Saturday, November 10, 2007

Tindakan polis, FRU cetuskan kekecohan di Masjid Jamek

Salmiyah Harun | Foto Nasir Sudin
Sat | Nov 10, 07 | 7:10:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Belumpun Perhimpunan Aman Rakyat dimulakan, pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung lebih 5 ribu peserta yang berhimpun di Masjid Jamek dekat sini.

Tiga trak water canon dan 50 anggota FRU memenuhi sepanjang jalan di bawah stesen LRT Masjid Jamek jam 2.30 petang.

Jalan Tun Perak yang biasanya mengalami kesesakan sepanjang hari, ditutup polis dari kedua-dua arah.

ImageSuasana pada awalnya agak terkawal apabila kira-kira 100 anggota Unit Amal PAS yang membuat barisan ditengah-tengah jalan terbabit untuk mengawal para peserta himpunan supaya tidak dikacau oleh pihak polis.

Selepas itu, tiga trak water canon mengambil posisi di hadapan simpang Dataran Merdeka dan terus mara di tengah-tengah himpunan.

Keadaan menjadi lebih kecoh, apabila FRU mengeluarkan arahan menghalau para peserta himpunan yang mula mara ke Dataran Merdeka.

Dengan laungan takbir 'Allahuakbar; Lailahaillah berulang-ulang kali,dengan tidak menghiraukan arahan polis itu, menyebabkan FRU melepaskan semburan asid kepada orang ramai yang berada di hadapan bangunan bank OCBC, setesen LRT, dan kedai-kedai yang berada di sepanjang jalan bawah LRT.

Hampir setiap sudut dan kedai-kedai di sepanjang masjid jamek di sembur oleh FRU, keadaan menjadi kelam kabut dan masing-masing peserta berlari bertempiaran mengelak daripada terkena semburan asid.

Walaupun dalam keadaan hujan yang amat lebat, orang ramai tidak putus asa sambil mengarahkan kumpulan mereka supaya terus mara ke Dataran Merdeka sementara FRU tidak memuntahkan semburannya.

Bagaimanapun, ramai di kalangan peserta yang kena semburan air agak keletihan dan tidak terdaya dengan mata dan kulit muka kemerah-merahan akibat terkena semburan air yang mengandungi bahan 'Chemical'.

Ketika ini kedengaran para peserta himpunan menjerit 'cepat.. bergerak' berulang kali meminta para peserta terus mara ke Dataran Merdeka.

ImageBendahari PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli yang merupakan ketua peserta himpunan di Masjid Jamek terus meminta semua peserta mara ke Dataran Merdeka.

Dalam keadaan para peserta sedang mara ke Dataran Merdeka, FRU sekali lagi menghala semburan kepada mereka menyebabkan keadaan menjadi kecoh dan kelam kebut dan mereka berlari bertempiaran sambil menjerit-jerit.

Beberapa minit kemudian, para barisan FRU yang terdiri daripada 10 orang sekali gus melepaskan tembakan gas pemedih mata di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek dan di celah lorong ke Masjid India menyebabkan para peserta himpunan lari menyelamatkan.

Malah ada beberapa peserta yang memberanikan diri mengambil semula peluru gas pemedih mata yang jatuh di hadapan mereka dan membalingkan semula ke arah pasukan FRU walaupun berhadapan dengan risiko sesak nafas dan pedih mata.

Ekoran daripada tindakan ganas FRU yang melepaskan sepuluh peluru gas pemedih mata sekali gus menyebabkan para peserta himpunan seperti putus asa dan undur semula ke arah perkarangan Masjid Jamek.

Ada di antara peserta yang terpaksa kembali ke masjid untuk mengelak dari terkena gas pemedih mata malah ada di kalangan mereka terbahak-bahak sehingga termuntah kerana terhidu gas pemedih mata.

Segerombolan FRU mengejar para peserta himpunan menyebabkan mereka terpaksa berlindung di kawasan masjid, di samping itu kira-kira 20 orang FRU berbaris sambil memegang perisainya di hadapan pintu pagar masjid menyebabkan para peserta himpunan tidak dapat keluar.

Hampir setengah jam, para peserta tidak kira tua, muda, remaja, bahkan kanak-kanak terpaksa berlindung seketika di dalam Masjid Jamek sambil membersihkan muka yang terkena semburan asid dari FRU.

Akhirnya peserta himpunan berunding dengan pihak FRU untuk keluar dari kawasan masjid dan memberitahu mereka para himpunan akan bersurai.

Kelihatan para peserta memecat semula baju kuning mereka sebagai taktik untuk keluar dari perkarangan masjid kemudian selepas itu mereka memakai semula 'T-Shirt Bersih untuk sama-sama berarak ke Istana Negara. - mr


No comments: