Saturday, November 10, 2007

Baki video Lingam akan didedahkan pada masa yang sesuai - Anwar

Mohd Sabri Said
Sat | Nov 10, 07 | 10:04:12 am MYT

NIBUNG TEBAL, 10 November (Hrkh) - Dua hari lalu mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkan segmen kedua video yang menjadi kontroversi penentuan perlantikan Ketua Hakim Negara.

Segmen kedua walaupun pendek tetapi terjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa orang kepimpinan kerajaan yang mengatakan perbualan video itu tidak menyebut nama sesiapa sepertimana yang didakwa oleh Anwar sebelum ini.

Menurut Anwar, segmen itu jelas kedengaran peguam kanan VK Lingam menyebut nama Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bahawa beliau akan dilantik ke jawatan tertinggi dengan bantuan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor dan orang kuat bidang perjudian, Vincent Tan.

Beliau sengaja mengeluarkan segmen pendek itu untuk tatapan umum dan akan mengeluarkan segmen seterusnya bila sampai waktu yang paling sesuai.

"Dua hari lalu saya dah keluarkan segmen ke dua video perbualan peguam kanan dengan Ketua Hakim Negara. Walaupun pendek ia terjawab untuk semua dakwaan," tegasnya ketika berceramah sempena pembukaan bilik gerakan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Parlimen Nibung Tebal di Taman Sintar Indah, Jawi petang semalam.

Beliau percaya jika video perbualan 15 minit itu disiarkan sehingga selesai kes tersebut akan ditutup kerana ianya sah meruntuhkan maruah kehakiman negara.

Panel yang dilantik oleh kerajaan bukan kehendak rakyat kerana ia merupakan mainan politik kerajaan terutamanya Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Segala maklumat yang diberi berkenaan video itu boleh diketahui bila-bila masa oleh Najib dan kabinet.

"Saya tidak yakin kerajaan akan tangani isu ini dengan bijak sebaliknya bertindak menutup bila ada maklumat yang menyentuh nama orang kenamaan," ujarnya.

ImageTambah Anwar, beliau lebih rela menyiarkan segmen video itu kepada rakyat ketika turut berceramah dan melalui internet ke seluruh dunia.

Anwar dalam sidang media itu juga memuji sikap Majlis Raja-Raja kerana menolak cadangan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu penyambungan tugas Ketua Hakim Negara.

Usaha itu membuktikan Majlis Raja-Raja tidak lagi terkongkong sebaliknya mempunyai suara tersendiri yang lebih dihormati dan disanjungi.

Sebelum merasmikan bilik gerakan Penasihat KeADILan itu menerima 30 borang keahlian baru parti berkenaan daripada bekas ahli Umno Cawangan Sungai Chenaan, Abdullah Hamzah (gambar).

Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Ketua Perhubungan KeADILan Negeri, Dato' Zahrin Hashim; Ketua Angkatan Muda Negeri, Dr. Azhar Ahamad, Ketua Bahagian KeADILan Nibung Tebal, Makhtar Shapee; Ketua Wanita Bahagian, Puan Zakiah Saad; Pengarah Pilihan Raya Parlimen Nibung Tebal, Wan Mohd Kamil Abu Bakar; Pengarah Strategi Pilihan Raya Nibung Tebal, Tan Tee Beng; wakil DAP Bahagian Nibung Tebal, Theoh Teng Hue dan beberapa orang aktivis PAS. - mr


No comments: