KUALA LUMPUR: Pemangku Pengerusi Tetap Perhimpunan Agung Umno, Datuk Badruddin Amiruldin mencadangkan sesi perbahasan ditambah kepada empat hari berbanding tiga hari yang dipraktikkan kini.
Beliau berkata, jika ditambah kepada empat hari, lebih ramai yang akan dapat mengambil bahagian kerana ketika ini pembahas untuk usul ekonomi, sosial dan agama terpaksa dibahagikan supaya perjalanan perhimpunan mengikut masa ditetapkan.
“Negeri memang menghantar tiga nama untuk membahaskan tiga usul ini, namun kita terpaksa pecah-pecahkan giliran untuk berucap.
“Misalnya, jika wakil Kedah sudah membahaskan isu sosial dan agama, mereka tidak lagi membahaskan usul ekonomi. Bagi perbahasan ucapan dasar Presiden, semua wakil negeri dan sayap parti berpeluang berucap,” katanya.
Badruddin yang pertama kali mempengerusikan Perhimpunan Agung Umno kerana Pengerusi Tetap, Tan Sri Onn Ismail bercuti sakit, berkata tambahan hari membolehkan lebih banyak isu dibangkitkan.
Katanya, beliau akan membawa cadangan berkenaan kepada Majlis Tertinggi (MT) supaya dilaksanakan pada persidangan tahun depan.
Ditanya mengenai perjalanan perhimpunan kali ini yang lebih teratur dan pembahas mengikut masa ditetapkan, beliau bersyukur kerana persidangan lancar dan beliau cuba mengagihkan masa sebaik mungkin.
Malah, kali ini beliau memperkenalkan sistem pemarkahan untuk pembahas yang dinilai menerusi empat aspek iaitu fakta hujah, persembahan, ketepatan masa dan reaksi perwakilan yang setiap satu bernilai 25 peratus.
Beliau berkata, penelitian awal mendapati 55 peratus pembahas cemerlang dan selebihnya sederhana mungkin kerana pertama kali menjadi pembahas.
“Berdasarkan markah ini, saya akan cadangkan supaya pembahas baru terutama yang mewakili sayap parti dikekalkan untuk tahun depan bagi menimba ilmu selain memperbaiki mutu perbahasan mereka.
“Nama pembahas cemerlang akan saya serahkan kepada parti untuk membolehkan mereka menjadi jurucakap penerangan Umno. Saya dapati dari setahun ke setahun jurucakap kita matang dan yang pentingnya mereka menyuarakan kehendak dan rintihan rakyat akar umbi," katanya
Mengenai tanggapan sesi perbahasan kali ini kurang panas, beliau berkata, untuk menyampaikan sesuatu maksud tidak perlu bernada keras kerana nada perlahan, sinis dan gurau senda lebih baik dan tidak menyakiti pendengar.
“Jika kita mahu menegur kepemimpinan parti, kita perlu tegur secara sindiran, lawak dan cerita lucu dan sebagai pemimpin, mereka faham. Hasrat saya, persidangan ini tidak menjadi tempat perwakilan menghentam pemimpin.
“Kita mahu persidangan menjadi tempat mencambahkan pemikiran dan ucapan presiden dikupas supaya rakyat faham matlamat Umno,” katanya.
Ditanya sama ada beliau ketagih untuk berucap kerana beberapa tahun lalu sentiasa menjadi pembahas yang dinantikan perwakilan, beliau berkata, kadangkala ada kerinduan untuk menjadi pembahas kerana seronok, tetapi tidak boleh berbuat demikian apabila menjadi pengerusi persidangan.
Beliau yang mempunyai pengalaman 19 kali sebagai pembahas, berkata: "Kadangkala saya usik pembahas. Saya usik juga sebab cara itu adalah untuk membimbing dan mengasuh mereka menjadi pembahas yang baik.
“Kadangkala walaupun sudah berpengalaman, ada pembahas yang terbabas, saya cuba bawa balik mereka supaya tidak disorak perwakilan. Saya kena adil kerana saya sudah biasa dan memahaminya. Saya bagi masa supaya mereka tidak kecewa dan terasa hati, saya cuba agih seadilnya. Alhamduliliah semua pembahas puas hati dengan cara saya,” katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment