Ahmad Said Hamdan, bahawa BPR tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyiasat dakwaan penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan, wajar didahului dengan menjalankan siasatan ke atas menteri-menteri yang terlibat, katanya.

Ini termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Azalina Othman Said; Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Shahrizat Jalil, katanya.

"Ini adalah penting, memandangkan setiap pelaksanaan pembelian dan perbelanjaan jabatan serta kementerian tidak boleh dilaksanakan tanpa pengesahan dan kelulusan daripada pihak menteri sendiri,"katanya.

Sebelum ini AMK telah pun mengemukakan laporan rasmi kepada BPR pada 13 September lepas, antara lain menggesa penyiasatan dijalankan ke atas Azalina dan Hishamuddin, katanya.

Gesaan itu dibuat berikutan 'tarik tali' antara kedua menteri tersebut berikutan isu penyelewengan pembelian peralatan IKBN sejumlah RM8.39 juta yang didedahkan di dalam Laporan tersebut, kata Fariz.

Wajar bagi BPR untuk mengheret menteri ke muka pengadilan sekiranya mereka didapti bersalah, demi membuktikan bahawa BPR tidak mengamalkan pendakwaan terpilih, katanya.

BPR tidak boleh dengan hanya mengheret pegawai jabatan tetapi 'tersipu malu' untuk mengheret menteri dan pegawai tertinggi kerajaan, kata Fariz.

Sudah sampai masanya BPR tidak membudayakan 'penangkapan ikan bilis' semata-mata dengan melepaskan 'jerung' yang akan terus membaham harta rakyat di masa akan datang dengan imuniti kuasa yang ada pada mereka, tegasnya. - mks.

Laporan audit: Empat lagi ditahan

Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSIN

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan empat lagi individu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan pembelian peralatan dan kelengkapan seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 baru-baru ini.

Penahanan empat individu itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan oleh BPR berhubung kesalahan tersebut ialah 17 orang.

Empat individu terbabit berjawatan penolong pengarah Cawangan Pentadbiran Latihan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bekas pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pegawai Teknikal Kejuruteraan awam KBS dan pengurus projek sebuah syarikat pembekal peralatan kepada IKBN.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, keempat-empat individu terbabit ditahan di sekitar ibu negara, Kedah dan Perlis.

“Penolong pengarah Cawangan Pentadbiran Latihan KBS berusia 40-an dan pengurus projek syarikat pembekal peralatan berusia 30-an itu ditahan di ibu negara tengah hari ini.

“Bekas pengarah IKBN berusia 56 tahun ditahan di Kedah dan pegawai teknikal kejuruteraan awam KBS berumur 40-an ditahan di Perlis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Said memberitahu, keempat-empat individu tersebut akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, esok.

“Tiga orang daripada mereka akan didakwa di bawah Seksyen 11 (C) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala pengurus projek syarikat pembekal peralatan itu akan didakwa mengikut Seksyen 20(1)(C) akta yang sama kerana bersubahat,” katanya.

BPR telah menegaskan, pihaknya tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyiasat dakwaan penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan.

Ahmad Said dalam kenyataan sebelum ini memberitahu, kementerian dan jabatan terlibat disiasat sebelum Laporan Ketua Audit Negara 2006 dikeluarkan kerana maklumat mengenainya diterima lebih awal oleh BPR.

Tegas beliau, tidak ada pilih kasih dan mereka yang bersalah akan dihadapkan ke mahkamah.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya baru-baru ini menegur beberapa kementerian kerana menerima tawaran harga kontraktor yang terlalu tinggi dalam pembelian peralatan.

Laporan tersebut antaranya menegur proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi IKBN di bawah KBS pada kadar melebihi harga pasaran sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ini termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta harga pasaran, selain membeli alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 sebuah berbanding cuma RM50 sebuah di pasaran.

Laporan audit: 4 lagi ditahan BPR

Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam menahan empat lagi individu, termasuk tiga pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersabit kes penyelewengan dana awam yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Dua individu terbabit, masing-masing seorang pegawai KBS dan pengurus sebuah syarikat, ditahan di sekitar Lembah Klang, manakala dua lagi pegawai kementerian itu ditahan di Kangar, Perlis.

Keempat-empatnya dipercayai terbabit dalam penyelewengan dan pecah amanah dana projek Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Perlis.

Timbalan Ketua Pengarah I (Operasi) BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan penahanan empat individu terbabit dan mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini.

Penahanan empat individu itu menjadikan 15 orang ditahan BPR setakat ini menyusul pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 masih diteruskan dan lebih ramai individu dijangka ditahan.

Selasa lalu, enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua pegawai KBS, seorang kontraktor dan seorang perunding didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu dan Raub.



Sehari selepas itu, dua lagi pegawai KBS didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban. Turut didakwa Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Sie Le, 38.

Selain itu, BPR juga mencadangkan tindakan tata tertib terhadap lima pegawai kanan KBS yang terbabit dalam mesyuarat berhubung pembelian peralatan dan kelengkapan IKBN pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Presiden PAS dapat keadilan di London

Mohamed Hanipa Maidin
Fri | Oct 26, 07 | 2:25:52 pm MYT

Pada 1 May 2007 yang lalu, akhbar the Daily Mirror telah menerbitkan gambar Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai sebahagian daripada siri artikel mereka berkaitan perancangan untuk melancarkan serangan pengganas di United Kingdom.

Perancangan itu termasuklah untuk mengebom Pusat membeli belah Bluewater di Kent. Gambar Ustaz Hadi muncul di akhbar tersebut dengan tajuk "AL-QAEDA - Abdul Hadi" dan dinyatakan bahawa beliau adalah pemimpin nombor 3 Al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamoa Bay.

PAS mengetahui berita tersebut melalui rakyat Malaysia yang berada di UK yang telah memaklumkan kepada Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS. Ustaz Nasaruddin kemudiannya telah menghantar artikel itu menerusi e-mel kepada saya.

Semasa mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, di atas kapasiti sebagai Pengerusi Lajnah Guaman dan Undang-Undang PAS Pusat, saya telah mencadangkan agar Ustaz Hadi memfailkan saman fitnah ke atas akhbar tersebut. Cadangan itu telah dipersetujui sebulat suara oleh PAS Pusat. Pada bulan Julai yang lalu saya dan Ustaz Hadi bergegas ke London untuk berjumpa peguam. Kami telah disarankan oleh beberapa orang kawan di sana untuk menggunakan khidmat firma Carter Ruck - firma yang paling 'top' di London malahan di Eropah di dalam menangani kes fitnah.

Firma tersebut juga mewakili beberapa tokoh pemimpin gerakan Islam di dunia seperti Sheikh Yusuff Al-Qaradhawi, Rachid Ghanoussi (pemimpin parti Islam Al-Nahdah, Tunisia ), Yusuf Islam, Khursid Ahmad dan beberapa tokoh Islam yang lain.

Sebaik sahaja kami melangkah ke firma tersebut, kami dibawa bertemu dengan peguam mereka iaitu Adam Tudor, peguam lepasan Universiti Oxford. Hasil pertemuan yang memakan masa hampir dua jam itu, firma tersebut bersetuju mewakili Ustaz Abdul Hadi kerana jelas berita yang disiarkan oleh Daily Mirror adalah satu fitnah yang amat jahat kepada Ustaz Abdul Hadi.

sokong Hamas

Semasa pertemuan dengan Adam Tudor, beliau begitu yakin bahawa Ustaz Abdul Hadi akan menang kes ini tetapi berasa sedikit bimbang kerana Daily Mirror akan menggunakan ucapan-ucapan Ustaz Hadi yang menyokong Hamas (khususnya berkaitan dengan pengebom berani mati) untuk menyerang Ustaz Abdul Hadi.

Semasa pertemuan tersebut, Ustaz Abdul Hadi disoal oleh peguam beliau sendiri dan soalan-soalannya menyerupai soalan-soalan di rancangan “hard talk” yang disiarkan oleh BBC. Soalan tentang Hamas, Yahudi, perlaksanaan syariah dibangkitkan di pertemuan tersebut dan ini menjadikan perbincangan itu sangat hangat tetapi hidup. Nyata Adam telah bersedia lebih awal.

Pada 27 Julai 2007 Firma Carter Ruck menulis kepada Daily Mirror dan meminta antara lain agar Daily Mirror meminta maaf kepada Ustaz Hadi dan menerbitkan kata-kata maaf tersebut di akhbar tersebut; memohon kemaafan di hadapan Hakim di Mahkamah Tinggi London; membayar ganti rugi kepada Ustaz Hadi dan membayar semua kos guaman Ustaz Hadi. Apa yang menakjubkan, pada hari yang sama akhbar Daily Mirror melalui peguamnya, Partington telah bersetuju dengan segala tuntutan Ustaz Hadi.

Pada mulanya pihak Daily Mirror meminta supaya kata-kata maaf tersebut yang akan disiarkan oleh akhbar itu mengandungi juga kata-kata Ustaz Abdul Hadi menyokong Hamas dan Jihad Islam dan apabila hal tersebut dimaklumkan kepada kami, saya bagi pihak Ustaz Hadi telah memaklumkan Adam bahawa rujukan kepada Hamas dan Jihad Islami adalah tidak relevan bagi kes ini.

Adam juga bersetuju dengan kami dan menyatakan jika rujukan itu dibuat, ia tidak akan memulihkan imej Ustaz Hadi di kaca mata orang Barat. Akhirnya Daily Mirror bersetuju rujukan kepada Hamas dan Jihad Islami hendaklah dibuang.

Tetapi perlu dinyatakan di sini tindakan pihak Daily Mirror bersedia meminta maaf dengan segera kepada Ustaz Hadi dan juga memenuhi tuntutan–tuntutan Ustaz Hadi yang lain menunjukkan tahap profesionalisme dan akauntabiliti yang tinggi akhbar tersebut khususnya di dalam mengakui kesilapan yang mereka telah lakukan.

Hal ini jarang atau hampir mustahil berlaku di Malaysia. Saya pada masa ini mewakili Ustaz Misbahul Munir yang difitnah oleh akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan berita bahawa beliau berucap di Muktamar PAS yang lalu dan menghentam ulama PAS. Ia jelas satu fitnah kerana Misbahul Munir langsung tidak berucap di Muktamar tersebut. Firma saya telah menulis kepada pihak Utusan untuk antara lain menuntut mereka memohon maaf tetapi sehingga kini tiada sebarang maaf daripada pihak Utusan. Lihatlah perbezaannya.

bela tokoh-tokoh Islam

Saya juga menyaksikan tahap profesionalisme yang tinggi juga dipamerkan oleh firma-firma guaman di London dalam menyelesaikan satu-satu kes. Meskipun firma Carter Ruck tidak langsung mempunyai seorang peguam beragama Islam, mereka dengan senang hati bersedia mewakili anakguam mereka yang beragama Islam seperti Ustaz Hadi meskipun mereka arif bahawa Ustaz Hadi adalah tokoh gerakan Islam dan juga Presiden Parti Islam di Malaysia!

Saya sempat bertanya kepada Adam adakah beliau tidak takut membela tokoh–tokoh Islam seperti Ustaz Hadi. Beliau mengakui tidak langsung berasa takut malahan gembira mewakili Ustaz Hadi. Adam juga menyatakan bahawa beliau semakin mengenali Islam dan pengikutnya selepas berpengalaman mewakili tokoh-tokoh gerakan Islam.

Di Malaysia para peguam agak takut untuk mewakili tokoh-tokoh pembangkang khususnya PAS kecuali peguam-peguam yang dikaitkan dengan pembangkang. Saya masih ingat pernah anakguam saya dari Pahang yang terpaksa mendapatkan khidmat firma saya di Kuala Lumpur bagi menyaman satu institusi yang ada hubungan dengan Kerajaan Pahang.

Anak guam saya itu memaklumkan kepada saya, meskipun beliau telah menghubungi beberapa peguam di Kuantan namun banyak yang tidak bersedia mewakili beliau kerana tidak berani “melawan” Kerajaan Pahang yang diterajui Umno.

Alhamdulillah pada 19 Oktober yang lalu saya sempat bersama-sama Ustaz Hadi dan juga Dr Dzulkifli Ahmad hadir di Mahkamah Tinggi di London bagi menghadiri prosidng yang dipanggil “statement in open court” di hadapan Yang Arif Hakim Eady, Hakim Mahkamah Tinggi di London.

Semasa di London kami sempat juga berjumpa Khursid Ahmad, tokoh Jamaat Islami Pakistan dan Rachid Ghanoussi (pemimpin parti Islam Al-Nahdah, Tunisia) yang amat bergembira dengan kejayaan Ustaz Hadi tersebut.

Rachid Ghanoussi yang hidup dalam buangan di London, secara bergurau menyatakan Ustaz Hadi marah dengan Daily Mirror kerana dikaitkan dengan pemimpin nombor 3 al-Qaeda dan bukannya pemimpin nombor 1 gerakan tersebut!

"Kena ajar sikit PM kita ni!"

Mat Zain Mat Isa
Fri | Oct 26, 07 | 11:56:12 am MYT

Marah betul Encik Razman Ismail (bukan nama sebenar) selepas meneliti satu berita di muka depan akhbar Utusan Malaysia, kelmarin (24 Oktober). Bukan sahaja marah, bahkan geram dan sangat berkecil hati. Malu pun ada juga.

Semuanya gara-gara kenyataan ringkas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi yang disiarkan akhbar tersebut hari itu. "Muktamad tiada bonus - PM", itulah tajuk beritanya.

"Ini...sombong sangat ayat Perdana Menteri nih. Langsung tak beri ruang nak pertimbang. Hala ke (untuk) bonus rakyat, payah sangat. Perhabis puluhan juta naik ke langit tu, ada duit pulak. Kena ajar sikit Perdana Menteri kita nih!" komen seorang pembaca, selamba.

Meski pun suara hamba Allah itu perlahan saja, kritikan sinis itu sangat tajam menikam buat Encik Razman. Dia yang juga sedang menatap berita yang sama segera berubah wajah.

Maaf saya, apa yang dicoretkan ini bukan sekadar figmentasi atau rekaan penulis. Ia benar-benar terjadi. Lokasinya di sekitar sebuah pondok menjual suratkhabar, tidak jauh dari kompleks pejabat-pejabat kerajaan di sebuah daerah di Terengganu, Rabu lalu.

Dalam kenyataan disiarkan akhbar hari itu, PM dipetik sebagai menolak sama sekali sebarang kemungkinan memberikan bonus dalam apa jua bentuk kepada kakitangan awam tahun ini.

"Saya sudah cakap dulu dan saya sudah keluarkan kenyataan berkaitan dengan bonus. Tak payah cakap lagi lah...cukup lah sekali," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan MSC Malaysia Cybercentre @ Meru Raya, Perak, di Ipoh, sehari sebelumnya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), telah menghantar memorandum kepada kerajaan agar dipertimbangkan bayaran honorarium purata RM2,000 setiap kakitangan menjelang perayaan Aidilfitri lalu menggantikan bonus.

Presiden CUEPACS, Omar Osman bagaimana pun sering mengingatkan kakitangan awam agar tidak menaruh harapan yang tinggi, malah perlu bersedia menghadapi kemungkinan tidak akan diberikan sebarang bonus tahun ini. Sehubungan itu, beliau turut menasihati kakitangan awam agar lebih berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian mereka.

"Kita memang dah agak dah, kerajaan mungkin tak bagi bonus. Itu satu hal lah. Tapi yang pergi 'marah' macam tu, kecil hati lah kita. Macam lah kita (kakitangan awam) ni tak reti bahasa sangat, merempat sangat," hambur hamba Allah tadi lagi. Kemerahan muka Encik Razman tadi nampak jelas merebak ke telinganya pula.

Penulis dapat merasionalkan kemerahan muka Encik Razman itu lebih kepada malu, bukannya marah. Beliau bukan kakitangan biasa, ketua unit dalam jabatannya. Beliau juga seorang pendokong kuat kerajaan Islam Hadhari, pemuja PM Pak Lah, pengampu Datuk Seri Idris Jusoh (MB Terengganu).

Atas kedua-dua kapasiti beliau itu (bos pejabat dan orang kuat parti pemerintah), Encik Razman ada sebab sangat munasabah untuk rasa malu dengan kenyataan 'sombong' PM tadi.

Sebabnya, soal ganjaran tahunan kepada kakitangan awam memang menjadi satu perhitungan di mana-mana pejabat kerajaan. Apatah lagi di saat menghadapi perayaan Aidilfitri lalu, kesemua mereka mengharapkan ada suatu 'durian runtuh' daripada kerajaan untuk mengimbangi keperluan perbelanjaan mereka.

Kini, meski pun hari raya telah berlalu, rakyat bakal menghadapi penggal persekolahan baru pula dalam masa tidak sampai tiga bulan lagi. Rakyat perlukan duit juga.

Tidak mustahil, dalam kekalutan kakitangan bawahannya bercakap soal bonus atau sagu hati tahunan, Encik Razman selaku ketua mereka dan di masa sama pengampu kerajaan, mungkin pernah bercakap penuh keyakinan bahawa kerajaan akan membela nasib kakitangan awam.

Sudah tentu, sebagaimana gelagat biasa pengampu BN, cakapnya menggambarkan para pemimpin kerajaan sentiasa prihatin tentang masalah rakyat, tentang keperluan kakitangannya. Bukankah pernah menjadi tema kerajaan BN, 'Tradisi Membela Rakyat'?

Jadi, apabila sudah dimuktamadkan oleh PM, bahawa tidak akan ada sebarang bonus untuk kakitangan awam tahun ini, di mana agaknya Encik Razman nak letak mukanya? Kemegahannya pada keupayaan kerajaan BN membela nasib kakitangan bawahannya hancur berkecai!

Apatah lagi, smash yang ditujukan oleh hamba Allah tadi memang tepat mengena ke muka Encik Razman. Apa yang dia sebut tadi, "hala ke (untuk) bonus rakyat, payah sangat. Perhabis puluhan juta naik ke langit tu, ada duit pulak," ungkapan itu kebetulannya masih menjadi bahan tutur rakyat. Hamba Allah itu merujuk pengakuan dibuat PM sendiri yang disiarkan kebanyakan akhbar sehari sebelumnya.

PM pada 22 Oktober lalu mengakui negara mempunyai banyak wang dan mampu melaksanakan berbagai program, termasuk yang menelan belanja besar. Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa misi sulung angkasa lepas Malaysia lebih menjurus kepada pembaziran. Atau, paling tidak belanja besar itu sepatutnya dihalakan kepada program-program pembangunan lain yang lebih bermanfaat untuk rakyat.

Nada itu bukan sahaja disuarakan pihak pembangkang, malah turut diutarakan para pemimpin BN. Antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dato' Sharir Abbul Samad sendiri. Dalam kenyataannya disiarkan Berita Harian 16 Oktober lalu, Sharir mahu kajian terperinci dibuat berhubung kesan dan manfaat diterima rakyat daripada Program Angkasawan Negara sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskannya pada masa depan.

Menurutnya, sebagai negara yang sedang membangun, Malaysia perlu meletakkan keutamaan kepada pembangunan negara termasuk menyediakan prasarana dan keperluan rakyat.

"Kita tahu penyertaan dalam misi angkasa lepas ini memerlukan banyak pelaburan tetapi kita masih ada wang lagi untuk keperluan pembangunan yang lain. Kita ada wang dan kita boleh. Kita benar-benar tahu wang kita masih ada lagi untuk membawa kesejahteraan pada rakyat dan pembangunan negara," kata PM di Ipoh.

Nampak sangat PM kita ni tak cermat bila bercakap. Wang masih ada, kesejahteraan rakyat jadi janji. Jadi, apa fasal tak boleh beri bonus?

Barangkali rasional itulah yang mengasak benak Encik Razman sejak Rabu lalu. Barangkali juga apa yang disebut hamba Allah tadi masih tergiang-ngiang di telinganya.

"Ini...sombong sangat ayat Perdana Menteri nih. Langsung tak beri ruang nak pertimbang. Hala ke (untuk) bonus rakyat, payah sangat. Perhabis puluhan juta naik ke langit tu, ada duit pulak. Kena ajar sikit Perdana Menteri kita nih!"

Cuma penulis tidak pasti adakah Encik Razman bersetuju untuk "ajar sikit PM" kesayangannya itu. Jika dia bersetuju pun, penulis belum pasti bagaimanakah Encik Razman akan terjemahkannya dalam pilihan raya umum nanti.

Bukan senang nak ubah sikap orang yang "berkarat biru" ni! - mks.

Road show bukti PAS sedia hadapi pilihan raya

Saidah Hairan
Fri | Oct 26, 07 | 10:51:37 am MYT

SHAH ALAM, 26 Okt (Hrkh) - Pelancaran bulan Penerangan PAS Negeri Selangor oleh Pesuruhjayanya, Dato' Dr Hasan Ali membuktikan PAS negeri bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-12.

Menurut Ketua Penerangannya, Sani Hamzan, bulan penerangan itu dirasmikan 24 Oktober lalu di Hulu Selangor.

Beliau memaklumkan siri jelajah ceramah seluruh negeri Selangor bermula sejak perasmian itu hingga 26 November ini.

Katanya, program itu meliputi road-show ceramah isu semasa, ceramah Muslimat di kawasan-kawasan di negeri Selangor serta kempen tandatangan ‘Selamatkan Malaysia’ yang akan digerakkan di semua kawasan di negeri Selangor.

Program tersebut anjuran Lajnah Penerangan Badan Perhubungan dengan kerjasama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS mesasarkan semua kawasan di Negeri Selangor untuk siri jelajah ceramah yang melibatkan kepimpinan PAS di peringkat pusat dan negeri.

Siri jelajah Ceramah umum seluruh negeri Selangor adalah seperti berikut:

24/10/2007 – Hulu Selangor : Dato Dr Hasan Ali, Ust Solehin Mukhyi, YB Salahuddin Ayub

30/10/2007 - Sungai Besar : Ir Khalid Samad, Ust Kamal Ashaari, Ust Abdul Ghani Shamsuddin

03/11/2007 - Tanjong Karang : Ust Dr Othman Sabran, Khairudin Othman, YB Amirudin Hamzah

04/11/2007 - Kuala Selangor : Iskandar Abdul Samad, Sani Hamzan, YB Zaki Ibrahim

05/11/2007 - Selayang : Ust Mohd Zin Abd Rahman, Ust Solehin Mukhyi, Mohamad Sabu

05/11/2007 – Puchong : Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan, Ust Kamal Ashaari, Hj Mahfuz Omar

05/11/2007 – Bangi : Ust Dr Othman Sabran, Sdr Jamzuri Ardani, Ust Mujahid Yusuf Rawa

06/11/2007 - Paya Jaras : Dr Hasan Mohd Ali, Sani Hamzan, Mohamad Sabu

06/11/2007 - Shah Alam : Ir Khalid Samad, Khairudin Othman, Mohamad Sabu

09/11/2007 - Kapar : Ustazah Zahrawani Ismail , Ust Hasbullah Ridzwan, Mazlan Aliman

12/11/2007 - Sabak Bernam : Saari Sungib, Jamzuri Ardani, Dr Hatta Ramli.

15/11/2007 - Kuala Langat : Dr Halimah Mohd Ali, Ust Solehin Mukhyi, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

17/11/2007 – Sepang : Ust Mohd Zin Abd Rahman, Ust Kamal Ashaari, Dr Hasan Mohd Ali.

18/11/2007 – Klang : Iskandar Abdul Samad, Ust Solehin Mukhyi, Dr Hasan Mohd Ali.

20/11/2007 – Gombak : Ust Dr Othman Sabran, Ust Najmi Abd Karim, YB Salahudin Ayub, Dr Hatta Ramli

21/11/2007 - Shah Alam : Ir Khalid Samad, Ust Najmi Abd Karim, Ust Idris Ahmad

23/11/2007 - Hulu Langat : Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan, Ust Solehin Mukhyi, Ezam Mohd Noor

26/11/2007 - Kota Raja : Dr Hasan Mohd Ali, Ust Solehin Mukhyi, Hj Mahfuz Omar

PAS Negeri Selangor menjemput rakyat sama sama hadir ke siri jelajah ceramah ini Bulan Penerangan PAS Negeri Selangor ini.

Segala pertanyaan berkenaan aktiviti dan maklumat Bulan Penerangan PAS Negeri Selangor boleh hubungi Sekretariat di talian 03- 55134180 (Shahrul). – lanh

Menantu PM Bakal MB Baru Negeri Sembilan?

Blog Anti Khairy
Fri | Oct 26, 07 | 9:35:26 am MYT

Anda terkejut mendengar berita ini? Tetapi tidak di dalam UMNO. Khabar angin ini telah tersebar dengan meluas. Semua orang UMNO tahu bahawa Mohamad Hassan adalah proxy menantu PM untuk menjaga kepentingan beliau di Negeri Sembilan.

Malahan semenjak menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 2004, Mohamad Hassan lebih banyak menyerahkan kuasanya kepada abangnya sepertimana Pak Lah menyerahkan kuasanya kepada menantunya.

