Saturday, November 10, 2007

Musa tidak terlibat rasuah

Oleh: ZULHISHAM ISHAK

KOTA KINABALU 9 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah hari ini mengesahkan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman adalah tidak berasas.

Pengarah BPR Sabah, Latifah Mohd. Yatim berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu dan mendapati ia tidak ada kes untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Siasatan telah dijalankan BPR Sabah dan terbukti tidak ada kes. Kita (BPR Sabah) ikut seperti yang diputuskan oleh Peguam Negara iaitu tidak ada kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat BPR Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS), dekat sini hari ini.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa merujuk kepada siasatan BPR Putrajaya berhubung kegiatan pembalakan haram di pedalaman Sabah pada Ogos lalu memberitahu, Musa tidak terbabit dengan masalah penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Latifah memberitahu, pihaknya menahan empat lelaki kerana cuba merasuah pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam operasi membanteras penjualan diesel haram, di sini semalam.

Beliau berkata, empat lelaki berumur antara 30 dan 59 tahun itu ditahan ketika mengisi diesel ke dalam lori di depot Inanam, Likas, Sepanggar dan di Kilometer 28, Jalan Ranau.

‘‘Lelaki terbabit menawarkan rasuah RM7,500 kepada pegawai KPDNHEP dalam empat operasi berasingan bagi menutup kegiatan haram tersebut dan pegawai yang bertugas melaporkannya kepada BPR,” jelasnya.

Dalam operasi itu, KPDNHEP merampas dan menyita 95,000 liter diesel termasuk 58,600 liter yang disubsidi.

Berikutan perbuatan menjual diesel subsidi, katanya, kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM70,320.

Mereka yang terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 11 (B) Akta Pencegahan Rasuah 1997, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan.

“Kita masih menyiasat siapa menjadi pembekal diesel ini dan kepada siapa hendak dijual. Mereka yang ditangkap ini hanya pemandu dan penghantar sahaja. Kita telah melakukan pemerhatian selama dua bulan dan maklumat berhubung kegiatan mereka diberi oleh orang awam,” tambahnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan KPDNHEP bahagian Kota Kinabalu, Balwant Singh berkata, mereka yang terbabit boleh didakwa di bawah Akta Bekalan 1961 yang membawa hukuman dua tahun penjara dan denda RM100,000.

No comments: