Oleh Kadir Dikoh
PERHIMPUNAN agung Umno 2007 berakhir petang semalam, dengan pelbagai mesej penting Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang perlu dihayati bukan saja oleh lebih 2,500 perwakilan, malah rakyat pelbagai kaum termasuk parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antaranya ialah isu subsidi yang strukturnya akan dikaji semula, kebergantungan terhadap pekerja asing yang perlu dihentikan, keadaan ekonomi semasa, masalah sosio ekonomi dan cabaran semasa selain hasratnya ingin melihat pembangunan ekonomi koridor wilayah berjaya dalam usaha mengejar visi serta misi 50 tahun akan datang.
Presiden Umno itu, walaupun tidak memberi sebarang bayangan mengenai tarikh pilihan raya, ingatannya supaya pihak tertentu tidak menjadikan demonstrasi jalanan untuk membawa perubahan, hendaklah difahami oleh golongan tertentu yang bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka hari ini.
"Apakah mereka nak bawa perubahan... apa nak diubah? Kalau nak (ubah), tunggu pilihan raya, kita sama-sama hadapi," kata Perdana Menteri lantang sambil menerima tepukan gemuruh 2,522 perwakilan mewakili 190 bahagian.
Pada babak awal ucapannya selama 55 minit itu, Perdana Menteri sudah mula menarik perhatian perwakilan apabila menyebut mengenai soal pilihan raya tetapi akhirnya beliau mengakui belum mendapat ilham mengenai tarikh pilihan raya.
Tetapi jika dihayati ucapan dasar dan penggulungannya, memang jelas Perdana Menteri mahukan ahli Umno merapatkan perpaduan, mahukan pemimpin lain dalam BN serta ahli mereka supaya tidak lagi membangkitkan isu perkauman yang sensitif di samping meleraikan kebimbangan dalam masyarakat berkaitan kegiatan jenayah, meneruskan agenda Melayu, bagaikan memberi satu isyarat secara tidak langsung mengenai persiapan pilihan raya umum.
Abdullah bagaikan mahu 'mencari damai abadi' seperti tajuk sajaknya sebelum mengadakan pilihan raya kerana baginya rakyat hendaklah berasa selesa, bebas daripada kebimbangan kegiatan jenayah, tiada lagi pertelagahan terbuka antara pemimpin dan ahli BN, tiada lagi perbalahan sesama sendiri ahli Umno.
Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungannya turut menyentuh mengenai pilihan raya dan memberi pengakuan bahawa Umno sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menunggu isyarat Presiden parti bila hendak mengadakan pilihan raya.
"Kita nak menang dengan majoriti lebih dua pertiga, kita nak menang di setiap negeri termasuk Kelantan. Soal calon, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti... jangan berbalah, jangan cah keting (politik cantas mencantas) antara kita. Marilah kita bersama-sama berdiri teguh menyokong kepemimpinan Presiden parti," kata Timbalan Presiden Umno itu.
Satu perkara yang menarik disebut oleh Najib ialah gaya pembahas pada perhimpunan kali ini yang sesetengahnya menggunakan pendekatan 2 L, iaitu "lambung dan libas" tetapi gayanya bersopan santun.
Sebenarnya, mesej ucapan dasar dan penutup yang disampaikan Abdullah lebih menjurus kepada keperluan untuk memenuhi kehendak rakyat, terutama di peringkat bawahan. Beliau tidak memilih untuk menyampaikan ucapan popular, sebaliknya mahu rakyat khususnya ahli Umno menghayati serta menjayakan misinya ke arah tahun 2057 dalam usaha mengangkat lagi martabat bangsa.
Berdasarkan hakikat ini jugalah, beliau mahu struktur sistem subsidi dikaji semula supaya golongan yang benar-benar memerlukannya mendapat manfaat. Inilah antara isu dibangkitkan perwakilan pada perhimpunan itu dan Pemuda Umno khususnya mahu kerajaan merombak sistem subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.
Ia sebenarnya mencerminkan pandangan generasi muda negara mengenai budaya subsidi di negara ini. Kita berpendapat cadangan itu, yang disuarakan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan sebagai permulaan mengurangkan pelbagai bentuk subsidi terutama yang lebih menguntungkan kalangan peniaga dan kaya.
Langkah ini penting kerana harga minyak dunia terus melambung. Rabu lalu, harga setong minyak di pasaran antarabangsa mencecah AS$98 dan surut semula kepada AS$96 semalam. Sistem subsidi yang diamalkan sekarang bukan saja tidak adil kepada golongan miskin, malah satu pembaziran kerana turut dinikmati golongan kaya.
Walaupun rakyat masih memerlukan subsidi tertentu, pendekatan dan pelaksanaannya perlu diubah supaya ia benar-benar dinikmati oleh kumpulan sasar, bukannya pengilang, peniaga dan pedagang.
Abdullah mengakui kerajaan tidak boleh menafikan langsung subsidi untuk rakyat dan isu sama turut disentuh Najib dalam ucapan penggulungannya yang mengatakan bahawa subsidi RM40 bilion setahun menyamai peruntukan tahunan untuk pembangunan negara.
Mungkin belum tiba masanya untuk menghapuskan subsidi secara total, tetapi akhirnya nanti, kita semua perlu menerima hakikat bahawa subsidi cuma bersifat sementara, dan ia bukan tongkat untuk kita bergantung selama-lamanya. Kita yakin rakyat yang berfikiran rasional tidak akan marah jika kerajaan mengurangkan subsisi atau kekalkan hanya untuk rakyat yang memerlukan, manakala penjimatan wang boleh disalurkan untuk membangunkan jalan kampung dan sekolah.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment