Sat | Nov 10, 07 | 8:42:36 am MYT
Perhimpunan Agung Umno kali ke-58 yang berakhir semalam dihiasi dengan ucapan yang bersifat separa lucah dan tidak menaikkan semangat Melayu yang tebal dengan semangat santun, berbudi bahasa yang tinggi.
"Jika begini sikap dan tutur kata perwakilan dan pihak atasan, kita khuatir apa tanggapan parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional? Adakah perhimpunan parti mereka dipenuhi ketawa berbau lucah begini?" kata seorang ahli Umno yang tak mahu namanya disiarkan ketika ditemui di Pusat Perdagangan Dunia Putra pada hari akhir perhimpunan tersebut.
Beliau berkata demikian, dengan merujuk ucapan Timbalan Presiden Umno, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebelum menunggu ucapan penggulungan Presiden Umno Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kelucahan tutur bicara
Menurut laporan media, perhimpunan agung parti pemerintah itu turut mendapat liputan Indonesia. Apakah Umno peka, siaran RTM dan stesen penyiaran swasta lain seperti TV3 dan TV9 turut ditonton warga Singapura di mana gelombang siaran dapat dicerap kerana berhampiran dengan Johor? Semua kelucahan tutur bicara Umno tersiar dengan mudah.
"Memang benar pimpinan negara lain boleh mendapat laporan itu dalam akhbar, tapi kita mesti perhitungkan juga, iaitu lintas langsung yang disiar tanpa tapisan ada siarkan bicara kurang sopan dan mengaibkan maruah bangsa sendiri," tambah beliau.
Abdullah di awal ucapannya berseloroh: "Ada orang kata Pengerusi (Datuk Badarudin) ni kelolo (banyak bergurau), tapi dia ni sebenarnya loqlaq (gurauan lucah). Tapi, tak apalah. Kalau tiada gurauan seperti ini, orang tidak masuk dewan."
Najib sebenarnya ingin menganjurkan kepada perwakilan dan ahli Umno untuk mencapai gagasan 'pembangkang sifar' dengan strategi yang beliau atur selama ini melalui Permata Hati dan PLKN. Ringkasnya, setiap peringkat pertumbuhan anak-anak di Malaysia bakal 'diUmnokan' melalui program-program Umnonisasi yang beliau rancangkan itu.
Najib mahu jalankan Umnonisasi ke atas anak bangsa sejak kandungan lagi.
"Kita boleh lakukan perkara ini. Saya (masih) qualify sebab saya tak boleh lagi terkecuali (hadirin ketawa)... sebab kilang saya dah tutup," kata Najib secara tersirat.
'Kilang' di sini melambangkan isteri yang mungkin disifatkan beliau sebagai sudah tidak boleh melahirkan zuriat untuk meneruskan perjuangan Umno lagi.
Ucapan tersirat, ini diiringi dengan ketawa oleh Pengerusi, "tak pa, tak pa, tak pa ..."
"Nak dapatkan lesen 'kilang' (isteri) baru," kata Najib. Lalu disampuk Pengerusi, "tak ada kementerian ..."
"Tak ada kelulusan pulak. Jadi, tak guna. Nak merayu pun tak guna. Orang putih kata, 'definitely no'. Jadi, siapa yang boleh... Pak Lah?" kata beliau sambil ketawa.
Sesekali kamera dihalakan ke arah wajah Perdana Menteri, sesekali merakam aksi wajah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib. Entah apa rasa hati wanita nombor dua itu ketika dirinya dijadikan bahan ketawa secara tidak sengaja (tak sedar) di khalayak?
Di celah ketawa hadirin itu, Badarudin mencelah: "Gagah sajalah Pak Lah ooii ..."
Najib menyambung: "Jadi kepada siapa yang boleh, saya syorkan supaya mendekati perut isteri. Tengok pada perut isteri, jangan tengok pada yang lain (hadirin ketawa) dan cuba berkomunikasi dengan anak di dalam perut isteri itu.
"Suruh dia (anak dalam kandungan) sebut Umno, Dato," tingkah Badarudin.
"Ya, ya ... suruh dia sebut Umno (hadirin ketawa)," Najib senang atas saranan gurauan itu.
"Kalau boleh suruh dia (anak dalam kandungan) nyanyi lagu Umno. Jadi, anak itu akan lahir sebagai seorang yang hebat pemikiran, hati dan jiwanya adalah Umno, insya Allah."
Silibus dakyah Umno
Projek memprogramkan akal setiap anak-anak di Malaysia agar menyokong Umno bakal dilaksanakan sejak dalam perut lagi. Tidak cuma program Permata Hati anjuran isterinya, malah ia melalui setiap peringkat seperti acara PLKN yang terkandung di dalamnya suatu pakej 'silibus' dakyah Umno yang mengkritik Anwar serta parti pembangkang yang lain.
Projek Permata Hati mungkin tidaklah sampai membawa doktrin Umno kerana anak-anak itu tiada potensi lagi untuk menelan ideologi Umno ketika masih rebung usianya.
Keghairahan Umnonisasi Najib itu terpancar sinarnya tatkala berucap merasmikan majlis penutupan kursus kepimpinan pelajar Kelab Umno di luar negara pada 4 November lalu yang turut disiarkan secara langsung melalui RTM.
Di dalam ucapannya malam itu Najib berkata, kalau boleh jangan ada seorang pelajar pun yang menyokong parti lain melainkan Umno. Najib berkata begini mungkin kerana beliau amat menyedari kekuatan dan potensi golongan mahasiswa.
Kini, Najib adalah Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang telah ditubuhkan sejak Abdullah yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri menjadi pengerusinya.
MPPK ditubuhkan apabila kerajaan menolak kewujudan Majlis Pelajar Malaysia (MPM) iaitu pakatan Gamis - PKPIM - Karisma - GMLN - Dema dan lain-lain pertubuhan siswa guna membangunkan landskap baru politik pelajar di peringkat nasional.
"Kini, kita megah kerana ada bendera Umno berkibar di tempat yang tak pernah didengar selama ini. Iaitu di Tokai, Jepun," katanya dalam majlis pelajar Umno itu.
Pentas perhimpunan agung Umno itu digunakan Najib sebagai suatu tempat untuk beliau melontarkan kebaikan projek Permata Hati tersebut.
"Jadi program perintis lima projek yang kita nak mulakan termasuk di Kepala Batas, dan penilaian dibuat Upsi, didapati kesannya baik. Kanak-kanak dalam program Permata ini keupayaan mindanya, kebolehan bertutur dan berinteraksi, keyakinan diri dan disiplinnya jauh lebih baik.
"Dan terbuktilah bahawa program ini amat berkesan kalaulah kita hendak negara bangsa Melayu terbilang, kita buat hari ini kepada anak-anak pada peringkat sekecil mungkin," demikian hujah Najib mengenai kebagusan Umnonisasi tajaan beliau itu.
"Buat baik dengan bini"
Akhirnya, beliau menutup hujahnya dengan kesimpulan: "Dan pada orang Melayu, inilah dia pelaburan paling besar. Bukan rumah besar. Bukan kereta besar."
Umnonisasi Najib diperkukuhkan dan dipertajamkan dengan pantun rekaan beliau.
Kuat berusaha hidup senang
bila kaya menabur jasa
pilihan raya menang cemerlang
untuk mengangkasa tamadun bangsa.
Abdullah sebagai respon awalnya ke atas Umnonisasi Najib itu, ia dimulai dengan sebuah pantun boria, yang diakhiri dengan nada gurauan dalam kelambu - Kalau nak dapat anak, berbuat baik dengan bini.
"Datuk Najib, rupa-rupanya nakal sikit," Abdullah bergurau sebelum meneruskan ucapan yang mencela keras perhimpunan anjuran Bersih yang difatwakan beliau sebagai haram.
No comments:
Post a Comment