Sat | Nov 10, 07 | 11:31:28 am MYT
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Keresahan dan kegelisahan pihak berkuasa polis dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang akan bermula pada jam 3.00 petang ini semakin terserlah.
Mana tidaknya beberapa individu yang ditemui sejak pagi tadi memberitahu bahawa polis mula menyekat mana-mana individu yang berpakaian kuning termasuk bukan di kalangan mereka yang mahu menyertai himpunan aman.
Seorang pekerja sebuah restoran dekat sini memberitahu bahawa ada rakannya disekat polis kerana memakai baju kuning seragam restoran tempat beliau bekerja.
Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, polis mula memberi tekanan kepada sesiapa sahaja yang memakai baju kuning.
Sementara itu tinjauan Harakahdaily mendapati polis juga menyekat mana-mana penunggang motorsikal yang memakai baju kuning atau menyamai warna kuning.
Seorang sahabat menyatakan bahawa tindakan itu menampakkan polis sebenarnya 'fobia' dengan warna kuning, iaitu warna tema bagi himpunan aman anjuran Bersih hari ini.
Wartawan Harakah, Bashir Ishak yang berada di Masjid Jamek melaporkan orang semakin ramai mengerumuni sekitar Jalan Masjid India, sekitar Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka dan sepanjang jalan menuju ke Masjid Negara.
Setakat ini tiada unsur-unsur provokasi dilakukan oleh mana-mana pihak tetapi difahamkan di Masjid Negara FRU mula mengarahkan orang ramai yang bertandang ke masjid tersebut untuk keluar dari pekarangan masjid.
Sebelum ini, di beberapa buah negeri, Sekretariat Bersih telah melancarkan kempen 'gelombang kuning' semata-mata untuk meniup semangat rakyat menjayakan himpunan hari ini dalam menyatakan suara membantah penyelewengan pilihan raya yang berlaku selama ini.
Di pihak polis dan jentera Umno-BN pula, mereka cukup sibuk menggunakan media arus perdana untuk menakut-nakutkan rakyat dengan pelbagai kenyataan amaran, ugutan dan kecaman terhadap himpunan yang dianjurkan Bersih ini didendangkan setiap hari di media-media arus perdana.
Sementara itu di beberapa batang jalan sekatan mula diperhebatkan hingga jalan raya sesak dan menyebabkan ramai pemandu merungut dengan kehadiran polis yang cukup ramai. Begitupun kehadiran anggota Unit Amal sedikit memberi kelainan kepada suasana 'kepolisan' yang mewarnai Bandaraya Kuala Lumpur.
Mungkin inilah yang dikatakan pukulan suara rakyat melalui 'gelombang kuning'. - mks.
No comments:
Post a Comment