Saturday, November 10, 2007

Taib minta PBB tak abai rakyat

Oleh Kandau Sidi

MIRI: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyesuaikan diri dengan perubahan politik semasa, selaras dengan tuntutan sosial dalam masyarakat yang semakin rumit.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata, pengabaian terhadap kepentingan pembangunan sosial memberi kesan besar yang boleh membawa kemusnahan kepada sesebuah negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, pergerakan terbabit perlu melihat perjuangan mereka secara menyeluruh, termasuk membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurangkan masalah sosial yang menjadi antara cabaran negara ketika ini.

"Kita harus sentiasa memastikan supaya setiap pembangunan dilakukan dengan seimbang sama ada dalam politik, ekonomi dan sosial," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita PBB ke-11, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Taib mahu Wanita membantu memperkukuhkan semula fungsi golongan itu dalam membentuk kestabilan sosial masyarakat, terutama institusi kekeluargaan.

"Mahu tak mahu, kaum wanita harus menerima hakikat bahawa fungsi tradisional mereka dalam menguruskan institusi kekeluargaan masih diperlukan walaupun ketika ini mereka sudah mempunyai tanggungjawab lebih luas seperti mana golongan lelaki," katanya.

Beliau juga meminta kedua-dua pergerakan mengutamakan perpaduan rakyat berbilang kaum sebagai landasan memajukan negeri ini.

"Perpaduan satu perjuangan yang tidak akan lapuk dan ia harus menjadi agenda utama untuk pembangunan rakyat berbilang kaum hari ini dan juga pada masa akan datang," katanya.

Mengenai pencapaian kedua-dua pergerakan itu, beliau bangga kerana kedua-dua sayap itu sudah menunjukkan perubahan besar dalam parti.

"Terlalu jauh bezanya dengan zaman saya dulu, pada masa itu terlalu sedikit mereka yang berpendidikan menyertai parti politik.

"Tetapi sekarang kita lihat, golongan bijak pandai sudah ramai dalam PBB khususnya dalam Pemuda dan Wanita, saya yakin mereka mampu menyumbang pencapaian lebih baik kepada parti dan rakyat," katanya.

No comments: