Saturday, November 10, 2007

Kuala Lumpur 'sesak', penuh sekatan polis, halang himpunan rakyat!

Azamin Amin
Sat | Nov 10, 07 | 9:49:24 am MYT

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - "Pantang saya dicabar!" demikianlah amanat penggulungan dan amaran tegas Presiden Umno Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat gentar dengan perhimpunan rakyat yang akhirnya menyebabkan suasana ibu kota hari ini menjadi 'sesak' kerana sekatan dan halangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah dilakukan lebih awal lagi.

Amanat itu secara tidak langsung adalah 'isyarat tegas' supaya pihak polis menghalang dengan apa cara sekalipun daripada membenarkan rakyat berhimpun secara aman dan menuntut sebuah negara demokrasi yang bersih seperti yang bakal dianjurkan oleh Bersih pada jam 3 petang ini di Dataran Merdeka.

Malah sejak semalam berita Himpunan Rakyat telah disensasikan oleh pihak media malah berulang kali menyiarkan kenyataan Abdullah termasuk amaran Ketua Polis KuaLa Lumpur yang memberi amaran supaya orang ramai tidak menyertai dan memakai baju kuning.

Seawal jam 7.00 pagi, tinjauan Harakah mendapati beberapa anggota polis telah pun berada di beberapa persimpangan jalan raya menuju Dataran Merdeka antaranya di sekitar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan laluan menuju ke Kampung Baru.

Malah 'Sign Board' I.T.I.S di sekitar ibu kota memaklumkan bahawa laluan Dataran Merdeka telah ditutup manakala berhadapan pintu masuk Hospital Kuala Lumpur telah diadakan sekatan jalan raya atau 'Roadblock bagi menghalang para peserta menuju ke arah sana dengan menaiki kenderaan.

Harakah sempat melihat sebuah kereta juga turut ditahan dan dalam masa sama yang seorang pemandu melayu diarahkan keluar diminta untuk mengemukakan kad pengenalan diri.

Keadaan dan situasi ini menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku dan menghalang perjalanan orang awam dan warga ibukota untuk bersiar-siar dan menuju ke destinasi tertentu di Kuala Lumpur pada hari ini.

Difahamkan semenjak semalam sekitar jam 6 petang manakala di lokasi tertentu seperti di kawasan Sentul, Sungai Besi dan lebuh raya Karak turut diadakan sekatan jalan raya.

Tinjauan Harakah mendapati kawasan Dataran Merdeka telah ditutup dengan kon-kon empat segi dengan ditambah pula sejumlah lebih 500 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) , polis trafik, polis dan yang berpakaian preman dengan dibantu trak-trak termasuk trak 'water cannon' dianggarkan lebih 10 buah telah berada di sekitar kawasan tersebut, daripada arah Pasar Seni, Jalan Raja Laut dan Masjid Jamek.

Turut kelihatan sebuah helikopter milik PDRM yang turut berlegar-legar melakukan penerbangan di sekitar Dataran Merdeka.

Manakala di kawasan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) turut kelihatan beberapa anggota polis trafik sedang berada di kawasan tersebut manakala dua buah trak polis sedang menunggu di pintu masuk kawasan Masjid Negara.

Wartawan, Helmi Khalid berada di sekitar Masjid Negara melaporkan bahawa 4 sekatan polis dilakukan di persimpangan bulatan berhampiran stesen KTMB.

Difahamkan pihak polis akan menghalang para peserta yang datang daripada luar negeri yang menaiki keretapi daripada menyertai himpunan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama wartawan, Hirman Firdaus yang berada di lokasi Komuter telah memaklumkan bahawa terdapat juga sekatan polis dilakukan di stesen Komuter yang menuju ke arah Kuala Lumpur.

Difahamkan kereta-kereta yang menghantar penumpang ke stesen Komuter turun ditahan dan disekat oleh pihak polis.

Manakala wartawan, Wan Nordin yang menaiki bas dari arah Seremban memaklumkan bahawa terdapat sekatan polis turut diadakan di Sungai Besi manakala jalan menuju ke Istana Negara telah ditutup.

Dilaporkan juga terdapat 5 buah trak polis turut menanti di stesen hentian Puduraya.

Tinjauan juga mendapati, sejumlah 4 buah trak FRU dan 3 buah trak Polis sudah pun berada di lokasi Masjid Kampung Baru bagi menghalang orang ramai yang dipercayai akan berkumpul di lokasi tersebut bagi menyertai himpunan rakyat tersebut.

Sehingga berita ini ditulis, belum kelihatan daripada kalangan orang awam mahupun para peserta yang menyarung baju kuning Bersih bagi tujuan menyertai himpunan itu.

Semalam dilaporkan, penganjur perhimpunan, Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengumumkan empat lokasi untuk orang ramai berkumpul sebagai langkah alternatif jika Dataran Merdeka disekat oleh pihak polis yang menghalang himpunan tersebut.

"Tempat-tempat tersebut adalah di Sogo, Masjid India, Masjid Negara dan Pasar Seni. Orang ramai dinasihatkan berkumpul di keempat-empat lokasi tersebut sehingga isyarat bergabung diterima daripada pemimpin perhimpunan," kata Ahli Jawatankuasa Bersih, Tian Chua dalam satu kenyataan semalam.

Walau bagaimanapun katanya, sekiranya Dataran Merdeka tidak ditutup, orang ramai diminta berkumpul di situ seperti rancangan asal.

Selain itu, kata Tian, orang ramai juga dinasihati masuk ke Kuala Lumpur lebih awal kerana pihak penganjur menjangkakan polis akan mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di kebanyakan laluan memasuki ibu kota. - mks.

(Berita selanjutnya akan menyusul)

No comments: