Saturday, November 10, 2007

Perbahasan bernas, kupas masalah rakyat

KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno menyifatkan perhimpunan agung kali ini amat berjaya, terutama usul yang diketengahkan pembahas cukup menarik serta menyentuh pelbagai aspek membabitkan agenda Melayu serta prinsip perjuangan parti.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Shafie Kassim, berkata pembahas mengemukakan pandangan bernas dengan kupasan isu rakyat, terutama pendidikan dan ekonomi Bumiputera.

"Saya rasa ini perhimpunan paling berjaya kerana pembahas mengupas isu rakyat dengan baik. Kita berharap apa yang disuarakan mendapat perhatian kerajaan untuk langkah seterusnya.

"Saya juga bersetuju dengan saranan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya pembangkang menggunakan pilihan raya untuk menuntut keadilan, bukannya melalui demonstrasi jalanan," katanya.

Ketua Penerangan Puteri Umno Indera Mahkota, Hazeline Surianis, berkata penyampaian pembahas pada perhimpunan kali ini menunjukkan kematangan, terutama dalam membahaskan usul membabitkan peningkatan ekonomi Bumiputera.

"Seluruh perwakilan nampak bersedia dan sungguh bersemangat. Isu dibangkitkan juga melambangkan mereka mahukan pembangunan untuk kemudahan rakyat," katanya.

Ahli Puteri Umno Bahagian Pulai, Anisah Jamal, berkata rakyat seharusnya memahami apa yang cuba disampaikan kerajaan terutama membabitkan pemberian subsidi yang membebankan negara.

“Kita perlu terbuka berhubung soal ini kerana kerajaan tidak mungkin mampu menanggung subsidi yang cukup besar. Kita tidak boleh terlalu pentingkan diri sendiri, sebaliknya memahami kesukaran yang dihadapi kerajaan," katanya.

Timbalan Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Johor, Hamim Samuri berkata, ahli akar umbi lega dengan ucapan dasar Presiden parti yang menjelaskan pelbagai masalah yang menyelubungi parti dan kerajaan.

"Misalnya, Pak Lah menghuraikan kebaikan pelaksanaan pembangunan wilayah koridor untuk memastikan nikmat pembangunan rakyat seimbang antara bandar dan luar bandar.

"Saya setuju dengan hasrat Pak Lah bahawa golongan mewah yang mendapat banyak manfaat daripada kerajaan supaya mengagihkan semula kekayaan itu kepada rakyat yang memerlukan," katanya.

No comments: