Oleh: ABDUL HALIM HADI
SIBU 9 Nov. – Calon-calon yang bertanding pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinasihatkan supaya berkempen secara baik dan tidak mengamalkan sikap ‘tikam dari belakang’ untuk menang.
Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, untuk memenangi sesuatu jawatan, calon tidak perlu memburuk-burukkan atau menjatuhkan calon lain.
‘‘Ini bukan cara atau budaya masyarakat kita, bahkan ia adalah satu taktik yang tidak bagus,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) di sini semalam.
Beliau berkata, perwakilan serta pemerhati yang hadir pada perhimpunan itu diharap dapat menilai dengan baik dan memilih pemimpin yang berkemampuan.
‘‘Tidak perlu pilih atau cari pemimpin yang hanya pandai menghentam kerana itu bukan budaya PBB dalam melantik pemimpin pelapis,’’katanya.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, mengingatkan ahli-ahli pergerakan khususnya Pemuda PBB supaya sentiasa berusaha menguatkan kebolehan dan kemampuan parti.
Abdul Karim turut mengingatkan Pergerakan Pemuda PBB memahami perkongsian kuasa dalam parti komponen BN itu supaya perpaduan rakyat dapat dikekalkan.
‘‘Perjuangan kita bukan hanya untuk ahli PBB sahaja. Perjuangan kita mewakili seluruh rakyat Sarawak.
‘‘Jika bersikap pilih kasih dalam memperjuangkan nasib rakyat, kita sebenarnya menanam perasaan benci di kalangan rakan-rakan kita dalam parti,” ujarnya.
Katanya, kemakmuran parti melalui perkongsian kuasa itu memerlukan kerjasama dan penghayatan antara semua kaum yang terlibat.
No comments:
Post a Comment