Saturday, November 10, 2007

Lanskap Kuala Lumpur bertukar jadi 'Bandaraya Polis'

Wan Nordin dan Azamin Amin
Sat | Nov 10, 07 | 1:27:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Terkini sekitar kira-kira jam 1.00 petang, di laporkan suasana Kuala Lumpur dalam situasi yang agak 'kelam-kabut' ekoran tindakan polis menghalang pergerakan orang ramai khususnya warga kota termasuk menggeledah beg-beg peribadi mereka kerana fobia kepada t-shirt warna kuning dan mahu menghalang orang ramai berhimpun pada jam 3.00 petang ini.

Ini menyebabkan lanskap Bandaraya Kuala Lumpur bertukar menjadi 'Bandaraya Polis' semata-mata untuk menakutkan orang ramai dari menyertai himpunan.

Polis bertindak menggeledah beg-beg peribadi orang ramai yang berada di sekitar hentian bas berhampiran dengan Dataran Merdeka dan Masjid Negara manakala orang ramai dibiarkan basah kuyup oleh pihak polis kerana tidak membenarkan mereka memasuki ke kawasan masjid.

Malah dinyatakan bahawa :'Tak boleh masuk sebab belum masuk waktu zohor,'.

Sementara itu lebih ramai anggota polis mula bergerak ke arah Dataran Merdeka dan sekitar Jalan Masjid India termasuk polis berpakaian preman dan cawangan khas (SB).

Harakahdaily dimaklumkan ada pihak yang akan membuat kacau bagi memporak-perandakan himpunan pada petang ini, malahan disyaki kumpulan tertentu telah diarahkan untuk melakukan provokasi himpunan petang ini.

Pihak polis pula dilihat semakin beria-ia dalam mengarahkan orang ramai menjauhkan diri dari lokasi himpunan dengan pemantauan dari udara dilakukan setiap masa oleh pesawat milik PDRM.

Begitupun peserta himpunan semakin membanjiri sekitar Jalan Masjid India, Jalan Raya Laut, Komplek Pertama, Pasaraya Sogo dan sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman.

Dari raut wajah mereka sedikitpun tidak menampakkan ketakutan, malah cukup bersemangat untuk meneruskan himpunan aman petang ini, meskipun keadaan Kuala Lumpur semakin menjadi sebuah 'Bandaraya Polis'.

Sementara peserta himpunan dari Negeri Sembilan pula melaporkan bahawa perjalanan mereka disekat polis dan hingga kini belum lagi dilepaskan dari sekatan di Sungai Besi.

Apa tidaknya, polis bertindak demikian dipercayai kerana menurut arahan dari amanat penggulungan dan amaran tegas Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN).

'Pantang saya dicabar!' yang dilaungkan Abdullah di Perhimpunan Agung Umno semalam akhirnya menyebabkan suasana ibu kota hari ini menjadi 'sesak' kerana sekatan dan halangan polis yang telah dilakukan lebih awal lagi.

Amanat itu secara tidak langsung adalah 'isyarat tegas' supaya pihak polis menghalang dengan apa cara sekalipun daripada membenarkan rakyat berhimpun secara aman dan menuntut sebuah negara demokrasi yang bersih seperti yang bakal dianjurkan oleh Bersih pada jam 3 petang ini di Dataran Merdeka.

Sejak semalam berita Himpunan Rakyat telah disensasikan oleh pihak media malah berulang kali menyiarkan kenyataan Abdullah termasuk amaran Ketua Polis KuaLa Lumpur yang memberi amaran supaya orang ramai tidak menyertai dan memakai baju kuning.

Seawal jam 7.00 pagi, tinjauan Harakah mendapati beberapa anggota polis telah pun berada di beberapa persimpangan jalan raya menuju Dataran Merdeka antaranya di sekitar Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan laluan menuju ke Kampung Baru.

Malah 'Sign Board' I.T.I.S di sekitar ibu kota memaklumkan bahawa laluan Dataran Merdeka telah ditutup manakala berhadapan pintu masuk Hospital Kuala Lumpur telah diadakan sekatan jalan raya atau 'Roadblock bagi menghalang para peserta menuju ke arah sana dengan menaiki kenderaan.

Harakah sempat melihat sebuah kereta juga turut ditahan dan dalam masa sama yang seorang pemandu melayu diarahkan keluar diminta untuk mengemukakan kad pengenalan diri.

Keadaan dan situasi ini menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku dan menghalang perjalanan orang awam dan warga ibukota untuk bersiar-siar dan menuju ke destinasi tertentu di Kuala Lumpur pada hari ini.

Difahamkan semenjak semalam sekitar jam 6 petang manakala di lokasi tertentu seperti di kawasan Sentul, Sungai Besi dan lebuh raya Karak turut di adakan sekatan jalan raya.

Tinjauan Harakah mendapati kawasan Dataran Merdeka telah ditutup dengan kon-kon empat segi dengan ditambah pula sejumlah lebih 500 anggota polis Simpanan Persekutuan FRU , polis trafik, polis dan yang berpakaian preman dengan dibantu trak-trak termasuk trak 'water cannon' dianggarkan lebih 10 buah telah berada di sekitar kawasan tersebut, daripada arah Pasar Seni, Jalan Raja Laut dan Masjid Jamek.

Turut kelihatan sebuah Helikopter PDRM yang turut berlegar-legar melakukan penerbangan di sekitar Dataran Merdeka.

Manakala di kawasan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) turut kelihatan beberapa anggota polis trafik sedang berada di kawasan tersebut manakala dua buah trak polis sedang menunggu di pintu masuk kawasan Masjid Negara.

Difahamkan pihak polis akan menghalang para peserta yang datang daripada luar negeri yang menaiki keretapi daripada menyertai himpunan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama wartawan Harakah yang berada di lokasi stesen komuter Kajang telah memaklumkan bahawa terdapat juga sekatan polis dilakukan di stesen tersebut.

Manakala sekatan polis di Sungai Besi masih diteruskan dan ramai yang ditahan.Manakala jalan menuju ke Istana Negara masih ditutup lagi.

Tinjauan juga mendapati, sejumlah empat buah trak FRU dan tiga buah trak Polis sudah pun berada di lokasi Masjid Kampung Baru bagi menghalang orang ramai yang dipercayai akan berkumpul di lokasi tersebut bagi menyertai himpunan rakyat tersebut.

Semalam dilaporkan, penganjur perhimpunan, Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengumumkan empat lokasi untuk orang ramai berkumpul sebagai langkah alternatif jika Dataran Merdeka disekat oleh pihak polis yang mengahalang himpunan tersebut.

"Tempat-tempat tersebut adalah di Sogo, Masjid India, Masjid Negara dan Pasar Seni. Orang ramai dinasihatkan berkumpul di keempat-empat lokasi tersebut sehingga isyarat bergabung diterima daripada pemimpin perhimpunan," kata ahli jawatankuasa Bersih, Tian Chua dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, sekiranya Dataran Merdeka tidak ditutup, orang ramai diminta berkumpul di situ seperti rancangan asal.

Selain itu, kata Tian, orang ramai juga dinasihati masuk ke Kuala Lumpur lebih awal kerana pihak penganjur menjangkakan polis akan mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di kebanyakan lalaun memasuki ibu kota.

No comments: