Tuesday, November 06, 2007

Polis Pakistan pukul peguam sertai protes



KENA TAHAN: Polis bersenjatakan rotan menahan seorang peguam di luar bangunan Mahkamah Tinggi Sindh, semalam.

Aktivis, pembangkang bantah isytihar darurat jadi sasaran

ISLAMABAD: Polis Pakistan melepaskan gas pemedih mata dan kayu belantan ke atas kumpulan peguam yang mengadakan tunjuk perasaan pada hari kedua itu sebagai membantah tindakan Presiden Pervez Musharraf mengisytiharkan darurat serta penahanan beratus-ratus aktivis, pembangkang dan peguam sejak malam Sabtu lalu.

Edisi internet akhbar Daily Times melaporkan 14 hakim Mahkamah Agung yang enggan mengangkat sumpah di depan Musharraf Sabtu lalu, kini ditahan di kediaman mereka. Ini termasuk bekas Ketua Hakim, Iftikhar Chaudhry yang menjadi simbol tentangan Musharraf selepas membantah penggantungan tugasnya, Mac lalu sebelum dilantik semula.


Musharraf memberi alasan ancaman militan dan campur tangan badan kehakiman dalam urusan kerajaan sebagai punca beliau terpaksa mengisytiharkan darurat dan menggantung Perlembagaan.

Malah, semalam, Musharraf bertindak menolak khabar angin kononnya beliau sudah dikenakan tahanan rumah.

"Ini satu jenaka besar," katanya kepada agensi berita Reuters dari kediamannya di Islamabad, selepas menemui lebih 80 diplomat asing bagi menjelaskan keputusannya.

PENENTANGAN TERBUKA: Peguam wanita turut membantah pemerintahan darurat di Peshawar.

Musharraf juga dijadual bermain tenis, lewat petang semalam ketika keadaan di luar tembok Istana Presiden sebaliknya diselubungi kekacauan.

Ini termasuk kejadian anggota polis menggunakan kayu belantan, membelasah berpuluh-puluh peguam di luar Mahkamah Tinggi di Karachi.

Di LAHORE, anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata ke atas peguam di bandar Lahore selepas mereka menyerbu pejabat Ketua Hakim Punjab yang menyebelahi kerajaan.

Polis turut menahan 200 peguam di Lahore dan berpuluh-puluh lain di Karachi.

"Kami tidak gentar dengan penahanan ini. Kami akan meneruskan perjuangan ini biar dalam apa keadaan pun," kata peguam Karachi, Abdul Hafeez.

Laporan penahanan ramai peguam itu dibuat ketika parti pembangkang Islam, Jamaat-e-Islami pula mendakwa pihak berkuasa menahan sekurang-kurangnya 700 penyokongnya di wilayah selatan dan tengah Pakistan, kelmarin.

Polis sudah menahan 500 aktivis pembangkang dan penentang kerajaan yang disifatkan Islamabad sebagai langkah mengawal keadaan.

Sementara itu, dunia termasuk sekutu utamanya, Amerika Syarikat terus menyelar tindakan Musharraf dan menggesa Pakistan kembali kepada pemerintahan awamnya.

Pasaran saham Pakistan susut 4.7 peratus semalam yang mengulangi kerugian dialami sejak seminggu lalu.

Kalangan peguam, wartawan, pemimpin pembangkang dan rakyat biasa pula yakin motif utama Musharraf mengisytiharkan darurat adalah sebagai tindakan awal sebelum keputusan Mahkamah Agung membatalkan kemenangannya dalam pilihan raya Presiden, bulan lalu.

Mahkamah itu sepatutnya bersidang hari ini bagi menentukan kesahihan kemenangan Musharraf yang bertanding ketika masih bergelar Panglima Tentera.

Pakistan dibentuk pada 1947 selepas penjajahan Britain dan tempoh 60 tahun pemerintahannya dikuasai jeneral tentera. � Reuters

No comments: