SINDIRAN Pemangku Pengerusi Perhimpunan Agung Umno 2007, Datuk Badruddin Amirulddin sebaik wakil Kedah, Mohd Kamal Saidin selesai membahas usul agama dan sosial mungkin boleh menimbulkan tanda tanya bagi sesiapa yang tidak mengetahui keakraban mereka berdua.
Bagi pemerhati yang tidak mengenali mereka, sindiran Badruddin kepada Mohd Kamal mungkin dilihat seperti ada sesuatu yang tidak kena antara kedua-duanya tetapi sebenarnya itulah gurauan yang melambangkan kekukuhan persahabatan mereka.
Manakan tidak, sejurus Mohd Kamal berjalan ke pentas kecil khas untuk memulakan perbahasan, tidak henti-henti ‘perang mulut’ antara kedua-dua mereka – Badruddin di pentas utama, manakala Mohd Kamal berhampiran perwakilan.
“Ni sapa pulak, awat gelap semacam saja ni, orang Bangladesh ka, ada bawa kad keahlian ka," gurau Pemangku Pengerusi yang dulunya memang terkenal sebagai antara pembahas yang sering dinanti-nantikan perwakilan kerana mengutarakan hujahnya dalam gurauan menarik tetapi dengan penuh inti pati bermakna.
Suatu ketika, Badruddin bagaikan tercabar apabila tersilap langkah kerana lebih dulu menyebut 'Sadaqadallahullazim' kerana menganggap Mohd Kamal hanya membaca sepotong ayat al-Quran, sedangkan Ahli Jawatankuasa Umno Pendang itu hanya berhenti sejenak dan menyambung semula.
Badruddin: Mana saya tau dia nak sambung.
Mohd Kamal: Saya pun tau dia nak kacau saya sebab tu saya saja nak bakaq (kacau) dia. Jenis macam ni yang kita kena perbetul.
Badruddin: Tak pa... tak pa... tak pa... dia kena sat lagi.
Selama hampir setengah jam perbahasan Mohd Kamal semalam, ia bagaikan pertembungan dua jaguh pemidato hebat dari Kedah.
Kedua-dua pembahas yang disegani ramai itu terus ‘berjuang’ untuk mencapai matlamat masing-masing - Badruddin mahu pastikan Mohd Kamal selesai dalam masa yang ditetapkan manakala Mohd Kamal pula cuba menghabiskan mesej yang mahu diketengahkannya.
Menunaikan janjinya, selepas Mohd Kamal selesai menyampaikan ucapannya, Badruddin mengambil peluang menyindirnya dengan merujuk kepada iklan yang disiarkan pada Ramadan lalu mengenai gelagat seorang kanak-kanak dengan bapanya dan burung murai.
“Macam kat dalam iklan baru-baru ini, bila anak tanya pada bapa, burung apa tu pak... burung murai, burung apa... burung murai, burung apa... burung murai.
“Tapi, bila bapa tanya pada anak dia, burung apa tu nak, anaknya jawab... burung murai, burung apa... burung murai, burung apa... burung murai, pak ni tak dengaq (dengar) ka buat-buat tak tau.
“Tu yang turun (Mohd Kamal) tadi tu burung murai la,” kata Badruddin yang disambut dengan derai ketawa lebih 2,500 perwakilan di dalam Dewan Merdeka.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment