Saturday, November 10, 2007

FRU halau orang ramai di Masjid Negara, matikan penghawa dingin

Azamin Amin
Sat | Nov 10, 07 | 11:32:25 am MYT

TERKINI|KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Anggota polis beserta Polis Simpanan Persekutuan (FRU) telah memulakan tindakan 'biadapnya' dengan mengarahkan beberapa jemaah dan orang ramai yang berada di dalam Masjid Negara, dekat sini, supaya bersurai.

Wartawan Harakah Helmi Khalid melaporkan, seramai kira-kira 100 anggota FRU telah menghampiri dan berada di kawasan mengambil wuduk Masjid Negara malah beberapa anggotanya mengarahkan orang ramai supaya keluar daripada kawasan Mussola atau tempat sembahyang.

Malah dilaporkan Pengurusan Masjid Negara telah membuat pengumuman di pembesar suara dan memaklumkan: "Masjid adalah tempat beribadah dan bukannnya tempat istirehat." Orang ramai kebanyakannya dilihat menurut arahan.

Ini termasuk mematikan suis penghawa dingin dan menghentikan bekalan air ke bilik air dan tempat wuduk bagi menyukar dan menyulitkan orang ramai yang masih berada di dalam masjid dan kemudian bertindak keluar kerana situasi yang tidak selesa itu.

Namun begitu terdapat satu insiden kecil dimana seorang jemaah telah dirampas telefon bimbitnya kerana telah merakam wajah anggota keselamatan yang berada di kawasan masjid tersebut namun telah dipulangkan kembali dengan amaran.

Dilaporkan FRU dan polis tidak membenarkan orang ramai berkumpul di dalam masjid meskipun tengahari ini hujan begitu lebat menyebabkan orang ramai berada dalam keadaan lenjun kerana berada di luar dan menurut arahan polis.

Sedang berada di pekarangan Masjid Negara ialah Ustaz Badarul Amin dan pihak polis tidak membenarkan beliau dan yang lain masuk ke masjid negara dengan alasan : "Belum masuk waktu solat Zuhur."

Dalam perkembangan berkaitan Wartawan Hirman Firdaus juga melaporkan kesesakan teruk hampir sejam selepas Tol Sg Besi menyusur keluar ke MRR2 kerana sekatan polis dibuat di kawasan tersebut.

Malah turut kelihatan beberapa buah bas berhenti sebelum kawasan sekatan polis tersebut dipercayai para peserta dari luar yang ingin menyertai himpunan rakyat pada 3.00 petang ini di Dataran Merdeka.

No comments: