Saturday, November 10, 2007

Wanita mahu lebih kerusi

KUALA LUMPUR: Wanita Umno semalam secara terbuka menuntut pucuk pimpinan parti memberikan lebih banyak kerusi kepada wakil pergerakan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata wanita berhak mendapat lebih kerusi kerana jumlah keahlian pergerakan itu adalah yang tertinggi berbanding cabang pergerakan lain dalam parti.

Beliau turut membentangkan statistik terbaru keahlian parti untuk dijadikan asas oleh Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertimbangkan tuntutan pergerakan berkenaan.

Ahli Umno keseluruhannya kini berjumlah 3,349,280 yang terbesar berbanding parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN). Daripada jumlah itu, ahli biasa lelaki 1,027,463 atau 30.6 peratus, manakala wanita 1,199,521 (35.8 peratus), Pemuda 704,758 (21 peratus) dan Puteri 417,538 (12.4 peratus)

“Oleh kerana ahli pergerakan itu yang paling ramai, maka mereka dapat memberi sumbangan besar termasuk menentukan kemenangan semua calon BN pada pilihan raya umum yang semakin hampir," katanya dalam ucapan penggulungan.

Permintaan Rafidah mendapat sorakan bantahan daripada perwakilan lelaki di Dewan Merdeka, menyebabkan Pemangku Pengerusi Tetap, Datuk Badruddin Amiruldin terpaksa meminta mereka bertenang.

Rafidah yang meneruskan penggulungannya, berkata permintaan wanita itu juga selaras pesanan Presiden yang selalu menekankan aspek keadilan.

Beliau berharap wanita mendapat keadilan daripada Presiden dan dipertimbangkan menjadi calon.

"Tuan-tuan jangan buat begitu (menyorak tanda bantahan) kerana ada bakal calon wanita yang mendengar. Inilah (meletakkan calon wanita) yang akan menjamin kemenangan kita pada semua peringkat, jangan kecilkan hati wanita.

"Azam wanita mahu memastikan kemenangan semua calon dan pada masa sama, tolong perhatikan wanita supaya dapat keadilan," katanya.

Beliau turut menyentuh perlembagaan parti di bawah tajuk tanggungjawab ahli parti fasal 6.1.5, ahli hendaklah menyokong calon parti yang bertanding dalam pilihan raya.

"Tidak kira siapa calon, saya sudah berpesan kepada wanita, tidak kira calon itu tempatan tulen atau payung terjun... kalau Timbalan Presiden dan Presiden sudah bersetuju, saya rasa kita terima dengan hati terbuka dan Wanita Umno sokong saja.

"Jika kita nak mengikut pilihan kita, nanti susah pula Presiden," katanya yang turut menyatakan azam memastikan kemenangan calon Umno dan BN pada pilihan raya.

Beliau turut meminta kerjasama ketua dan pemimpin peringkat bahagian untuk membantu wanita mengemaskini kerja Ketua 10.

Rafidah juga menyentuh mengenai kek ekonomi yang dibangkitkan beberapa pembahas dalam perbahasan.

Katanya, jika kek ekonomi mahu diperbesarkan, kerajaan mesti mengizinkannya dan disokong dengan kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

"Untuk besarkan kek ekonomi mesti ada tukang masak atau chef (tukang masak) yang boleh masak kek ini. Kita bersyukur kerana ada Chef iaitu Presiden parti yang mampu memperbesarkan kek ekonomi. Ahli Umno kena bantu, sokong dan kerjasama dengan Chef.

"Kalau parti kita dapat jadi parti kerajaan seperti sekarang, bolehlah kita cakap untuk besarkan kek ekonomi dan agihkan sewajarnya untuk Melayu dan Bumiputera. Kita kena menang pilihan raya," katanya.

No comments: