Tuesday, November 06, 2007

Perhimpunan Agung Umno: Fitnah Batu Burok, Mustafa Ali dan Suwandi 'berlegar' di PWTC

Azamin Amin
Tue | Nov 06, 07 | 1:53:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) -Biarpun sesi usul dan perbahasan beberapa perwakilan hari ini, banyak mengungkap dan memetik berapa ayat-ayat al-Quran sebagai rujukan dan mahu menonjolkan 'KeIslaman Hadhari' mereka, namun budaya memfitnah masih segar dan berlegar secara berleluasa di ruang lobi PWTC di mana berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2007 hari ini.

'Fitnah' ini dikenal pasti bermula di 'Booth' atau 'Kiosk' Kerajaan Negeri Terengganu yang terletak berhampiran cafe PWTC yang mengedarkan risalah dan katalog berhubung isu Batu Burok yang telah diselewengkan faktanya dan mendakwa dengan pelbagai tohmahan terhadap pimpinan PAS dan mangsa tragedi 8 September lalu.

Buletin berbaur fitnah di bawah tajuk 'Rusuhan di Batu Burok Memang Dirancang!' mendakwa Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato' Mustafa Ali telah berbohong kepada pihak media kerana cuba menyembunyi kisah sebenar peristiwa berdarah itu malah dikatakan sengaja mengadakan sidang media di Kuala Lumpur kerana kebanyakan wartawan tidak melihat sendiri kejadian rusuhan di Batu Burok itu.

Lebih buruk lagi, risalah tersebut memfitnah mangsa tembakan polis Suwandi Abdul Ghani, 37, yang kononnya dituduh memukul polis sehingga pecah kepala dan cedera parah.

Selain itu terdapat dua poster yang memaparkan gambar-gambar pemuda yang membakar bendera Malaysia dan kerosakan harta benda awam yang cuba dinyatakan sebagai ahli ataupun penyokong PAS yang mencetuskan suasana tegang pada malam itu.

Fitnah-fitnah ini jauh tersasar dengan keputusan hasil siasatan awal Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini yang menyatakan bahawa kejadian pada malam itu tidak dirancang oleh sesiapa sama ada pihak penganjur, pembangkang mahupun pihak polis namun tetap mengutuk tindakan polis yang meggunakan peluru hidup sewaktu menyuraikan orang ramai pada perhimpunan pada malam itu.

Selain itu terdapat juga, buku 'propraganda BN' berbentuk majalah yang memaparkan kehebatan kerajaan negeri Terengganu di bawah Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh yng kononnya sudah berjaya menerapkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat menyaingi kehebatan kerajaan negeri Kelantan.

Antara 'kehebatannnya' ialah berjaya membina 20 masjid replika terdiri daripada bentuk Taj Mahal, Masjid Kristal dan lain-lain yang terletak di Pulau Wan Man yang mana hanya satu sahaja yang boleh digunapakai untuk menunaikan solat berjemaah.

Ini termasuk berjaya mengkhatamkan 937 kanak-kanak tadika,seolah-olah kerajaan pimpinan PAS gagal melaksanakannya dan berjaya mengapuskan ajaran sesat kumpulan Ayah Pin yang sehingga kini masih belum ditemui 'kelibatnya' oleh pihak berkuasa dan kerajaan Terengganu.

Suasana PWTC hari ini sedikit hambar pada sebelah paginya, kerana rata-rata yang hadir termasuk perwakilan lebih banyak tertumpu kepada ruang pameran dan perniagaan yang banyak menjual pelbagai jenis produk berbanding mendengar ucapan dan perbahasan perwakilan Wanita Umno yang disiarkan secara langsung di skrin layar besar manakala ucapan perbahasan Pemuda Umno hanya sekadar dipertontonkan melalui TV 16 inci di tingkat dua PWTC. - mks.


No comments: