Sat | Nov 10, 07 | 3:02:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Terkini, Wartawan Harakah, Saidatul Amani melaporkan bahawa Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadakan perbincangan dengan pihak polis bagi mendapatkan kebenaran memasuki Istana Negara.
Setakat ini mereka meminta tujuh wakil terdiri dari pimpinan pembangkang dan NGO untuk masuk ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada pihak Istana Negara.
Antaranya, Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Khalid, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, wakil NGO dan bersih, Anuar Tahir, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.
Terdahulu, Wartawan Harakah, Helmi Khalid melaporkan Presiden PAS yang menggerakkan peserta himpunan sampai ke Istana Negara meskipun terpaksa merempuh sekatan polis.
Setakat ini di beberapa lokasi tempat berkumpul dijangka lebih 50,000 orang ramai mula mendekati himpunan besar di Istana Negara tetapi di Masjid Jamek dan Dataran Merdeka 30,000 masih terhalang sementara 3000 mahasiswa yang memulakan perarakan di Sogo menuju ke Bangunan Mara untuk ke Istana Negara yang dipimpin Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Mohd Ramli masih meneruskan perjalanan.
FRU tembak pemedih mata, ramai yang kena
Pihak polis semakin bertindak keras ke atas peserta perhimpunan dengan menyembur gas pemedih mata, menyembur air dari 'water canon' selain menggunakan FRU untuk menggertak dan menghalau orang ramai.
Orang awam yang turut melintasi perkarangan LRT Masjid Jamek turut terkena semburan gas selain air dari 'water canon'.
Wartawan Harakah, Bashir Ishak yang berada di Masjid Jamek melaporkan beliau turut terkena tembakan gas pemedih mata yang dibedil FRU sebentar tadi.
Empat das peluru berisi gas pemedih dilepaskan FRU ke arah orang ramai menyebabkan mereka lari bertempiaran ke arah Medan Pasar dan sekitar Jalan Masjid India serta bersebelahan HSBC Bank.
Keadaan tidak terkawal
Keadaan semakin tidak terkawal hingga orang ramai mula merempuh sekatan polis untuk menuju ke Masjid Negara bagi meneruskan perarakan ke Istana Negara.
Perhimpunan yang sepatutnya bermula jam 3.00 petang terlebih awal dimulakan 'kekecohannya' oleh pihak FRU dan polis.
Di Masjid jamek dan Pertama Komplek, FRU melepaskan lagi gas pemedih mata hingga penumpang LRT yang menunggu di platform terkena gas pemedih mata.
Wartawan, KP Harakah terkena gas pemedih mata
Wartawan Harakah, Azamin Amin dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman terkena gas pemedih mata yang disembur.
Mereka tidak dapat turun ke Masjid Jamek kerana LRT diarahkan untuk tidak berhenti di stesen tersebut.
Sementara itu di Istana Negara, gerombolan lebih 50,000 yang dipimpin oleh Presiden PAS kini menunggu perbincangan antara Khalid dengan polis untuk meneruskan agenda perhimpunan dan menyerahkan memorandum.
Di beberapa lokasi di Masjid Jamek, orang ramai terpaksa menukar baju dari baju kuning kepada baju bewarna lain bagi mengelak dari ditahan polis.
Gerombolan perarakan yang dipimpin Dr Hatta di Sogo menuju ke Bangunan Mara dan Pertama disembr gas menyebabkan perarakan jadi kelam kabut.
Mereka terpaksa menukar haluan bagi menggerakkan himpunan ke Istana Negara menyertai himpunan besar yang dipimpin Presiden PAS.
No comments:
Post a Comment