Mohamad Hassan dikatakan sudah tidak tahan lagi dengan tekanan dalaman oleh ramai orang didalam UMNO dan tidak akan meneruskan menggepalai N.S selepas pilihanraya umum ke 12 ini.

Sebenarnya khabar angin tentang Mohamad Hassan sudah tertekan untuk meneruskan untuk menjadi Menteri Besar ini telah dirancang oleh Menantu PM, Konco-konconya dan Mohamad Hassan sendiri.

Apabila Mohamad Hassan bersetuju untuk mengambil alih tempat Tan Sri Isa Samad sebelum pilihanraya umum ke 11 yang lalu, beliau juga telah bersetuju untuk duduk disitu selama satu penggal sahaja.

Ertinya, selepas PRU ke 12, Menantu PM akan mengambil alih jawatan itu selepas bertanding dalam mana-mana DUN di Negeri Sembilan.

Mengapa menantu PM mahukan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan?

Dalam artkel "Menantu PM nak jadi PM pada umur 40 (Bahagian 4)" kami telah mendedahkan rancangannya untuk melatakkan Wan Farid sebagai Menteri Besar Terengganu.

Jadi untuk dirinya sendiri, Negeri Sembilan adalah tapak terbaik kerana asal-usul keluarganya disitu.

Beliau tahu bahawa kelemahan utama dirinya ialah kerana beliau seringkali dikaitkan sebagai Menantu PM dan oleh kerana itu apa sahaja yang dia buat tidak akan dilihat sebagai kebijaksanaannya tetapi oleh kerana beliau mempunyai kelebihan oleh kerana mempunyai Sijil Nikah dengan anak Pak Lah.

Jadi apabila beliau telah dinobatkan secara rasmi sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, maka mudahlah untuk menarik peruntukkan daripada Kerajaan Pusat untuk membangunkan Negeri Sembilan dengan pesat.

Selain daripada itu, undi daripada Perwakilan UMNO Negeri Sembilan sudah berada ditangannya. Maka makin kuatlah dia. Di Terangganu Wan Farid yang sudah terhutang budi dengannya sudah pasti akan memberikan undi daripada Perwakilan UMNO Terangganu.

Dua negeri sudah berada ditangannya. Negeri mana lagi? Dapatkah beliau menyingkirkan musuh ketatnya Khir Toyo di Selangor? Nanti tulisan akan datang. (www.antikhairy.blogspot.com) - mr

DAP cabar kredibiliti negara – Zainuddin

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Tindakan DAP membawa warga asing dan memberi kenyataan tidak berasas di Parlimen semalam seolah-olah mencabar kredibiliti amalan demokrasi di negara ini.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, situasi itu tidak pernah berlaku di negara lain terutama kes yang masih dalam siasatan polis.

“Saya tidak tahu pula ada hak untuk mereka membawa kes-kes tertentu ke Parlimen dan boleh memberi kenyataan pula kepada pihak lain.

“Pembangkang seolah-olah sengaja mahu memperbesarkan kes. Apakah perkara sama dapat dilakukan di negara lain,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Suara Felda dengan RTM, pelancaran drama Dinasti Bilut dan jamuan Hari Raya Kumpulan Felda di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ketua pembangkang, Lim Kit Siang yang membawa seorang lelaki warga asing, Manjit Sokhai ke Parlimen yang mendakwa telah dipukul tanpa sebab oleh Mat Rempit.

Kit Siang turut menyatakan kebimbangannya terhadap tahap keselamatan rakyat dan pelancong yang masih dikira rendah sekali gus menjejaskan nama negara sebagai sebuah pusat pelaburan, pelancongan dan pendidikan antarabangsa.

Menurut Zainuddin, DAP sebenarnya tidak boleh memberi sebarang kenyataan yang masih di dalam siasatan sehingga mengganggu kelancaran pihak berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu kes.

‘‘Tindakan mereka mempertikaikan kredibiliti pihak polis juga seharusnya dipersoalkan.

‘‘Ini bukan perkara baru. Kerajaan sentiasa memandang berat dan saya yakin inisiatif telah dibuat untuk menyelesaikannya,” ujarnya.

Oleh itu katanya, apa yang dibuat DAP semalam hanya satu isu politik yang bertujuan untuk mengaibkan nama negara semata-mata.

Sementara itu, MoU hari ini lebih bertumpu kepada kerjasama RTM dan Felda dalam usaha menyambung semula siaran stesen radio, Suara Felda dan pelancaran drama 40 episod bertajuk Dinasti Bilut yang akan bermula Isnin depan.

“Saya yakin stesen radio dan drama bersiri ini akan membuka lembaran baru tentang dunia sebenar keluarga Felda di seluruh negara.

“Kita jangka kerjasama ini dapat memberi kesedaran tentang cabaran yang telah ditempuh warga Felda sebelum mencapai kecemerlangannya seperti hari ini,” katanya.

Dinasti Bilut merupakan drama arahan Rosyam Nor dan dibintangi oleh Senator Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin, Datuk Jalaluddin Hassan, Sahronizam Noor, Bienda, Sabrina Hassan, Abu Bakar Omar, Ahmad Tamimi Saregar, Aida Radzwill dan M. Rajoli.

