KUALA LUMPUR 9 Nov. – Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai angkuh apabila menolak cadangan penggabungan parti itu dengan UMNO.
Exco pergerakan itu, Datuk Zaleha Hussin berkata, pemimpin Pas yang menggunakan imej Islam dalam perjuangan mereka, cukup pandai berlakon walaupun UMNO ikhlas menghulurkan salam persaudaraan.
“Saya berharap keikhlasan kita tidak dinodai oleh Pas dengan lakonan mereka yang begitu lincah,” katanya ketika membahaskan Usul Agama dan Sosial pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Beliau berkata, kehadiran Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini membuktikan kesungguhan UMNO untuk merapatkan hubungan dengan parti itu.
Beliau berkata, kesediaan Presiden UMNO menerima kehadiran kedua-dua pemimpin Pas menyebabkan sesetengah orang Kelantan terutama ahli Pas tidak percaya sama ada pertemuan tersebut betul atau sebaliknya.
“Ahli Pas terkejut kerana selama ini mereka menuduh orang UMNO kafir dan kata Tok Guru bersih dan seorang ulama tetapi tiba-tiba duduk bersama Abdullah.
“Bagaimanapun sikap pemimpin Pas itu sama seperti pepatah Melayu, ‘pepat di luar rencong di dalam’ atau depan cakap lain belakang berkata lain,” katanya.
Mursyidul Am Pas itu semalam dilaporkan berkata, penggabungan Pas dan UMNO adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
Beliau mendakwa percantuman itu ibarat pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahram, sesuatu yang ditegah agama.
Dalam pada itu, Zaleha menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau proses pengajaran agama di sekolah-sekolah agama, surau dan masjid ketika ini.
Beliau berkata, ia bagi memastikan penekanan diberikan terhadap pengajaran fardu kifayah dan kehidupan di dunia.
‘‘Pengajaran agama juga perlu dipastikan memberi keseimbangan antara tuntutan dunia dan akhirat.
‘‘Jika ini dapat dilakukan oleh Jakim, insya-Allah masalah pengajaran agama yang berat sebelah, kurafat dan ajaran sesat dapat diatasi.
‘‘Ia sekali gus membantu menyelesaikan masalah pelampau agama di kalangan umat Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment