MIRI 9 Nov. – Keikhlasan, komitmen, perpaduan dan taat setia merupakan empat prinsip yang harus dijadikan pegangan oleh pemimpin Pergerakan Pemuda dan Wanita, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).
Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda PBB, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perjuangan pemimpin harus ikhlas dengan mengorbankan masa dan harta untuk kepentingan perjuangan parti dan rakyat.
Perjuangan itu pula, katanya, memerlukan pemimpin dan ahli parti yang komited terhadap tanggungjawab hingga mengatasi kepentingan diri sendiri kerana dengan cara itu sahaja, perpaduan rakyat dapat dikekalkan.
Selain itu katanya, kunci kejayaan pemerintahan PBB juga perlu berpaksikan kepada sifat taat setia dan berpegang teguh kepada etika dan budaya parti.
‘‘Kejayaan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam membawa pembangunan dan kemakmuran sangat bergantung kepada perkara tersebut.
‘‘Dengan prinsip itulah Sarawak telah berjaya mengharungi gelombang pertama pembangunan dengan baik dan sekarang masanya untuk memperjuangkan gelombang kedua pembangunan,’’ katanya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB kali ke-11 di sini hari ini.
Abdul Karim berkata, walaupun kejayaan memerlukan pengorbanan tetapi untuk mengekalkan kejayaan adalah suatu usaha yang lebih sukar.
‘‘Kejayaan dulu telah mewujudkan kayu pengukur kepada kita. Persoalannya mampukah kita meneruskannya dengan cabaran yang berbeza pada masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata, untuk menikmati kejayaan berterusan, Pemuda dan Wanita PBB harus bersama-sama berpegang kepada dasar dan prinsip yang ditetapkan oleh pemimpin parti.
No comments:
Post a Comment