Utusan siar ucapan dasar

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 25 Okt. – UMNO akan bergantung kepada Utusan Malaysia dan stesen televisyen untuk menyiarkan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO pada 7 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad memberitahu, ini kerana semua akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil tidak diterbitkan pada 8 November kerana sambutan Deepavali.

“UMNO tidak boleh menukar tarikh perhimpunan agung kerana segala persiapan telah dibuat dan ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan parti yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang dijadualkan dari 5 hingga 9 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Radzi diminta mengulas mengenai ketiadaan penerbitan akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil pada 8 November ini untuk menyiarkan ucapan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu tahun ini berikutan perayaan Deepavali.

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan berlangsung dari 5 hingga 9 November dan dimulakan dengan majlis taklimat presiden dan perasmian serentak perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Majlis perasmian dan perhimpunan agung akan diadakan pada 7 hingga 9 November.

Radzi memberitahu, tiada apa-apa perubahan boleh dibuat sekarang kerana persiapan perhimpunan agung, tetamu jemputan dan tempahan hotel oleh bahagian-bahagian UMNO sudah dibuat.

Katanya, pada tahun ini, sebanyak 2,522 orang perwakilan dari 190 bahagian UMNO akan menghadiri perhimpunan itu dan Bahagian Jelutong masih tidak dibenarkan menghantar perwakilan kerana masih digantung.

Tambah beliau, Persidangan Pergerakan Wanita UMNO pula akan dihadiri 791 orang perwakilan, Pemuda (787 perwakilan) dan Puteri (773 perwakilan).

Radzi memberitahu, Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan siapa yang akan membentangkan usul-usul.

Ujar beliau, mereka yang terlibat dalam pembahasan itu pula tidak dihalang untuk membangkitkan apa sahaja isu.

Katanya, mereka boleh membangkitkan apa sahaja isu termasuk klip video mengenai perbualan peguam kanan dengan seorang yang dikatakan hakim dan pelbagai isu lain.

Bagaimanapun, katanya, tiada siaran langsung sepanjang sesi perbahasan pada perhimpunan kali ini.

“Jawatankuasa Pengurusan menetapkan tidak ada siaran langsung tahun ini memandangkan beberapa perkara yang timbul pada tahun lepas,’’ katanya.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 12 parti dari 12 buah negara yang melibatkan 34 delegasi telah mengesahkan kehadiran mereka pada perhimpunan agung tahun ini.

Tambah Radzi, sebanyak 57 perwakilan dari Kelab UMNO Luar Negara juga telah mengesahkan kehadiran mereka pada perhimpunan agung tahun ini.

Tiada siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Perhimpunan Agung UMNO pada 5 hingga 9 November ini tidak akan disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memutuskan perkara itu.

‘‘Mungkin disebabkan kekecohan yang berlaku pada tahun lepas yang mengundang kecaman daripada pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) menyebabkan keputusan ini dibuat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas yang disiarkan secara langsung sepenuhnya mengundang kecaman daripada beberapa pemimpin parti komponen BN kerana ucapan emosional beberapa perwakilan.

Sekurang-kurangnya tiga ucapan pada perhimpunan itu yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen satelit Astro boleh disifatkan sebagai keterlaluan.

Malah, Kabinet yang membincangkan isu itu berpendapat penyiaran siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Beberapa pembahas usul yang dikatakan menyampaikan ucapan yang keterlaluan dipanggil menghadap Jawatankuasa Pengurusan UMNO.

Radzi memberitahu, walaupun tidak ada siaran langsung tetapi akhbar-akhbar dan stesen-stesen televisyen tetap membuat laporan seperti biasa.

‘‘Pada tahun ini, sebanyak 31 agensi media termasuk tujuh dari luar negara yang membabitkan 920 petugas membuat liputan pada perhimpunan agung kali ini.

‘‘UMNO merasakan liputan yang dibuat oleh media-media itu sudah mencukupi untuk melaporkan perkara-perkara yang penting untuk dilaporkan,’’ katanya.

Tegasnya, tiada sekatan kepada media untuk melaporkan apa yang berlaku pada perhimpunan agung nanti.

Katanya, hanya Taklimat Presiden UMNO pada 5 November sahaja dibuat secara tertutup dan acara-acara lain terbuka untuk liputan oleh pihak media.

Kaum India tidak kecil hati

PUTRAJAYA: Kaum India di negara ini tidak berkecil hati dengan keputusan Umno meneruskan perhimpunan agung parti ketika sambutan Deepavali pada 8 November ini, kata Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata, beliau yakin masyarakat India faham Umno perlu mengadakan perhimpunan agung itu kerana tahun ini sudah hampir ke penghujung.

"Saya tidak fikir kaum India kecil hati kerana semua orang ada perayaan dan Umno perlu menganjurkan perhimpunan agungnya. Sekarang sudah menuju ke bulan terakhir tahun ini, mereka (Umno) perlu adakan mesyuarat.

"Saya tidak fikir kaum India berfikiran sempit hingga tidak memahami keadaan... kaum India adalah kaum yang berfikiran matang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rangkaian Usahawan Sikh Antarabangsa (NISE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Perhimpunan Agung Umno yang bermula dari 5 hingga 9 November ini akan diteruskan pada 8 November walaupun jatuh pada cuti Deepavali.

Menjawab soalan, Samy Vellu berkata, MIC sentiasa mahu Umno menjadi parti terkuat di Malaysia kerana ia menjaga kepentingan semua kaum sejajar semangat Barisan Nasional (BN).

"Mereka bukan saja menjaga kepentingan Bumiputera tetapi juga kaum lain. Sebagai presiden parti dalam BN, saya mahu kekuatan Umno memperkuatkan kita... apa-apa masalah dalam masyarakat lain kita akan suarakan masalah itu dalam jemaah Menteri," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau banyak membangkitkan isu kaum India kepada Kabinet sejak tiga minggu lalu.

"Semalam, saya sudah beritahu jemaah Menteri bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menetapkan beberapa peraturan di mana masyarakat India perlu diberi peluang pekerjaan dalam kerajaan.

"Saya tunjukkan cadangan itu dan saya nyatakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu lebih terbuka, apabila ada jawatan kosong, mereka perlu adakan pameran bergerak di seluruh negara," katanya.

Mengenai sambutan Deepavali, Samy Vellu berkata, beliau tidak akan menganjurkan rumah terbuka tahun ini kerana kematian adik empat bulan lalu.

Isu pilihan raya jadi tumpuan

Oleh Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2007 pada 5 hingga 9 November ini akan membincangkan usaha meneruskan agenda penting perjuangan parti tanpa menyentuh isu sensitif.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang menegaskan ahli Umno semakin matang selepas 61 tahun parti terbesar komponen Barisan Nasional (BN) itu ditubuhkan.

Katanya, perhimpunan kali ini dijangka lancar dan Presiden parti tidak akan mengeluarkan sebarang amaran atau arahan, sebaliknya nasihat dan amanat supaya ahli meneruskan agenda parti seperti yang ditetapkan.

"Umno menyambut ulang tahunnya ke 61, jadi perhimpunan kali ini akan berjalan seperti biasa dan saya percaya ahli Umno sudah matang dan tidak membicarakan isu sensitif.

"Perhimpunan kali ini akan berlangsung seperti biasa dan teratur mengikut peraturan dalam perlembagaan parti lebih-lebih lagi tahun ini bukannya tahun pemilihan parti," katanya pada sidang media Perhimpunan Agung Umno 2007 di sini semalam.

Radzi membayangkan perwakilan yang berbahas mungkin lebih berminat membincangkan isu berkaitan pilihan raya yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

"Perhimpunan kali ini tidak membabitkan pemilihan, mungkin perwakilan lebih suka membicarakan soal pilihan raya berikutan ada cakap-cakap mengenainya kebelakangan ini," katanya

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengulangi sesi perbahasan kali ini tidak disiarkan secara langsung seperti tahun lalu selepas Majlis Tertinggi (MT) mengambil kira sensitiviti masyarakat Malaysia.

Ditanya sama ada keputusan itu ada kaitan dengan rasa tidak puas hati kaum lain terhadap isu yang dibangkitkan pada perhimpunan tahun lalu yang disiarkan secara langsung menerusi stesen TV berbayar, Radzi menjawab; "Mungkin, tetapi seperti yang saya katakan tadi MT mengambil maklum sensitiviti masyarakat negara ini."

Hanya 190 daripada 191 bahagian menghadiri perhimpunan kerana Umno Jelutong digantung akibat masalah dalaman. Seramai 2,522 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung, 791 untuk perhimpunan agung Wanita, Pemuda (787) dan Puteri (773).

Seperti biasa, 33 parti luar negara dari 31 negara sudah diundang sebagai jemputan perhimpunan. Namun, sehingga semalam 12 parti dari 12 negara membabitkan 34 delegasi mengesahkan kehadiran.

Beliau berkata, sebanyak 57 daripada 68 perwakilan Kelab Umno Luar Negara sudah mengesahkan kehadiran, manakala perhimpunan kali ini dijangka mendapat liputan 51 agensi media tempatan dan asing dengan jumlah petugas 1,928 orang.

Seperti biasa, perhimpunan dimulakan dengan majlis tertutup Taklimat Presiden pada hari pertama persidangan dihadiri ahli Majlis Tertinggi (MT), exco Wanita, Pemuda dan Puteri serta perwakilan bahagian.

Perhimpunan akan dirasmikan Presiden Parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, manakala ucapan penggulungan bermula selepas solat Jumaat dimulai Naib Presiden, diikuti Timbalan Presiden dan diakhiri Presiden.

"Seperti biasa tiga usul utama akan dibahaskan iaitu ucapan dasar presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial," katanya.

Ditanya sama ada Umno mahu menukar jadual ucapan Presiden parti dan perasmian perhimpunan berikutan hampir semua akhbar tempatan tidak menerbitkan akhbar kerana vendor tidak mahu mengedarkan akhbar pada Deepavali, beliau berkata, MT sudah mengambil keputusan meneruskan perhimpunan pada hari yang ditetapkan tanpa perubahan.